Thursday, 14 August 2014

LU BALIK KAMPUNG, CARILAH JALAN PULANG : ALBUM PASCA RAYA

"Bro!, ya, lu bro. Mak-bapak lu kasi lu belajor tinggi-tinggi sampai lu prasan lu dah pandai dan seniman agung. Lu balik la kampung mak-bapak lu. Lu balik kampung, carilah jalan pulang. Kalau tak, buat habih duit minyak je. Kalau tak jumpa jalan pulang, lu tukor je la lu punya first name jadi professor atau lu punya last name jadi the artist. Tak payah pakai nama yang mak-bapak lu bagi! Lepas tu lu raya le kat London ke, New York ke, Berlin ke, Paris ke, whatever!" 









































Sunday, 10 August 2014

TANDA YANG SEMAKIN PUDAR (A SIGN THAT IS INCREASINGLY FADING)


Ni satu lagi siri teks budaya (penanda) naratif zaman kanak-kanak saya yang semakin pupus dihakis monster bernama kapitalisme global - kedai Cina. Inilah supermarket saya masa kecil, tempat saya buat amali ilmu matematik, ekonomi dan pemasaran. Kini ia semakin suram. 


This is yet another series of cultural texts (signs) of my childhood narrative, that are increasingly eroded by a monster called global capitalism - Chinese shop. This used to be my supermarket when I was a little kid, a place where I practiced my knowledge of mathematics, economics and marketing. Now, it has turned sombre.


Seiring dengan teks budaya ini adalah watak-watak yang mewarnainya, termasuklah nyonya dan tauke yang wajah-wajah mereka dah didepositkan menjadi sebahagian dari pangkalan data mental saya. Nyonya sebuah kedai dah lama meninggal, mewariskan kedainya pada anak perempuan sulung yang saya kenal sejak kecil (kini dia pun jadi jadi nyonya separuh umur). Semuanya mengenali arwah ayahanda, dari zaman muda, hinggalah ke tua. Ada sorang tauke, yang saya dah lupa namanya, sesekali datang ke rumah. Terakhir dia singgah untuk ziarah arwah ayahanda dan bonda di rumah (tahun lepas), sambil bawa ubat ginseng.

"Mana ada lupa, biasalah sudah tua macam saya tak boleh ingat semua. Ini orang tua (sambil tunjuk ayahanda saya), ok lagi ma!" 

"Itu ustaz, dia ada cakap, saya ingat sampai sekarang. Orang besar di atas selalu tengok orang di bawah, dia kata itu semua orang kecik. Dia tak tau, orang bawah tengok dia di atas, nampak dia kecik juga." 


Along this cultural text are characters that had coloured it, including the nyonyas and taukes (shop owners) whose faces have been deposited into my mental database. One nyonya had passed away, leaving her shop to her eldest daughter (who has become a mid-age nyonya herself). All of them knew my late father, from the time they were young until they have become old. There is this one tauke whose name I have forgotten already, used to come to my house. The last time he came was to visit my mother and late father (last year), and brought a ginseng medicine for them to drink.

"What to you mean forgetful, an old man like me cannot remember everything, its normal. This old guy (while ponting at my late father), is still ok!"

"This ustaz (religious teacher), he used to tell me this, I still remember until now. Important people on top always like to see people at the bottom as small people. They don't realize that these low people also see them small."  


Tauke rakan arwah ayahanda ni, bersama dengan kedainya, seperti juga banyak lagi penanda masa, adalah spesis bakal lupus; bakal di fade-out oleh naratif yang semakin meratakan segalanya, atas nama 'persaingan yang sihat'.


This tauke friend of my late father, together with his shop, are increasingly extinct species; potentially faded-out by a narrative that flattens everything, in the name of 'healthy competition'.


ATOK U-MA TANJONG PENAGA.

U-ma, di studio dan galeri terbuka (open studio & galeri) yang mesra komuniti. 

Saya flashback:

"Semut mati jadi hantu, lumbu mati pun jadi hantu, limau (harimau) mati jadi hantu jugak, semua binatang mati, jadi hantu. Ini sumua hantu ok, tak kacau olang."

"Hantu kacau orang ni yang macam mana, uncle?"

"Itu kalau olang jahat mati jadi hantu, ....itu teluk punya hantu. Dia punya jahat takda obat punya!"

"So uncle, macam mana tak mau jadi hantu?"

"Jadi olang baik la!"

