Tempoh hari saya berbual dengan Abang Rasyid yang mengusahakan Barakat Chalet di Kampung Selat Bagan Nyiur, Pulau Dayang Bunting, Langkawi. Kami berangan menanam benih Kebun Rupa. Doakanlah agar ia tumbuh subur. Kebun Rupa di Langkawi. Kenapa?
Baca la balada berikut:
Flashback 1980, Langkawi:
Pada tahun 1980, ketika berusia lebih kurang 15, saya dibawa bercuti ke Langkawi oleh guru lukisan merangkap ayah angkat saya, Cikgu Aziz (arwah) bersama isteri dan anaknya yang juga rakan karib saya waktu kecil (Fizal). Kami menginap di rumah rehat di lereng bukit dekat Jeti Kuah. Langkawi ketika itu masih dalam sumpah, belum habis tujuh keturunan, dan belum dapat sentuhan Tun Mahathir. Pekan Kuah pun masih macam pekan koboi. Saya tak faham percakapan orang-orang Kuah yang bunyinya macam cakap Siam. Jalan darat ke kawasan luar Kuah masih takda. Yang ada cuma jalan-jalan kampung, atau jalan tanah merah yang hanya boleh diredah oleh kenderaan pacuan empat roda. Aktiviti utama cuti kami adalah memancing (yang saya tak minat langsung). Selain memancing, aktiviti sampingan yang lain adalah menembak helang (lagi saya tak suka). Mungkin ini satu ritual male bonding masa dulu, sebahagian dari rite of passage untuk menjadi anak jantan. Saya terpaksa layan, dengan bayaran dalam bentuk muntah mabuk laut. Gitupun, pengalaman ini diselamatkan oleh kebijaksanaan helang merah Langkawi mengelak dari ditembak. Takda sekor pun yang dapat ditembak, semua miss. Apa yang lebih melekat dalam database minda saya, bukanlah aktiviti menembak, tapi cara kumpulan helang merah mengelak dan mempersenda 'pemburu' yang cuba menembak mereka. Apabila ditembak, ia berlakon mengelupor mati, menjunam ke laut, hingga hampir sampai ke permukaan laut, untuk terbang semula dengan bangganya. Saya tepuk tangan. Berkali-kali ditembak, berkali-kali mereka buat persembahan yang sama, berkali-kali saya ketawa besor dan tepuk tangan. Waktu tu, kumpulan helang merah ini adalah hero saya. Ia lambang ketangkasan, kebebasan, ketajaman, kepintaran, kecantikan, kecekalan, kasih sayang (terbang dalam dlm pasangan) yang semuanya akur pada fitrah alami. Ia mewakili pengenalan saya pada alami di Langkawi.
Cut-to, Pantai Cenang, Langkawi, 1988.
Saya ke Langkawi lagi bersama dengan rombongan para pelajar jurusan seni halus ITM, dibawah Ketua Program hensem yang happening ketika itu, guru saya Fauzan Omar. Turut sama dalam rombongan ialah seorang lagi otai dan guru saya, Ismail Zain (Pak Mail). Pak Mail menulis tentang Langkawi dalam kolumnya dalam majalah Dewan Budaya. Pi la cari. Tajuknya ada kaitan dengan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Temanya, globalisasi.
Kami berkampung di Cenang. Waktu tu, nak ke Cenang, bukan cenang (senang). Terpaksa ikut laluan bergunung-ganang. Lebih senang naik bot je. Cenang masih lengang. Helang masih bebas terbang. Siang terang, malam tenang.
Cut-to Kampung Tok Senik, Langkawi, 1999.
Saya datang lagi ke Langkawi, kali ni untuk program Sains Ilham Seni. Kemudian berkali-kali ke sana, termasuk untuk LIFA, yang dihoskan oleh Dato' Ibrahim Hussein dan teamnya. Saya menginap di Kampung Tok Senik sambil melayan kejutan perubahan berkat sentuhan Tun Mahathir. Ritual jantannya menempatkan Tongkat Ali sebagai ikon lelaki, walaupun ada lagi bahan bumi yang lebih power. 'Derhaka Guru' dikatakan lebih hebat, dicerita pada saya oleh seorang kawan yang rajin masuk hutan di Langkawi. Jangan tanya kenapa dinamakan begitu, pi tanya orang Langkawi. Beras terbakar pula dah dikomersialkan. Macam-macam dah dikomersialkan, jual!jual!jual! Saya rakamkan dalam karya ephemeral (pemasangan sementara) berikut:
"Beras sudah terbakar, kita jual akar"(2000), Ibrahim Hussein Foundation, Langkawi. |
Mana hero saya, Helang Merah? Agaknya dah diganti jet merah dari UK semasa LIMA. Batu gunung dikorek dan dipecah macam ais kepal untuk mendapatkan marmar Langkawi. Ia dikatakan berkualiti. Tongkat Ali teguh menegak di atas hamparan beras terbakar. Geraf pengunjung ke tasik Dayang Bunting semakin tinggi. Dari jauh di tengah laut, rupa pulau bertukar menjadi Dayang terbaring yang sedang meraung.
"Lang Ke We?" (1999), Pameran Sains Ilham Seni, Balai Seni Lukis Negara. |
Cut-to, Datan Lang, Langkawi 2006.
Saya berkampung lagi di Langkawi, untuk mengendalikan kem bestari sains dan seni di MRSM Langkawi, dan untuk memasang pameran serta melayan para pengunjung sempena sambutan Hari Muzium Sedunia di Dataran Lang, pekan Kuah.
Ikon dataran ini adalah sebuah tugu helang merah yang besar. Wah! Hero saya sudah diiktiraf, dijadikan tugu yang besar dan gah. Langkawi semakin menjadi sebuah pulau yang mewah. Ia dihujani sentuhan pasaran. Di celah kemeriahan pasaran, terlindung sentuhan Midas.
Saya ke Kilin Geopark. Dulunya tempat komuniti hantu serta jin melepak. Sekarang dah gempak. Di situ, hero saya Helang Merah diajar buat persembahan, dihulurkan umpan, untuk mereka makan. Kesian. Adakah begini kesudahan alami di Langkawi?
Serentak saya dengar suara dalam kepala,
"Tolong doakan keturunan helang ni terselamat dari sentuhan Midas yang boleh menukar mereka jadi tugu batu, atau pupus disumpah gelojoh pasaran hingga menjadi mutant.".
Geraf ekonomi tinggi, tengok-tengok juga bawah ke bumi. |
No comments:
Post a Comment