Monday, 10 November 2014

NARRATIF PERIBADI SENI RUPA DI MALAYSIA



Adik-adik yang disayangi, ni abang nak kongsi naratif peribadi.  


Salah seorang otai rujukan abang ialah bekas bos, Prof. Wan Zawawi Ibrahim yang kini sedang bermukim di Brunei Darussalam. Tahun lepas, dia berikan abang buku “Social Science and Knowledge in a Globalising World”(2012). Terima kasih Prof. Abang memang suka layan hal-hal globalisasi ni, yang abang juga mesrakan dengan panggilan ‘global-lu kasi’ dan ‘globali-basi’.   

Kita sama-sama doakan Prof. sihat, bahagia dan produktif, sentiasa dapat  Petunjuk. Abang dah khatam membaca buku yang dihadiahkan. 


Berikut abang kongsi ulasan Dr. Wan Zawawi terhadap salah satu esei dalam buku tersebut, berjudul  “Culture as a Site of Struggle : The Contribution of Cultural Studies” (Kebudayaan Sebagai Lapangan Pergelutan: Sumbangan Kajian Budaya) oleh Ian Ang. 


Ulasan ini ada kaitan dengan lensa yang abang selalu pakai dalam mendepani kerja-kerja akademik, baik dari segi teori mahupun pengkaryaan.
 

 “Looking to the future of cultural studies, specifically in relation to how an ‘interdiscipline’ will be able to maintain a space for itself in the uneven and moving terrain of disciplinary intermixture, Ang suggests that it is perhaps ‘the space of the “inter” – the in between…a position riven by ambivalence, marked by both insecurity and creativity, brought about by the ambiguities of (un)belonging’ that cultural studies may come to occupy. For her, it is this ‘intellectual hybridity’, this ‘hybrid space within the epistemic landscape of the humanities and social science today’ that cultural studies should seek to explore.”


Ayatnya boleh membelit lidah, mensembelit minda. Biasalah, ni cara cakap orang akademik atas langit. Abang turunkan ke bumi. Ia merujuk pada usul mengajak mereka yang terlibat dalam bidang sains sosial dan kajian budaya untuk buat kajian berkaitan dengan fenomena sosial dan budaya yang masih jarang diterokai. Fenomena ini melibatkan ruang baru, yakni ruang-ruang antara pelbagai bidang, melibatkan fenomena sosial dan budaya yang masih kabur atau belum begitu difahami. Ia menyediakan satu lensa intelek (buah fikiran bijak dan pandai) yang bersifat hibrid (gabungan) dari pertemuan pelbagai bidang ilmu untuk menerang dan memahami sesuatu fenomena sosial dan budaya, terutama yang melibatkan masa depan.


Pernyataan di atas lebih menarik bila dibaca dalam konteks naratif yang dicetuskan oleh wacana berbentuk penulisan (ada bermacam jenis wacana) tentang seni moden dan kontemporari di Malaysia, ringkasnya seni rupa. Sebelum abang sibuk nak menunding-nunding, perlu nyatakan di sini bahawa abang sendiri pun merupakan sebahagian dari pewacana, baik dalam bentuk tulisan, perbualan, dialog mahupun pengkaryaan. Pewacana yang lain pula juga kenalan abang juga, termasuk beberapa otai dan adiguru yang abang hormati. 


Wacana penulisan digerakkan oleh pelbagai naratif (ada juga yang boleh dibaca sebagai hikayat dan mitos). Bila abang baca dan renung-semula penulisan sendiri dan rakan-rakan, buat muhasabah sikit, abang terjumpa bermacam-macam strategi retorika wacana, termasuklah yang bersifat ‘wa caya sama lu’, yakni mengenengah, menaikkan, mengangkat-angkat, memuji-muji diri sendiri atau seorang atau sekumpulan pengkarya sebagai wahana untuk mengangkat sesuatu ideologi.  


Soalannya untuk diri abang sendiri dan adik-adik, jika dikaitkan dengan petikan di atas, apakah segala naratif tersebut telah meneroka ruang ‘interdiscipline’ (antara-bidang) dalam medan persilangan bidang ilmu yang sudah bercampur-baur (intermixture)? Adakah naratifnya telah meneroka ruang ‘antara’ – ruang yang masih kabur, yang ditandai oleh rasa tidak selamat dan juga kreativiti, ruang yang belum begitu didiami atau dimiliki, ruang hibrid? 


Apa jawapan adik-adik? Tapi kalau adik-adik sendiri pun tak membaca penulisan abang dan rakan-rakan lain, macam mana nak jawab kan?


Dah baca ke belum ke, ni abang nak kongsi sikit la.


