Cikgu Mau Khoon Thye dgn anak didik istimewanya, Clement. Foto dari program #gemaBELAS2017 di SKC Aik Hua berjudul #BELASalamAikHua, George Town, Pulau Pinang, Mac 2017x
Berikut adalah versi pendek dari entry blog terdahulu (2014) berkait dengan pembinaan naratif dalaman yang dipacu oleh keikhsanan. http://hasnulsaidon.blogspot.my/2014/11/naratif-peribadi-pagi-jumaat.html?m=0
James Doty, seorang profesor pakar-bedah neuro (neurosurgeon) dan Pengarah Center for Compassion and Altruism Research (CCARE) di Stanford University California, mengatakan bahawa sifat keikhsanan (compassion) boleh menjadikan kita sihat, panjang umur dan menyumbang kepada dunia yang lebih baik.
Menurut Prof. Doty lagi, keikhsanan boleh meningkatkan kualiti hubungan peribadi, mengurangkan pemanasan dalam badan, memperbaiki fungsi jantung, dan memanjangkan telomere (DNA yang melindungi bahagian hujung kromoson kita).
Debat tentang keikhsanan berlegar antara keikhsanan yang tertanam dalam DNA dengan yang dibentuk oleh faktor persekitaran (nature and nurture). Faktor persekitaran ini termasuklah usaha merangka program latihan yang boleh meningkatkan daya keikhsanan seseorang.
Menurut Prof. Doty lagi, penyelidikan lepas telah menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan pada manusia, berdasarkan aspek evolusi, untuk mentakrif diri berdasarkan apa yang diistilahkan sebagai 'in-group' dan 'out-group'. Ada yang menamakannya 'selfish genes' (Hawkins, kalau tak silap). Kajian sosial dan budaya memanggilnya sentrik-bangsa (ethno-centric), yang juga boleh dipalitkan dengan sentrik-agama (religio-centric) atau kedua-dua sekali, ethno-religiocentric. Saya pernah dikhutbahkan bahawa sentrik ni fitrah, cuma jika ia dijadikan sebab untuk membuat kerosakan terhadap 'orang lain', ia jadi asabiah terlajak laris (melampau). Boleh merosakkan sesiapa jua, tak kiralah apa pun nama atau jenis bangsa, dan negara.
Pada pendapat Prof. Doty, satu cara untuk menjinakkan 'asabiah melampau' ini adalah dengan mengenal 'orang lain', maksudnya, mendekati sesiapa jua yang selama ini kita tidak anggap sebagai sebahagian dari 'in-group' kita, atau 'orang kita' atau 'kroni kita'. Kata Prof Doty, mungkin kita akan dapati bahawa "well, it turns out that they want their children to be educated like mine. They have the same interest in seeing X, Y or Z to occur, just like me. It has a profound effect on how you perceive your responsibility to others. It gives you the realisation of our shared humanity and interdependence. It changes how you interact."
Keikhsanan merujuk juga kepada psikologi keterlibatan (psychology of engagement) yang mempengaruhi psisiologi kita juga. Keterjalinan manusia menerusi teknologi komunikasi, media sosial umpamanya, boleh dijadikan wahana dan pemacu keikhsanan, bukan kebencian, syak wasangka, curiga, dengki dan sebagainya.
Mengenal 'orang lain' atau 'satu sama lain' juga sering dikuliahkan pada abang yang rock ni oleh aruah ayahanda, guru-guru dan rakan-rakan yang alim dan warak, berdasarkan sepotong ayat dalam Quran yang abang tak ingat surah dan nombor ayatnya (semasa menulis ni). Ia merupakan susulan dari ciri 'kepelbagaian' yang Allah ciptakan untuk manusia (pelbagai bangsa). Dalam kepelbagaian, ad kesatuan, itulah yang selalu dilaungkan oleh otai abang Sulaiman Esa, yang menyahut laungan otai dia, Allahyarham Ismail Faruqi.
Abang yang rock ni juga sering dikhutbahkan oleh aruah ayahanda tentang pesanan (hadis) Nabi Muhammad S.A.W agar kita tidak melakukan perkara yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan pada diri kita. Mensejahterakan silaturrahim memanjangkan umur, ini dah ditanam dalam pelbagai budaya, termasuk budaya Islam dan resam orang Melayu, tak perlu tunggu kuliah Prof. Doty.
Mengenal orang lain juga dikategorikan dalam kerangkan 'habluminannas' atau hubungan sesama manusia, yang wajib disejahtera atau dilestarikan. Putusnya hubungan sesama manusia adalah benih kehancuran (juga ketamadunan). Kalau tak nak bertegur dan berkawan pun, sekurang-kurangnya tak bermusuh, panjangkan doa yang baik-baik, atau hidupkan berbaik sangka. Salah satu dari amanah manusia sebagai khalifah adalah menjaga hubungan sesama umat manusia (manusia ok, sejagat, merentas segala bentuk identifikasi). Gitulah yang abang faham lebih kurang, dari guru-guru.
Ringkasnya, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' adalah denai mencapai keikhsanan. Abang juga ingin masukkan 'makhluk lain' (tumbuhan, binatang, organisma, termasuklah makhluk halus) dalam hal mengenal ini. Bila ada rasa ikhsan, ada rasa hormat.
Pada abang la (bukan 'bangla' ya), naratif dalaman yang terbina dari mengenal satu sama lain ini adalah naratif yang inklusif, dipacu oleh rasa ikhsan (compassion) dan hormat (respect). Ia menjadi alternatif dan pengimbang untuk naratif ekslusif asabiah terlajak, yang dipacu oleh rasa angkuh (juga dengki serta curiga).
Dalam amalan akademik, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' dirujuk sebagai kaedah pengumpulan data primer, langsung dari sumber subjek (orang lain) yang ingin dikenali. Ini termasuklah pi mengadap, berjumpa, berbual, berkongsi pendapat dan rasa, bertukar pandangan dan rasa, dengan subjek yang ingin dikenali, dalam persekitaran atau habitat dia (bukan kita). Ini membolehkan kita membina rasa ikhsan, dan memahami 'naratif dalaman' nya. Boleh panjang umur ok.
No comments:
Post a Comment