Thursday, 19 June 2014

HINGGA AKHIR HAYAT

Bapak guru ku,
hingga akhir hayat
kamu mengajar aku 
yang kurang ajar.

Dua minggu di I.C.U
adalah pengajaran terakhir mu
yang menggoncang, melerai, 
menanggal dan meluruh 
segala taksub 
yang aku tatang.

Bila direnung kedua anak mata mu
aku nampak cahaya 
yang menembusi 
kepura-puraan aku 
dan kegelapan hijab fikir.

Bila cuba mentafsir bibirmu 
yang berkata tanpa suara
aku dengar cuma satu
kasih-sayang tanpa syarat terus dari syurga
yang menghunus, menembus, menghiris dan mencincang halus
segala kebencian dalam diri aku
dan kebencian sesama manusia.

Bila cuba membaca tulisan ketar mu
yang hilang bentuk
tiap garis menerbitkan genang
membasuh  dan menyental
mata aku yang buta
dirasuk wayang rupa. 
 
Bila melihat jasad kaku mu
aku dihembus bebas amat berbekas
yang tersangat halus
menanggal buat sepintas
segala pergantungan palsu
pada hasrat berkarat yang tak pernah bertamat. 

Bila mengucup dahi jenazah mu
aku diusap tenang
yang sangat diam
dan tak terungkap 
dengan apa jua kata-kata
melupuskan segala bising rasa
yang melambung aku dalam dosa.

Bapak
Hingga akhir hayat 
Kamu mengajar aku.


Nilai,
Jun, 2014.
 

 

 


 







No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...