Saturday, 23 August 2014

'BATANG PISANG' & 'MI SEGERA' - TANDA-TANDA YANG SEMAKIN HILANG MAKNA

"Festival" (1989) media campuran atas bod.

"Festival"(1989), perincian.

Di atas adalah karya picisan yang pernah saya hasilkan selepas setahun bergraduat dari ITM. Kini ia sedang mengutip habuk di teratak buruk saya. Karya ini merupakan reaksi kalut saya terhadap keriuhan budaya tontonan atau spectacle meraikan kepestaan ketika itu (1989) yang menandai kehadiran gelombang kapitalisma global di Malaysia. Antara yang digambarkan adalah dua teks semiotik yang dipinjam dari Ismail Zain (yang mungkin meminjam dari rakannya Ismail Hashim) - 'pokok/batang pisang' dan 'mi segera' dalam bingkai lukisan. 

Kini, setelah 25 tahun berlalu, dan saya kini bermukim di Pulau Pinang, budaya kepestaan masih meriah, dengan 'batang pisang' dan 'mi segera' versi terkininya. 

'Batang Pisang' adalah istilah yang sering digunakan oleh arwah Ismail Hashim. Ia adalah teks semiotik ciptaan beliau yang mungkin hanya difahami oleh kenalan rapat dan murid dia.

'Mi segera' pula adalah istilah yang sering digunakan oleh seorang lagi Ismail, arwah Ismail Zain, guru saya. Walaupun bunyinya berbeza, ia membawa konotasi yang hampir sama. Ia juga teks semiotik ciptaan beliau sendiri yang sering dihamburkan pada kenalan rapat dan murid yang bertuah.

Jika nak tau denotasi dan konotasi kedua-duanya, buatlah homework dan research sikit, wokay. Janganlah malas sangat, main bedalisma dan balunisma je dengan ayat-ayat pelat. Memang sedap dan suka layan, tapi kalau tak berhati-hati, boleh sembelit. Bukan apa, sekadar berpesan. 

Dalam ledakan dekonstruksi amukan perca moden seni rupa kontemporari di Malaysia, dan dalam perlumbaan mendominasi wacana ikut ekologi kroni, kedua-dua teks semiotik ini kini berkemungkinan menjadi spesis hilang konteks, terhakis makna asalnya. Lebih ketara apabila diwacana oleh pelbagai bidaah kata dari yang tak fasih nuansa pasar Melayu Utara. Gitulah bahana capahan makna yang kita rai, juga kita kesali. Kita suka, juga adakala tak selesa, macam tinggalan bau kari nasi kandaq di celah-celah jari kita. 

Macam mana pun, kedua-duanya tetap menjadi sebahagian dari legasi nuansa semiotik pasar Melayu Utara tinggalan dua 'Pak Mail' yang saya warisi dan tatang dengan penuh hormat dan kasih. Mari kita hargai bersama, ya bro and sis semua!   

  

Friday, 22 August 2014

PENGATOR

Ganti je istilah KURATOR kepada PENGATOR.

Takpa don't worry, yang penting, buat kerja baik dengan ikhlas, wokay. 

SENI TANPA FESTIVAL

Adik,
Setelah ditarbiyah secara halus oleh 'problem statement' adik, dan berkat disyarah, dibidaah dan didakyah sepanjang menggagah pesta datang bulan di George Town, Abang kembali-semula pada atok U-ma. Adik baca je la tautan berikut. Manalah tau, kot-kot kita sama-sama dapat buka hijab masing-masing.

'PROBLEM STATEMENT' TANPA SESI PEMBENTANGAN DAN SOAL-JAWAB

Terima kasih adik kerana bertanya Abang :

"Abang,
Kalau betul-betul nak buang dan campak jauh-jauh seni kontemporari berasas galeri, 
nak buang kongkongan kotak dan dinding putih galeri, 
nak buang formalisma, bahasa, adab galeri, 
nak buang bau elit kelas pertengahan dan borjouis, 
nak buang badi modernisma,
nak buang saka kapitalisma,
nak buang keangkuhan dan ego pengkarya seni kontemporari (juga para kolektor, promoter, kurator, penaja, peminat, pengikut, penaung, pendokong, penyokong, pelaung mereka) 
nak buang pemusatan (centrality), penumpuan dan penonjolan terhadap pengkarya seni kontemporari,
nak buang ketinggian suara pengkarya (untuk menggemakan suara masyarakat atau komuniti)
nak buang sempadan antara ruang seni dengan ruang publik, 
nak buang pemisahan antara seniman dan masyarakat (untuk dekatkan seni dengan komuniti), 


..........kenapa tak biar je sesuatu komuniti itu seadanya untuk bersuara sendiri tanpa dipengaruhi sebarang dakyah dan bidaah seni,
DAN
buang je para pengkarya seni kontemporari?"

Sampai la ni Abang senak nak menjawabnya dik. Agaknya dah terlalu lama dan banyak sangat Abang makan benda bernama seni kontemporari ni kot. Kena diet sikit. 

Dik,
Terima kasih la kerana menyelak hijab Abang dengan selamba, tanpa perlu sesi pembentangan dan soal-jawab.


Tautan susulan di:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/08/seni-tanpa-festival.html

(Iklan murahan : kalau rajin, baca 'Ijtihad', buku tulisan Safrizal Shahir tentang seni, berdasarkan situasi seharian, tanpa ayat-ayat berat. Klik je versi online flip book di 'Link to Kebun Kata' di sebelah)



PESAN TANPA SOKONGAN BADAN SWASTA.

