Encik Hasnul, apa yang encik maksudkan dengan 'naratif dalaman' ni?
Adik, naratif dalaman ni pada saya yang 'harap rambut je panjang' ni, adalah kecenderungan untuk berganjak (shifting) dari kekangan paradigma 'mimpi benda' berkiblatkan hukum fizik klasik 3 dimensi, ringkasnya berganjak dari paradigma ke'bendaan'. Anjakannya adalah kepada paradigma 'kesedaran dalaman' (inner awareness) yang berpusatkan penumpuan (sedar) terhadap apa yang sedang difikir dan dirasa. Ia dirujuk juga sebagai meta-kognisi dan kesedaran tinggi atau higher consciousness. Ini adalah anjakan dari obsesi untuk 'menghuraikan dan berhujah' tentang apa yang kita buat (doing) kepada memberi tumpuan terhadap apa yang sedang kita 'alami', dalam kata lain, dari buat, dapat, hurai, mahu (doing, having, describing, wanting) kepada 'menjadi'(being).
Berdasarkan kepada pandangan sepakat beberapa guru 'new age' yang pernah saya tinjau, 'anjakan' ini juga akan membawa kita 'pulang' kepada fitrah asal atau keadaan semulajadi kita. Mereka yang lebih teknikal merujuknya sebagai our by default state. Fitrah asal manusia, dalam banyak tradisi spiritual yang boleh kita tinjau, merujuk kepada 'cinta, ceria dan gembira'. Ia adalah getaran tenaga halus yang merentas ruang dan masa. Ia bersifat transdimensi. Kita adalah makhluk transdimensi yang fitrahnya bersifat cinta, ceria dan gembira.
Saya ringkaskan fenomena di atas sebagai anjakan-pulang, atau shifting-return. Istilah shift dan return juga merujuk pada arahan bahasa komputer yang selalunya dipakai untuk mengembalikan setting komputer kepada kepada keadaan asal (factory by default setting).
Banyak sumber tradisi memperakui bahawa anjakan-pulang adalah satu kecenderungan yang sudah diprogram dalam minda setiap manusia. Tanda-tanda zahirnya boleh dikesan dalam banyak bentuk seni tradisi, terutama di rantau Asia, termasuk di daerah Nusantara. Begitupun, ia menjadi 'haru-biru' apabila saka sains totok dan modenisasi berkiblatkan 'mimpi benda' ikut hukum fizik klasik mula merasuk minda manusia. Ini termasuklah seni moden. Kita semua mewarisi ketamadunan yang telah dirasuk oleh kekangan persepsi 3 dimensi yang dipenjara oleh pancaindera terhad.
Kehilangan fitrah asal atau by default state ini membawa kepada naratif dalaman
yang tidak stabil. Beberapa tradisi menamakannya sebagai 'duka', atau
'gelap', 'ditabir' atau 'dihijab'. Mereka yang menjalani kehidupan secara terpisah dari by default state ini selalunya penuh dengan kebencian, kemarahan, kedengkian, keburuk-sangkaan, keluh-kesah, duka-lara, kekecewaan dan ketamakkan melampau. Tak kiralah jika IQ tinggi, atau mampu berhujah dengan pintar ikut hukum benda. Ada juga merujuknya sebagai IQ tanpa EQ dan SQ.
Jika dimuhasabahkan perkara di atas, kehilangan fitrah ini telah dilalui oleh semua manusia, termasuklah yang menulis ni, tak payah le nak cakap besor. Mereka yang selalu mengaku diri pandai, juga sering dirasuk saka ini.
Sebaliknya, kehadiran fitrah asal membawa kepada naratif dalaman yang stabil, sihat dan membawa cahaya, IQ yang disempurnakan EQ dan SQ tinggi. Ia adalah puncak kepada ilmu 'mengenal diri'. Inilah yang kita ingin capai, insyaAllah. Kita doa.
