Tuesday, 9 September 2014

KUMAN SEBERANG LAUT

Kuman (t-shirt putih), dengan gaya arm-twist, sedang mengurut kaki gergasi Ilyas, anak saudara saya. Sebelah dia, Steve, sedang bercerita tentang politik Sabah dengan abang saya, Zaharuddin, sambil mengurut. Di belakang, Anne, tauke spa di Feringgi. Jam dah pukul 10.45 malam, tapi Anne masih kuat dan bersemangat berkhutbah dan berkongsi teori dia tentang kesihatan ("my mother is 96, still strong ma!"); tentang penurunan jumlah pelanggan dari Australia yang takut nak naik kapalterbang MAS; tentang kebanjiran restoran dan kedai milik pendatang dari Pakistan, Syria dan beberapa negara Timur Tengah ("macam mana dia orang senang-senang boleh buka bisness dan dapat permit aaaa? kita orang Malaysia sendiri pun susah nak dapat kedai!"; tentang jenayah orang Nigeria; tentang hubungan kerajaan Pusat dan Negeri. "Jangan gaduh-gaduh la, nanti orang tak mau mai sini, susah mau cari makan."


Terima kasih Kuman, atas power urut tadi. Hilang semua sampuk angin dalam badan saya. Urutan Kuman kuat, keras dan tepat mengena urat. Alhamdulillah, saya rasa kembali sihat.

Ya, nama dia Kuman. Tiada kaitan dengan organisma halus, mahupun keturunan Tengku. Dia orang Dusun, dari Keningau, Sabah, yang terkenal dengan nama-nama yang unik dan kreatif. 

"Saya orang sawah bah, membesar dengan padi dan ubi kayu." 

Kuman sekolah sampai darjah 2 saja. Belajar mengurut di Kota Kinabalu (KK), tetapi berhijrah ke Batu Feringgi, Pulau Pinang kerana populasi pengurut yang terlalu tinggi di KK. Ditambah pula dengan kebanjiran para pengurut takda I.C yang menawarkan harga yang murah melampau hingga menganggu nilai pasaran.  

Kuman kerja dua shift, siang di hotel Rasa Sayang, malam di spa milik mdm. Anne. Bayaran berdasarkan komisen. Kalau tak kuat luar dan cekal di dalam, boleh pitam.  Bersama dengan dia ialah Steve dan beberapa orang pengurut lain, semua dari Sabah. Merentas Laut China Selatan mencari nafkah. Setiap malam, jika ke night market sepanjang Feringgi, anda akan dapat melihat Kuman dan kawan-kawan memukat pelanggan, diketuai oleh Anne sendiri. Kalau ada orang Arab, mereka pukat dengan bahasa Arab pasar. Mereka menjadi antara watak utama dalam drama malam sepanjang tepian jalan di Feringgi, bersama dengan watak-watak antara-budaya dari beberapa negara seperti Bangladesh, Myanmar, Nepal, Pakistan, India, Indonesia, Syria, Iraq, Thailand. Komuniti dagang di Feringgi adalah komuniti global, ditemukan oleh umpan ekonomi kapitalisma pasaran bebas dan kebas melibas.

"Kalau malu bah, rezeki tidak masuk. Dulu saya budak kampung, mau cakap dengan orang pun takot. Cakap orang putih langsung tidak tau. Tapi, saya belajar pelan-pelan, mau berani." kata Kuman. 

Anne menyampuk, "my parents came from China. They ran away during the Japanese attack of China. But I was born here in Penang. I'm the first-generation of Penang-born for my family. I was born here, and will die here in Penang.

Anne menambah, "kita sini aa, cuti cuma 3 hari satu tahun. Hari-hari kerja. Lepas celebrate Chinese New Year pun, terus kerja sebab ramai customers masa cuti. Ini semua untuk anak-anak."

 

 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...