"Kalau jadi orang baik,, nanti mati jadi apa?"

"Olang baik, mati masok sorga la!"

Uncle U-ma, adalah antara watak di Tanjong Penaga (George Town) yang sering saya lintasi dan sesekali singgah untuk berbual. Pentas dan galeri dia adalah di tapak pasar barang terpakai di segitiga antara Lebuh Acheh dan Lebuh Armenian. Umur dia dah cecah 87 tahun, dah beberapa kali kena heart attack (kata dia la), tapi masih nampak gagah. Di situ, seperti seorang street performance artist yang berkarisma, dia duduk lepak, santai, sembang, melukis, jual lukisan dan objek-objek ritual Buddha.

"Saya Buddha punya orang!", U-Ma mengajar tentang kesementaraan (transient) dan kitaran tanpa ayat-ayat sembelit.


Mungkin sebab tu dia cepat tangkap getaran orang, termasuk saya. Bila buka cerita alam batin, syarahan jalanan dia mengalir macam air. Fikir dia hyper-textual, kait-mengait, dari komputer ke interpretasi peribadi dia tentang Islam dan Al-Quran ke gaya hidup berkiblat nafsu ke budaya maksiat ke cerita roh jahat dan hantu, melompat-lompat dari satu topik ke satu topik. Tapi syarahan dia ikut getaran orang di depan dia, kalau tak cerdik, dia cakap cara tak cerdik.

Untuk saya, bunyinya lebih kurang berikut:

"Itu Islam punya Koran aa, selupa komputer," dia bersyarah pada saya, sambil saya kerut dahi.

"Itu Nabi Muhammad, baguih punya olang," sambung dia lagi.  

Seperti orang tua yang lain, dia rajin berpesan, bergantung pada getaran batin orang yang dipesan. Untuk saya, 

"Lu kalau bawak keleta lalu bawah itu jambatan, baca-baca sama itu Koran punya. Manyak olang mati mabok punya, jadi hantu, kacau olang hidup."

Dalam pelat dan broken bahasa Melayu dia, saya rasa kejujuran yang lebih enak dari kata-kata ramai orang-orang pandai yang pernah saya baca; lebih human-friendly dari yang banyak saya kutip dari facebook status mahupun twitter dan segala jenis toksid jiwa media sosial.

Teori dia, mudah. Tak memaksa, takda gula-gula. Agaknya dia faham, mungkin saya tak percaya. Teorinya, kalau masa hidup suka buat maksiat, sesudah mati, jadi roh jahat yang kerjanya mengajak manusia yang hidup buat maksiat. Jika masa hidup suka pukul dan bunuh orang, dah mati, ajak manusia pukul dan bunuh orang. Sekiranya masa hidup suka minum arak dan berjudi, dah mati, ajak manusia minum arak dan berjudi. Getaran roh jahat ada sekeliling kita, begitu juga dengan roh baik. Jika buat jahat, kita akan dikelilingi dan dipengaruhi (jadi kawan) roh-roh jahat; masuk neraka dunia, hidup di kelas bawah, di pasung graviti nafsu. Jika buat baik, kita didampingi roh-roh yang baik; masuk syurga dunia, hidup di kelas tinggi. Semuanya adalah kitaran karma. Gitulah lebih kurang simpulan yang dapat saya buat hasil mendengor syarahan jalanan dia.

Seni di ruang publik - tanpa perlu melaung-laung.

Lukisan dia dalam istilah orang pandai seni rupa, boleh dikategori sebagai seni naif. Dia belajar sendiri. Gitupun, saya nampak kejujuran dalam lukisan-lukisan dia, lebih pekat dari banyak karya-karya seni kontemporari yang pernah saya layan dan lihat tergantung megah dalam galeri-galeri seni. 

Di George Town saja, galeri seni semakin bertambah. Bermacam jenis. Gitu juga tempat-tempat yang dikatakan hip, urban dan kontemporari, alternative, independent untuk para hipsters lepak, tunjuk diri, mengayakan watak-watak seni masing-masing, membina 'komuniti' suku-sakat, kelab eksklusif yang adakalanya syok sama sendiri. Sekali-sekala saya layan juga, apatah lagi bila datang bulan pesta, segala jenis acara seni dilambak macam pasar, sendat dalam satu bulan. Biasala, George Town dan Pulau Pinang memang selalu meriah dengan pesta ikut bulan-bulan tertentu. Saya panggil 'datang bulan'. Itulah juga keunikannya. 

