Saya mula kenal dan bersahabat dengan Mohd Noor Mahmud sejak 1985, sewaktu kami sekelas dalam Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Shah Alam. Pernah juga beberapa kali berpameran bersama dia. Pameran yang paling berbekas adalah 4 Persepsi (juga bersama Fauzin Mustafa dan Taufik Abdullah) di Pusat Kreatif, Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1989, dan versi 2.0 yang terbaru pada tahun 2000. Ringkasnya, saya dah kenal dia dan karya-karyanya selama 40 tahun.
Mohd Noor menggunakan corak-corak batik bermotif bunga sebagai elemen utama untuk bahasa tampaknya. Dia mahir menggabungkan estetika tradisi Melayu Kelantan dengan ekspresi kontemporari. Acuan-acuan batik cop digunakan dalam metod berkarya. Maka, simbolisma dan naratif budaya yang sedia ada pada motif-motif floral batik itu juga terpapar sekali dalam karya-karyanya.
Berikut saya ringkaskan sembilan renungan tentang karya-karya mutakhir Mohd Noor Mahmud.
1. Simbolisma dan kepentingan budaya.
Motif-motif bunga dalam rekacorak batik Melayu membawa makna-makna yang berlapis. Antaranya kecantikan dan keindahan, kesementaraan, kesejahteraan, feminiti, spiritualiti dan kesenadian manusia dengan alam semulajadi. Kesannya menghasilkan ketrampilan visual yang mesra dengan budaya di pantai Timur. Motif-motifnya bukan sekadar hiasan, tetapi juga metafora visual untuk jatidiri dan nilai-nilai Melayu.
2. Kualiti jalinan dan ritma.
Karya-karya Mohd Noor sering mengajuk ritma dan jalinan batik cop dan lukis tangan. Elemen-elemen floral yang berulang meninggalkan kesan meditatif atau tafakur, persis ritual pembuatan batik lukis yang mengalir dan beralun. Pengulangan pelbagai rupa, garis dan lengkungan membentuk mantra visual yang mengingatkan kita tentang kesenadian, keseimbangan, kesinambungan dan saling-pertautan antara manusia dengan alam semulajadi.
3. Abstraksi yang digayakan.
Estetika Melayu mentafsir alam semulajadi secara abstraksi yang digayakan (stylized) bukan gambaran yang realistik. Ia menggubah bentuk-bentuk alam menerusi aturan geometri, disebut geometri suci atau 'sacred geometry'. Gubahannya tidak total abstrak, tapi separa. Bila estetika ini diadaptasi dalam karya catan, ia menjadi keluarga budaya modernisma. Maksudnya, rekacorak tradisional diimajinasi-semula dalam bahasa visual seni moden. Pendekatan sebegini sudah lama bertapak dalam sejarah catan seni moden di Malaysia. Antara peneroka awal, adiguru dan tokohnya ialah Sulaiman Esa.
4. Dialog antara kraf dan seni halus.
Apabila estetika batik digabung dengan catan moden, Mohd Noor memadam sempadan antara kraf tradisi dengan seni halus, yang juga adakalanya diungkap sebagai 'seni tinggi' oleh penganut totok seni halus. Penggunaan corak-corak batik oleh beliau, boleh dibaca sebagai penghormatan dan inovasi. Beliau mengangkat warisan budaya tradisi sambil meletakkannya dalam konteks seni moden.
5. Membangkitkan rasa bertempat.
Tempatnya tentulah Kelantan. Khususnya Kota Bharu. Lagi khusus, Rambutan Rendang. Jalinan dan warna yang digubah adalah penanda kepada tempat-tempat ini, yang telah sebati dan senadi dengan Mohd Noor. Ia sebahagian dari memori beliau, terpaut dekat secara emosi.
6. Kecantikan dan kefanaan.
Bunga adalah simbol kepada kefanaan. Mekar sementara, kemudian pudar dan layu. Dunia ini sementara. Dalam karya-karya Mohd Noor, ia mengingatkan, persis zikir dalam diam. Yang diingatkan adalah tentang masa dan kesementaraan. Mungkin juga boleh dibaca sebagai kecantikan yang rapuh, tiada yang kekal selamanya. Anjakan budaya moden dan globalisasi mungkin menjadikan ingatan terhadap warisan budaya menjadi lebih rapuh.
7. Lapisan spiritual dan kosmologikal.
Dalam kosmologi dan seni tradisi Melayu, alam semulajadi itu adalah sebahagian dari aturan yang kudus. Bunga mewakili penzahiran dari sumber yang kudus - suci, seimbang dan sempurna. Ia memancar keluar dari satu titik tengah persis corak mandala dan rajah kosmik. Bunga juga boleh dibaca sebagai pintu kepada kesedaran yang tinggi, selaras dengan ide tentang kesenadian antara manusia dengan alam. Ia menyerlahkan tenaga feminin yang memupuk, secara spiritual. Ia kaya dengan daya kreatif dan intuisi, mengimbangi antara maskulin dan feminin.
8. Kuasa lembut yang halus.
Seperti air sungai yang mengalir lembut, karya-karya Mohd Noor menumpukan kita kepada kuasa halus yang mengalir dan berakar dalam nadi kita. Ini mengimbangi kuasa kasar penuh keganasan yang mengelilingi kehidupan fizikal keliling kita yang berpaksi ego semata-mata yang memisah-misah.
9. Geometri dalam alam semulajadi.
Motif-motif bunga selari dengan geometri dalam alam semulajadi seperti lingkaran, simetri jejari dan pengulangan fraktal. Ini terkait dengan seni Islam dan estetika tradisi Melayu. Ia juga senada dengan prinsip-prinsip kosmologi, malah ide tentang dimensi kuantum serta corak-corak yang menggambarkan adanya Pencipta Yang Maha Pintar. Moga melihat dan menghayati karya-karya Mohd Noor dapat menyedarkan kita kepada adanya Pencipta Yang Maha Pintar di sebalik segala penyaksian deria.
Sekian, terima kasih.
HASNUL J SAIDON
Rumah Tok Cu
Sedim, Kedah.
April 2025.
No comments:
Post a Comment