Friday 26 September 2014

PUTERI DI PINTU MAHLIGAI


Satu lagi khazanah tertimbus yang tergatal jari saya mengoreknya dari youtube. 

Ini khazanah rock balada, lebih mesra disapa sebagai rock kapak atau rock leleh. Ya, saya pernah melanggannya satu ketika dulu, seiring dengan lagu-lagu rakyat kelas pekerja "Poi Pokan" dari Ito Blues Gang, "Mimpi Nelayan" dan "Ekspress Rakyat" dari Kembara , dan "Kamelia" jeritan Ramli Sarip. Saya pernah disampuk badi Blues kampung dan Rock kapak.

Yang ni, lagu "Puteri di Pintu Mahligai" nyanyian Salem dari kumpulan legen Iklim. Kualiti video dalam youtube ini hancus (terlalu gelap), mungkin kerana di'petik' tanpa mintak dari empunyanya.

Ia adalah muzik video versi rasmi Warner dengan lirik 'sufi' S.Amin Sahab, brader seniman otai yang saya tabik. Hakcipta lirik empunya Luncai Emas.  Muzik videonya diterbitkan oleh Kak Cah (Habsah Hassan) pemilik Serangkai Film, arahan Kak Normah Nordin, otai guru teater saya dulu.

Liriknya tentang Cinta manusia dengan Pencipta. Cubalah dengar, teliti dan hayati tiap kata dan barisnya. Untuk muzik video halwa telinga serta mata masyarakat umum, ia telah di'turun'kan ke bumi dengan sentuhan romantisme dan feminisme manis Melayu dari Kak Normah. Ada beberapa treatment asal yang dah ditapis oleh Warner, contohnya imajan menara dan kubah masjid, yang kemudiannya diganti dengan imajan muka Salem yang besor mengadap dan menyanyi berlatarkan gambaran pokok dan langit. Saya kata pada Kak Cah, kenapa mereka tak suruh fokus je kat lubang hidung dia? Saya ingat lagi Kak Cah jawab, "nasib baik tak bawak Hasnul jumpa client, kalau bawak, tak dapat business la Kak Cah!"

Ini era awal muzik video ketika syarikat rakaman sibuk menggunakan muzik video sebagai sebahagian dari produk promosinya (untuk TV). Tambahan pula TV3 ada buat AJL (Anugerah Juara Lagu), selain dari AIM (Anugerah Industri Muzik). Lagu ini masuk final AJL 1995 kalau tak silap, manakala muzik videonya terpilih lima finalis untuk AIM (tapi kalah).

Ada sebab mengapa ia terpahat dalam pangkalan data memori saya. 

Saya antara anasir yang terlibat dalam pembikinannya, peringkat pasca-produksi. Saya dan anak-anak murid saya di ITM ketika itu (Zulkifli dan Pachingey Lanus), telah mem'balaci'kan diri untuk membuat beberapa siri animasi zaman batu dengan komputer Amiga, untuk digabungkan dalam suntingan akhir oleh rakan editor ketika itu, Basri Musa (yg kemudiannya banyak buat editing untuk drama dan filem Rasyid Sibir). 

Waktu itu, Kak Cah baru beli mesin editing berkomputer AVID yang canggih. Kak Cah antara yang terawal di Malaysia yang membeli sistem ini. Basri dan saya tak berapa fasih dengan alat ni, terpaksa dikursuskan oleh pelatih dari Singapura, Juling mata kami membaca manualnya. Pada waktu yang sama, Kak Chah dapat job dari Warner untuk buat muzik video ini. Setelah kak Normah siap shooting, saya dan anak-anak murid siapkan animasi, saya dan Basri terpaksa bersengkang mata beberapa malam untuk sekaligus belajar AVID dan menggunakannya.

Ini menerangkan mengapa terdapat surplus 'lemak-lemak' efek grafik seperti chroma key (waktu tu, nak buat kena tunggu lama untuk komputer render, boleh pi minum kopi dan nengok wayang dulu), chroma and luminance adjustment (tukar tona dan rona warna klip video), slow mo, multi-layering dan segala macam efek visual serta teknik suntingan lagi la. Dengan dateline yang menekan, dan ketidak-fasihan menggunakan AVID, kami banyak berkesperimen dengan konsep balunisme dan 'bedal'isme.

Hasilnya, adalah gabungan antara bedalisme kami dan feminisme kak Normah. Nak kata hancus, ia terpilih sebagai top 5 untuk AIM 95 (rasanyala, atau 94 kot).

Bila nontonnya balik, saya senyum lebar sambil terus akur untuk tidak cepat mengutuk suntingan pada muzik video yang bersepah di pasaran kini.

Gitupun, respect saya pada Kak Cah, Kak Normah, Basri, S. Amin dan Salem, tetap utuh.

Selamat berjiwang dengan khazanah legen rock kapak ni.


1 comment:

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...