Tuesday, 2 September 2014

BERKEBUN DI DAYANG BUNTING DAN TUBA

Di sini, dalam blog jiwang ol skul ini, saya Packik Rock kapak separa pencen, menghantar salam kasih dan tahniah sebanyak bintang-bintang di langit kepada anak anak Langkawi (Sekolah Menengah Kedawang, Maktab, Mahsuri) yang telah dengan berani dan cekalnya,  berjaya melepasi proses dikejut dari lena mimpi benda, juga beberapa ujian brutal yang perlu dilalui untuk membolehkan anak-anak bangun, kenal, sedar dan dapat menyelak tabir hijab fikir dan rasa masing-masing, agar bertemu dengan potensi cahaya yang sedia ada dalam diri. 

Tahniah pada cikgu Syuriza (SM Kedawang), atas sikap cargas dan proaktif serta ambil-berat terhadap anak-anak buahnya sepanjang kem. Spesis guru begini mungkin semakin pupus, oleh itu saya berdoa agar cikgu Syuriza terus istiqamah menunaikan tanggungjawab dalam ekologi pendidikan yang semakin tertekan. Agak ralat sikit kerana wakil guru dari tiga sekolah lain hilang dicuri hari. Begitu juga lima orang peserta dari sekolah hos, yang 'lari pulang' persis lagu 10 budak hitam, mungkin kerana terkezut dengan sergahan saya dan Kak Normah.


Pekebun tegar - Kak Normah, Nana, Cikgu Syariza, Linda dan Jasmin

Mintak maaf la, kerana Pakcik Rock perlu melakonkan beberapa watak keras dalam kem seni tempoh hari, bergantung pada angin lena anak-anak dan tebal hijab Pakcik sendiri. Semuanya disengajakan agar dapat menyergah dan melerai segala badi, saka dan toksid minda yang sedang mula menghijab cahaya minda kita semua. Ia juga bertujuan sebagai penguji dan penapis, agar yang benar-benar cekal saja yang terus kekal. 

Itulah namanya di'bangun'kan, agar kita dapat menjadi benih-benih 'pemBANGUNan' dalam ertikata yang sebenar. Kita sama-sama 'bangun' dari lena mimpi benda.  Jika masih ada yang tak mahu diganggu dan nak sambung lena, kita izinkan mereka 'lari pulang', sambil panjangkan doa untuk mereka. Takda paksaan.

Getaran kasih juga saya gemakan untuk para warga Kampung Selat Bagan Nyiur (terutama hos saya Abang Rasyid dan Kak Bara di Teratak Barakat), Pulau Dayang Bunting dan jirannya di Pulau Tuba, kerana telah membuka tabir hijab saya yang berlapis lapis, dengan layanan penuh kasih, serta sapaan mesra.  Layanan sedemikian tidak mungkin diterima secara jujur di premis-premis mewah yang bersepah di serata Langkawi.

Bersama Abang Rasyid dan 'Manja', yang taat menjaga Barakat dari sebarang ancaman kasar dan halus, jauh lebih efisien dari pengawal keselamatan impot.

Begitu juga dengan juadah perut terus dari laut tanpa bahan pengawet, yang mewah mengalah restoran hotel lima bintang. Setelah melalui episod 'tak cenang' di 'Pantai Cenang', juga 'Kilin' yang banyak 'Killing' (bunuh kelestarian alam), saya si beruk pekan, lari ke Dayang Bunting dan Tuba. 


Dengan nikmat seperti ni, setiap suap diserta "segala puji bagi Allah"


Kapcai, ikon zaman saya kecil bersama Bonda dan arwah ayahanda, menjadi tunggangan merayau sekitar Tuba.


Terima kasih kerana membiarkan saya menyusuri 'syurga' anda, berkapcai dengan isteri dan Nina sambil mencilok di celah-celah lorong kecil kampung, berpayungkan pohon-pohon redup sambil disiram biasan cahaya matahari yang menembusi daun. Angin yang meniup muka menyanyikan lagu alam yang lebih lestari dari sebarang lagu hip terkini.  

Merayau

Sesekali rasa berdosa, khuatir badi ego seniman yang menyampuk diri akan menyebarkan virusnya pula. Tapi saya buang semua untuk dibasuh laut terbuka. 

Saya mengadap subuh, israk dan mi'raj bersama terbit dan terbenam matahari. Saya melayan drama komuniti kerbau dalam spa semulajadinya. Saya menghirup udara bebas cemar karbon monoksid, boleh juga jadi penawar dada yang sakit dijangkit ketagihan nikotin. 



Di sini, 'tanah' dan 'air' nya bersinergi - dengan semua mahkluk - dari yang mikro ke makro. Ayam, itik, anjing, kerbau, lembu, burung, ikan semuanya menyediakan drama seni persembahan tanpa saka 'prasan' dan aksi buat-buatan.
  




