Monday, 27 October 2025

SENADI DGN PAKLAN

 





“Segala yang berlaku dalam hidup ini adalah untuk mengingatkan kita kepada Tuhan. Bila hati redha, jiwa akan mula ‘terbang’ menuju-Nya.”

Begitulah kata Prof Hasnul (Kebun Jiwa Halus) sambil menunjukkan Paklan pada arca kuda terbang yang seolah-olah meluncur masuk ke dalam lukisan surreal di dinding galeri.

Ketika itu kami sedang duduk bersama di salah satu sudut ‘art installation’ beliau di ruang galeri. Niat asal hanyalah untuk merakam gambar kenangan bersama. Namun bila Prof mula bersuara, kata-katanya bagaikan cahaya menyusup masuk dan menyentuh ruang hati yang paling dalam.

Beliau seakan merasai pergolakan jiwa yang Paklan tempuh. Ada ayat yang dituturkannya seolah-olah mengetahui rahsia yang Paklan sembunyikan. Ia seperti wahyu kecil yang tersisip dalam kelembutan.

Bicara beliau Paklan amati. Suasana riuh-rendah disekitar galeri seperti terhenti. Segalanya menjadi senyap. Yang tinggal hanya dua insan, seorang guru, dan seorang murid.

“Saya dah rasa derita, bahagia… dan kini derita semula,” luah Paklan perlahan, seperti anak yang mencurahkan isi hati kepada bapanya. “Macam dah lengkap pusingan hidup. Sekarang saya faham apa yang prof cuba sampaikan.”

Perbualan kami berakhir dengan satu salam yang mesra, berat dengan makna yang tidak diucapkan. Paklan kemudian berlalu, membiarkan dirinya ditelan karya-karya yang terpamer.

“Lama betul ‘you’ duduk sembang dengan Prof?” tegur isteri pertama Paklan.

Paklan hanya tersenyum. Aneh rasanya kerana bagi Paklan, pertemuan tadi terasa cuma sekejap.
—————
Pameran lukisan dan arca SeNadi SeNafas sedang berlangsung di Galeri Shah Alam sehingga 19 Jun 2025. Pameran kecil di galeri kecil tetapi melibatkan dua tokoh besar dan karya yang hebat, Prof Hasnul Jamal Saidon dan Raja Shahriman Azzidin.

-Catatan 31 Mei 2025

No comments:

Post a Comment

CUSTODIAN OF THE EARTH

  The sky was getting dark. We passed through the east hill of Dayang Bunting island towards the straits between the island and its neighbou...