Friday, 1 August 2014

JEJAK-SEMULA H3RO : BERAYA DI RUMAH KAK BIAH



Salah satu acara rasmi dalam itenari Raya adalah beraya di rumah Kak Biah, sepupu saya, anak arwah Pak Ngah, bapak saudara saya yang legend. Rumah Kak Biah di Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, terletak betul-betul depan rumah arwah Tok Syeh Noordin, datuk sebelah Bonda. Rumah Tok Syeh dan Pak Ngah ni antara setting balik kampung saya yang awal, semasa saya masih kecil. Saya masih ingat duduk bermain atas riba Tok Syeh sambil menggosok-gosok janggut dan kepala dia yang botak dan berkilat. Dia biarkan saja. 



Rumah Pak Ngah juga sering menjadi port untuk keluarga keturunan Tok Syeh berkumpul atau lepak semasa saya kecil sekitar tahun-tahun 1970an, terutama jika ada majlis atau kenduri. Ia juga istimewa kerana di rumah inilah Tok Syeh meninggal dunia. Tok Syeh umurnya panjang, dia meninggal pada usia 112 tahun.    

Rumah pusaka Tok Syeh depan rumah Pak Ngah, kini dipusakai oleh waris arwah Tok Cik, isteri keempat dia. Tok Syeh saya juga sorang lagi legend, tapi bukanlah sebab dia ada empat isteri. Nantilah, lain kali cerita.

Dulu semasa arwah Bapak masih sihat, saya pernah ikut dia menghantar wang zakat niaga Bonda pada orang-orang miskin sekitar Teluk Kepayang beberapa hari sebelum Raya. Kedatangan Bapak memang selalu dinanti, kerana wang zakat tu, walaupun tak seberapa, adalah amat bernilai bagi mereka, terutama untuk menyambut Eidul Fitri. 

Salah satu kenangan terakhir dengan arwah Bapak adalah membawa dia dan Bonda ziarah rumah Kak Biah untuk makan durian dan masakan kampung, sambil singgah ke surau tepi tebing sungai Perak tempat dia solat semasa muda di kampung, dan juga di Pasir Salak, tempat dia pernah mengajar. Walaupun kali ni Bapak tak lagi bersama, kami tetap terasa seperti dia ada.


Rumah Kak Biah membawa saya, isteri dan anak-anak mengimbau sejarah dan asal-usul kedua-dua Bonda dan arwah Bapak. Duduk dipinggir bandar atau kota mungkin boleh membuat saya dan anak-anak prasan hip, contemporary, urban. Saka prasan ni boleh buat kita lupa. Sebab tu lah, jika ada kelapangan, saya singgah bertandang ke rumah Kak Biah, bawa anak-anak, agar mereka tidak lupa diri dan sedar asal-usul kampung mereka. Lagipun, cakap bahasa orang putih pun, lidah saya sampai sekarang masih lidah tempoyak.






No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...