Friday, 1 August 2014

JEJAK-SEMULA H3RO : KENAPA SAYA SINGGAH DI TEBING SUNGAI PERAK TELUK KEPAYANG



Saya telah dianugerahkan rezeki untuk pergi ke banyak tempat-tempat menarik merata Malaysia, dan dunia. Tak payahlah nak disenaraikan pulak, sebab boleh jadi makanan takbur. Tapi, walau macam-mana lasyat pun tempat-tempat tersebut, singgah sekejap di tebing Sungai Perak di Teluk Kepayang masih lagi istimewa. 

Singgah di tebing sungai Perak, berhampiran dengan surau Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak, yang menjadi markas ibadah arwah Bapak semasa kecil dan remaja, adalah itenari Raya saya. Kenangan terakhir bersama arwah Bapak dan Bonda di tebing ini membuat kami terasa macam dia ada bersama. Kerinduan pada dia terubat sikit bila menyusuri-semula tempat-tempat yang dekat dengan sejarah hidup Bapak.


Teluk Kepayang juga kampung kelahiran kakak saya yang sulung, Puteh Saadiah. Walaupun dah lama bermukim di Kuala Lumpur dan kini menjadi pengusaha stesyen minyak yang berjaya, lidah dia, seperti saya juga, masih lidah Perak, lidah tempoyak. Dalam medan minda dan rasa kami sekeluarga, sudah di depositkan banyak getaran bumi Perak, ilmu serta segala nilai yang tidak terbayar. 

Sungai, sampan berdayung, bot, feri tarik merupakan medium perhubungan yang penting pada zaman sebelum adanya segala kemudahan jalanraya dan jambatan. Tebing sungai Perak penuh dengan tambatan, tempat mandi dengan sky roof (berdinding tanpa bumbung) dan juga jamban. Kalau mandi (di hilir atau hilio kata orang Perak), terpaksalah berhati-hati dengan sebarang objek terapung (tahi orang) yang hanyut dari jamban-jamban di sebelah hulu. Ini tak termasuk segala jenis hantu, jin, jembalang, saka yang dibuang dalam botol ke sungai. 

Sungai adalah nadi yang penuh dengan legenda, watak-watak intrigue, twist & turn. Saya masih ingat masa balik kampung naik kapcai dengan Bapak dan Bonda, menyeberang sungai naik sampan (dengan kapcai sekali), di dayung secara manual guna tenaga kudrat pendayung. Menurut Bonda, jika balik ke kampung Teluk Kepayang, abang-abang saya dimandikan di tebing sungai. Gambarnya pun masih ada, tapi kalau saya letak di sini, takut mendatangkan 'kemaluan' (memang tunjuk kemaluan pun) pada abang-abang yang sekarang ni dah jadi datuk orang. Tapi ni hikayat dulu la. Sekarang ni, sungai dah jadi tempat buang toksid dan campak sampah, bukannya baja organik macam dulu. 

Antara kampung legend yang pernah Bapak ceritakan termasuklah bagaimana perahu Orang Besar dulu-dulu, jika menghilir sungai, tak boleh didahului tahi orang. Ini hikayat "Tahi Besor": 

"Tu menatang ape (apa benda) tu!! Taik(tahi) sape(siapa) tu? depan perahu teman!! Besornye! Kurang ajor!!" ditengkingnya. 

"Tak, tu bukan taik orang, itu taik tuan......tuan buang sebelum menghilio tadi", kata pendayung untuk cover line

"Kalau taik teman, takpe le..."

Orang Besar, yang besar diri (sombong, ego, riak, takbur), didahului oleh tahi besar dia sendiri. Carilah sendiri moral of the storynya. 

Hikayat dan cerita rakyat dalam repositori ceramah agama Bapak sering disertai dengan moral of the story, siap dengan petikan dari Quran dan Hadis. Ini membuatkan ceramah dia (ketika dia masih muda dan sihat) lebih lawak dari pelawak-pelawak Maharaja Lawak, tapi berisi. Bapak punya sense of humor, terutama semasa dia masih bertenaga, sangat mischievous. Bila Bonda marah (Bonda kalau marah, memang brutal), dia buat lawak bodoh. 

"Kalau bini tak marah, tanda bini tak sayang. Kalau bini tak sayang, pendek umor." Tu lah jawapan Bapak, yang Bonda ceritakan pada saya. Perkara pertama yang dimintanya bila dia sedar semasa nazak di ICU, adalah memeluk dan mencium Bonda. 

"Tolong panggil isteri saya", tertulis pada kertas putih dengan tulisan yang sudah lemah, berterabur (sebab tangan mengeletar dan mata tak nampak), mulut pula dah tak boleh bercakap sebab disumbat dengan segala jenis tiub. Ini antara permintaan dia (pada jururawak kekwat di ICU).

"Pesan Tok kuat. Jaga Tok", satu lagi tulisan dalam jawi, untuk cucu dia. 

Tangan lagenda, guru dan stand up comedian saya yang lemah dan menggeletar, melambai-lambai memanggil. Adakalanya dia genggam kuat tangan saya, tak bagi saya (dan semua anak-anak-cucu-cucu yang bergilir-gilir menemaninya) meninggalkan dia. Masih terbayang-bayang, walaupun saya cuba erase atau trash kan dari minda. 

Al-Fatihah untuk Bapak. 

Bonda dan saya sekeluarga amat merindui dia.

Sampai sekarang, saya tak sanggup nonton video short "H3RO" yang saya buat dengan Andy.

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/h3r0.html

atau

https://www.behance.net/gallery/14761117/H3RO-(2014)

  



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...