Adik-adik,
Minta maafla ya, Abang nak tinggal sikit pesan. Kalau tak suka, tolak je ke tepi orait. Kalau suka, Alhamdulillah, panjangkan. 

Terima kasih la kalau ada hasrat nak pinjam buku ke, nota ke, dokumen ke, atau apa saja bahan, peralatan, perkakasan dari Abang. Apa yang Abang ada tu pun, rezeki yang dipinjam sementara oleh Allah, kita je prasan kita pemilik. Pemilik Hakiki hanya Allah. Oleh itu, pada dasarnya, jika ada adik-adik nak pinjam apa yang saya pun pinjam dari Allah, no prob. Sebelum ni, ada juga yang pinjam buku, nota, dokumen, suka buat-buat lupa untuk pulangkan kembali, sampai sekarang. InsyaAllah, Abang tak serik bagi pinjam. 

Tapi dik, kita ni, kalau nak pinjam apa-apa, kena lah paham dulu konsepnya. Setiap yang kita nak pinjam tu, bukan jasad je, tapi ada batinnya. Jasadnya benda yang nak dipinjam, batinnya pada niat, hasrat, tujuan, matlamat yang mengiringi benda tadi. 

Benda memang senang pinjam, "nah...ambiklah". Tapi jangan lupa yang batin. Bab batin ni, kena selari anginnya. Apatah lagi kalau yang nak dipinjam tu dah tertanam 'angin' atau medan kuantum pemiliknya (termasuklah segala imprint DNA, atau yang selalu juga didramatikkan dengan istilah saka). Jika yang nak dipinjam tu alat, lagilah kena peka. Jangan main taram je mintak pinjam, nanti tak pasal-pasal kena sampuk pulak, apatah lagi kalau tak dipulang-pulangkan. 

Oleh itu dik, biorlah beradab sikit bila nak pinjam. Kalau ikut saya punya SOP (standard operating procedure), simple je. Kena ada akad-lafaz-jabat. Bukan sebab kedekut, tapi untuk memuliakan apa jua yang Allah pinjam pada kita. 

Dalam akad tu, kena ada lafaznya, secara 'live', bukan email, sms, twitter, instagram, facebook status, whatsapp atau segala yang sepelaung. Bukan juga pakai wakil ke, proksi ke, kroni ke.

Dalam lafaz, nyatakan niatnya, hasratnya, tujuannya, matlamatnya, halatujunya, juga tempoh, dan segala kondisi serta syarat yang berkaitan. Lepas tu kena jabat. Jabat ni untuk memeterikan angin (gelombang kuantum/frekuensi minda dan rasa) antara yang nak meminjam dan yang memberi pinjam. Mulut mengakad, tangan berjabat, mata mengikat (pandang satu sama lain). Barulah namanya adab meminjam. InsyaAllah selamat dunia-akhirat. 

Sekian, pesanan tanpa sebarang sokongan badan swasta. 



   

Tuesday, 19 August 2014

AL-KESAH (ISMAIL ZAIN), KOLUM ROMAN (ISMAIL HASHIM)

Bersama dengan "Al-Kesah" dan dua lagi karya kolaj digital Ismail Zain, dalam pameran "Future Shock" di Balai Seni Lukis Pulau Pinang.

Tinggalan yang lebih bermakna dari seseorang (terutama sekali guru) adalah tinggalah warisan batin, termasuk ilmu yang bermanfaat untuk yang masih hidup. 

Alkisahnya, saya terserempak lagi dengan "Al-Kesah"(1988), karya kolaj digital guru saya, Allahyarham Ismail Zain. Karya ini adalah tinggalan Ismail Zain yang menjadi antara tanda utama pendewasaan minda saya. 

"Al-Kesah" muncul di sebuah majlis apresiasi di suatu ruang galeri dalam bangunan puSAKA konolial di Tanjong Penaga (George Town), Pulau Pinang. Apresiasinya oleh seorang pengkarya seni kontemporari yang terkenal, Yee I-Lan.  Ia bersempena dengan pameran tribut Ismail Hashim berjudul Unpack-Repack, dikuratorkan oleh kenalan saya Wong Hoy Cheong, berdasarkan kerja dokumentasi yang intensif dan teliti oleh Nur Hanim Khairuddin. Ia pameran yang patut disinggahi oleh lebih ramai pengunjung. 

I-Lan mengaitkan "Al-Kesah" dengan dua buah karya foto Ismail Hashim "Lets Go Roman Column, Lets Go Banana" (2004).   

"Al-Kesah" memaparkan kolaj digital sebuah rumah tradisional Melayu Melaka yang menjadi latar untuk kolaj foto keluarga fiksyen JR Ewing (dalam sebuah siri soap opera TV popular sekitar 80an dulu). Karya foto Ismail Hashim memaparkan fenomena rumah-rumah Melayu orang kampung di utara yang di'moden'kan dengan tiang-tiang Roman (Roman Column). 

Kedua-dua Pak Mai ni menyentuh tentang 'pemodenan' landskap kampung - dalam konteks globalisasi (atau globa-lu-kasi, globalisasau, juga gooblelibasi), terutama kesan merata dari media massa dan seni bina antarabangsa. Ketika apresiasi, disentuh juga istilah "Going Banana", "Batang Pisang" (Ismail Hashim), dan "Mee Maggie" (Ismail Zain) yang membawa konotasi murah, cepat, pantas, mudah, berguna, berlambak ada di mana-mana. 

