Friday, 30 December 2011

PEKEBUN YANG DAH KEMBALI

Allahyarham Che' Zulkarnain

Pagi semalam saya bersarapan di Kota Kinabalu (KK), petangnya saya dakap isteri dan anak-anak di Gelugor, Pulau Pinang. Tiga hari lepas saya datang ke KK, semalam saya kembali. Kita semua datang, lalu dan kembali.

Tiga hari lepas, saya ziarah kebun yang pernah saya rintis di Jabatan Seni Visual, Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Selain dari Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UMS juga ada tempat yang istimewa dalam hati saya. Antaranya ialah Che' Zulkarnain. Saya terkenangkan dia. Dia datang ke UMS, lalu dan dah kembali, buat selama-lamanya.

Che' Zulkarnain ialah antara pekebun awal yang membuka tapak ilmu Seni Visual di Sekolah Pengajian Seni, UMS. Bersama saya dan Fuad Bebit sekitar 2004 dulu, tiga hari dua malam kami bertandang di rumah Fuad dan di UMS, memerah otak untuk merangka program Seni Visual di UMS. Kerja merangka program dan membuat kurikulum ni usah cerita la, lebih letih dari mendaki gunung Kinabalu. Kalau nak cerita, nanti naik ekor merak saya pulak.

Sebelum bertandang, saya dan Fuad dah buat sedikit background research. Fuad yang jemput saya bertandang, mungkin untuk perah dan kerah pengalaman 8 tahun saya berkebun di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Center for Advanced Design KL (Cenfad). Waktu tu, saya dah pun berhijrah ke USM, untuk buka kebun 'media baru' di Pusat Pengajian Seni. "Kerja buka kebun baru ni dah jadi 'sumpah' untuk aku kot," gitulah saya fikir, sebelum disentap oleh khutbah dan leteran Bonda saya tentang 'berkhidmat untuk masyarakat'. Walaupun ego saya suka bertekak, dengan Bonda, saya lebih suka buat lawak bodoh je.

Dah 6 tahun Che' Zulkarnain meninggalkan saya, Fuad dan rakan-rakan buat selama-lamanya. Ziarah yang terbaru ni, saya nampak nama Che' Zulkarnain terpampang dan diabadikan pada sebuah makmal komputer. Ingatan pada dia jadi semakin kuat. Sekali-sekala, terasa dia masih 'ada'. Terasa rindu pula. Sedih tentulah ada, tapi dibasuh oleh rasa syukur bila melihat denai dan tapak awal yang dirintis kini telah tumbuh subur menjadi sebuah program yang telah melahirkan enam kumpulan graduan sarjana muda Seni Visual (tak termasuk yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Phd).

Tentulah saya sendiri rasa bangga dan kembang semacam. Tapi belum sempat nak pasang takbur tuntut kredit dunia, teringat pula metafora pekebun yang datang dan kembali. Kita semua datang, lalu dan kemudian akan kembali. Lebih baik isikan 'laluan' dengan kasih-sayang daripada tanam takbur. Lagipun semuanya kita pinjam je. Tak payahlah lebih-lebih sangat tuntut kredit.

Bila teringatkan Che' Zulkarnain, terfikir pula bahawa segala benih dari kasih akan terus subur dalam kitaran fitrah mimpi 'benda' (dunia jasad). Masa dia meninggal, saya pun tak tahu, sebab waktu tu terputus sekejap perhubungan dengan UMS. Tapi saya masih teringat dia sibuk minta bahan power-point kuliah seni elektronik saya sebagai rujukan mengajar. Waktu tu saya ziarah untuk bentang kertas-kerja. Che' Zulkarnain ni orangnya baik, sopan, lemah-lembut dan cool. Dia merupakan antara pengkarya awal yang menghasil dan mempamerkan karya instalasi berasaskan cahaya elektronik. Selain dari perupa seni visual serba-boleh, dia juga handal menari.

Benih kasih yang Che' Zulkarnain tanam, kini dah tumbuh segar dan berbuah di UMS. Saya tumpang syukur.  Hadiah paling rock dari anak, anak murid dan sahabat, adalah kasih sayang dan doa. Itu jugalah yang saya selalu pesan pada anak-anak murid.

Rasanya dah 4 kali saya ziarah UMS, dijemput oleh Fuad untuk jenguk hasil kebun (menilai hasil projek para pelajar Seni Visual tahun akhir). Setiap kali ziarah, saya teringat Che' Zulkarnain. Marilah kita hadiahkan doa dan Al-Fatihah buat sahabat pekebun saya, Che' Zulkarnain.


No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...