Monday 14 January 2013

MATRIX UMS 2013


Blog entry ni panjang, kalau tak cukup iman, tak payah la baca.

Blog entry kali ini khas saya tujukan pada anak-anak seni visual yang telah menjayakan MATRIX 2013, Universiti Malaysia Sabah. Tahniah!

Pertama sekali, sampaikan salam saya pada ayahanda dan bonda  atau sesiapa jua yang selama ini telah banyak berkorban dan membantu anda sepanjang pengajian di UMS. Begitu juga kepada guru-guru anda semua.  

Keduanya, nak pesan sikit sebelum jadi badi dan saka-baka. Kalau pun dah dapat Phd, bekas-bekas guru (walau macam mana busuk pun dia), tolongla hormat sikit. Tak payahla nak menyombong dengan title 'Dr' dan kereta Mercedez atau BMW recond yang diseludup dari luar negara tu. Tapi kalau nak menyombong juga,  lantaklah. InsyaAllah hidup tak berkat tujuh keturunan.


Kembali pada Matrix 2013, terima kasih kerana sudi berkebun dengan saya sepanjang tiga hari kita membuat refleksi dan penilaian terhadap projek yang telah dihasilkan. Kalau ada kebrutalan atau tersalah cangkul, minta maafla bebanyak ya. Saya terpaksa memainkan peranan saya sebagai penilai dan sang algojo versi jinak, yang perlu menguji dan memberi hukuman manja kepada anda semua. 

Saya tak pakai 'standard operation procedure' atau satu sistem penilaian yang baku. Saya pakai 'angin' dan mungkin juga sesekali 'saka rimau', itupun jika terpanggil la. Semua bergantung pada 'moment' dan keadaan kuantum anda dan saya ketika penilaian. Apa saja yang telah berlaku, kita terimalah sebagai rezeki. 

Sebelah kanan macam guru besar sekolah tu ialah Zaimie Sahibil, antara pelukis tersohor Sabah dan bekas anak murid semasa saya mengajar di UNIMAS. Kini dia pensyarah di UMS dan menjadi penyelaras dan orang kuat di belakang Matrix 2013. Dia layan para pelajarnya macam anak-anak sendiri. Zaimie ni insyaAllah hidup berkat kerana tahu mendaulatkan bekas guru.

Apa pun, apa yang saya catatkan ini cuma pandangan dan refleksi saya je. Ia bukannya hukum kanun yang perlu diikut mengkhinzir-buta. Anda diizinkan menggunakan otak dan akal yang Allah kurniakan. Anda dibenarkan untuk tidak bersetuju dan digalakkan menggunakan akal-budi sendiri untuk menyangkal pandangan saya. Takpa, sikap menyoal dan menyangkal dengan berhemah, berhujah dan bertunjang kasih-sayang, tidak akan menyebabkan anda kehilangan 'A'. Lebih baik kita kejar 'A'khirat.

Pada saya, MATIRX 2013 adalah yang paling berjaya jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Cuma ralat sedikit kerana tahun ini ia kurang berimbangan dari segi taburan bidang. Matrix kali ini lebih berat ke arah seni halus, terutama catan, lukisan dan arca. Namun begitu, projek-projek arca, catan dan lukisan memang ada peningkatan dan banyak yang cemerlang.  Tahniah.

Begitupun, perlu saya tekankan bahawa kemampuan anda mempertahankan karya-karya  secara lisan, secara umumnya pada saya, masih lemah. Ini klise lama dan drama swasta tragedi yang sudah muak saya tempuhi sepanjang menjadi pekebun tegar di beberapa universiti tempatan (dan ada sesekali di luar negara). 

Walaupun terdapat bukti penglibatan menerusi data-data visual yang dikutip di lapangan, kefahaman dan interpretasi anda terhadap tema dan subjek yang dikaji kurang menyakinkan. Pembinaan konsep pengkaryaan masih meragukan. Lakaran kajian pun ada yang separuh masak, kalau takpun dibuat separuh hati je.

