Setelah tujuh
tahun memakai baju tukang kebun muzium dan galeri universiti, saya
tanggal dan simpan dalam almari. Ada banyak kesan yang mungkin tak
terbasuh dan tertanggal walaupun dengan sabun basuh yang kuat. Bau pun susah nak tanggal. Baru-baru
ini, saya kena pakai-semula.
Hampir di semua universiti di Malaysia, tersimpan himpunan khazanah dan koleksi warisan ilmu sains, seni, budaya, sejarah yang adakalanya seperti terpinggir. Semuanya hadir dalam bentuk karya-karya seni, artifak budaya dan sejarah, dokumen, manuskrip, spesimen. Ada berpuluh-puluh muzium dan galeri universiti di rantau Asia Tenggara, kesemuanya persis pulau-pulau kecil yang terpencil dalam lautan kampus masing-masing.
Tapi sebelum tu, seperti juga banyak filem-filem dan drama Melayu, izinkan saya flashback kejap.
Sekitar 2009, Ahmad Mashadi, Shabir Mustaffa (Muzium NUS, Singapura), Prof. Patrick Flores (Vargas Museum & Gallery, University of Philipphines-UP, Manila) dan saya, berjumpa ketika persidangan UMAC (University Museums & Collections) dan ICOM (International Council of Museums)di Shanghai China. Di sebuah kafe kopi pekat, kami berbincang sambil memasang angan-angan untuk menghubungkan pulau-pulau (muizum dan galeri universiti) yang adakalanya di'pulaukan' ini dalam satu rangkaian serantau, agar suara Asia Tenggara lebih bergema dalam UMAC yang dinaungi oleh ICOM. Kami merasakan UMAC adakalanya terlalu pekat bau saka kolot-nialnya, dan berwajah terlalu pucat (putih). Nadanya terlalu mono.
Niat dan angan-angan awal ini disusul Persidangan Antarabangsa UMNET (Universiti Museums Network, South East Asia) yang pertama di UP, Manila. Dalam persidangan ini, beberapa muzium dan galeri universiti di sekitar Manila turut serta, begitu juga dengan Galeri Soedmadja di Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia. Pak Aminuddin Siregar dan Pak Deden mewakili Galeri Soedmadja. Aminuddin juga seorang kurator dan penulis seni rupa yang prolifik dan terkenal di Indonesia. Deden lebih dikenali dalam bidang fotografi dan rekabentuk.
Persidangan pertama ini disusul persidangan kedua di MGTF (Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM. Ketika persidangan ini, satu jawatankuasa interim dibentuk. Aminuddin dipilih Presiden, saya jadi naibnya. Deraf 'perlembagaan'nya dibentuk oleh pasukan Ahmad dari NUS,yang bertindak sebagai sekretariat. Denai awal membina profil serantau dan antarabangsa untuk muzium dan galeri universiti di Malaysia dan Asia Tenggara sudah dibuka. Kerja buka denai awal seolah dah jadi job spec wajib saya.
Malangnya, selepas persidangan kedua, ia senyap seketika, mungkin kerana semua (Aminuddin, Ahmad, Patrick, saya dll) sibuk, dan kekangan kewangan (tajaan). Aminuddin pula kehilangan beberapa orang kuat (anak-anak didiknya) yang hampir semua (yang saya kenal ada empat) telah menjadi antara seniman superstar muda di Indonesia. Aminuddin yang saya kenal, lebih gemar aktiviti dalam bentuk pameran, persembahan, bengkel dan penerbitan dari hanya bersidang dan berbincang. Dia juga selalu sibuk dengan Biennial antarabangsa.
Ketika persidangan UMAC di Singapura pada 2011, Ahmad dan saya berjumpa lagi, kali ini disertai oleh Dr. Nor Edzan (Ketua Perpusakawan Universiti Malaya, yang juga dipertanggungjawabkan dengan Muzium Seni Asia dan Galeri Seni Universiti Malaya). Dari situ, timbul minat untuk 'memanaskan' semula UMNET. Selepas pulang dari Singapura, Dr. Edzan mengatur suatu mesyuarat awal untuk menubuhkan MyUMNET (peringkat Malaysia), bagi menyatukan kesemua muzium dan galeri universiti tempatan dalam satu naungan kebangsaan (dan kemudiannya serantau).