Kaitan sebegini mengizinkan pembacaan semitotik bersifat inter-textual, yang saya suka layan. Kaitan sebegini juga pernah dikuliahkan kepada saya oleh Arwah Ismail Zain, ketika berguru dengan beliau di ITM dulu. Ia juga merupakan antara strategi pengkaryaan yang gemar dipakai oleh I-Lan sendiri, dalam banyak karya-karya beliau, begitu juga dengan Hoy Cheong.  

Ismail Hashim tentunya telah meninggalkan impak yang besar pada ramai insan, terutama dalam dunia seni foto. Pewaris tinggalan warisan 'intangible' Ismail Hashim (sikap, ambilan, falsafah, cara melihat) memang ramai, terutama yang pernah belajar dengan dia di USM.   Agak terkilan juga kerana tidak ramai kenalan rapat dan bekas-bekas pelajar beliau hadir ketika sessi apresiasi tempoh hari. Zaman sekarang ni memang diakui susah mengatur majlis yang boleh dihadiri semua. Begitupun, fragmen refleksi beberapa kenalan dan bekas pelajar ada dipetik. Alhamdulillah. 

Saya cadangkan baca juga buku retrospektif Ismail Hashim terbitan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, yang dikuratorkan oleh Safrizal Shahir. Begitu juga dengan satu tinjauan tentang seni foto akhbar dan foto seni halus oleh Zabbas yang pernah saya baca (kalau tak silap, untuk satu pameran tentang seni foto di Petronas). Selain dari tentang Ismail Hashim, boleh timba khazanah ilmu tentang seni foto itu sendiri dari segala sumber primer dan sekunder ni. Boleh mencerahkan. 

Kedua-dua 'Pak Mail' ni, legen (pada saya la), yang memiliki sifat multi-dimensi serta kearifan bersahaja serta kenakalan fikir yang sering buat minda saya segar. Keduanya pun memang kawan yang menghormati satu sama lain. Semasa saya bertandang beberapa kali ke rumah Ismail Zain di Ampang dulu, karya foto Ismail Hashim diletakkan di ruang utama, bersama dengan sebuah kerusi kedai potong rambut old school.

Saya kongsi sikit sisi saya tentang karya "Al-Kesah". 

Ia dah jadi macam kawan lama, yang telah meninggalkan sesuatu yang amat berbekas dalam diri saya. Kali pertama, ketika dalam studio lukisan tahun 4 (tahun akhir) di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka ITM. Ketika tu saya (dan rakan-rakan sekelas) dikhutbahkan tentang semiotik oleh Pak Mail (Ismail Zain), yang mengajar kami lukisan. Beliau sempat menunjukkan slide karya-karya kolaj digital, termasuk "Al-Kesah". 

"Sekarang kalau ke kampung, jangan terkejut kalau dengaq depa gossip tentang JR Ewing, Bobby, Pamela. Siapa bunuh JR? Bini dia sendiri kot? Apa jadi dengan Bobby dan Pamela?..... Ahli keluarga Ewing dalam drama Dallas di tv, sekarang ni dah jadi sebahagian dari orang kampung. Cerita mereka pun boleh jadi bahan gosip kedai kopi di kampung." Gitulah lebih kurang diceritakan pada kami oleh Ismail Zain, sambil melakonkan watak makcik-makcik mengumpat. Kami senyum, mungkin sebab masih kurang fasih tentang globalisasi, atau instant communication dan segala teori informasi. 

Kali kedua, ketika di rumah Ismail Zain sendiri, yang berkhutbah tentang cultural anthropology sambil menunjuk-nunjuk komputer Apple dia (kini dah pupus). Dia sebut nama-nama orang yang saya tak kenal  - Strauss, Berger, Sontag, MacLuhan, dll. Saya angguk-angguk je, pura-pura paham.

Kali ketiga, sewaktu buat Masters di USA, saya buat satu tugasan tentang Ismail Zain. Saya rujuk semula "Al-Kesah", sebab rasa dah pandai sikit setelah berkenalan dengan nama-nama yang disebut ISmal Zain sebelum ini, menerusi buku-buku mereka, terutama yang berkait dengan semiotik. 

Keempat, selepas pulang dari USA. Bersama dengan Niranjan Rajah, kami mengumpul-semula karya-karya kolaj digital Ismail Zain untuk dipamer dalam satu bilik khas, sebagai tribut kepada beliau selaku pelopor seni elektronik di Malaysia, dalam pameran Seni Elektronik Pertama (1997). 

Kali kelima, ketika memujuk Puan Wairah untuk menjual karya "Al-Kesah", bersama dua lagi karya kolaj digital yang lain, untuk dijadikan sebahagian dari Koleksi Seni Halus USM. Wairah jual dua, hadiahkan satu. Syukur, kini "Al-Kesah" ada dalam Koleksi Seni Halus USM. Jika rindu, saya boleh singgah je ke sana.

