Wednesday, 19 November 2014

NARATIF DALAMAN, ISMAIL ZAIN DAN CHRISTOPHER NOLAN

Kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku pada masa lepas, memori dan tradisi umpamanya. Tapi kita boleh mengubah cara kita berfikir dan merasa tentang apa yang telah berlaku pada masa lepas. Ia akan menentukan bagaimana kita merenangi masa kini kita.  Ia memberi watak dan ketrampilan pada keadaan sezaman atau kontemporari kita. Ia mewarnakan cerita atau naratif kita, secara peribadi dan secara kolektif.

Bagaimana hubungan kita dengan 'tradisi'? Bagaimanakah kita membina naratif tentang tradisi?

Satu usul untuk membina hubungan lestari dan melihat-semula tradisi adalah dengan membebaskannya dari kekangan kerangka sejarah (baca lojik linear Aristotelian 'Barat') dan antropologi benda. Ini termasuklah membaca tradisi dari sudut fizik, yakni menggunakan bahasa, terma dan wacana fizik.  

Saya petik tulisan arwah guru saya Ismail Zain,

"Keyakinan saya sendiri adalah bahawa dengan teori-teori sains mengenai relativity, infinity, dematerialization, implosion dan sebagainya, penghantar pengalaman kuno masa hadapan bukanlah sejarah atau antropologi, tapi fizik." 

(Dipetik dari "Masa Depan Tradisi - Dikhususkan kepada Pengalaman Kuno di Malaysia " dalam Ismail Zain Retrospective Exhibition 1964-1991, National Art Gallery, Kuala Lumpur, ms 91)

Beberapa penulisan arwah Ismail Zain yang lain seperti "Ucapan Nada Ide" dan "Towards A Utopian Paradigm" berkisar pada isu atau persoalan serta argumen yang sama.  Beliau sudah lebih awal mengusulkan anjakan paradgima - pemakaian model linguistik untuk melihat dan membaca-semula tradisi dari sudut fizik; dan menggunakan kaedah analisa wacana untuk mengkritik (memecah atau dekonstruk) wacana sejarah seni moden dalam membaca-semula tradisi Timur. Melihat tradisi dari lensa sejarah, juga seni moden, tidak akan menemukan kita kepada apa yang beliau rujuk sebagai 'pengalaman dasar suci'. Yang terjadi, pada pandangan beliau, hanyalah peminjaman dan penipisan tradisi dalam bentuk cut and paste, yang sering di institusikan, diberi legitimasi dan perakuan rasmi sebagai dasar. 

Sebagai contoh terbaru, istilah 'alam batin/ghaib' diungkap secara fiziknya sebagai 'dimensi kelima'. Filem terbaru Christopher Nolan, "Interstellar" menaratif dan mevisualkan dimensi ini, untuk mengangkat tema hubungan antara IQ (kepintaran akal) dengan EQ(kepintaran emosi), antara sains (objektiviti) dan kasih sayang (subjektiviti). 

Dalam filem ini, hubungan 'kasih' (EQ) antara seorang bapa dengan anaknya, dapat memecah atau merentas batasan antara dimensi zahir (alam fizikal yang kita diami) dengan dimensi batin (alam emosi yang kita alami). Keputusan yang dibuat atas dasar 'kasih' atau 'cinta' (EQ) pada awal filem, dinaratifkan sebagai sesuatu yang boleh 'mengotor' atau 'merosakkan' objektiviti dan ketepatan saintifik (IQ). 

Namun, ke arah kesudahan filem, Nolan meletakkan EQ sebagai getaran fizik yang lebih mendasar, yang lebih tepat, lebih bermakna dan berkuasa, dan dapat merentas batasan dimensi. Dalam tradisi spiritual (SQ), kasih-sayang merentasi batasan yang dipisahkan oleh kematian (kasih antara seorang anak terhadap bapanya yang telah meninggal), umpamanya menerusi doa, menghubung keduanya.

Ini adalah antara contoh tradisi 'naratif dalaman' yang sudah diungkap dalam bahasa fizik, namun amat berkait dengan sumber tradisi yang telah diwaris dan dizahirkan dalam pelbagai budaya tradisi, termasuk di rantau Asia Tenggara.

Malangnya, pemikiran Ismail Zain jarang dikupas. Atau selalu ditabir oleh penulisan lain yang lebih flamboyant, dan sering disalah-letak (atau salah-baca) secara literal dan secara metaforikalnya oleh minda yang hebat IQ tapi kurang bekalan EQ dan SQ.

Al-fatihah untuk arwah Pak Mail.




No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...