Tapi, tanpa sebarang pesta dan lambakan acara pun, drama seni, budaya dan warisan, di Tanjong Penaga tetap berlaku tanpa sebarang gula-gula dan pura-pura, berlangsung, hidup, kaya, bersahaja, real dan amat dekat dengan jiwa manusia, lengkap dengan segala kehebatan dan kekurangannya. Para penghuninya yang berbagai-bagai bangsa dan asal keturunan menghadirkan drama yang jauh lebih berpijak di bumi nyata. Seperti juga uncle U-ma, ada yang dah bermukim jauh lebih lama dari saya dan menjadi pewaris keturunan yang merentas ratusan tahun. Saya menonton, mendengar, merasa, menghidu, menyentuh,  mengalami mereka dan segala drama seni, warisan dan budaya yang jauh lebih benar dan terkesan serta bebas dari sebarang toksid sentuhan bidaah seni para cendekiawan, aktivis dan seniman jadian (tempatan mahupun yang diimpot dari luar negara). Ia juga bebas dari segala yang terlebih (dijenamakan sebagai 'kelebihan') dibuat-buat, dipentas-pentas, dilakon-lakon, digambar-gambar, diperaga, ditayang-tayang, digaya-gaya, diadun-adun, dihias-hias, diguna-guna, ditunggangi, didakyah, diperalat, dipasar, diheboh, dijenama, diacara, dilancar, dirasmi.

Kerbau dia mengingatkan saya pada beberapa pengamal seni kontemporari terkenal.


U-ma lukis guna pen, berus dan dakwat Cina, juga cat air, gaya cat air Cina. Subjeknya datang dari persekitaran dan dari imaginasi. Temanya berbagai, tapi banyak yang ada kaitan dengan situasi sosial terkini. Komentar sosial dia mendasar pada sifat manusia, kehebatan dan kelemahannya. Ada juga yang surreal, ada yang absurd, malah tak lepas tapisan PG13 (bogel, gambaran pelacuran).   

Baru-baru ini, saya berikan Adeela (anak sulung) saya satu tugasan setelah dia jenuh mengunjungi beberapa galeri, pameran dan karya-karya seni kontemporari di sekitar George Town. Banyak sangat menghadam seni kontemporari boleh buat jiwa senak dan sembelit. Angin pun jadi lain macam. Saya dapat rasa sampuk begitu pada dia.

Diinsipirasikan dari kunjungan Adeela ke Pameran Peringatan Ismail Hashim (yang amat disukainya), dan mengambil sikap berkarya Ismail Hashim yang pintar mengajak kita membuat refleksi dari watak, tempat dan peristiwa yang biasa dan lumrah di sekeliling kita, saya cadangkan dia berhenti dulu mensembelitkan jiwa dengan juadah galeri dan semua yang sekentut dengannya. 

Daya kreatif dan sentuhan seni ada di mana-mana. Yang paling bermakna, adalah yang hadir dalam pengalaman hidup seharian kita, apatah lagi yang hadir tanpa dipaksa-paksa. Untuk Adeela, ini termasuklah beberapa watak yang menjadi sebahagian dari landskap hidup dia sepanjang membantu ibunya (isteri saya) berniaga di Lebuh Acheh. Bila saya tanya siapa, antara yang dia sebut adalah 'apek Cina' yang berniaga dekat pasar barang lama dan terpakai (U-ma).


Dah biasa gambar dia dirakam, termasuk oleh wartawan. 
Tetap berkarya, tanpa perlu tunggu datang bulan (pesta)
Tiga ekor kerbau dan seorang gembala.


"Pi la sembang dengan dia. Tengok macam mana dia layan angin kamu. Apa je yang dapat anggap rezeki. Lepas tu, bandingkan dengan pengalaman berkunjung ke galeri-galeri, atau pengalaman berdepan dengan karya-karya kontemporari, atau berbual dengan para seniman kontemporari. Buatlah penelitian dan deduksi sendiri."

Bila pulang dari berbual dengan Atok U-ma, saya dapat rasa getaran yang berbeza pada dia. Takda senak, takda sembelit lagi.


Studio bergerak, mudah-alih, sementara, modular, adaptif, tanpa perlu disogok cakap-cakap besor.