Intan kata dia bawa cangkul tumpul semasa berkebun dengan saya. Cangkul tumpul takpa Intan, boleh pecahkan batu-batu yang keras.
Mungkin ramai dikalangan anda yang mengkaji subjek dan tema dari sudut formal saja, meninjau dan mengutip data-data tampak yang boleh dipetik untuk digoreng dengan sedap menjadi juadah seni moden yang lazat. Mungkin anda jenguk dari tingkap je, tidak cukup masa dan tempoh untuk benar-benar menyelami, tenggelam, hanyut, bernafas dan menghirup sesuatu tema dan subjek itu dengan sejujur-jujurnya. Ini menyebabkan anda hanya mampu memberikan interpretasi santai dan sambil lalu sahaja terhadap tema dan subjek, tidak begitu halus, tidak mencubit, dan kurang meninggalkan kesan batin yang berpanjangan.

Seperkara lagi, saya dapati ramai yang tidak teliti dalam menguruskan bahan-bahan kajian. Kebanyakannya dilambakkan di depan saya tanpa ada objektif yang nyata, tanpa urutan, tiada sistem, tiada kaedah yang kemas. Bila tanya, dijawab "hanya Allah saja yang tahu" dengan gaya ustazah atau ustaz yang selalu bagi ceramah dalam TV. Ini memang nampak warak dan mulia di depan, walaupun di belakang langgar-lari.

Hasil dapatan anda pula banyak yang berterabur ke hulu ke hilir dan mengelirukan. Terdapat beberapa pelajar yang menunjukkan hasil kajian untuk satu kerja kursus yang diikuti sebelum ini dibawah Dr. Ismail. Kajian mereka untuk kursus ini nampak berkaedah, bersistem dan ada urutan proses yang kemas, sayangnya tidak diterap dalam kajian untuk projek tahun akhir.

Mungkin boleh rujuk Merry Piong yang hasil kajiannya disusun dan dipersembahkan secara beradab, memuliakan kerja dan ada disiplin.  

Namun demikian, kelemahan di atas diimbangi oleh kegigihan, ketekunan dan komitmen ramai di kalangan anda menterjemahkan interpretasi santai anda dalam karya. 

MATIRX UMS persis perayaan seni moden yang pekat bau formalismanya. Ia banyak memetik kekayaan visual dari pelbagai sumber budaya yang kaya di Sabah. Samada pemetikan itu dibuat secara berhikmah dan tulus, atau secara semiotik sebagai sebahagian dari kajian budaya, atau secara khinzir buta, sembrono mengikut selera nafsu mata, semua merupakan antara persoalan yang mungkin perlu ditanya dan dijawab oleh anda sendiri. Seronok jika dilayan kerja-kerja dalam Matrix ini dari kerangka pasca-kolonial, kajian budaya dan teori kritikal. Tapi mungkin saya yang seronok sorang-sorang je akhirnya,    

Untuk mengelak sebarang senak teori, kita buat refleksi ringan je lah. Sebagai permulaan, kita buat refleksi karya-karya catan. Karya-karya catan dan lukisan perlu ambil kira kemampuan sendiri, terutama bila menggunakan subjek figura. Alfred Paladus contohnya, memang berbakat, namun anda lebih cemerlang mengolah karya-karya alam semulajadi seperti yang terdapat dalam lakaran atau 'studies' anda. 

Intan Munira yang comel juga berbakat, tekun dan gigih. Karya Intan bagus walaupun masih jbelum boleh menandingi Ahmad Zaki. Saya merasakan anda sepatutnya memilih pendekatan lukisan gestural untuk mengolah kualiti pergerakan. Pendekatan Intan yang terlalu 'mekanikal' hanya menjadikan subjek anda lebih kaku seperti batu atau 'statue'. 

Intan ni simbah saya pelbagai gelombang yang berlainan. Ini sisi ranggi dia.
Teman Intan (kawan tapi mesra) yang lagaknya ala-ala gangster Cina Sabah, Josrie Haral, juga bagus. Namun Josrie sepatutnya hanya tumpu pada potret sahaja. Selain menggayakan sikap, cara anda memecahkan warna pada saya lebih mencabar dan unik, walaupun lebih ke arah ilustratif. Mungkin lepas ni Josrie boleh pergi menuntut dengan Bayu Utomo Radjikin. Lagi pun dia orang Sabah juga bah!