Bahasa dan wacana tradisi sebegini sering diperlekeh dan dipariakan oleh bahasa dan wacana sains totok moden sebagai escapism yang penuh dengan tahyul, tekaan tak berasas (tak saintifik), hanya mitos, jahil, kuno, malas, jumud, parokial, minda tertawan, malah merbahaya. Mereka yang ingin berganjak dan pulang juga diberi stigma yang buruk atau negatif. Usaha
anjakan-pulang ini pernah disentuh oleh guru saya, Allahyarham Ismail
Zain. Beliau menyebutnya sebagai 'pengalaman dasar suci' atau primary sacred experience, dan 'tranmisi kualiti kejadian dalaman' atau transmission of inner quality of being. Malangnya, stigma ini diperkukuhkan pula oleh mereka yang nampak zahir je seperti pulang pada tradisi ilmu mengenal-diri, tapi sebenarnya hanya cut-and-paste jasad lahiriah tradisi je, bukan jiwanya. Ini juga telah disentuh oleh Ismail Zain. Beliau lebih awal mencadangkan agar tradisi dibebaskan dari kekangan pembacaan sejarah (moden) dan antropologi benda, kepada pembacaan menerusi lensa komunikasi dan fizik.
Dalam hal pembacaan tradisi luar kerangka sejarah, Ismail Zain mendahului masa. Kenapa, kita tinjau di bawah.
Penemuan baru yang dipacu menerusi fizik kuantum dan sains minda (kognitif), terutama yang berkaitan dengan sains neuro (neuroscience) telah membuktikan secara saintifik beberapa faedah langsung dari kecenderungan anjakan-pulang. Kesan zahir yang boleh dicerap secara saintifik menerusi teknologi MRI contohnya, telah menjukkan bahawa 'kesedaran dalaman' membawa faedah lahiriah.
Ini termasuklah kajian tentang kesan sifat keikhsanan (yang telah saya ceritakan dalam blog lepas) dan kesan dari apa yang dicanggihkan sebagai sains kontemplasi (contemplative science). Bahasa senangnya, sains yang mengkaji kesan meditasi terhadap perubahan psisiologi, sikap, tindakan, ketrampilan, kreativiti dan produktivi seseorang. Ia juga berkait dengan sains neuro yang mengkaji kesan sesuatu niat, hajat, doa, sasaran, angan-angan, tanggapan, harapan, keyakinan, kepercayaan terhadap fizikal seseorang.
Penemuan saintifik berkaitan dengan kesan langsung dari hal-hal 'dalaman' ini (naratif dalaman) seperti kajian tentang niat, meditasi, pernafasan, mindfulness, penyembuhan alternatif, kepintaran emosi (EQ) dan kepintaran spiritual (SQ), juga dilonggokkan dalam kategori ilmu 'mengenal diri' dalam wacana era baru atau new age. Ia berganjak dari sikap sains totok yang sebelum ini amat menjauhi hal-hal dalaman yang kabur dan subjektif. Anjakannya membawa kita pulang atau kembali kepada ilmu mengenal diri yang sudah wujud lebih dari 2000 tahun dalam pelbagai ketamadunan awal manusia, termasuk tamadun Islam.
Kita sudah sampai ke ambang era pasca 'minda', pasca era limpahan maklumat (information overload). Era minda ditandai oleh peningkatan kepintaran minda (IQ), yang malangnya belum disempurnakan oleh kepintaran EQ, apatah lagi SQ. Ketamadunan manusia kontemporari masih ditandai oleh IQ yang berperang, yang suka menyangka ia sedang menyerang 'minda' orang lain, walhal ia sedang menyerang diri sendiri (jika dibaca dari segi kuantum). Minda yang sibuk bergelut ini dihijab dari EQ dan SQ. Keduanya menjadi rendah, adakalanya amat primitif (tak suka tak setuju, mari kita mengamok, bergasak, berperang, berbunuh je!). Ia penuh dengan krisis.
Untuk bangun, untuk sembuh, perlu lalui krisis penyembuhan, apabila toksid (pandangan 3dimensi) yang merasuk atau menghijab kemanusiaan sedang dihapuskan.
Marilah kita meneroka naratif dalaman masing-masing, menyingkap getaran hijab (pelbagai wajah hujah serta retorika akal) yang sering menutup kita dari berganjak dari kepungan mimpi benda, untuk pulang ke fitrah asal kita - CINTA, CERIA DAN GEMBIRA.
Mari kita amalikan 'transmission of inner quality of being' seperti yang pernah disentuh oleh arwah guru saya Ismail Zain.
Dalam naratif dalaman inilah, kita boleh bertemu keamanan sedunia dan sejagat.
No comments:
Post a Comment