Friday, 22 May 2020

MEMORI TERHAKIS - TENTANG WARISAN LISAN YG SERING DIANCAM LUPA


Kembali ke 2012.

Apakah ada 'harga' yang boleh diletakkan pada 'memori' kedua ayahanda dan bonda kita? Adakah ia boleh disamakan dengan kerakusan kita mengejar nilai wang ringgit mahupun harta berbenda? Adakah ianya boleh dikuantifikasikan (quantify kata orang putih) menjadi saiz ukuran besar kecil? Adakah memori ini sesuai ditunggang dengan fikir dan rasa yang sudah dijumudkan oleh nilai pasaran?

Bonda dan Ayahanda adalah penyimpan khazanah memori keluarga yang terpenting. Baru-baru ni saya dikuliahkan secara kasual oleh seorang pelawat dari Peranchis, Prof. Nicole Revel, pakar warisan lisan sedunia, semasa dia menziarahi Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM. Dia rakan Dato' Saleh Yappar, seorang pakar warisan/bahasa/sastera di USM yang sangat saya hormati. Dato' Saleh membawa Prof. Nicole untuk melihat khazanah warisan yang tersimpan di MGTF. 

Dah hampir tujuh tahun saya berkebun di MGTF, tapi saya sendiri malu kerana masih tidak fasih menghargai khazanah lisan keluarga sendiri, tidak merakamkannya untuk diwariskan sebagai pusaka yang tak ternilai generasi akan datang. Saya menanam kebun memori di USM, tapi kebun memori Bonda dan Ayahanda saya pinggirkan. Agaknya saya masih ada badi SAKA fahanam 'kebendaan', bila sampai pada bab pusaka lisan Bonda dan Ayahanda sendiri(yang tak nampak, yang takda jasad), saya sendiri kantoi. 

Dr. Nicole sampaikan banyak pesan dan teguran yang amat bermanfaat (walaupun telinga dan hati pedih juga menerimanya), semuanya persis ubat pahit yang perlu ditelan. Tak cukup datang sekali, esoknya saya jemput dia di Hotel Vistana untuk ziarah MGTF sekali lagi. Kali ni saya bawa dia ke tingkat atas untuk dileteri. Prof. Nicole jenis orang yang jujur, terus menegur tanpa tapis. Saya, Zolkurnian dan staf yang lain angguk je.



Sangat ironik kerana saya dikejutkan oleh 'orang putih' yang lebih menghargai warisan lisan 'bangsa' saya sendiri.

Saya sendiri perlu ada perubahan paradigma atau anjakan'mindset', terutama bila berdepan dengan mereka yang sering saya anggap sebagai 'dah tua' dan 'dah nyanyuk'. Betulkah dah nyanyuk? Atau sebenarnya, jauh dalam minda 'sub-conscious' mereka ni (Bonda dan Ayahanda contohnya), ada khazanah yang amat berharga. Dalam kita sibuk mengejar dan dikejar mimpi benda, bagaimanakah sikap kita terhadap khazanah memori ini, mahupun jasadnya yang dah lusuh, tua dan rapuh (seperti juga Bonda dan Ayahanda, jika tidak pun MGTF yang saya tatang sepanjang hampir tujuh tahun itu). Dah tiba masanya saya juga buat hijrah yang baru.

Bila saya tenang, saya ditunjukkan bahawa dalam diri ini sudah tertanam (juga secara sub-conscious) segala khazanah berharga ini, sepanjang saya dididik oleh Bonda dan Ayahanda selama ini. Cuma saya saja yang sering dihijab oleh ego diri yang kecil tu. Jika diselak habis ego ni (dan ditewaskan 'monster bising' yang mengganggunya), barulah saya kenal bahawa sayalah pewaris khazanah memori ini. Tugas saya adalah untuk mewariskannya pula pada anak-anak dan cucu-cucu pula.

Sesekali saya ronda (jalan-jalan) sekitar bandar. Bandar Teluk Intan menjadi 'penanda' kepada banyak bentuk pusaka lisan, khazanah dan sejarah warisan Bonda dan Ayahanda serta keluarga. Namun, penanda2 ini juga semakin lupus ditelan zaman.

Fitrah benda, lupus. Fitrah makna, berubah-ubah. Fitrah memori, lupa. Fitrah kasih & belas.... rentas ruang & masa. 

1 comment:

  1. Numpang promo ya gan
    kami dari agen judi terpercaya, 100% tanpa robot, dengan bonus rollingan 0.3% dan refferal 10% segera di coba keberuntungan agan bersama dengan kami ditunggu ya di dewapk^^^ ;) ;) :*

    ReplyDelete

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...