Jika mahu memilih figura, mungkin lebih molek dibuat kajian yang tekun tentang seorang-dua pelukis tersohor sebagai rujukan dari segi teknik, bahan dan gaya. Tak semestinya semua mesti ikut gaya realisma. Ada banyak gaya dan stail lain yang boleh dirujuk. Malah, Alfred, Intan dan Josrie boleh menjurus pada ilustrasi jika mahu menggunakan figura manusia. 

Ada ramai yang boleh dirujuk, selain Ahmad Zaki. Antaranya Amron Omar, Jailani Abu Hassan, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Fuad Osman, Melvin Chan, J.Anu, Chan Kok Hooi, Ali Nurazmal, dan ramai lagi otai. Subjek figura perlu digarap dengan tekun, gigih dan kaedah yang istiqamah. Tak boleh pakai bedalisme dan balunisme.

Ada beberapa pelajar yang amat cemerlang menggarap karya abstrak seperti Gazali dan Siti Emran. Kedua-duanya ada 'angin' yang susah saya nak terangkan dalam bahasa yang baku. Para pelajar yang ada 'gerak rasa batin' dalam 'darah' (nak kata saka pun boleh juga la kot) yang kuat seperti anda berdua ni, memang sesuai dijuruskan ke arah karya-karya abstrak yang berangin-berapi-bergema-beralun. Jika angin Gazali merujuk pada semangat tanah, Siti pula bergema, berdangdut dan berpintal macam rambutnya yang foto'gedik' tu.

Gazali, dengan pose 'misteri nusantara' di depan karya agungnya.

Siti Emran, berdangdut dengan gema gongnya.
Rezinna dan Suryana Hamzah juga berjaya menghasilkan karya-karya yang bagus. Mungkin agak jinak dan kurang 'angin'nya jika dibandingkan dengan Gazali dan Siti, tapi ada kefasihan formal yang tinggi dan penguasaan teknik dan bahan yang baik. Saya teringatkan Johari Said apabila melihat karya-karya anda berdua. Begitupun, jika dibanding dengan Johari, saya lebih memilih karya-karya anda yang masih 'dara' dan belum disakat badi hijab seniman.


Ada beberapa pelajar yang telah menghasilkan lakaran-lakaran lukisan yang amat menarik dan boleh saya baca dan terima sebagai karya akhir. Ada juga lakaran yang boleh dikembangkan menjadi ide-ide untuk karya-karya yang lebih hebat, namun tidak diteruskan. 

Lukisan pensil oleh Rubitah Muslim contohnya, amat cemerlang dan sepatutnya diteruskan menjadi siri karya lukisan. Sayang sekali, Rubitah tidak memilih hasil lukisannya yang halus itu sebagai karya-karya yang dipamerkan. Karya catan anda, walaupun ok dengan permainan cahaya, pada saya tidak se'mesra' hasil lukisan anda yang lebih jujur, tidak menunjuk-nunjuk dan lebih menyentuh hati.


Lakaran pen oleh Andrick amat mencuit hati dan boleh dikembang menjadi siri-siri lukisan (atau rekaan) untuk t.shirt mahupun aksesori lain. Pada era 'convergence' kini, seni halus boleh berkahwin dengan seni reka grafik dalam pendekatan rentas-bidang, takda kasta lagi dah.

Untuk karya-karya catan gaya naif, saya berpendapat perlu diolah dengan cara yang baru dan lebih segar. Mungkin tidak lagi di atas kanvas seperti yang telah dilakukan oleh ramai pelajar terdahulu, tapi di atas bahan-bahan yang baru seperti seramik, t.shirt, kasut, topi, dan lain-lain. Boleh juga digabungkan dengan pendekatan ilustrasi.

Karya-karya Fatimah Mohd Hussein yang berorientasikan seni fiber, juga bagus. Ia membawa saya kembali kepada karya-karya Nur Hanim Khairuddin sekitar 1990an. Jika anda dapat memperkayakan lagi kualiti jalinan pada permukaan karya dengan menambahkan lagi teknik anyaman, mungkin karya anda menjadi lebih menggigit.


Karya-karya foto digital mungkin perlu digagahi oleh para pelajar yang mempunyai kefasihan semiotik dan konsepsual yang tinggi untuk mengelakkannnya menjadi sekadar stail-stail 'filtering' digital yang prosesnya kini sudah terlebih mudah atau 'user-friendly' hingga budak tadika pun boleh buat. 

