Wednesday, 11 August 2021

PUPUSNYA SITI NURBAYAH


PUPUSNYA SITI NURBAYAH
Ismail Zain (Dewan Budaya, Oktober, 1989)

Siti Nurbayah tak ada lagi. Bersama sama dengan gajah mastodon, burung kondor dan pelbagai dinasor, genus Siti Nurbayah telah pupus. Hanya memorinya sahaja yang tinggal dalam kelisanan atau 'oraliti'. Bukan malapetaka hujan bintang-bintang asteroit yang mengakibatkan kepupusannya. Bukan juga kerana kemusnahan lapisan ozon di angkasa. Satu-satunya punca kepupusan Siti Nurbayah adalah celik-huruf atau 'literacy'. Oleh sebab celik-huruf adalah sumber terbesar dalam pengasaan nilai, tidak banyak yang dapat kita buat untuk menyelamatkan Siti Nurbayah sekarang.

Baka Siti Nurbayah adalah serikandi dalam kelisanan. Matanya hitam membulat, hidungnya genit, alisnya bagai diraut, rambutnya hitam mayang mengurai, berpinggang ramping, berdada bidang dan 'sedap manis mata memandang,' pandai berlagu membaca al-Quran, beriman dan pendiam. Cukup padanya syarat yang empat sebagai suri rumah. Dia anak kandung alam. Dia bebas daripada bahan bahan penaik, pengawet atau pewarna buatan, sama ada yang mengikut piawai atau tidak. Keseluruhan Siti Nurbayah adalah original. Thiamin daripada dedak beras tumbuk yang membesarkannya bukan sahaja menghasilkan kulit yang licin seumur hidup tetapi reaksi berangkai daripada enzim ini pun menjamin fungsi yang luar biasa untuk menghadapi klise emak mertua yang bengis dan madu yang empat orang. Saranan terhadap keempat-empat peristiwa yang menyebabkannya bermadu itu disambut dengan keredaan tanpa protes selepas berjemaah subuh dengan suaminya - sekurang-kurangnya megikut filem Melayu. Sekiranya ada bayang-bayang pembocoran rahsia peribadi, secara sulit, air matanya menitis semasa mendandankan sirih-sirih pinangan untuk suaminya, kali demi kali. Sesungguhnya, apabila judul terlalu besar, Siti Nurbayah bertindak dengan air mata. Berita mengenai pinangannya pun disambut dengan titisan air mata. Sambil berselimpuh dengan rapi dan matanya terpaku ke lantai selepas Isyak, rabun-rabun kedengaran daripada ayahnya bahawa ia sudah dipinang orang. Dengan jari telunjuk yang melakar-lakar peta di atas tikar, air matanya menitis juga. Rasionaliti tangisan adalah kompleks dalam kelisanan. Buat beberapa lama, tangisan sering dikaitkan dengan estetika yang pasti tidak gagal untuk menyayat hati. Neng Yatimah amat mafhum tentang potensi ini. 

Cabaran pertama terhadap Siti Nurbayah datangnya daripada zuriat Tuk Sheikh-Tuk Sheikh dari Hadramaut, para maulana dari Basrah dan Mydin Kutty-Mydin Kutty dari Pantai Koromandel. Ketiga-tiga mereka memperkenalkan estetika hidung manakala yang duanya pula, mata yang pasak, rambut yang perang dan kulit yang cerah. Antara tiga ini, Tuk Sheikhlah yang paling beruntung sebab secara automatis mereka terus diserap ke dalam golongan para pertuanan. Maka berhasillah pendebungaan kacukan dengan jenis tempatan yang terpilih. Klonnya mahal dan bukan untuk kelas proletariat. Juga sempadan habitatnya luas. Cekur jerangau, kunyit, lengkuas dari belakang dapur dan bedak sejuk buatan sendiri yang menjadi tunggak segala kesejahteraan badaniah Siti Nurbayah bukan lawannya dengan jamu yang dikirim oleh emak saudara dari Deli, madu lebah oleh nenek dari Makkah dan setanggi dari India. Dengan itu, index klon daripada baka yang diimpot ini makin meningkat. Akibatnya, model yang mirip wajah Indo-Parsi mula mengacau.

Faktor Pan-Asia mempunyai dimensi yang banyak. Paling dramatik ialah dimensi yang berpunca dari bangsawan, kabaret atau pentas joget dan kemudiannya filem. Banyak anak wayang yang terkenal mempunyai darah Cina, India, Arab atau Filipino. Beberapa orang daripada mereka, secara tertutup berhasil menembusi benteng-benteng pertuanan atau secara terbuka menjadi isteri OCPD. Lebih-lebih lagilah kedudukan Siti Nurbayah tergugat.

Zaman informasi langsung mematerikan nasib Siti Nurbayah sebagai 'artifact' muzium. Masyarakat buku bukan sahaja dibanjiri dengan data-data baru mengenai esetika popular sejagat tetapi mereka sentiasa juga dijanjikan dengan pelbagai kesejahteraan melalui iklan yang tidak mengetahui batasan geografi, sosial atau ekonomi. Iklan adalah fenomena penataran minda yang tidak ada tolok bandingnya dengan sejarah manusia. Sama ada di bandar atau di desa, manusia diajak mengejar impian yang sama."

Ada dua lagi perenggan dalam esei Allahyarham Ismail Zain ini. Penutupnya 'pedas'. Carilah, kalau mahu.




"Siri Hijab Nurbaya - Takungan"

"Veil of Nurbaya series -Contained"

2003

Clear resin, light bulb, prayer beeds, mixed media.

(Collection of U-Wei Shaari)

Al-Kesah" a tribute show to Ismail Zain at the Petronas Gallery, Suria KLCC, Kuala Lumpur.



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...