Foto oleh Delly Adeela



SALAM KAPCAI


Dalam satu tinjauan oleh sebuah dokumentari tv yang pernah saya tonton, kapcai telah diletakkan di tempat pertama sebagai 10 motosikal paling penting abad ke 20. Ia telah mengalahkan segala motosikal hebat dan canggih, termasuk Ducati, BMW, Yamaha, Kawasaki mahupun Harley. Saya tak terkejut.

Walaupun kapcai sering di dekonstruksikan semiotiknya di Malaysia sebagai penanda untuk budaya rempit, ia tetap saya tabik. Kapcai (old school, tahun 50an) adalah antara teks (penanda) yang penting dalam naratif peribadi saya. Sebahagian dari hidup saya semasa kecil hingga remaja, melibatkan kapcai, terutama sewaktu dibawa ke sekolah oleh arwah ayahanda saya, Saidon.

Wa tabik lu kapcai! 


SURAT TERLAMBAT UNTUK PAK MAIL YG SORANG LAGI (A DELAYED BELATED LETTER TO THE OTHER PAK MAIL)


Pak Mail (Ismail Hashim),
Semoga kamu tenang ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Ramadhan dan Hari Raya mengembalikan aku pada arwah ayahanda, juga semua guru, datuk-nenek-moyang, saudara-mara dan rakan kenalan yang telah pergi selamanya. 

Pak Mail,
Aku teringatkan kamu. 
Juga Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Ibrahim Hussein, yang semuanya sempat aku terima tempias dan bekal cahaya. Yang amat terkesan tentulah arwah Ismail Zain, seorang lagi 'Pak Mail' yang pernah singgah dalam hidup aku.   

Pak Mail,
Dalam landskap seni rupa Malaysia yang cukup suka aku layan, kamu aku lihat seperti berlian, tak mudah dijumpa. Jika dihumban dalam longgokan kaca yang berkilau, perlu berusaha untuk mencarinya. Tapi Pak Mail, ada juga orang yang jumpa kaca, dikatakan berlian; jumpa berlian depan mata, dikata kaca. Ntahla. 

Pak Mail,
Kamu sering tersembunyi di balik kilauan kaca yang sering dilonggokkan dalam landskap seni rupa di Malaysia. Tapi berlian tetap berlian, tak kiralah macam mana banyak pun kaca dilonggok atau menimbusnya. Ia tetap membiaskan cahaya. 

Pak Mail,
Seperti juga guru aku Ismail Zain, cahaya kreatif kamu terpancar menerusi pelbagai wahana (persis cahaya berlian yang mencapah indah dari pelbagai satahnya). Kamu pelopor pendekatan rentas-disiplin serta multi-dimensi yang suka sangat aku laungkan sana sini.  

Pak Mail,
Kamu dan karya-karya kamu meninggalkan aku dengan satu amanat yang aku pegang sampai bila-bila: 

Bahawa makna dan keindahan hidup hadir dari refleksi terhadap segala perkara seharian yang lumrah, biasa, ringkas, bersahaja, tidak dibuat-buat yang ada di sekeliling kita. Bahawa segala nilai (seni/estetik, kerohanian, sosial, budaya, ekonomi, dll) terkandung dalam setiap pengalaman biasa yang kita tempuhi setiap hari.  

Pak Mail,
Peninggalan kamu juga mengingatkan aku bahawa makna dan keindahan hidup jarang (atau susah) hadir dalam bentuk yang sudah terlalu tepu dijadikan acara (events), dipentas-pentas (staged), dilakon-lakon atau digaya-gayakan (acted, posed), dibuat-buat, dicongak-congak (schemed), diperaga, diatur-atur, disunting-sunting, diadun-adun (make-up), dikarutkan dengan bidaah kata serta ayat-ayat lazim yang menjauhkan manusia dari fitrahnya. 

Pak Mail
Kamu dan karya-karya kamu juga mengingatkan aku untuk: 

Menghargai segala pengalaman yang dibentangkan, walaupun pada watak-watak manusia, kelakuan/perbuatan, peristiwa, tempat, objek yang biasa, yang lumrah, yang bersahaja, yang kelihatan tidak istimewa. 

Pak Mail,
Mungkin biasan cahaya peninggalan kamu semakin terhijab oleh keriuhan acara yang boleh meniruskan segala yang bermakna. Kini, segala yang boleh dilabelkan sebagai 'seni' boleh ditunggang atau diperhambakan sebagai alat atau wahana propaganda, pemasaran, promosi, hebahan dan pemujukan pasaran untuk segala yang hanya menghijab manusia.  

