Kenal penyakit minda rendah, insyaAllah dpt cari penawar.
Dipetik dari Ayman Rashdan Wong.
SINISME
Reaksi segelintir manusia terhadap berita kepulangan diplomat Malaysia:
'Eh kali ini jual apa pulak?'
'MH370 dan MH17 apa cerita?'
'Sandiwara je tu.'
Orang yang bercakap sebegini kita gelarkan sebagai sinis ('cynics'). Definisi umum bagi seorang sinis ialah 'one who never sees a good quality in a man, and never fails to see a bad one'. Orang yang sinis cenderung untuk melihat semua perkara secara negatif dengan mempersoalkan niat orang. Sinis sangsi dengan motif orang dan sentiasa memperlekehkan usaha orang.
Sinisme (cynicism) ialah sejenis sikap atau perangai yang negatif. Ia merupakan sejenis penyakit hati (disease of the heart) seperti hasad dan dengki. Kata lawan kepada sinisme ialah kenaifan (naiveté). Orang yang naif terlalu mudah percaya kepada orang. Orang yang sinis pula terlebih pandai. Mereka terlebih fikir (overthink). Para sinis akan menganggap orang lain yang buat baik dengan mereka mempunyai niat untuk menunjuk bagus atau untuk mengambil hatinya.
Sinisme tidak sama dengan skeptisme (skepticism). Orang yang skeptis mempersoalkan sesuatu kerana belum menemui bukti. Orang yang sinis tidak sesekali menerima sebarang bukti. Orang yang skeptikal dan kritikal mampu mempersoalkan diri, namun orang yang sinis jarang mempersoalkan diri sendiri. 'I am not biased, others are biased', kata para sinis.
Asal usul sinisme ialah seorang 'filsuf' Yunani purba yang bernama Diogenes. Dia bukanlah filsuf yang pernah menghasilkan falsafah yang sistematik seperti Plato, Aristotle ataupun Epicurus. Kerja dia hanyalah memerli dan mengeji orang lain. Diogenes kata semua orang Athens ialah hipokrit, dan itu menjadi sebab dia memperlekeh dan mengejek peraturan dan norma masyarakat Athens. Dia membuang air di tempat awam, berbogel dan tinggal dalam satu tong besar. Dia memegang lampu di siang hari untuk mencari 'orang yang jujur'. Disebabkan dia tidak dapat menemui orang yang tidak hipokrit menurut piawaian dia, maka dia hanya berkawan dengan anjing, malah orang pun menggelar dia sebagai 'kynikos' atau 'filsuf anjing'. Maka datanglah nama 'cynic' itu.
Hampir semua filsuf menolak sinisme. Sinis tidak membina. Seperti José Ortega y Gasset kata, sinis 'created nothing, made nothing' tapi cuba 'undo everything'. Sikap sinis akan menghalang pembangunan ilmu yang bermanfaat dan menghalang pembangunan bangsa (nation-building) yang positif. Sebab mereka hanya tahu kritik, kritik dan kritik, tanpa menawarkan sebarang solusi dan cadangan.
Media bertanggungjawab besar atas sikap sinis yang semakin menular di masyarakat kita. Media populis cuba mempolemikkan semua isu, dari perkara sekecil harga ikan kembung hingga perkara sebesar Korea Utara, dengan merangka ('framing') ia sebagai agenda peribadi kepimpinan semasa. Cara laporan sebegini mempolitikkan isu yang bukan dalam ruangan politik. Dalam kes Korea Utara, ia menyebabkan orang yang suka memperlekehkan kepimpinan semasa turut memperlekehkan profesionalisme diplomat kita.
Orang yang bersikap sinis ini ada dua: satu ialah jenis yang acah-acah intelektual (pseudo-intellectual), satu lagi ialah jenis yang kurang kasih sayang. Jenis pertama ialah manusia yang berpusat-diri (self-centered) dan melihat diri sahaja yang betul. Ego mereka tercalar kalau mereka tidak dapat kritik orang. Jenis kedua ialah manusia yang tidak pernah menerima kebaikan dan mengalami kebaikan orang lain dalam hidup, maka tidak hairanlah mereka pun tidak mampu melihat kebaikan dan memberi kebaikan kepada orang lain.
Orang yang sinis ini wajar mendapat simpati dari kita. Tiada masalah terus menjadi sinis. Menjadi sinis tidak akan membawa maut dengan serta merta, walaupun kajian Akademi Neurologi Amerika pada tahun 2014 menunjukkan bahawa orang yang sinis mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mengidap penyakit demensia. Cuma, manusia ialah makhluk yang hidup bermasyarakat. Sikap 'bad faith' (buruk sangka) terhadap semua manusia akan menyebabkan anda terasing daripada sebahagian besar masyarakat.
Dan akhirnya, anda akan menyalahkan orang lain tidak memahami anda, kemudian anda duduk dalam 'bubble' yang dicipta oleh anda sendiri, berseorangan sehingga hujung hayat, sama seperti Diogenes.
Pitiful, isn’t it?
~ Ayman Rashdan Wong ~
Bacaan lanjut:
David Mazella. (2007). The Making of Modern Cynicism.
Joseph N. Cappella & Kathleen Hall Jamieson. (1996). News Frames, Political Cynicism, and Media Cynicism.
MARILAH KITA GEMAKAN BELAS
#gemaBELAS2017
#Balaiseninegara
No comments:
Post a Comment