Siri karya foto digital gabungan dengan susunan 'straw' plastik oleh Nur Amni tampak menarik, tetapi terlalu literal dan ilustratif, tanpa ada tanda-tanda sisi pembacaan peribadi. 


Siri karya Muhammad Hasyir Hashim (adik Hasmi Hashim yang tulis lirik Awan Nano tu) ada sedikit tempias kepintaran semiotik, seolah melihat-semula budaya Iranun dari 'tingkap kaca' masyarakat urban yang moden. Dia juga hebat memberikan pose-pose 'poyo' dan fotogenit.


Karya-karya Fenny Lyin Linus yang terbaik, sayang sekali tidak dipilih untuk dicetak. Karya foto digital anda di bawah ini, amat menyentuh hati, menangkap suasana alam mistik persekitaran masyarakat dusun yang melankolik, sunyi, namun tenang dan damai. Agak ralat juga, anda tidak memilihnya untuk dipamerkan! Mungkin Fenny perlu imbangi cakra oren gelombang ghairah anda itu dengan cakra ungu merenung masa depan. Ini mungkin dapat buka sikit hijab nafsu, agar boleh melihat sesuatu yang lebih bernilai bergetar betul-betul di depan mata.


Dalam katalog pameran anda, bahan/medium yang ditulis adalah 'Adobe Photoshop'. Ini adalah perisian, bukan bahan. Ia perlu dibetulkan, kerana bahannya adalah cetakan digital atas tarpulin, kertas, kanvas dsb.

Untuk mereka yang berminat menjurus ke foto digital, cuba rujuk karya-karya Yee-I-Lan (berasal dari Sabah jugak bah!) yang cukup terkenal dengan teknik cetakan foto digitalnya yang tinggi daya konseptual, halus garapan temanya dan bijak gagasan fikirnya. 

Karya-karya arca walaupun semuanya bagus-bagus, perlu ada perbezaan pendekatan antara pelajar, mungkin dari segi penerokaan bahan yang tidak semestinya besi dan teknik kimpalan saja. Boleh difikirkan bahan-bahan lain seperti seramik, batu, kayu, rotan, kulit dan sebagainya, terutama bahan tempatan dan semulajadi di Sabah. Juga perlu ambil kira kaedah 'modular' dengan menggunakan unit-unit kecil yang boleh dipasang-siap atau disambungkan-semula untuk membina arca yang lengkap. Ini boleh memudahkan kerja-kerja logistik seperti pemindahan dan pengangkutan karya.

Karya-karya Muhammad Solahuddin Husain amat cemerlang, lengkap, tekun, gigih dan meninggalkan impak visual yang kuat. Ayam-ayam besinya berdesing (apabila diusik di beberapa bahagian), menjadikannya lebih interaktif (dan mungkin juga merbahaya atau boleh mencederakan). Mungkin akan menjadi lebih dramatik sekiranya ada di kalangan ayam-ayam yang bersabung itu yang kinetik atau terapung di udara (digantung) untuk meningkatkan kesan dinamika pertarungan. Mungkin Din kena 'naik syih' dulu seperti ayam-ayam sabungnya.


Karya-karya Andry Chin yang lurus dan baik juga amat menarik, namun lebah-lebahnya akan kelihatan lebih 'menyengat' sekiranya ia 'terbang' (digantung), bukan sekadar melekat di dinding saja. Karya Andry mengingatkan saya kepada karya-karya Norizan Muslim sekitar 1990an dulu yang lebih terkenal dengan karya-karya semut besinya.


Karya-karya Alif Che Berahim dan Heirie Haziun juga  mengkagumkan, walaupun mengingatkan saya pada karya-karya bekas anak-anak murid saya dulu yang kini sudah bergelar otai, cikgu Shaari (kini di Tawau), Anassuwandy dan Noor Azizan Paiman. Selain mahir bergaya ala-jejaka idaman, kedua-duanya mahir menggabung dan melenturkan besi (mungkin juga hati wanita, kerana kedua-duanya digosipkan sudah memiliki buah hati).


Begitu juga dengan karya-karya dua jejaka tampan Mohammad Nasrun dan Ronbill Gabriel, yang mungkin mengigatkan saya pada gaya tegak terpacak pengarca tersohor, Ramlan Abdullah. Begitupun, karya-karya anda yang merujuk pada stuktur binaan rumah tradisional, semuanya sangat berkualiti dan dihasilkan dengan penuh ketekunan, kemahiran yang tinggi dan penguasaan teknik serta bahan yang  cemerlang.