Pak Mail,
Mungkin juga, biasan cahaya kamu semakin ditutup kemeriahan pesta-pestaan serta longgokan kaca yang boleh menyakitkan mata. Semakin sukar untuk mencari cahaya kamu dalam kebisingan dan kilauan kaca mahupun berlian palsu.

Namun Pak Mail,
Tak mengapa, walaupun jasad kamu dah takda, biasan cahaya kamu akan terus memancar. 

Di celah keriuhan acara sepanjang Ogos di Tanjong Penaga (nama asal George Town), aku terjumpanya. Cahayanya memerdekakan aku, sesuai dengan bulan Kemerdekaan kita. Syukur, cahaya peninggalan kamu kini dipancarkan oleh para pewaris kamu, yang menghargai kamu, yang menghormati kamu, dan yang sayang pada kamu. 

Aku harap dan berdoa, lebih ramai lagi akan menjumpainya di celah bandaraya bersejarah George Town yang bingit dengan pesta-pestanya. 

Pak Mail,
Aku takda apa yang nak diberikan sebagai tanda penghargaan dan kasih kepada kamu. Aku tidak handal mengarang sebuah eulogy yang hebat, mahupun sebarang naskah homage yang berkat. Yang mampu aku berikan sebagai tanda penghargaan dan kasih pada kamu hanyalah.......

AL-FATIHAH.










Thursday, 7 August 2014

MENGARUT!!

Seorang penduduk wanita Israel yang tinggal berhampiran dengan sempadan Gaza, berusia dalam lingkungan 30an, berkaca-mata dan bercakap saling tak tumpah dengan lidah orang Amerika Syarikat, di temu-terlebih-ramah oleh pengacara sebuah rancangan berita BBC. 

Sebelum itu dalam prelud, disediakan konteks atau setting. Dua pihak yang bertelagah diberi gelaran yang membawa konotasi semiotik yang cukup klise, 'tentera Israel' melawan 'militan (adakalanya pengganas) Hamas'. Satu pihak adalah 'tentera yang mempertahankan rakyat negara berdaulat dari ancaman', yang satu lagi 'militan' atau 'pengganas' yang dah tentulah jahat. Tersepit di celah keduanya adalah satu subteks - wanita tadi, yang mahu dibaca sebagai 'mangsa'. Mari kita tinjau apa jadah yang terjadi pada 'mangsa' ini. Apa yang dia mengarut. Karutannya berbunyi lebih kurang seperti berikut:

"Dah berminggu-minggu kami hidup dalam ketakutan. Ancaman roket dan serangan dari terowong rahsia sentiasa ada. Setiap hari kami dikejutkan dentuman dan bunyi roket, bom dan senapang hingga kehidupan sering terganggu. Hidup tak aman. Kami tak boleh tidur. Bilik selamat memang ada disediakan oleh kerajaan, semua rumah di sini dibekalkan dengan bilik selamat, dengan cermin kalis-peluru dan dinding konkrit yang tebal. Tapi, nak ke bilik selamat kena ambil masa sedikit. Hidup kami tak tenang."

(Semasa mendengar karutan ini oleh 'mangsa konflik' di atas, dalam kepala saya ni berputar gambaran bom meledak sekolah, hospital dan rumah, bangunan runtuh, runtuhan bangunan dengan mayat-mayat tertimbus, orang-orang Palestine berlari-lari mengejarkan bayi dan kanak-kanak yang dah mati atau cedera parah dengan darah melimpah dan badan terkulai. Sambil tu saya merasakan bahawa dalam kepala sesiapa juga yang berfikiran waras, akan ter'insert' gambaran yang sama hingga menjadi satu interplay yang 'absurd' antara V.O wanita Israel tadi dengan gambaran yang terlintas dalam fikiran). 

Dah lama tak layan para tukang karut yang mengarut dalam CNN dan adik kembarnya BBC. Pentas mereka yang digelar industri media dan dan berita (yang kononnya benar, tepat, rasional, objektif, adil) ini, sebenornya penuh dengan pelbagai jenis hantu yang boleh merasuk manusia yang lemah minda, perasaan dan jiwa. Ramai manusia sedunia yang dah hilang diri, dihijab, dan dirasuk, atau dah di'zombie'kan, termasuk di Malaysia. 

