Adeela, Amira dan Ainina yang sangat Abah kasihi dunia akhirat. Sempena bulan Ramadhan ni, Abah nak bagi kuliah sikit.
2014 adalah tahun yang menyedihkan, yang banyak menguji.
Untuk kita, ia berlaku selepas pemergian Tok Wan yang sangat kita kasihi, yang sering mendoakan kita.
Abah kenal beberapa orang ustaz, tapi taklah ramai. Namun, ustaz yang paling dekat di hati Abah hanya seorang - Ustaz Don. Bukan Ustaz Don yang muda hensem dan selalu muncul dalam tv tu, tapi Ustaz Saidon.
Ramadhan pertama Abah tanpa Ustaz Don kita, Almarhum Saidon Pandak Noh Tok Wan awak bertiga, terutama ketika meniti 10 malam-malam terakhir, sering mengingatkan Abah kepada segala ilmu, pesan dan bekalan batin dia.
Tok Wan ada kata lebih kurang gini : maklumat, pengetahuan dan ilmu memang boleh kita timba sebanyak mungkin dari seseorang guru, tapi Hidayah hanya boleh dikurnia oleh Allah.
Tok Wan juga pernah pesan, keberkatan menuntut ilmu dari guru tu, hadir dari dekatnya kita dengan guru, malah digunakan misal ('amthal) bersentuh lutut antara guru dengan murid. Tok Wan juga berseloroh tentang keberkatan dapat tempias air liur guru sebab duduk dekat dengan dia.
Jasa dia pada kita tak terbayar dengan wang-ringgit, walaupun macam mana kaya dan berharta pun kita.
Malah, hutang zahir pun tak terbayar, jika dikira kos sara hidup dari kita dilahirkan hingga menanggung makan-minum, sekolah, universiti, dll, jika dituntut, tak terbayar!
Seperkara yang masih Abah ingat ajaran Tok Wan adalah hubungan antara fitrah dengan ibu atau bonda kita. Tok Wan sering berpesan tentang pentingnya menghormati kedua ibu-bapa, terutama bonda. Malah, ayat terakhir yang ditinggalkan pada Abah (menerusi telefon, suruh Abah salin terjemahannya), adalah berkaitan dengan ibu-bapa (Al-Isra'(17), ayat 23). (Boleh singgah jap tautan berikut : http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/kena-perlu-berbuat-baik-pada-kedua-ibu.html)
Ayat diatas berkait pula dengan ayat tentang kemusnahan sebuah negara, sesuatu kaum. Carilah kaitannya dengan kepentingan menghormati kedua ibu-bapa.
Kalau kita kejar Lailatulqadar, hebat dengan segala ilmu (fardhu ain mahupun fardhu kifayah), tinggi darjat di mata manusia, berkedudukan, berpangkat dan bergelaran mulia di mata manusia, kaya-raya, banyak harta, murah rezeki dunia (benda), semua tu tak berguna satu sen pun jika kita tidak menghormati bonda kita, tidak membuat apa yang dia suka (selagi tak bertentang dengan syariat), tidak menyampai dan memanjangkan hajat dan impian dia, menyakitkan dan melukakan hati dia, apatah lagi membodoh, memomok.
Doa Bonda (Tok Syeh) untuk kita adalah telus, terus sampai ke Allah. Jika pun kita perasan kita ni elok sangat, dah cukup ilmu, dah menuntut dengan ramai ustaz yang hebat-hebat, dah bersedekah dan menderma, semua ni tak berguna jika tidak mendapat restu dan doa dari bonda kita. Harta dunia tidak boleh dijadikan bahan untuk merasuah Allah, atau untuk menghapuskan dosa batin, atau membeli syurga.
Oleh itu, jika mampu, kita tunaikanlah hajat dan impian Tok Syeh kita, panjangkan kesukaan, kesejahteraan dan kegembiraan dia. Paling kurangpun jika tak mampu atau keadaan tak mengizinkan, kita elakkan dari menyakitkan hati dia.
Ingat ya, dia gatekeeper untuk jalan kembali pada fitrah. Keberkatan atau KPI (Key Performance Indicator) Eidul Fitri bukan hanya terletak pada makanan atau hidangan yang banyak dan lazat-lazat, rumah yang terhias megah, baju yang cantik-cantik, kereta canggih besar-besar; atau ramainya kekawan datang ziarah; bukan pada gambar-gambar yang boleh kita upload dalam instagram atau whatsup, bukan pada hiburan dunia dan tahap bersuka-ria, bukan juga rancangan tv yang meriah-meriah, atau bunga api dan mercun; tapi dari kemaafan atau keampunan dari Bonda kita. Tahun ini kita beraya tanpa Tok Wan, biarlah bersederhana.
InsyaAllah, kita beroleh kejayaan kembali ke fitrah, keberkatan Ramadhan dan kemuliaan Eidul Fitri yang sebenar.
Apa yang Abah pesan ni datang terus dari hati, yang Abah tulis pada malam 22 Ramadhan. Jika ketika Abah menulis ni adalah malam Lailatulqadar, , Alhamdulillah, kita panjangkan kesyukuran. Moga kemuliaannya akan membuka pintu hijab yang sebelum ini menutup pintu hati kita, agar cahaya hidayah dapat masuk.
Sekian, kuliah subuh dari Abah.
No comments:
Post a Comment