(Tautan ke Koleksi USM http://issuu.com/mgtfusc )

Kini, setelah semakin meningkat usia (tak mau mengaku tua!), saya semakin menghargai peninggalan kedua-dua Ismail ini. Seperti juga peninggalan arwah ayahanda Saidon, yang ditinggalkan bukanlah hanya sekadar 'benda' berjasad yang boleh kita kumpul, dokumen, simpan. Yang berjasad adalah tanda, tingkap, pintu, denai atau laluan untuk kita merenung lebih jauh hingga menembus hijab minda dan rasa kita sendiri. 

"Al-Kesah" menjadi tanda reflektif, yang mengisahkan perjalanan minda dan rasa saya sendiri, yang membuka lapisan demi lapisan fikir serta rasa, memanjat beberapa tingkatan renungan yang membolehkan saya menjadi 'saksi' terhadap perbuatan minda saya sendiri. Begitu jugalah dengan beberapa karya Ismail Hashim.  

Oleh itu, tinggalan mereka yang lebih molek dan afdal dilestarikan adalah tinggalan warisan 'tak ketara' (intangible), terutama sekali nilai ilmu yang amat kaya, yang boleh kita jadikan denai untuk membuat refleksi terhadap dunia, masyarakat sekeliling, dan yang paling utama, diri kita sendiri. Tentu sekali kita mahu mengingati seniman yang telah meninggal dunia. Namun, tinggalan yang terbaik dari seorang yang telah meninggal dunia, adalah warisan ilmu serta nilai-nilai batin yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang masih hidup.   

Kepada rakan-rakan beragama Islam, jika singgah ke pameran tribut ini, jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah buat kedua-dua legen ini, orait.



 

Sunday, 17 August 2014

REFLEKSI PAMERAN TRIBUT ISMAIL HASHIM DARI KACAMATA (SECARA LITERAL) SAYA.

Ini satu refleksi panjang tanpa gambor mahupun sebarang gula-gula. Kalau tak cukup iman, tak perlu baca. Takpa, pilah layan facebook ke, twitter ke, instagram ke.

Tapi kalau nak layan, silakan. Tak suka, campak je.

Cara saya tunjuk rasa penghargaan, terima kasih dan juga kasih sayang pada seseorang atau sekumpulan orang adalah dengan mensedekahkan tenaga fikir (dan rasa) saya secara ikhlas dan percuma terhadap sesuatu yang mereka usahakan. Sedekah itu selalunya datang dalam bentuk refleksi yang adakalanya kritikal, tak kurang juga mengarut, kalau tak pun, melalut. Sebab tu, adakalanya ia disalah-tafsir, atau yang menerimanya tak suka. Biasa la kan, semua orang suka tukang sorak, siapa yang suka cermin yang tunjukkan kita sisi-sisi yang mungkin nampak tak sempurna (walaupun tak sempurna tu lah 'keindahan'nya). Apatah lagi di George Town dan di Pulau Pinang, sekarang musim bersorak. Nak buat refleksi panjang, pi jauh-jauh, tulis dalam blog je la.   

Saya nak ucap terima kasih pada suku-sakat kerabat seni kontemporari (kenalan) atas apresiasi dan ulangkaji semiotika fotografi petang tadi. Dah agak lama saya tak disyarahi orang-orang bijak dan pandai. Saya terima semua sebagai rezeki. Apatah lagi, yang diberi penghormatan, rasa kasih, ingatan, imbasan, apresiasi dan signifikasi itu ialah arwah Pak Mail (Ismail Hashim). 

Mengusahakan satu pameran tribut (penghormatan) kepada insan seperti Ismail Hashim, yang telah meninggalkan kita dengan khazanah, warisan, amanat dan wasiat zahir dan batin yang amat kaya dan bernilai, bukanlah kerja yang mudah. Begitu juga usaha untuk melestarikannya menerusi aktiviti apresiasi. Itu belum lagi kerja mengimarahkan pameran dengan kunjungan para pengunjung, yang lazimnya lengang. Ia kerja yang jarang diberi tepukan gemuruh. 

Seperti biasa, saya baca kerja pameran sebagai satu bentuk teks budaya yang diaksikan (performed). Saya lebih tertarik kepada struktur operasi (pentas) dan para pemain yang beraksi atas pentas itu, bukan lagi subjek dan bahan pamerannya saja. Lagipun, subjek pamerannya saya kenal. Tapi cara membaca pameran sebegini adalah badi dan saka minda saya la, hingga selalu buat saya naik syih (dan adakalanya ditertawa oleh isteri, kerana boleh lupa anak-bini, tak termasuk lupa diri).  

Yang mengusahakan pameran itu ialah para kenalan saya juga. Mengusahakan pameran tribut bukan kerja senang. Ia rumit. Sudah tentulah bidaah kata saya ni boleh dibaca sebagai mengangkat kroni. No problem, guilty as charged!

Saya cerita sikit kenapa ia rumit, ikut versi lalut saya la.

Apa jadahnya 'struktur operasi' dan 'para pemain' (pengaksi atau performer) yang saya sebut tadi? Dalam bahasa mudah, ia merujuk kepada bagaimana sesuatu pameran itu diusahakan dan siapa yang terlibat mengusahakannya. Ini meliputi penaungnya, penganjurnya, pemberi ongkos atau dana, penajanya, hosnya, penggeraknya, penyokong, penyorak, penyebar, dan segala yang berkait secara langsung. 