Seperti juga cara mereka membuat liputan tentang MH370 dan MH17, liputan berita tentang Gaza adalah yang paling mengarut sekali. Ini belum lagi lanjutan dari sentimen mengarut ini menerusi pelbagai jangkauan medium yang merentas ke serata pelusuk dunia untuk terus masuk dalam otak dan minda dan men'zombie' semua manusia. Terlalu banyak medium karutan ini, meliputi bahan-bahan atas talian, yang sengaja di'tanam' dan di'viral'kan; juga rancangan-rancangan rencana atau dokumentari berlagak alim; rancangan bual-bicara; forum; rancangan hiburan, hinggalah penerbitan drama, filem dan segala jenis produk fiksyen. Begitu juga dengan segala jenis penerbitan buku, majalah dan segala jenis bahan bacaan, baik atas talian atau luar talian ditulis oleh para tukang karut penulis upahan terpilih yang dah dijuling dan dibeli jiwanya; juga segala jenis produk atau acara pop, budaya dan kesenian yang ditaja (secara langsung atau berproksi) juga hasil sentuhan para 'seniman' yang dah dihijab; juga segala jenis kandungan produk permainan mahupun aplikasi mudah-alih; juga segala jenis persidangan, konvensyen, konferen untuk segala jenis projek penyelidikan atau kajian, dan macam-macam lagi. 

Yang selalunya diulang-tayang sebagai penawar (antidote) untuk karutan atau kerja mengarut ini (termasuk tentang Gaza, MH17 dan MH370) adalah demonstrasi jalanan di beberapa bandar-bandar serata dunia, termasuk di Kuala Lumpur. Daripada yang diwar-warkan, ia bertujuan untuk menyembuh, menyedar dan membangunkan manusia; agar tak semua manusia boleh di'zombie'kan. Selain dari boikot, bantuan perubatan, makanan dan pendidikan, demonstrasi jalanan seakan dah jadi siaran yang terlalu kerap diulang-tayang. Adakah semuanya boleh menjadi penawar untuk sebarang kerasukan kerja mengarut di atas? 

Tertanya pula dalam diam, bolehkah ditemui penawar sebegini di George Town. Ya la kan, dah jadi penghuni Pulau Pinang, mestilah tertanya. Pulau Pinang pula memang terkenal dengan orang-orang yang lantang mempertahankan segala perkara yang perlu dipertahankan. 

Alhamdulillah, takda bedilan roket, dentuman bom mahupun bunyi M16 atau segala jenis machine gun dan segala eksperimen senjata canggih baru tajaan serta ciptaan para pengarut dan proksinya di Pulau Pinang (mahupun di Malaysia dan rantau ini). Syukur. 

Tapi, mungkin tajaan, ciptaan, mahupun bekalan 'senjata' mengarut ni dah lama berlabuh di rantau ini, di Malaysia, malah di George Town dalam bentuk lain kot. Tak tau lah. Ada ke? 

Cut-to George Town, sekarang.

George Town semenjak dua menjak ni, tak kurang bising dan bingit diserang. Tak, jangan risau, bukan bising kena bom. Bukan diserang militan. 

Ia diserang acara. 

Sekarang ni George Town bising dan meriah dengan keriuhan tersangat banyak acara Festival, persis pasembor, atau menu makanan di bazar Ramadahan. Semua nak taruh, semua nak tabur, semua nak masuk, semua nak bedal, semua nak makan. Kalau tak pandai pilih, boleh sembelit. Kentut pun busuk. 

Kalau George Town ni ditamsilkan sebagai orang tua (memang ia bandaraya tua yang bersejarah dan diiktiraf UNESCO), sekarang ni 'orang tua' tu (yang sebenarnya dah sememangnya menarik) seperti sedang memakai baju yang penuh dengan batu-batu kaca (tak tau lah kot ada berlian). Semuanya berkilat dan memancar, hingga berpino (kata orang Perak) nengoknya, dan dah tak nampak lagi 'orang tua' tadi. Kalau ada berlian pun, susah nak nampak.   

George Town kini sudah boleh ditabal sebagai lubuk untuk segala jenis acara (dan para pengurus yang cukup handal mengacara dan cekap mengatur acara bersama askar-askar mereka), penjenamaan bandaraya (ditandai dengan puji-pujian bukan pada Tuhan), dan para saudagar yang bijak  mempedagangkan mimpi atas nama seni dan tak kurang juga 'seniman' (tak kiralah, visual ke, muzik ke, persembahan ke, apa-apa je lah). Hebat! Tahniah. Kita semua boleh berbangga.     