Karya naratif Ryner Goluhing yang kaya dengan perincian watak dan aksi karikatur pahlawan Iban yang mencuit hati, pada saya, berada dalam liganya tersendiri. Pendekatan karya Ryner boleh pergi lebih jauh sekiranya anda memilih untuk terus berkarya.


Karya Felix Jauneh, Victoria Jinol dan Nurul Aisyah juga cemerlang, namun mungkin lebih menarik sekiranya digabungkan dengan bahan-bahan bukan besi seperti kulit, kain, tali guni, rotan dan lain-lain bahan semulajadi. Terlalu banyak besi membuatkan saya terasa masuk ke 'zaman besi'.


Kesemua karya-karya arca yang cemerlang ini malangnya tidak diteliti kaedah, cara, gaya dan format persembahan akhirnya. Sebagai contoh, karya-karya ini awalnya, tidak dipertimbangkan secara halus pencahayaannya. Ini menyebabkan semua kelihatan 'rata'(flat), kaku, beku, tiada kesan dimensi keruangan dan kurang 'seri'. Malah, susun-atur awalnya juga tidak membolehkan beberapa karya dihayati secara 360 darjah seperti yang sepatutnya. Kesemua karya-karya berasaskan lantai tidak diberi pertimbanggan dari segi 'base', lapik atau bahan 'dasar'nya yang mungkin boleh memberikan konteks yang lebih sesuai dan tepat untuk karya. Isu-isu kuratorial sebegini perlu diambil-kira dan diberi perhatian yang teliti dan halus.   
 
Projek-projek cetakan perlu ada perubahan dari yang lepas kerana penggunaan warna intensiti tinggi, format pengulangan rupa empat-segi serta teknik sutera saring ala Andy Warhol yang sudah semakin basi diamal banyak kali oleh ramai pelajar, perlu dielakkan pada Matrix akan datang. Andy Warhol pun bukanlah molek sangat dijadikan ikutan, kecualilah jika hendak membuat karya pemetikan, satira dan sindiran.

Karya-karya cetakan pelbagai motif Murut oleh Norsuziani berpotensi untuk dikembangkan menerusi pelbagai teknik cetakan di atas beberapa permukaan bahan yang berbeza. Sayang sekali, Suziani tidak pulak seghairah Fenny. Suziani lebih tekun menjaga kesopanan dan kesusilaan.


Projek-projek animasi agak menurun prestasinya jika dibandingkan dengan tahun-tahun yg lepas. Saya telah melihat beberapa projek animasi yang cemerlang dalam Matrix yang lepas, malah saya telah meletakkan tanda-aras yang tinggi untuk animasi dari UMS. Jika boleh, tanda-aras ini perlu dikekalkan.

Jika para pelajar tidak mampu, tidak perlu mengolah skrip dan cerita yang terlalu kompleks, cukup sekadar dua atau tiga adegan, tapi dihasilkan dengan teliti. Mungkin boleh ditukar orientasi dari menjurus pada cerita kepada menjurus pada adegan saja. Begitu juga dengan dialog, jika tidak pandai menulis narasi serta dialog dan juga tiada narator dan penutur dialog yang bagus, tidak semestinya perlu menghasilkan projek yang memerlukan narasi dan dialog. Lagipun, para pelajar tidaklah dinilai dari segi pengolahan skrip kerana ia merupakan pengkhususan yang lain. 

Cuba rujuk tradisi animasi dari German dan negara-negara selain dari Jepun dan Amerika Syarikat misalnya. Ada pelbagai teknik yang boleh diterokai, termasuk 'stop-motion' dan 'cut-motion'. Malah, ada banyak lagi pendekatan dan teknik animasi (dari yang sangat mudah, murah dan ringkas hinggalah yang mahal dan canggih yang boleh diakses dan dijadikan contoh dari Internet/youtube). Pendekatan ala-Mangga dan Disney (Jepun) bukan satu-satunya contoh. 

Pendekatan Christellina, amat segar dari segi visual, namun diganggu oleh skrip yang longgar dan teknik yang tidak sesuai.