Pada pandangan abang yang rabun ni, ruang wacana penulisan seni rupa di Malaysia dipacu oleh narratives (juga counter-narratives dan inter-narratives ) yang sering dikepung oleh penentangan binari atau dikotomi mudah dan sudah dijangka. Ia sudah terlalu ditipis, tepu dan lesu digunakan sejak tahun 70an abad lepas lagi. Malah, sudah terlalu ramai penulis yang memakainya berulang-ulang, hingga naik sesak dan senak pulak abang rasa. 


Pada pandangan seposen abang, ruang wacana para penulis dan pewacana penulisan seni rupa di Malaysia masih obses dengan wacana induk ‘mencari dan membina identiti’ dengan naratif yang dipasung oleh kerangka dikotomi atau binari. Untuk bebelan ni, kita guna istilah dikotomi, atau pertentangan antara dua naratif tentang identiti. Dikotominya adalah antara identiti yang ditentukan oleh otoriti atau authority-defined dan identiti yang ditentukan seharian atau everyday-defined (abang pinjam istilah pandai ini dari Prof. Shamsul Amri, sorang lagi otai). Ini satu dikotomi yang cukup suka ditunggangi oleh ramai penulis seni rupa di Malaysia sampai sekarang, berulang-ulang macam ulangtayang dalam TV, walaupun kudanya dah semakin tua.  


Pada pandangan rabun abang la, jika wacana seni rupa di Malaysia masih lagi dipasung oleh dikotomi naratif sebegini, sejak tahun 70an hingga sekarang, ia takkan ke mana-mana. Diperakui ia penting, tapi jika wacana yang sama juga diulang berkali-kali, takda naratif baru la. Ia mungkin hanya berguna untuk  para pewacana yang masih memakainya, tak kiralah samada mereka di pihak mana dalam dikotomi tersebut. Keduanya saling-melengkapi, mengesahkan peranan satu sama lain, saling-membina narratives dan counter-narratives, persis dua permukaan bertentangan pada satu duit siling yang sama, kedua-duanya perlu untuk mengangkat ‘nilai’ siling tersebut. Nilai siling diangkat, kedua-dua permukaan (pihak) akan memperkukuhkan naratif masing-masing. Kesannya boleh meminggirkankan naratif yang tidak memakai siling tersebut.  Naratif ni merempat tak bertempat. Kita perlulah juga sedar,  bahawa ada naratif ‘kelabu’ antara dikotomi tersebut, ruang hibrid yang dinyatakan dalam petikan di atas.


Abang sering terpanggil untuk pergi lebih jauh dari dikotomi dan peryataan di atas, walaupun sering juga ditarik dan dikepung-semula oleh tarikan graviti wacana dikotomi ni. Selain dari ‘inter’ atau ‘antara’, abang juga cenderung untuk mengusulkan ‘inner-narratives’, yang mengambil-kira penemuan baru dalam bidang kognitif dan psikologi, sains neuro, fizik kuantum dan sibernetik dalam teknologi media baru. Ia membawa satu paradigma yang berbeza, luar dari kepungan dikotomi rasmi di atas.


Mungkin suatu ketika nanti, duit siling dengan dua permukaan itu sudah tidak lagi digunakan. Yang ada, adalah transaksi yang berlaku secara ‘virtual’, dalam ruang hibrid yang tidak lagi dipasung oleh bahasa tiga-dimensi (dunia benda atau bentuk) yang telah memenjara manusia untuk sekian lama). 

Naratif dalam ruang ini dibina oleh set binari 0 dan 1 dan antaranya (fuzzy logic) berpusatkan minda dan rasa, yang jauh lebih terangkai, saling-bertaut, saling-bergantung, saling-mempengaruhi, lebih dinamik, cair, mengalir, sentiasa bergetar dalam pelbagai corak atau pola. Ruang ini juga menyediakan pelbagai naratif dalaman yang sangat perlu diterokai tanpa kepungan-bahasa jasad tiga dimensi.


Terasnya adalah getaran yang mungkin tak boleh dicerap oleh instrumen saintifik mahupun teknologi, tak boleh ditipis dan dikepung oleh sebarang kerangka wacana, naratif, mahupun paradigma. Terasnya adalah ‘rasa’, dipacu oleh kasih-sayang tanpa tajaan kerajaan-korporat, sokongan kolektor, dokongan NGO, mahupun udang sebalik mee. Ruang ini adalah ruang merentas tiga, empat, lima dimensi, malah merentas pelbagai dimensi.  


Hijrah dan anjakannya sudah abang kuliahkan, khutbah, ceramah, tulis, bebel pelbagai cara, termasuk dalam blog ini.

Setakat ini, tak ramai yang ikut, masih lagi melayan dan hanyut dengan dikotomi tadi. Tapi kenalah hormat dan hargai pilihan orang lain, yang ada sebab, peranan dan nilainya. Sama-sama kita mohon Petunjuk. 


Cuma, abang adakalanya rasa terlalu penat. Sekian naratif peribadi abang petang ini. 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...