Kesemuanya wujud dalam satu ekologi dan struktur hubungan yang tak semestinya datang dengan hariaki yang cantik molek saja. Apa bentuk strukturnya, menegak, melintang, mencapah, merangkai....? Apa dan siapa di atas, di bawah, di tepi, seiring; watak apa yang diaksikan? Bagaimana ia diaksikan? Dalam struktur ini, saya jarang tengok kurator saja, tapi para pemain lain yang berada di keliling kurator. 
   
Struktur hubungan para pemain ini pula membina satu 'discourse' atau wacana. Ya, saya tau, istilah wacana (bukan wacaya-sama-lu) bunyinya berat dan biasanya kita dengor keluor dari mulut orang macam Chandra Muzafar atau yang sebijak dia. Wacana, dalam hal ini, bermaksud satu sistem atau cara (formal atau tidak formal, nyata atau tidak nyata) bagaimana subjek sesuatu pameran itu akan digambar, dipersembah, dipapar, dibual atau dibicarakan, dicerita atau dinaratifkan, dibincang, disembang, digoreng, dicakap-cakap, diayat-ayat, ditafsir, diberi makna, diberi signifikasi (kepentingan). Subjek dalam hal ini, ialah Ismail Hashim, dan legasinya.  

Dalam hubungan struktur ini, wacana tadi ditentukan pula oleh 'pengaruh dan kuasa menentukan wacana'. Bahasa orang pandai-pandai yang lain untuk perkara yang sama termasuklah 'kuasa menentukan', 'kuasa untuk mewakili', 'kuasa untuk membingkai/menggambar'. Dalam hubungan kuasa ini, siapa yang lebih dominan? Lazimnya, kita tunding pada kurator, walaupun dalam beberapa kes, tak semestinya begitu. Zaman sekarang, dengan tekanan ekonomi pasaran kapitalis, kurator dah jadi subset kepada pengurusan acara (event & creative consultant), penaja/pemodal dan penjenamaan untuk negara atau bandaraya (George Town contohnya). Kalau pengkarya, lagi lah di bawah, walaupun mereka tak nampak, atau buat-buat tak nampak.  

Tak kiralah siapa yang lebih dominan dalam menentukan aliran wacana, di sebalik setiap 'kuasa', ada tujuan, ada agenda, ada sikap, ada nilai, ada visi, ada hasrat dan harapan, ada ideologi, ada kepercayaan tersendiri. Soalan yang selalu ditanya oleh mereka yang terkena sampuk yang sama seperti saya ialah, 'kuasa' siapa', 'sudut/sisi pandangan siapa' dan 'agenda siapa'?   

'Siapa' ni pula bukan halimunan, dan tentu sekali, tak objektif, bukan neutral. Dia juga bukanlah seperti narator atau tukang cerita rancangan dokumentari tanpa wajah (impersonal) yang kita cuma dengor suara je. Untuk pameran tribut ini, siapa tadi ialah kenalan saya, Wong Hoy Cheong. Kalau ikut mazhab pameran yang lazim, kita 'melihat' Ismail Hashim dan tinggalan legasinya dari sisi Wong Hoy Cheong, yang diberikan 'kuasa' untuk menentukan aliran wacana tentang Ismail Hashim. Soalannya, Wong Hoy Cheong 'melihat' Ismal Hashim dari sisi mana? Ikut lensa apa? Dari 'tapak' apa? Atas bukit, bawah lurah, seberang jalan?

Tapi tak semestinya Hoy Cheong sorang je yang ada 'kuasa'. Dia perlu bergerak dalam satu struktur perhubungan yang dalamnya terkandung simpang-siur 'kuasa' tadi (termasuk 'kuasa' menentukan berapa banyak duit nak keluar, 'kuasa' untuk spin, 'kuasa' menentukan kat mana nak buat pameran, 'kuasa' menentukan siapa yang akan terlibat, 'kuasa' menapis bahan yang mungkin sensitif dari segi budaya dan agama). Rumit. 

Saya kenal Ismail Hashim, saya kenal Wong Hoy Cheong. Wong Hoy Cheong kenal Ismail Hashim, Hoy Cheong juga kenal saya. Kenal-mengenal. Tapi 'kenal' ni amat relatif. Ismail Hashim yang saya kenal, sama ke seperti Ismail Hashim yang Hoy Cheong kenal? Boleh ke kita betul-betul 'kenal' seseorang? (Nak kenal diri saya sendiri pun belum khatam lagi, sebab penuh dengan hijab dan defisit batin). Sebab tu saya cakap bukan mudah buat pameran tribut ni.  

Jika saya pergi ke pameran tribut ini untuk mengenal Ismail Hashim secara lebih dekat, yang saya lihat itu mungkin bukan lagi Ismail Hashim yang sebenar. Mungkin yang saya lihat itu ialah Wong Hoy Cheong. Selain Hoy Cheong, mungkin yang saya lihat itu adalah bagaimana struktur operasi dan para pemain tadi menggunakan 'kuasa untuk menggambarkan' Ismail Hashim. Tapi, boleh ke kita mengenali seseorang itu sebenor-benornya? 

Ginilah, ikut logik bodoh, jika kita mahu lihat, kenal dan alim tentang Ismail Hashim, cara terbaik tentulah dengan pergi sendiri berjumpa dia, berkawan dengan dia, rapat dengan dia, minum kopi dengan dia, kata orang putih, 'touch base'; kata orang akademik, dapatkan 'primary data'. Kalau tak pun, mungkin sebab segan, jumpa orang yang rapat dengan dia.