Dokumentari Effiyanah boleh diperbaiki untuk dihantar ke festival. Effiyanah fasih menggunakan bahasa tv dan rajin melayan flying graphic. Cuma tumpuan kandungan seharusnya perlu diberi pada refleksi Tina Rimmer sendiri. Begitu juga dengan projek dokumentari Eddleey Jim dan Herodis Jaimis yang masih boleh diperbaiki. Ada beberapa aspek suntingan, dan 'sound mixing' yang perlu diperbaiki. Filem pendek Albert Ulana perlu diolah menerusi pendekatan 'realiti tv' yang lebih jujur. Malah, klip adegan yang diselitkan semasa 'credit roll' beliau lebih jujur dan menyentuh perasaan dari filem pendeknya.


Projek-projek Komunikasi Grafik juga menurun prestasinya, kecuali Kiu Kong Leong dan Tan Yeong Yuan. Mungkin Abang Omar Osman (gambar di atas, penilai luar, selain saya) setuju dengan saya.


Ini perlu diberi perhatian. Kini, sudah ada pelbagai dimensi baru untuk komunikasi grafik seperti 'ambiance media/advertising'. Ini termasuklah 'projection mapping' yang menggabungkan komunikasi grafik dengan media baru, animsai digital 3D, muzik, rekabentuk dalaman, seni bina dan seni persembahan.


Projek seramik amat terpinggir, namun projek oleh Norasmidayu amat menarik perhatian saya. Ia amat berpotensi untuk dikembangkan menjadi produk yang menggabungkan pendekatan seni halus dengan industri, terutama untuk sektor hiasan dalaman.

Selain dari penumpuan pada aspek-aspek pembuatan dan penghasilan projek di studio, perlu diberikan penekanan penting kepada aspek-aspek kuratorial, terutama dari segi susun-atur karya, kaedah persembahan (atas lantai, dinding, siling dsb), dan yang terpenting, pencahayaan. Begitu juga rekabentuk pameran, termasuk rekabentuk informasi seperti bahan-bahan kapsyen, sinopsis karya, sinopsis pameran dll. Ini semua termasuk dalam konteks kuratorial yang mungkin perlu satu kursus atau sessi khas untuk pelajar. 


Selain dari aspek kuratorial, aspek pengurusan pameran juga perlu diambil kira, termasuk pembinaan jenama dan promosi. Para pelajar perlu didedahkan dengan beberapa aspek pengurusan pameran yang profesional, termasuk dokumentasi foto serta rekabentuk katalog yang profesional dan boleh membina profil yang tinggi terhadap pameran Matrix dalam minda dan persepsi pengunjung. Kaedah tangkap-muat dan 'saat akhir' dalam membuat dokumentasi foto karya (termasuk pengkarya) perlu dibuang sakanya.

Foto-foto dokumentasi hasil kuliah dan sesi impromtu bersama Fazmi, Amirul dan beberapa pelajar tahun akhir yang berminat

Aspek pengunjung dan 'stake holders' juga perlu diambil kira. Perlu dibuat 'kajian pengunjung/audien' agar anda tidak 'syok sendiri'.

Dimensi kuratorial, pengurusan pameran, penjenamaan pameran dan pembinaan pengunjung ini amat penting dalam menentukan profil Matrix, kerana ia melibatkan pembinaan persepsi dan tanggapan pihak 'stakeholders'. Ia juga penting bagi menjamin peningkatan KPI dan KIP ('Key performance indicators/index' dan 'key intangible performance') kelestarian atau 'sustainability' Matirx untuk tahun-tahun seterusnya. Malah, penumpuan hanya pada aspek pembuatan atau penghasilan projek di studio saja tidak menjamin kelestarian 'Matrix' sebagai suatu jenama penting untuk Sekolah Seni UMS.


Namun demikian, kesuntukan masa tidak membolehkan saya untuk berkongsi pendapat tentang dimensi yang penting ini. Mungkin boleh diusahakan menerusi 'platform' yang lain.