Semasa berkayuh di pinggir pantai dengan Nina, kami lagukan 'Bengawan Solo'. Kemudian kami disapa angin laut dari pekan Kuah yang disampuk mewah :

"Duhai khalifah Allah, kami dan kamu adalah bersaudara dalam satu ikatan kuantum yang saling bertaut. Kita ni semua dah semakin tenat disakat haloba tak bersekat tak bersukat, hilang berkat!! Cepat, dapatkan penawar dan obat, hadirkan barakat."

Walaupun dah mengerti, kami masih terperanjat. Terima kasih angin pekan Kuah yang melimpah, kem yang diusakahan adalah antara denai mencari penawar dan obat. 

Kami buka kem seni dengan bulatan niat, diiringi salawat, didindingi tiga Qul. Maklumlah, di Langkawi ni populasi warga halusnya pun agak pekat.


Terima kasih pada langit malam, yang membuka tabirnya untuk kami bersama anak-anak kem, menjadi saksi kepada kehebatan wayang alam semesta, membaring ke bumi sambil terlentang mengintai galaksi bima sakti, meneropong zuhal dan al-hillal. Anak-anak kem mengiringi wayang alam ini dengan tasbih dan tahmid, diketuai oleh Karim aka Black. 


Setelah hujan setiap hari sebelum menjelang kem, alam seperti faham, menghadirkan terang sepanjang tempoh kem berjalan, hinggalah ke hari terakhir, bila ia menghadiahkan hujan seperti meraikan majlis penutupan. 

Salam kasih buat Kak Normah Nordin, Otai teater bekas guru hidup saya semasa masih mencari diri dulu, yg sudi sama-sama kongsi pengalaman dan ilmu. Terima kasih kerana sudi memainkan watak penguji yg tak ramai sanggup atau mampu laksanakan (ya lah, ramai yang lebih suka jadi tukang sorak je, lebih mudah dan glamer). Sejak saya mula jejak kaki di Dayang Bunting dan Tuba tahun lepas, saya dah tanamkan niat untuk mengajak Kak Normah meng'alami' langit dan buminya, warganya, anak-anaknya. Saya yakin, jiwa Kak Normah melihat pada generasi akan datang, tidak seperti segelintir yang hanya nampak 'pilihanraya' akan datang. Terima kasih pada Kak Normah kerana memberikan apa yang termampu untuk bekalan benih 'pembangunan' batin anak-anak Langkawi.

Kita kongsi dan sampai je, lepas tu sama-sama doa, Allah berikan hidayah, inysaAllah.  

Ramai bekas anak-anak didik Kak Normah (termasuk yang menulis ini) yang dah di'kejut' dan di'bangun'kan. Ada antaranya dah jadi orang yang hebat dalam bidang masing-masing. Ada juga yang dah di'curi' mimpi, kembali lena. Takpa, kita sama-sama doakan.  Anak-anak dalam kem ini bertuah kerana dapat melalui ujian getir yang dibentang oleh Kak Normah. 

 
Bersama Khairuddin, Kak Normah, Kak Bara dan 'Manja' di Barakat, semua bertaut dalam satu getaran kuantum yang saling bersinergi

Synchrodestiny,seluruh alam bersinkroni ketika Allah mentakdirkan kak Normah terserempak dengan bekas anak murid dia, kini pengarah filem terkenal, Osman Ali. Brader tuan Pengarah ini akan menjadikan Barakat sebagai salah satu setting untuk projek terbaru beliau.

Terima kasih juga pada Jasmin dan Linda atas suntikan tenaga muda untuk saya Mat Rock kapak separa pencen ol skul yang semakin banyak makan garam dan berjuang menipiskan risiko darah tinggi. 


Bersama Jasmin, Kak Normah, Linda dan Manja.

Penghargaan buat geng LAVAA, termasuk brader Lim (yang sudi jadi driver ambil saya dan keluarga di airport) dan brader Daud yg sentiasa bagi sokongan dan menghulurkan salam persahabatan. Santai geng LAVAA memang adakalanya buat ritma saya terganggu, tapi ikatan persahabatan itu lebih mahal harganya.

Akhir sekali, tabik spring untuk Khairuddin (setiausaha LAVAA), yang bukan gemuk, tapi 'tough', atas kedegilannya dan ketidak-serikkan dia menjemput saya menjadi fasilitator tak terator untuk kem seni. Begitu juga atas kerja-keras dia mengusahakan kem ini, yang melibatkan begitu banyak soal logistik yang boleh menyebabkan orang yang kurang iman stress dan naik darah. Saya amat menghargainya, dan berdoa agar Allah beri saya peluang untuk membalasnya.



Comel

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...