Ni sorang lagi rakan seniman saya di George Town. Nama dia Kwa. Cakap Melayu fasih, buat saya rasa malu kerana tak pandai cakap Cina, baik Hokkien, Mandarin mahupun Kantonis. Dia pemuzik jalanan sepenuh masa, meniup harmonika di merata George Town. Dulu, lubuk dan pentas dia adalah di sekitar Persiaran Gurney. Kini, dia ada lubuk baru, di Lebuh Armenian.
Selalunya retorika street art di George Town hanya tertumpu pada mural dinding. Bidaahnya melimpah-ruah termuntah-muntah ke segala jenis produk jaja atau merchandize, t-shirt, poskad, buku nota, kalendar, magnet peti ais dan bermacam-macam lagi. Kini, ia dah jadi inter-textual, apabila mural 'mesra-pelancong' (dan politically-correct) mula dibalas-pantun oleh mural 'underground' yang lebih mencubit, mengusik dan menyakat(itupun jika tak dipadam).
Street art versi mesra-pelancong menjadi mantra pasaran pelancongan seni, budaya dan warisan di George Town. Ia sudah menjadi tunggangan untuk meningkatkan nilai jenama kota. Ia juga dah jadi aset dan modal memancing pengunjung secara viral, bersama-sama dengan poket mereka untuk berbelanja. Kesan ekonominya membuat warga George Town boleh senyum lebar. George Town kini dianggap sebagai kota galeri dan pentas terbuka yang happening, gitulah yang selalu saya baca.
Gitupun, street performer di George Town, tidak tinggi populasinya dan kurang dikenali. Jika ada sekalipun, mungkin hanya muncul di hujung minggu. Ada juga muncul bila 'datang bulan' pesta atau festival. Saya muliakan mereka dengan istilah seniman datang bulan.
Pernah saya jamming dengan Kwa di Lebuh Armenian hingga ramai orang berkumpul. Lepas tu sekumpulan 'polis sukarelawan' datang untuk 'tengok-tengok'. Waktu tu, saya ajak Kwa jamming dengan saya di sebelah meja jualan batik Rozana, yang dijemput membuat demo dan jualan di situ. Ramai juga kanak-kanak datang berkebun bunyi dengan kami. Selepas di tenung sukarelawan, Rozana rasa tak sedap, kami tutup kedai dan belah.
Selepas itu, Kwa beberapa kali datang singgah ke kedai batik Rozana di Lebuh Acheh. Mungkin dia rasa selesa untuk berkongsi cerita dan meluah perasaan. Dia suka bercakap. Yalah kan, orang yang bijak dengan instrumen tiupan selalunya ada cakra biru (pangkal tekak) yang kuat. Sesekali bila saya ada, kami jamming lagi. Ada ketikanya, depan pelanggan Rozana. Mereka suka.
Bila bertandang, dah tentulah banyak cerita, dan sesekali bertingkah pendapat. Biasala, orang Pulau Pinang memang peka dengan isu semasa dan politik. Saya suspect, dia peminat Lim Guan Eng dan DAP. Saya suspect je, mungkin saya silap. Saya ni alah dengan peminat tegar atau fanatik ahli politik dan parti politik, tak kiralah apa jenama pun. Tapi dengan Kwa, saya layan je.
Cerita peribadi Kwa menarik, termasuk suka-duka menjadi pemuzik jalanan. Kena tipu, kena curi. Dramanya tak sunyi konflik dengan watak-watak ekologi jalanan yang tersendiri. Satu tema yang paling menonjol dalam drama hidup Kwa, ialah setiap orang tak kira apa jua bangsa, mempunyai kapasiti untuk menjadi an ***hole. Generalisasi dan stereotaip kaum yang begitu suka dilayan oleh segelintir ahli politik dan mereka yang gemar bertengkar dalam media sosial, tak boleh dipakai.
Pernah terlintas untuk dijadikan video pendek. Tapi cuma terlintas saja, kerana sekarang ni saya lebih sibuk membaca, malas nak menyibuk hal lain.
Petang semalam, saya terserempak dengan Phua lagi.
Terima kasih Kwa atas dendangan Isabela di tepian Armenian yang sesekali menghembuskan bau hangit paritnya. Saya sempat rakam dengan gadjet budget saya. Sebelum beredar, saya hulur RM10. Dia tersengeh besor.
No comments:
Post a Comment