Friday, 2 September 2016

DARI PAK MAIL KE DR.CHONG

KEBUN JIWA HALUS & ORIONIDS
Menghidangkan
  




DARI PAK MAIL KE DR.CHONG
Mendepani-semula tradisi dari sisi fizik kuantum


"Keyakinan saya sendiri adalah bahawa dengan teori-teori sains mengenai relativity, infinity, dematerialization, implosion dan sebagainya, penghantar pengalaman kuno masa hadapan bukanlah sejarah atau antropologi, tapi fizik." 
(Ismail Zain, 1974. Dipetik dari "Masa Depan Tradisi - Dikhususkan kepada Pengalaman Kuno di Malaysia " dalam Ismail Zain Retrospective Exhibition 1964-1991, National Art Gallery, Kuala Lumpur, ms 91)

Sabtu 10 September 2016
Kebun d7 Tingkat Permai
Bukit Gambir, 11700 Gelugor, Pulau Pinang

8 malam

Tempat terhad. Sila teks Kebun di 017 5047743



Petikan di atas ditulis 42 tahun yang lepas. Ketika itu usia saya 9 tahun. Saya hanya membacanya setelah berguru dengan Pak Mail (Ismail Zain) dari 1988-90. Sejak itu, saya sering mengulanginya. Tiap kali saya baca petikan tersebut, rasa resah. Kenapalah Pak Mail sebut Fizik? Sebutlah matapelajaran lain. Keputusan SPM saya untuk Fizik kurang satu takuk saja untuk gagal, hampir berjaya mendapat gred ‘F’. Keputusan matapelajaran Matematik usah tanya, itu kenangan trajis. Sebab itulah, untuk sekian lama, saya pinggirkan pesan Pak Mail.

“Bukan boleh ikut sangat pesan tok guru aku ni. Pening dibuatnya nanti. Aku orang otak kanan, apasal pulak nak kena layan otak kiri!”

Pesan Pak Mail ini terpinggir hinggalah bila saya berpeluang keluar dari tempurung, cuba melihat dunia dari mata burung. Saya cuba layan ‘otak kiri’ sedikit demi sedikit bermula dari semasa belajar di luar Negara. Asalnya atas tiket biasiswa dalam bidang catan, tapi kemudiannya ingkar, menukar ikut syok sendiri ke bidang seni elektronik. Mujur tidak dipanggil pulang. Saya layan Fizik Kuantum hingga kepala jadi angin walaupun tak minum air ketum.

Bila pulang sekitar 1993, saya berapi, sibuk mencanang agenda otak kanan wajib nikah dengan otak kiri. Sebabnya untuk membina insan yang berimbangan dan tak senget, untuk membuka hijab dengan getaran otak tengah, untuk hijrah dan pulang ke fitrah, untuk transformasi, untuk membina peradaban yang hebat, yang mengimbangi rohani dan jasmani, sains dan seni, tradisi dan teknologi. Fuhhhh. Saya pakai banyak dalil, antara yang kerap tentu sekali petikan tulisan Pak Mail di atas. Tapi saya petik je, belum betul-betul menghadamnya. Masih ada keresahan kecil. Masih segan dengan sains, terutama Fizik Kuantum.

Semasa saya tercampak ke Kota Samarahan di Sarawak, ada kebun baru di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Bersama kawan-kawan, dan atas restu bos-bos (Naib Cancelor dan Timbalan Naib Canselor) yang juga percaya kepada gabungan otak kiri dan kanan, kami buka tanah, membajak, tanam benih. Seni, sains, tradisi, teknologi semua mesra. Petikan Pak Mail masih saya guna. Saya pula makin ghairah dengan wacana Fizik Kuantum. Resah tetap ada, terutama kerana tiada guru.

Setelah tercampak ke Pulau Mutiara (Pulau Pinang), saya cuba gagahkan agnda yang sama. Kebunnya lain. Namanya Muzium & Galeri Tuanku Fauziah. Feminin dan berdaulat. Di kebun ini, ada ‘turning point’. Saya jumpa seorang insan yang boleh saya jadikan guru tak formal. Nama dia Chong Hon Yew. Panggilan mesra Dr. Chong. Sesekali saya usik dia dengan istilah-istilah Fizik Kuantum yang saya kutip sana-sini. Dia terperanjat. Ya la kan, orang otak kanan bidang seni mana boleh cakap dalam bahasa orang otak kiri. Air dengan minyak mana boleh campur. Mana boleh jadi modal Phd. Tapi, saya tak peduli, masih cuba menggagahi petikan Pak Mail di atas. Saya kata pada Dr. Chong, jika rujuk tradisi, sains dan seni tak pernah pun berperang, atau saling berdengki. Tradisi mengembalikan kita pada fitrah, yang mengimbangi otak kiri dan kanan dalam kesatuan yang seimbang. Untuk cerita dan drama panjang saya bersama Dr. Chong, sila rujuk ke sini


Kini, setelah 42 tahun, tentu sekali ‘masa hadapan’ yang disebut Pak Mail adalah sekarang. Saya usahakan ‘sekarang’ yang terisi dengan mendepani-semula tradisi dari sisi dan bahasa Fizik Kuantum.

Dari Pak Mail, sekarang saya berguru pula dengan Dr. Chong. Jomla, ikut serta, kalau nak la.

Berikut adalah topik-topik yang akan kami bincangkan. Bunyinya menakutkan, tapi insyaAllah, kita sama-sama dapat pencerahan:

Ø  Realiti berasaskan  ‘saksi’
Ø  
  Ilusi benda
Ø  
  Pelbagai tingkatan alam dan dimensi tambahan
Ø 
 Saling-bertaut, Tautan Kuantum Sejagat dan Kesatuan Medan Kearifan YangTunggal
Ø  
  Model otak kuantum
Ø  
  Perkaitan antara makrosom dan mikrosom
Ø  
  Kuasa yang saling-melengkapi, polariti dan vortex yang berpusar
Ø  
  Kesedaran tinggi menerusi penafian ruang-masa mutlak, dan
Ø  
  Geometri sebagai ‘tatabahasa harmoni’.




     

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...