Wednesday, 16 November 2016

DARI RASA BERKAWAN KE RASA BERTUHAN

Lokasi : Kebun d 7 Tingkat Permai
Tarikh : Sabtu, 12 November
Jam : 10.00 malam


Bermula dari tahun 1985 hingga 1988 saya sekelas dengan dia. Lepas itu kami terus berkawan, dan berpameran bersama pada tahun 1989. Kami belajar menyelami erti rasa berkawan. Sampai kini kami berkawan walaupun amat jarang jumpa sebab masng-masing suka bertapa, seorang di Pulau Pinang dan seorang lagi di Kelantan.





Kini, 2016, dia datang ziarah sambil hadiahkan buku pameran solonya. Tepat pada masa ketika usia memujuk kami menyelami erti rasa berTuhan. 



Buku pameran solo Mohd Noor Mahmud.


Rakan saya cikgu Mohd Noor Mahmud, yang juga seorang pelukis yang prolifik, baru-baru datang datang dari Kota Bharu ke Kebun dengan dua orang anaknya. Ziarah silaturrahimnya itu juga saya jadikan peluang untuk mendapatkan data primer kajian Phd saya. Kajian saya tertumpu kepada pembacaan-semula tradisi visual Islam sebagai satu bentuk visualisasi kuantum. Dalam bahasa mudah, ia merupakan usaha menampakkan, menggambarkan, menzahirkan secara visual segala prinsip, aturan, ketertiban dan sifat-sifat  batiniah yang tidak boleh dicerap oleh mata kasar. Bahasa kuantum merujuk kepada  dimensi 'sub-atomik' (lebih halus dari atom). 

Saya perlukan sumber primer, baik visual mahupun sumber interpretatif (tafsiran/pandangan). Mohd Noor salah seorang calonnya. Beliau pernah menghasilkan sejumlah 99 karya catan berasaskan Asma'ulhusna. Setelah lima tahun, beliau mempamerkan hasilnya dalam pameran solo beliau yang dinamakan "Rasa BerTuhan". Karya-karyanya menggabungkan bahasa catan abstrak dengan khat (khat adalah tradisi amalan menulis ayat-ayat Al-Quran secara berseni mengikut adab dan tertib tertentu, juga mengikut jenis-jenis khat tertentu, seperti Khat Diwan, Khat Tuluth, Khat Kufi dsb). Saya pernah melihat sendiri beberapa karya dalam siri ini, termasuk lakaran-lakarannya, dah pernah juga membuat refleksi tentangnya dalam blog terdahulu.

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/tasbih-kebun-mohd-noor-mahmud-di.html

'Khat dalam catan' bertemu 'Abjad dalam gerak', Cikgu Mat Noor berkebun dengan Dr. Nur Zaidi dari USM
sambil Sany dan saya jadi saksi. 

Untuk kali ini, saya lebih tertumpu kepada pandangan Mohd Noor tentang lapan (8) interpretasi kuantum yang saya andaikan selari dengan tradisi visual Islam. Mohd Noor mengungkap-semula interpretasi kuantum dalam bahasa seharian yang mudah. Mari kita sama-sama santuni pandangan kawan saya ini, sambil berdoa kita sama-sama dapat pencerahan:

1. Realiti berpusatkan-saksi (Observer-centered reality)
"Bila kita kata berpusat pada saksi, kita sebenarnya mengatakan 'saya bersaksi'. Ini titik permulaan dalam Islam. Kalau takda titik mula ini, kita bukan orang Islam. Titik mula ini adalah syahadah dalam mana kita 'bersaksi'. Banyak Firman Allah yang bersaksi pada masa, pada bulan, matahari, bintang-bintang, alam semesta."

2. Alam yang bertingkat dan multi-dimensi
"Dalam hidup kita seharian pun dah nampak jelas adanya tingkatan ini. Kita hidup di tengah antara langit dan bumi. Di situ saja boleh nampak tiga tingkatan. 6 kaki atas bumi masa hidup, 6 kaki bawah bumi setelah mati. Oleh itu, janganlah sombong, hidup kita perlu imbangan antara langit dan bumi."