Dicadangkan juga agar para pelajar diagihkan dalam 'kluster' atau kumpulan penyelidik berdasarkan topik Borneo terpilih dan bidang pengkhususan (tujahan disiplin). Satu kumpulan penyelidik yang memilih satu topik khusus tentang masyarakat Murut misalnya, terdiri dari gabungan para pelajar yang memilih tujahan komunikasi grafik, filem/video, animasi, catan. cetakan, arca, lukisan, foto digital, dan seramik. Hasil penyelidikan mereka terhadap topik yang sama akan muncul dalam pelbagai tujahan disiplin yang berbeza. Dari segi kuratorial, ini boleh memudahkan susun-atur pameran dan meningkatkan kualiti pengalaman kunjungan dalam diri para pengunjung.
 
Seperkara lagi, perlu dimaklumkan bahawa karya-karya arca besi yang hebat-hebat di atas dihasilkan tanpa adanya bengkel atau studio arca yang lengkap. Yang ada, hanyalah ruang terbuka yang dijadikan bengkel sementara. Dengan prestasi kerja para pelajar yang tekun, dan kualiti karya-karya yang tinggi, sudah tiba masanya untuk pihak pengurusan Sekolah Seni UMS membina bengkel dan studio yang lebih lengkap dan selamat. Begitu juga dengan ruang galeri, ruang storan koleksi (benih untuk muzium seni visual pada masa akan datang), ruang kedai jualan hasil seni visual dan mungkin juga kafe dan ruang membaca (atau melayari internet dengan wi-fi percuma) yang kesemuanya bertanda-aras antarabangsa (namun dengan sentuhan tempatan Sabah).

Kesemua ini akan melengkapi lagi meningkatkan profil Matrix UMS, dan secara langsung, meningkatkan ketrampilan seni dan budaya Sekolah Seni UMS hingga ke peringkat antarabangsa.

Saya juga berpendapat bahawa, selain dari pemecahan pengkhususan bidang (komunikasi grafik, produksi video, animasi, seni halus, seramik dll), sudah tiba masanya juga untuk Matrix UMS dibawa ke luar Sabah. 

Dulu pernah saya, Fuad Bebit dan rakan-rakan membawa karya-karya para pensyarah Seni Visual UMS dalam 'Limpas Bayu Borneo' ke USM, Pulau Pinang. Mungkin selepas ni, giliran karya-karya para pelajarnya pula. 

Tanhiah buat semua rakan-rakan dan para pekebun seni visual di UMS.

Team dokumentasi instant satu malam, Fazmi (kiri sekali) dan Amirul (kanan sekali), bersama saya dan jejaka idaman, Alif di depan karya beliau.

5 comments:

  1. hujah serta pendapat Prof. banyak membantu dan membuka minda kami untuk memperbaiki dan menanam semula tanaman2 kami yang tidak membuahkan hasil yang sepatutnya sesuai dengan benih yang telah kami terima di kilang UMS.

    ReplyDelete
  2. Mengambil-kira beberapa kekurangan dari segi kemudahan studio, bengkel, kekurangan jam kredit untuk tumpuan pengkhususan dll, hasil tanaman anda semua amat membanggakan lagi. Jika kekurangan di atas dapat diatasi, hasilnya sudah tentu boleh pergi lebih jauh. Saya pun banyak belajar dari anda semua. Pendapat saya hadir dari keingingan untuk kita sama-sama mengenal-pasti kelemahan, memperbaiki diri dan terus cemerlang serta hebat.

    ReplyDelete
  3. saya bukan orang seni sekadar peminat seni. selalu sya percaya, satu2nya bidang yang sabahan boleh bersaing dengan orang luar ialah bidang seni tapi sayang masih ramai sabahan yang rasa rendah diri dan meletakkan bidang seni hanya untuk pelajar yang tak berapa pandai.ramai pelajar sya yang tak terfikir pun nak apply kursus seni walaupun berbakat besar tapi pilih bidang lain. kecewa sebenarnya.

    ReplyDelete
  4. Si Putih semoga semua kritikan ini ( sejak dulu hingga sekarang) sudah wajar dibukukan oleh Penerbit UMS - rujukan penting. syabas sahabat Si Putih !!!

    ReplyDelete
  5. Sungguh bertuah rasanya terjumpa laman ini. Saya pelajar lepasan diploma Seni Halus & Seni Reka UiTM Sarawak. Entri yg cukup padat sungguh memberi inspirasi buat saya yg sdg berjinak juga sdg menyesuaikan diri/mencari identiti dalam bidang seni.

    ReplyDelete

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...