Friday 25 May 2012

RINTIS 360 USM

Kuliah Aspek-aspek kuratorial dan pengurusan pameran di Kebun Rupa, MGTF USM.
Terima kasih tak terhingga kepada para pelajar tahun akhir Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, USM kerana mengizinkan saya hadir di penghujung perjalanan seni anda semua di USM. Semoga kehadiran saya dan segala yang sempat saya kongsi dalam ruang-masa yang singkat telah membawa banyak manfaat untuk anda. Saya amat menghargainya.


Sesi santai memuliakan karya menerusi kritikan dan apresiasi
Sudah bertahun-tahun (sejak 2004/5 rasanya) saya terpisah dari mencerap getar dan gelombang Bahagian Seni Halus di USM. Pernah saya menumpang studio catan untuk berkarya tapi tak tahan lama mungkin kerana tak cukup daulat. 

Agak ironik kerana selama itu juga, saya begitu meriah melunaskan hajat teman-teman seperjuangan sambil merayau sampai ke UNIMAS di Sarawak dan UMS di Sabah, hingga terasa lebih dekat dengan kerja-kerja para pelajar seni halusnya berbanding Bahagian Seni Halus USM yang begitu dekat tapi hanya mampu saya intai saja. Malah, pernah juga saya tercampak hingga ke UPSI di Tanjong Malim, Perak, ASWARA di Kuala Lumpur, UMK di Kelantan dan UiTM di Perak atas jemputan untuk menyampai kuliah, menilai projek tahun akhir para pelajar seni halus, selain dari menggubal dan menilai program serta kurikulum, atau memberi khidmat nasihat. 

Namun hujan emas di negeri orang tidak sama dengan hujan batu di negeri sendiri.   

Tahniah dan terima kasih juga kepada para pelajar tahun akhir Bahagian Seni Halus USM atas kebijaksanaan dan kesudian memilih Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM sebagai lokasi untuk memuliakan perjalanan 3 tahun anda semua; memuliakan segala pengorbanan ayahanda, bonda, guru-guru serta penat-lelah diri sendiri sepanjang 3 tahun menyelami ilmu seni halus sebagai denai membuka hijab dan mengenal potensi diri. 

Pameran Rintis 360 di MGTF USM.

Tahniah atas istiqamah dalam meneruskan niat untuk belajar mempersembahkan hasil karya anda semua dengan sebaik mungkin, setara dengan pameran seni visual oleh para pengkarya profesional dari dalam dan luar negara. Hasil karya anda selayaknya dipersembahkan dalam persekitaran dan suasana yang terhormat. 
Niat anda juga telah memuliakan program RINTIS itu sendiri, yang merangkumi persembahan projek tahun akhir para pelajar dari empat Bahagian di Pusat Pengajian Seni di USM kepada khalayak umum. Ia mengembalikan saya pada sekitar 2004 ketika saya sibuk menyakinkan bos (Dekan) yang brutal ketika itu Dr. Najib Dawa, untuk menjenamakan persembahan projek tahun akhir dibawah payung RINTIS (Research and Innovation towards Integration and Sustainability).   

Niat anda telah membuka getaran yang mengizinkan saya mengintai semula RINTIS dan hasil kerja para pelajar Seni Halus USM dari dekat. Ia juga telah menjadi jambatan yang membolehkan anda mempraktiskan segala ilmu berpameran yang telah anda kutip sepanjang berpameran di Galeri Adiwarna, Pusat Pengajian Seni USM dan beberapa lokasi lain.

Perbincangan tentang  konsep, tema dan susun-atur pameran
Dari mula Siti Balqis dan rakan-rakan bertandang ke bilik saya tahun lepas untuk memanjangkan hajat berpameran, ke kuliah ringkas tentang aspek-aspek kuratorial dan pengurusan pameran di Kebun Rupa, ke beberapa siri perbincangan dan muzakarah santai untuk menyempurnakan kerja berpameran, hinggalah kepada kerja-kerja pemsangan pameran, semuanya mengizinkan anda semua mengALAMI secara teoretikal dan praktis pelbagai dimensi aktiviri berpameran. Anda juga telah berkesempatan menimba ilmu berharga dari pasukan pemasangan pameran MGTF USM yang memiliki pengalaman, pengetahuan, daya-usaha dan sikap yang penuh budi dan profesional. Sama-samalah memanjangkan kesyukuran.

Anda juga menempiaskan getar tenaga yang bersinergi dengan sihat, terutama bila ada bimbingan dan dorongan. Sebagai sebuah kumpulan, anda berjaya bergerak dengan cemerlang, walaupun mungkin tidak semestinya sependapat dalam segala hal. 

Berkarya dan berpameran adalah lapangan menguji diri. Musuh yang perlu ditarungi adalah DIRI SENDIRI, bukannya orang lain. Yang hendak dicapai bukanlah kejayaan 'mengalahkan' orang lain, tetapi kejayaan mengalahkan segala kelemahan dan kejahatan dalam diri. Yang hendak disingkap adalah rahsia potensi diri sendiri, bukannya kemegahan mendapat markah A semata-mata.

Doakan saya diberi kelapangan untuk berkongsi rasa tentang karya-karya dan pameran RINTIS 360 anda dalam blog entry akan datang.

Salam kasih.






Kerja-kerja pengangkutan dan pemasangan pameran

5 comments:

  1. terima kasih kepada semua staf MGTF, specially prof hasnul krn banyak membantu kami untuk handle pameran ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Memang itupun kerja kami sebagai 'servant'(orang gaji), dan anda adalah pelanggan/tuan kami.Bantuan pada anda adalah amanah dan saham kami.

      Delete
  2. terima kasih juga kepada semua staf2 mgtf dan prof hasnol sendiri kerana sudi menerima kunjungan kami utk berpameran dan merasakan nikmat berpameran setelah 3 tahun berhempas pulas belajar di USM utk berkarya dan mendapatkan ilmu...segala penat lelah menghasilkan karya2 akhir kini terbalas dengan adenya tempat yang berprestij utk kami berpameran...thanks a lot..~~

    ReplyDelete
  3. Sama-sama Miziana. Sama-sama kita panjangkan kesyukuran pada Allah.

    ReplyDelete
  4. Warga RINTIS 360 mengucapkan terima kasih kepada Prof dan juga crew2 MGTF samada yg terlibat secara langsung mahupun tdk langsung dalam menjayakan pameran RINTIS 360... Syukur Alhamdulillah...

    ReplyDelete

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...