3.  Saling bertautan dan Kesatuan Medan Kearifan Tunggal
"Tengok pada masyarakat sekeliling, kita ni hidup bermasyarakat. Saling memerlukan. Kita juga perlukan alam semulajadi. Kita kena ada 'connection' dengan bumi, dengan udara, dengan air dan segalanya dalam alam semulajadi."

4. Otak kuantum
"Otak kita ni berfikir ikut apa yang kita perlu dalam sesuatu keadaan. Keperluan keadaan itu adalah yang sekarang. Kita fikir tentang apa yang diperlukan sekarang, Kalau kita menunggu, kita akan fikir hal yang sebenarnya tak perlu, atau kita fikir melompat-lompat. Sebenarnya, semasa menunggu, kita perlu 'relax', tumpu pada sekarang. 'Silent' adalah 'verbal' yang indah. Macam-macam kita boleh pilih untuk dengar sewaktu diam, boleh gegak gempita. Sebab tu kalau kita tak tahu, takpa, lebih baik diam. Masa diam itu, macam-macam kita boleh dengar dan tahu."

5. Mikrokosmos dan makrokosmos
"Cuba tanya, mana letaknya 'nyawa'. Nyawa ni halus (kecil) tapi boleh berada di mana-mana dari yang sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, semua ada nyawa."

6. Berpasang-pasang dan saling-melengkapi
"Kiri dan kanan kena ada baru boleh jadi satu, macam badan kita. Jika takda yang sebelah, tak sempurna lah. Ijab dan Kabul kena ada, baru lengkap perjanjian, baru sempurna nikah, baru boleh lengkap ikatan keluarga. Sama macam sakit dan sihat. Tak boleh sihat je, macam Firaun yang sombong sebab tak pernah sakit. Kalau takda sakit, jadi sombong macam Firaun, sebab tak lengkap. Dalam bahasa visual pun mesti ada pasangan, kalau ada harmoni, kena ada kontras. Begitu juga kalau ada merah, mesti ada biru. Merah dan biru menghasilkan satu garisan, satu bahasa visual yang baru. Kita perlu terima positif dan negatif. Kalau takda negatif, kita tak tahu yang positif. Tak menghargainya pun."

7. Kesedaran tinggi 
"Pada aku kesedaran tinggi ni takda. Kita kena tahu apa yang kita sedang fikir, sedar tentang pilihan kita. Manusia ni berfikir ikut tahap masing-masing. Tahap fikiran orang yang pandai buat kopi tak sama dengan orang yang tak pandai buat kopi. Pada fikiran orang yang tak pandai buat kopi, kerja buat kopi tu susah, tinggilah. Pada fikiran orang yang pandai buat kopi, tak susah. Pada budak kecil, ikat tali kasut tu sangat susah, pada kita mudah je. Tahap fikiran ni tinggi-rendahnya relatif, setiap manusia berbeza. Masing-masing ada tahap fikiran sendiri, ada tempat masing-masing, ada peranan masing-masing."

8. Geometri dan tatabahasa harmoni
"Pada aku semuanya berpusat pada 'balance', mencapai keseimbangan. Pada semua benda, ada pengiraan."

Saya juga bertanya Mohd Noor refleksinya tentang karya-karya dalam siri 'Rasa BerTuhan', dia jawab lebih kurang begini,

"Tak perlu istilah seni Islam. Buat karya ni fitrah. Kita sebagai makhluk perlu dekat atau bersama Pencipta. Yang penting, elemen khat dalam karya saya tu, jelas dan boleh dibaca."

Saya soal lagi, 
"Apa pandangan kamu tentang getaran tenaga dan doa?"

Mohd Noor jawab, 
"Ni macam parang. Pada orang yang ada 'energy' yang baik, parang tu diguna untuk kebaikan. Pada orang yang 'energy' jahat, parang tu diguna untuk kejahatan. Pada orang yang takda 'energy' langsung, parang tu langsung tak berguna. Sama macam doa. Pada orang yang ada 'energy' baik, doanya mustajab. Pada orang yang 'energy' jahat atau takda 'energy', doanya tak mustajab, tak berhasil."

Moga kita semua peroleh pencerahan dari sesi kerdil antara saya dan kawan lama saya ini. Kita sama-sama belajar dari satu sama lain.



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...