Tuesday, 15 March 2016

ADA KAMU KESAH

Guru saya 'Pak Mail' (Ismail Zain) memang legen (pada saya la), yang memiliki sifat multi-dimensi dgn kearifan selamber serta kenakalan fikir yang sering buat minda saya yg belum bangun waktu belajar dulu, segar. 

Saya kongsi sikit sisi saya tentang karya "Al-Kesah" . 

Ia dah jadi macam kawan lama, yang telah meninggalkan sesuatu yang amat berbekas dalam diri saya. Kali pertama, ketika dalam studio lukisan tahun 4 (tahun akhir) di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka ITM. Ketika tu saya (dan rakan-rakan sekelas) dikhutbahkan tentang semiotik oleh Pak Mail (Ismail Zain), yang mengajar kami lukisan. Beliau sempat menunjukkan slide kolaj digital, termasuk "Al-Kesah". 

"Sekarang kalau ke kampung, jangan terkejut kalau dengaq depa gossip tentang JR Ewing, Bobby, Pamela. Siapa bunuh JR? Bini dia sendiri kot? Apa jadi dengan Bobby dan Pamela?..... Ahli keluarga Ewing dalam drama Dallas di tv, sekarang ni dah jadi orang kampung. Cerita mereka pun boleh jadi bahan gosip kedai kopi di kampung." Gitulah lebih kurang diceritakan pada kami oleh Ismail Zain, sambil melakonkan watak makcik-makcik mengumpat. Kami senyum, mungkin sebab masih kurang fasih tentang globalisasi, atauinstant communication dan segala teori informasi berat2. 

Kali kedua, ketika di rumah Ismail Zain sendiri, yang berkhutbah tentang cultural anthropology sambil menunjuk-nunjuk komputer Apple dia (kini dah pupus). Dia sebut nama-nama orang yang saya tak kenal  - Strauss, Berger, Sontag, MacLuhan, dll. Saya angguk-angguk je, segan ngaku bodo.

Kali ketiga, sewaktu buat Masters di USA, saya buat satu tugasan tentang Ismail Zain. Saya rujuk semula "Al-Kesah", sebab rasa dah pandai sikit setelah berkenalan dengan nama-nama yang disebut Ismail Zain sebelum ini, menerusi buku-buku mereka, terutama yang berkait dengan semiotik. Terkejut juga profesor minah saleh saya, mungkin dia ingat takda pelukis Malaysia yg pintar dan nakal sekaligus.

Keempat, selepas pulang dari USA. Bersama dengan Niranjan Rajah, kami mengumpul-semula karya-karya kolaj digital Ismail Zain untuk dipamer dalam satu bilik khas, sebagai tribut kepada beliau selaku pelopor seni elektronik di Malaysia, dalam pameran Seni Elektronik Pertama (1997). 

Kali kelima, ketika memujuk Puan Wairah untuk menjual karya "Al-Kesah", bersama dua lagi karya kolaj digital yang lain, untuk dijadikan sebahagian dari Koleksi Seni Halus USM. Wairah jual dua, hadiahkan satu. Syukur, kini "Al-Kesah" ada dalam Koleksi Seni Halus USM. Jika rindu, saya boleh singgah je ke sana.

(Tautan ke Koleksi USM http://issuu.com/mgtfusc )

Kini, setelah semakin meningkat usia (tak mau mengaku tua!), saya semakin menghargai peninggalan Pak Ismail. Seperti juga peninggalan arwah ayahanda Saidon, yang ditinggalkan bukanlah hanya sekadar 'benda' berjasad yang boleh kita kumpul, dokumen, simpan. Yang berjasad adalah tanda, tingkap, pintu, denai atau laluan untuk kita merenung lebih jauh hingga menembus hijab minda dan rasa kita sendiri. 

"Al-Kesah" menjadi tanda reflektif, yang mengisahkan perjalanan minda dan rasa saya sendiri, yang membuka lapisan demi lapisan fikir serta rasa, memanjat beberapa tingkatan renungan yang membolehkan saya menjadi 'saksi' terhadap perbuatan minda saya sendiri. 

Oleh itu, tinggalan mereka yang lebih molek dan afdal dilestarikan adalah tinggalan warisan 'tak ketara' (intangible), terutama sekali nilai ilmu yang amat kaya, yang boleh kita jadikan denai untuk membuat refleksi terhadap dunia, masyarakat sekeliling, dan yang paling utama, diri kita sendiri. Tentu sekali kita mahu mengingati seniman yang telah meninggal dunia. Namun, tinggalan yang terbaik dari seorang yang telah meninggal dunia, adalah warisan ilmu serta nilai-nilai batin yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang masih hidup.   

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...