Saya yakin Hoy Cheong kenal rapat dengan Ismail Hashim.  

Tapi ye lah kan, tak semua orang berkesempatan buat gitu. Ada juga yang terpaksa bergantung pada cakap atas cakap, atau gossip atas gossip, puja atas puja, atau lawannya umpat atas mengumpat, atau apa jua sumber sekunder yang dah disaring oleh lapisan demi lapisan 'kuasa menggambar' tadi. 

Sebab tu, ikut logik bodoh saya, agak sukar nak 'beriman' atau 'percaya' kata-kata dari yang orang tak berkesempatan 'mengenali' Ismail Hashim, atau sengaja tak nak kenal secara dekat. Gitupun, sebelum kita cepat melatah nak menghukum dan mencaci, kata-kata dan refleksi tentang Ismail Hashim dari mereka yang tak berkesempatan mengenali Ismail Hashim, boleh juga diambil sebagai kata-kata mereka yang tidak 'bias'. Mungkin bagi puak akademik totok, ia dirujuk sebagai pendapat ketiga yang ada 'critical distance'; oleh itu, tak dikelabu oleh nepotisma, kronisma dan segala isma yang sekentut dengannya. Oleh itu, apa jua nuansa atau getaran rasa yang hadir dari refleksi mereka ini, bergetar segar untuk saya. Saya suka.    

Kini, sumber sekunder dah ditertier, malah di'viral' hingga 'hilang bentuk asal' oleh medium sebaran popular, dari facebook status, twitter, instagram, whatsapp dan segala saluran media sosial atas talian.  Bagi yang tak kenal, pandangan mereka tentang Ismail Hashim tentulah akan dibentuk oleh segala jenis sumber sekunder, tertier dan viral ini, termasuklah pameran. Oleh itu, jika mereka memberi respon, respon mereka bersifat 'reaktif' terhadap sumber yang dah ditapis oleh 'kuasa' tadi, bukan lagi terhadap sumber asal. Dalam landskap sosio-politik di Malaysia, sifat 'reaktif' ni berlambak, melimpah ruah, terutama dalam media sosial. Semuanya memberi reaksi terhadap reaksi - bersambung-sambung, berangkai, membiak, hingga adakalanya panas berbahang. 

Antara yang reaktif ni termasuklah puak-puak suku-sakat seperti saya yang suka menggelar diri sebagai 'pengkarya', atau pun kalau prasan, 'seniman'. Semua panas dengan segala yang 'reaktif' (bukan 'pro-aktif'). Sesebuah pameran, sebagai sumber sekunder tentang sesuatu subjek (atau manusia), juga boleh menjadi katalis reaksi atas reaksi.

Bukan mudah buat pameran tribut untuk seorang yang dah meninggal. Takda kerja pameran yang 'objektif'. Banyak yang reaktif, jarang yang reflektif (membuat kita bermuhasabah). 

Pameran yang menggunakan 'bahasa muzium' contohnya, kini sudah tidak lagi dianggap sebagai 'objektif' atau mewakili 'kebenaran universal' lagi. Kenapa? Dalilnya kerana bahasa muzium dikatakan mengandungi saka kolonial yang dulunya tersirat dengan 'kuasa untuk menggambar' objek dan subjek yang dijajah ikut angkuh orang putih (selalunya dengan nada 'merendah-rendahkan'). 

Apa jadah pulak bahasa muzium ni? Apa kaitannya dengan pameran tribut tadi? 

Bahasa muzium, merujuk pada cara dalam mana sesuatu objek dan subjek pameran dipapar atau dipersembahkan untuk tatapan publik. Lazimnya atas dinding, atau atas meja (padestal dll) serta kotak kaca, diserta dengan teks dan kapsyen yang tak emosional (rasional), yang sering didakyahkan sebagai 'objektif'. 

Namun, muzium dan bahasanya adalah institusi kelahiran kolonial, sebahagian dari cara untuk menghalalkan penjajahan, juga untuk 'menggambarkan' atau 'mempersembahkan' subjek yang dijajah sebagai subjek kajian atau penelitian (yang dibaca secara tersirat sebagai inferior - rendah martabatnya dari orang yang menjajah). Bahasa muzium adalah meta-language dan meta-narrative yang sarat kuasa tersirat. 

Saka 'meta' ini juga diguna dalam bahasa 'dokumentari' dan siaran 'berita'. Sebagai teks budaya, semuanya sarat dengan 'kuasa memilih' atau 'kuasa menentukan' apa yang hendak dipamer, dipapar, digambar, diberi nilai. Saka kuasa kolonial yang berlindung di sebalik bahasa muzium ini telah diturunkan menerusi penurunan sistem politik dari penjajah kepada yang dijajah. Dari kuasa penjajah (British) bertukar tangan kepada kuasa kerajaan yang memerintah (persekutuan/negara dan negeri). 

Saka kuasa kolonial yang tersirat sudah jenuh dan tepu dipecah oleh para pemuka teori pasca-kolonial. Gitupun, sakanya masih ada di mana-mana, termasuk di George Town! Kentutnya mudah dihidu, dan ia mungkin datang dari ponggong mereka yang kita tak sangka-sangka! 