Tak lama lepas tu, saya terpaksa menggalkan baju 'tukang kebun' pada 2012 untuk memberi tumpuan pada 'hidup'. MyUMNET senyap kembali.
Baru-baru ini, saya dijemput oleh Aziz (Ketua Muzium dan Galeri UM) untuk membentangkan kertas-kerja sempena perbincangan meja bulat penubuhan MyUMNET. Aziz jejak saya menerusi blog.
Ternyata Dr.Edzan komited dengan benih niat awal yang ditanam dulu. Awalnya saya tolak kerana dah simpan baju tukang kebun. Lagipun, kebun tumpangan saya di belakang MGTF USM pun dah diarah tutup kedai.
Tapi kerana memikirkan UMNET ni angkara saya memandai-mandai dengan Ahmad dan Prof. Patrick di Shanghai dulu, dan mengambil-kira permintaan kawan-kawan dari UM, saya menerimanya.
Syukur, ianya berjalan dengan baik. Saya bentang kertas tentang kreativiti, Aminuddin tentang pengalaman Galeri Soedmadja dan Aziz tentang dasar dan polisi. Selepas pengenalan pendek dari setiap muzium dan galeri universiti yang menghantar wakil (UPM, UKM, UMP, UMS, UUM, UPSI), sebuah jawatankuasa MyUMNET dibentuk.
Beberapa isu dibincangkan, yang paling kritikal adalah soal kemahiran kuratorial dan strategi kerjasama yang boleh meringankan kekangan peruntukan serta kewangan. Isu kuratorial dan kekangan kewangan dah jadi badi wajib, yang sebenarnya ada penawar. Pembentangan dari Pak Aminuddin boleh dijadikan contoh, bagaimana Galeri Soedmadja kini telah menjadi galeri paling aktif, dipandang tinggi dan 'in-demand' di Bandung, jika tak pun di Indonesia, walaupun tidak mendapat peruntukan kewangan besar dari institusi (ITB). Sepuluh tahun sebelum itu, ia hanya gudang buruk. Tak payahlah saya cerita tentang pengaslaman berkebun di MGTF USM.
Saya doakan jawatankuasa ini dapat merealisasikan segala yang pernah diangan-angankan sewaktu ide awalnya dicetus dulu. Jika tiada aral, diharap dapat dianjurkan persidangan peringkat Asia Tenggara dan dilantik jawatankusa peringkat serantau yang baru. Semasa melawat Muzium dan Galeri Bank Negara yang gah hari tu, ada tawaran penajaan. Bila dah buka buka niat baik, Allah akan beri jalan, kadang-kadang hampir serta-merta, jika hati kita ikhlas dan takda udang sebalik mee.
Terima kasih tidak terhingga buat rakan-rakan dari Muzium Seni Asia dan Galeri Seni Universiti Malaya atas kesudian menjemput saya, juga kejayaan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat baru-baru ini. Tahniah atas usaha menubuhkan Malaysian University Museums Network (MyUMNET). Terima kasih atas cadangan menjadikan saya penasihat. Doakan saya sihat.
Terima kasih juga kepada kawan-kawan lain dari beberapa muzium dan galeri UMS, UPM, UKM, UPSI, UMP, UUM atas sokongan dan kesudian mendengar saya merapu tentang kreativiti. Kreativiti tak boleh diakses menerusi KPI Universiti yang bias otak kiri. Mohon maaf jika terpaksa dengar saya mencubit galeri korporat universiti (untuk menunjuk-nunjuk 'kejayaan') dan mengusik sikap segelintir dalam akademia (terutama yang terlebih guna otak kiri) terhadap kewujudan dan peranan muzium dan galeri dalam sesebuah universiti.
Sebagai 'orang gaji' rakyat Malaysia, saya mendoakan agar kita semua dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan hidayah berterusan dari ALLAH. Semoga segala 'gaji' dan 'peruntukan' yang dilabur dan disumbangkan oleh rakyat dapat dipulangkan dividennya semula kepada mereka dalam bentuk khazanah dan warisan ilmu yang bernilai merentas zaman, juga merentas dan berhijrah dari KPI ke KPA (Key Performance Akhirat). Untuk manusia macam saya yang pelupa, ianya lebih afdal.
InsyaAllah.