Di celah kehebatan segala jenis acara, tertanya-tanya pula, boleh ke dijumpai penawar karutan atau kerja mengarut yang disebut di atas, terutama yang boleh menyembuh, menyedar dan membangunkan manusia dari rasukan pengarut? Apakah suara yang dapat kita dengari dari mereka yang bergelar 'seniman' atau 'karyawan' atau 'perupa' dan semua yang sekentut dengan mereka? Didoakan kita semua dapat menjumpai penawar yang kita cari, insyaAllah.

  


NARATIF YANG HILANG TANDA (NARRATIVE THAT IS LOSING ITS SIGNS)

Tak sehebat dua jambatan di Pulau Pinang negeri tumpah kari mamak, tempat saya kejor mimpi. Bukan juga satu pemandangan yang boleh meruntun fikiran, mahupun dijadikan karya agung untuk paparan galeri dan para saudagar mimpi di pusat-pusat kota urban dan kontemporari. 

Tapi parit dan jambatan paip di tanah tumpah kuah tempoyak (Teluk Intan) ini masih tetap 'ikonik' untuk saya, kerana ia merupakan antara 'titian' dan jalan pintas untuk saya ke 'jalan besar' semasa saya bersekolah dulu. Takda apa yang special, tapi untuk seorang budak pada masa itu, ia merupakan satu 'adventure' yang memberi saya 'kick' setiap kali melintasinya. Satu lagi parit berdekatan, menjadi kubang jakuzi dan mencari ikan laga untuk saya dan kawan-kawan. Sekarang dah ditimbus, dan dah bertukar menjadi kawasan perumahan, untuk kediaman masyarakat kelas pertengahan yang semakin sendat. 

Setiap kali pulang ke kampung, temanya adalah perlupusan tanda-tanda atau sumber tekstual yang membina naratif era kegemilangan semasa kecil. 

Anak-anak saya kini mendapat 'kick' mereka tanpa bergerak, menerusi dunia simulacra (simulasi) hyper-reality dengan menggentel iphone yang mereka bawa ke mana-mana.

Naratif saya, seperti juga untuk Bonda (yang semakin pelupa) dan arwah ayahanda, sedang kehilangan tanda-tandanya. 

Ramai (termasuk saya!) yang telah disampuk saka dan badi identiti palsu berpaksi benda, selalu lupa bahawa segalanya adalah sementara. Takda yang kekal selamanya. Segalanya akan berlalu. Kehidupan adalah satu anugerah. Sebab itulah kita perlu menghargai 'sekarang', setiap kali kita melihat masa lepas.  





Mengimbas naratif dengan Andy, ketika rakaman untuk video pendek "H3RO" suatu ketika dulu. (Reminiscing my narrative with Andy, during the shooting of video short "H3RO" some time ago).
Not as grandeur as those two bridges in Penang, the State where I spilled my curry gravy. Not even a nice vista that can melt hearts, or be converted into an art piece for gallery display and fancy merchants of dreams in an urban and contemporary city centre.

But this drain and pipe bridge in my hometown (Teluk Intan) is still iconic to me, because it used to be amongst my 'pathways' and short-cuts to the 'big road' when I was a schoolboy. Nothing special, but for a small kid then, it gave me such an adventure and a kick every time I crossed it. Another close-by drain, became a my jacuzzi spot as well as a site to catch 'fighting fish'. Now it has been turned into a housing estate to accommodate the growing middle class. 

Every time I returned to my home town, the over-arching theme was gradual extinction of the signs or textual sources that were instrumental in the formation of my childhood. 

My kids now get their kicks without even moving, through the hyper-reality world of simulacra by only moving their thumb on their iphones that they carry everywhere. 

My narrative, as with my Mom (who is gradually losing her short-term memory) and my late father, is losing its signs.

Many people (including me!) tend to forget that everything is transient. Nothing stays. Everything will pass. Life is a gift. That is why we need to honour the 'present', as we look back at the past.

DEKAT DI JANTUNG YU XIN

DEKAT DI JANTUNG YU XIN Apa yang tersurat di wajah mungkin tak sama denga apa yang dibaca oleh ECG. Ini yang diterokai oleh Yang Yu Xin. Dia...