Tapi saka inilah juga yang membuatkan George Town itu menarik, penuh ironi, kaya paradoks, tak semuanya cantik, selamba, bersahaja, tak sempurna, berlapis-lapis. Setiap sudut yang kita lihat, setiap watak, peristiwa, termasuk yang lumrah, biasa dan harian, adalah 'bingkai gambar' yang penuh dengan intrigue, sarat dengan saranan semiotik yang berlapis-lapis. Ia menarik, ia juga rumit. 

Inilah juga yang saya nampak pada pameran Unpack-Repack. Ia mungkin suatu projek yang mencabar dan menyeronokkan. Tapi ia mungkin juga satu beban yang tak ramai sanggup pikul. Dari acara apresiasi di atas, ternyata mereka yang terlibat amat menyedari tentang apa yang saya karutkan di atas. 

Malah, mereka juga amat sedar dan menyentuh tentang segala ironi, paradoks dan pertentangan (secara peribadi, atau secara kolektif) yang perlu direnangi. 

Satu contoh adalah penggunaan 'bahasa muzium' oleh kurator pameran tribut ini, Wong Hoy Cheong. Bahasa muzium (dan dokumentari) pernah dipecahkan 'kuasa menggambar'nya, dan saka kolonial serta keturunannya, oleh Hoy Cheong sendiri. Ia dipecahkan (deconstructed) dengan amat teliti dan tekun oleh beberapa siri karya-karya seminal (penting) beliau sebelum ini yang tak perlulah saya khutbah atau syarahkan di sini. Tapi, bahasa muzium itu jugalah yang beliau gunakan untuk pameran tribut ini dengan penuh alim dan warak. Saya ingatkan dia dah buang dan campak jauh-jauh. Ironik dan paradoksikal? 

Tak mengejutkan dan tak menghairankan, kerana ironi dan paradoks sebegini selalu juga berlaku pada batang hidung saya sendiri banyak kali, dalam versi saya la. Banyak perkara yang saya suka layan, kritik, komen, persoal, kutuk, hentam, perli, sindir dan tunding pada 'orang lain',  kena pada batang hidung sendiri! Padan muka!  

Malah, bukan saya sorang je yang terkena. Saya lihat ia juga berlaku pada sorang lagi kenalan, Liew Kungyu, pada tahun lepas, yang membalut beberapa bahagian facade bangunan-bangunan lama di George Town dengan kain-kain perca yang amat kitsch (murahan). Ia mengingatkan saya pada karya-karya kolaj foto 'Siri-siri Cadangan..." beliau yang sarat dengan facade bangunan-bangunan ikonik KL yang dibalut kitsch corak songket. Saya ingatkan dia menyindir kerja membalut landskap kota secara literal dengan kitchs budaya murah dan pendek akal, tapi perkara yang hampir sama dia lakukan untuk George Town. Ironik lagi. Saya suka.

Gitu juga dengan kawan saya Niranjan Rajah, yang asalnya mahu menyanggah essentialisma etnik (mengangkat atau mementingkan kepentingan satu etnik saja) tapi berakhir dengan perakuan bahawa essentialisma etnik boleh menjadi bahan pasaran yang laris (dihalalkan dengan istilah essentialisma terpilih). Mengangkat identiti etnik untuk pasaran global adalah strategi yang diguna-pakai oleh ramai pengkarya kontemporari yang bergerak dalam ekologi global. 

Tak kurang ironik adalah apabila kalangan yang mengenali Ismail Hashim secara dekat (ini relatif, saya akui), perlu mendengar 'wacana' tentang Ismail oleh seorang yang tak pernah berjumpa pun dengan Ismail Hashim sendiri. Ini dah saya sentuh tadi. Bagaimanapun, perlu dinyata di sini, selain dari menjadi sumber teks 'ketiga' yang tidak bias dan ada critical distance, wacana petang tadi disalut dengan rasa hormat, kagum, malah ada getaran kasih. Apatah lagi ia sebuah pameran tribut dan acara apresiasi yang digagahi oleh keluarga Ismail Hashim dan kenalan rapat mereka. Gitupun, tinggalan ironi masih berlegar dalam minda saya. Saya suka, macam tinggalan bau kari lepas pekena nasi kandar, atau bau sambal belacan, juga sambal tempoyak.

Bagaimana pula dengan tajuknya Unpack-Repack? Adakah ia merumuskan legasi Ismail Hashim dengan tepat, atau ia merujuk pada kerja mengusahakan pameran tersebut oleh kurator dan team di belakangnya. Adakah tajuknya merujuk pada Ismail Hashim, atau berkenaan dengan kerja mendokumentasikan dan membuat pameran tribut Ismail Hashim? Sambal belacan lagi....

Gitu juga dengan ironi dalam membingkai nuansa sosialis kelas pekerja (working class) yang dominan dalam kerja-kerja Ismail Hashim, menerusi lensa sistem galeri yang pekat dengan bau kelas pertengahan (kalau tak pun borjouis elit) dan saka kapitalisme globalnya. Sekali lagi saya teringat pada satu karya Hoy Cheong yang seakan menyindir golongan 'orang kaya baru' dan borjouis ini (pada bacaan saya la!). Mungkin sindir, tapi sayang. Ini kerana saya baca Unpack-Repack sebagai romantisma kelas pekerja, dibingkai dan diwacana menerusi bahasa muzium dan kelas pertengahan (atau borjouis) yang terpelajar. Sambal tempoyak, atas piring emas. Ironi lagi.  

