KEBUN JIWA HALUS & ORIONIDS
Menghidangkan
DARI PAK MAIL KE DR.CHONG
Mendepani-semula tradisi dari sisi fizik
kuantum
"Keyakinan
saya sendiri adalah bahawa dengan teori-teori sains mengenai relativity,
infinity, dematerialization, implosion dan sebagainya, penghantar
pengalaman kuno masa hadapan bukanlah sejarah atau antropologi, tapi
fizik."
(Ismail Zain,
1974. Dipetik dari "Masa Depan Tradisi - Dikhususkan kepada Pengalaman
Kuno di Malaysia " dalam Ismail
Zain Retrospective Exhibition 1964-1991, National Art Gallery, Kuala
Lumpur, ms 91)
Sabtu 10 September 2016
Kebun d7 Tingkat Permai
Bukit Gambir, 11700 Gelugor, Pulau
Pinang
8 malam
Tempat terhad. Sila teks Kebun di 017 5047743
Petikan di atas ditulis 42 tahun
yang lepas. Ketika itu usia saya 9 tahun. Saya hanya membacanya setelah berguru
dengan Pak Mail (Ismail Zain) dari 1988-90. Sejak itu, saya sering
mengulanginya. Tiap kali saya baca petikan tersebut, rasa resah. Kenapalah Pak
Mail sebut Fizik? Sebutlah matapelajaran lain. Keputusan SPM saya untuk Fizik
kurang satu takuk saja untuk gagal, hampir berjaya mendapat gred ‘F’. Keputusan
matapelajaran Matematik usah tanya, itu kenangan trajis. Sebab itulah, untuk
sekian lama, saya pinggirkan pesan Pak Mail.
“Bukan boleh ikut sangat pesan tok
guru aku ni. Pening dibuatnya nanti. Aku orang otak kanan, apasal pulak nak
kena layan otak kiri!”
Pesan Pak Mail ini terpinggir
hinggalah bila saya berpeluang keluar dari tempurung, cuba melihat dunia dari
mata burung. Saya cuba layan ‘otak kiri’ sedikit demi sedikit bermula dari
semasa belajar di luar Negara. Asalnya atas tiket biasiswa dalam bidang catan,
tapi kemudiannya ingkar, menukar ikut syok sendiri ke bidang seni elektronik. Mujur
tidak dipanggil pulang. Saya layan Fizik Kuantum hingga kepala jadi angin walaupun
tak minum air ketum.
Bila pulang sekitar 1993, saya
berapi, sibuk mencanang agenda otak kanan wajib nikah dengan otak kiri.
Sebabnya untuk membina insan yang berimbangan dan tak senget, untuk membuka hijab
dengan getaran otak tengah, untuk hijrah dan pulang ke fitrah, untuk
transformasi, untuk membina peradaban yang hebat, yang mengimbangi rohani dan
jasmani, sains dan seni, tradisi dan teknologi. Fuhhhh. Saya pakai banyak
dalil, antara yang kerap tentu sekali petikan tulisan Pak Mail di atas. Tapi saya
petik je, belum betul-betul menghadamnya. Masih ada keresahan kecil. Masih
segan dengan sains, terutama Fizik Kuantum.
Semasa saya tercampak ke Kota
Samarahan di Sarawak, ada kebun baru di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Bersama kawan-kawan, dan atas restu bos-bos (Naib Cancelor dan Timbalan Naib
Canselor) yang juga percaya kepada gabungan otak kiri dan kanan, kami buka
tanah, membajak, tanam benih. Seni, sains, tradisi, teknologi semua mesra. Petikan
Pak Mail masih saya guna. Saya pula makin ghairah dengan wacana Fizik Kuantum. Resah
tetap ada, terutama kerana tiada guru.
Setelah tercampak ke Pulau
Mutiara (Pulau Pinang), saya cuba gagahkan agnda yang sama. Kebunnya lain.
Namanya Muzium & Galeri Tuanku Fauziah. Feminin dan berdaulat. Di kebun ini,
ada ‘turning point’. Saya jumpa seorang insan yang boleh saya jadikan guru tak
formal. Nama dia Chong Hon Yew. Panggilan mesra Dr. Chong. Sesekali saya usik dia
dengan istilah-istilah Fizik Kuantum yang saya kutip sana-sini. Dia
terperanjat. Ya la kan, orang otak kanan bidang seni mana boleh cakap dalam
bahasa orang otak kiri. Air dengan minyak mana boleh campur. Mana boleh jadi
modal Phd. Tapi, saya tak peduli, masih cuba menggagahi petikan Pak Mail di
atas. Saya kata pada Dr. Chong, jika rujuk tradisi, sains dan seni tak pernah
pun berperang, atau saling berdengki. Tradisi mengembalikan kita pada fitrah,
yang mengimbangi otak kiri dan kanan dalam kesatuan yang seimbang. Untuk cerita
dan drama panjang saya bersama Dr. Chong, sila rujuk ke sini
Kini, setelah 42 tahun, tentu
sekali ‘masa hadapan’ yang disebut Pak Mail adalah sekarang. Saya usahakan ‘sekarang’
yang terisi dengan mendepani-semula tradisi dari sisi dan bahasa Fizik Kuantum.
Dari Pak Mail, sekarang saya
berguru pula dengan Dr. Chong. Jomla, ikut serta, kalau nak la.
Berikut adalah topik-topik yang akan kami bincangkan.
Bunyinya menakutkan, tapi insyaAllah, kita sama-sama dapat pencerahan:
Ø
Realiti berasaskan ‘saksi’
Ø
Ilusi benda
Ø
Pelbagai tingkatan alam dan dimensi tambahan
Ø
Saling-bertaut, Tautan Kuantum Sejagat dan
Kesatuan Medan Kearifan YangTunggal
Ø
Model otak kuantum
Ø
Perkaitan antara makrosom dan mikrosom
Ø
Kuasa yang saling-melengkapi, polariti dan
vortex yang berpusar
Ø
Kesedaran tinggi menerusi penafian ruang-masa
mutlak, dan
Ø
Geometri sebagai ‘tatabahasa harmoni’.
No comments:
Post a Comment