Tuesday, 9 December 2014

ALAM GHAIB YANG TERHIJAB (HIDDEN DIMENSIONS)

Wacana alam ghaib atau alam batin, mahupun para penghuni (makhluk) dimensi halus yang terhijab, tidak sepatutnya masih dikepung oleh semiotika 'Hantu Kak Limah', 'Jangan Pandang Belakang', toyol, pocong, hantu raya, pontianak, saka pendamping dan semua yang sekentut dengannya.  

Mitos, hikayat, dongeng, yang penuh dengan watak, setting, aksi dan peristiwa yang luar biasa, juga perlu dibebaskan dari tanggapan bahawa ia merupakan sumber  kuno serta kolot.

Begitu juga dengan ilmu mengenal diri (ilmu batin) serta ilmu pendiding, yang tidak lagi terkepung sebagai ilmu esoterik yang ekslusif untuk orang-orang tertentu saja.

Malah, rekabentuk geometrik (termasuk arabesque) dalam pelbagai jenis seni tradisi (termasuk Melayu-Islam), kini tidak lagi terkepung dalam wacana dan naratif modenisma basi yang menipiskannya sebagai 'corak', kraf dan seni rendah. Ia juga harus dibebaskan dari kepungan wacana bangsa-agama yang sering dimanipulasi menjadi sebahagian dari agenda ekslusif, bukan inklusif.

Kesemuanya kini sudah dibuka-semula oleh tingkap atau sisi fizik kuantum dan matematik.

Ia adalah sebahagian dari paradigma 'anjakan-kembali' dalam kesedaran manusia sejagat secara kolektif.

Kita renung petikan di bawah,

"Beberapa dekad yang lepas - hasil dari perkembangan dalam fizik teoretikal, juga beberapa kemajuan dalam geometri yang saya sendiri telah bernasib baik untuk terlibat - terdapat beberapa kesedaran baru yang lebih mengejutkan: Bahawa bukan saja alam semesta ini adalah jauh lebih luas dari apa yang dapat kita lihat, tetapi juga bahawa terdapat banyak dimensi, dan mungkin agak lebih banyak dari keruangan tiga dimensi yang sudah sebati dengan kita."

"Ini adalah satu proposisi yang sukar untuk ditelan, kerana jika ada satu perkara yang kita tahu tentang dunia kita - jika ada satu perkara yang deria kita maklum kepada kita dari saat mula kita sedar dan meneroka - adalah nombor dimensi. Nombornya adalah tiga. Bukan tiga yang lebih kurang, tetapi betul-betul secara tepatnya tiga dimensi. Inilah yang kita faham untuk sekian lama. Namun berkemungkinan,  terdapat dimensi-dimensi tambahan yang sangat halus yang masih belum boleh kita kesan lagi. Dan walaupun saiznya amat sederhana, ia adalah penting kerana kita tidak mungkin dapat hargainya dari perspektif tiga dimensi yang sudah sebati dengan kita."

"Jika ide ini benar, maka mungkin terdapat sejenis alam di pinggiran - satu kawasan yang tersorok di tepi, di luar jangkauan deria kita. Ini adalah amat revolusioner dalam dua cara. Kewujudan dimensi tambahan - dulunya menjadi bahan sains fiksyen untuk lebih dari seratus tahun lepas - adalah mengejutkan, pastinya diletakkan sebagai antara jumpaan yang paling hebat dalam sejarah fizik. Namun, penemuan sebegini akan menjadi satu permulaan, bukannya satu pengakhiran."

(Diterjemah dari Shing-Tung Yau & Steve Nadis, "The Shape of Inner Space - String theory and the Geometry of the Universe's Hidden Dimensions", Basic Books, NY, 2010, page 2.)

Ada yang menghujahkan bahawa wacana seni rupa di Malaysia, seakan masih dikepung oleh obsesi terhadap polemik 'luar talian' berpaksi mimpi benda (3 dimensi) seputar Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Kebangsaan, politik bangsa, sentralisma dan esentialisma Melayu. Boleh juga dihujahkan bahawa baik yang menyokong atau menyanggah, keduanya sering terperangkap dalam kerangka tafsiran atau pembacaan yang sama. Jika ini benar, kemungkinan besar kita tidak akan mengalami 'quantum leap', atau satu lompatan kesedaran yang substantial. Malah mungkin ada juga yang boleh berhujah bahawa jika kita masih lagi dihidang berkali-kali hingga muak, dengan juadah meta-naratif dengan meta-bahasa pelat orang putih zaman kolonial, borjuis kelas pertengahan-atasan bersenada dengan dasar luar Amerika Syarikat (untuk melakonkan watak pewacana-lawan - counter discourser) dalam menghadam soal yang sama, kita hanya akan berpusing-pusing dan sembelit dalam kitaran pi mai pi mai tang tu.

Mungkinkah sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada paradigma dan tafsiran yang lebih mendasar dan selari dengan fitrah alami yang ruang-masa kewujudannya bersifat trans-dimensi serta rentas jasad-benda (merentasi juga alam yang terhijab)? Mungkinkah?

Mungkinkah meta-bahasanya kini dipacu oleh fizik dan matematik, bercampur dengan intuisi dan ilham dari warisan amalan mengenal-diri/batin, sinergi sains dan seni, yang kasar dan halus?

Jika kita menyoal, akan dihidangkan jawapan dengan pelbagai cara yang tidak disangka-sangka.

"Berhijrahlah sayang, demi masa mu"

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...