Apakah paradoks yang mungkin timbul jika nuansa working class itu akhirnya diromantiskan, bertentangan dengan sikap Ismail Hashim yang sering menjauhi segala yang romantis, malah mengistilahkan segala yang romantis (dan berlambak-lambak, jenuh lesu digunakan selalu) itu dengan istilah 'batang pisang'. 

Begitu juga dengan 'kuasa' di sebalik kamera, yang sering dikhutbahkan oleh para pemuka kajian budaya dan teori kritikal. Professor yang mengajar subjek seni video semasa saya di USA merujuk kamera video sebagai 'senjata'. Apakah Ismail sendiri sedar dengan 'kuasa' belakang kamera ini? 

Bagaimana pula dengan pendokong dan penajanya. Fegana Art yang menjadi produser digagahi oleh kenalan saya, juga pengumpul karya saya, Jaafar Ismail. Dunia ni kecil. Jaafar juga, menerusi beberapa butir sembang pada saya, amat sedar tentang ironi sebegini, malah mengatakan mungkin Ismail Hashim sendiri kurang selesa dipentas-pentas. Ya la, mungkin kurang selesa menerima pujian atas kerja-kerja yang melibatkan wajah dan tubuh orang lain. Jika dia layan pun, mungkin kerana sifatnya yang baik dan tak suka menghampakan kawan. Tapi, dia tak pulak menolak kalau ada yang nak beli dan kumpul karya beliau. Dan tentu sekali, dia bukan nabi. 

Jaafar pula, ada versi naratif beliau sendiri di sebalik pameran tribut ini. Asalnya ia adalah hasrat untuk membuat pameran solo beliau (semasa beliau masih hidup). Jaafar pernah berbalas facebook comment dengan saya tentang hasrat ini, sebelum Ismail Hashim meninggal. Dia juga pengumpul karya Ismail Hashim. Sebagai produser, dia layak berbangga dengan projek pameran ini. Kualiti kuratorialnya tinggi dan teliti, dan dilakukan dengan rasa hormat serta kasih-sayang. Saya dapat rasa getarannya. Tapi ini sentimen hindustan saya la.

Bagaimana pula ironi yang mungkin hadir dari limpahan imajan digital yang muncul dari ledakan teknologi kamera digital, juga teknologi internet. Adakah ia masih dipanggil kerja-kerja fotografi? atau sebenarnya kerja-kerja menyunting, mengumpul, menyebar imajan digital, tanpa perlu dikaitkan atau 'dibayangi' oleh Ismail Hashim ataupun fotografi? 

Di George Town, hampir semua pengunjung membawa kamera foto digital, semua dah boleh buat 'straight photography' versi digital dengan mudah. Ismail Hashim 'jadian' boleh muncul di mana-mana (termasuk pada batang hidung yang menulis, bila dia pegang kamera digital sambil merayau-rayau celah-celah banyak lorong di George Town). 

Tapi, kerja-kerja menyunting imajan digital tak sama langsung dengan kerja-kerja memproses fotografi secara chemical dalam bilik gelap. Malah, disiplin mencetak imajan fotografi itu secara digital, amat sukar untuk di'imani' sebagai cetakan fotografi (chemical-based process). Atau adakah kemahiran yang berkait dengan proses, teknik, bahan yang begitu dicintai dan ditekuni Ismail Hashim, tidak perlu lagi diambil kira? Apakah yang bakal terjadi kepada kesan-kesan bahasa teknik manual yang tekun itu, bila kini sudah boleh disimulasi secara digital - old photo, sepia, retro, faded, malah kesan-kesan stracth pun boleh dibuat-buat. Molek kah untuk kita kaitkan yang bersifat simulacrum itu dengan kesan-kesan sebenar yang ada pada karya-karya Ismail Hashim.  

Sebab tu lah saya kata bukan mudah nak buat pameran tribut ini. Kenalan yang mengusahakannya pula sudah tentulah berani dan cekal. Sebab itulah juga, saya amat menghargainya, dan menandai penghargaan itu dengan refleksi melalut yang panjang ini.

Jika di Pulau Pinang, pi lah singgah tengok pameran tribut ni.  




Tautanke "surat terlambat":
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/08/surat-terlambat-untuk-pak-mail-yg.html


Thursday, 14 August 2014

TESTIMONI UNTUK GALERI KAMPUNG


"Rumah Usu di Manjoi adalah galeri dan ruang alternatif yang tidak berpura-pura, interdependent, mesra-komuniti (dan keluarga). Kesederhanaan dalam menyediakan denai untuk pulang ke fitrah menjadikannya jauh lebih hip dari banyak galeri dan ruang seni lain yang bingit berkokok."

(Washington Post, 15 Ogos, 2014)














Fotografi oleh Delly Adeela.




LU BALIK KAMPUNG, CARILAH JALAN PULANG : ALBUM PASCA RAYA

"Bro!, ya, lu bro. Mak-bapak lu kasi lu belajor tinggi-tinggi sampai lu prasan lu dah pandai dan seniman agung. Lu balik la kampung mak-bapak lu. Lu balik kampung, carilah jalan pulang. Kalau tak, buat habih duit minyak je. Kalau tak jumpa jalan pulang, lu tukor je la lu punya first name jadi professor atau lu punya last name jadi the artist. Tak payah pakai nama yang mak-bapak lu bagi! Lepas tu lu raya le kat London ke, New York ke, Berlin ke, Paris ke, whatever!" 









































AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...