Sunday, 27 May 2012

SYUKUR MENGADAP AHMAD SHUKRI & UMI BAIZURAH- REKOLEKSI

Shukri bercerita tentang perjalanan seninya sambil saya dan Masnor Ramli  tekun mendengar, persis menonton  sebuah filem yang menarik. Hakcipta foto Puah Chin Kok.

Salah satu dari nikmat menjadi seorang manusia yang meniti denai seni rupa, adalah anugerah dalam bentuk rakan-rakan perupa yang boleh dijadikan bekal inspirasi, kekaguman, pembakar semangat, refleksi dan introspeksi yang amat berguna. 

Mencerap daya kesenimanan seorang pengkarya seni rupa dalam gelanggang studionya tidak sama dengan melihat karyanya di ruang pameran. Denyut getaran seniman tidak dapat dirasai sepenuhnya menerusi salinan foto, bercetak atau dimuat-naik ke dimensi maya. Yang terhasil dari cerapan di ruang pameran, mahupun menerusi salinan foto dalam katalog mahupun ruang internet, bukanlah bekalan yang mencukupi untuk dijadikan sumber wacana dan ilmu. Membina ilmu menerusi kaedah 'googleikasi' bukanlah afdal.

Pemerhatian di ruang pameran, bahan bercetak dan internet, selalunya sudah terpalit dengan tapisan pelbagai jenis ego, baik individu mahupun kumpulan dan institusi. Sumber sekunder begini selalunya penuh dengan pertembungan ego (jaringan interpretasi dan persepsi pelbagai sentimen individu) yang boleh menjadikannya terlalu tepu, kabur, kalut, melalut dan selalu juga mengarut. 

Jika benar-benar jujur dalam meniti denai seni rupa, bertandanglah ke gelanggang berkarya seorang perupa, bukan ruang pameran semata-mata. Bertandang ke studio perupa membekalkan kita dengan pengalaman yang merentas data zahir (fakta), meliputi transmisi dan perkongsian pengalaman batiniah yang lebih halus. 

Ia mengizinkan kita bersatu dalam medan kuantum pengkarya. Ia membina ikatan batin, walaupun secara zahirnya nampak terpisah-pisah. 
Menekuni 'cerita' Shukri hingga terbaring. Hakcipta foto Puah Chin Kok.
Sepanjang merentas denai seni rupa, saya amat bersyukur kerana sempat bertandang ke gelanggang studio ramai kenalan. Senarainya terlalu panjang, termasuklah Allahyarham Ibrahim Hussein, Syed Ahmad Jamal dan Redza Piyadasa. Yang terbaru, saya bertandang ke studio dan rumah Yusuf Othman (Bang Usop) yang pernah menjadi ahli Anak Alam. 

Saya tatang semua pengalaman bertandang ini sebagai anugerah yang amat bernilai dan tidak dapat diulang lagi. Walaupun majoritinya dipacu oleh jemputan atau tuntutan untuk membuat tinjauan, pemerhatian dan kajian lapangan sebagai bekal penulisan, saya mendepaninya lebih dari itu. Ianya menjadi titian mencari ilmu, membina ikatan kuantum (silaturrahim) yang merentas batas jasad zahir, merentas bentuk. 

Baru-baru ini, rakan lama saya seorang jurufoto (juga pengkarya kreatif) Puah Chin Kok, datang bertandang ke Kebun Rupa di USM. Dia menunjukkan saya sekumpulan foto dari beberapa sesi pertemuan saya dengan beberapa orang perupa tersohor Malaysia beberapa tahun lalu. Sesi ini merupakan sebahagian dari projek besar menghasilkan sebuah buku besar.  

Transkrip dan data video dari beberapa sesi pertemuan ini masih ada tersimpan dengan saya. Rakaman foto dilakukan oleh Puah, manakala rakaman video diusahakan oleh Masnor Ramli. Saya tatang dan simpan sebagai antara 'harta' saya yang paling mahal dan bernilai. Dalamnya terkandung pelbagai naratif dan drama peribadi yang menandai perjalanan seni ramai perupa yang saya kagumi dan hormati. 

Ada antaranya yang belum pernah didedahkan dalam sebarang penerbitan. Dalamnya juga terisi dengan begitu banyak twist and turn, begitu banyak plot dan sub-plot, begitu ramai karektor dengan pelbagai warna. Saya terasa seperti saksi yang hadir dalam setiap 'cerita' mereka, persis menonton filem yang menarik.  

Walaupun hasil pelbagai sesi ini tidak dapat diterjemah dalam bentuk penulisan, buku atau apa jua bentuk penerbitan (kerana saya telah digugurkan dari projek tersebut), denyut bahang dan getarannya masih dapat saya rasa dengan mesra. 

Tak perlulah saya sebarkan toksid minda dan racun rasa yang melingkari pengguguran tersebut, lebih molek ianya dijadikan penawar yang dapat menyembuhkan kepincangan diri sendiri. Jika sudi, doakanlah saya diberi kekuatan untuk menzahirkan penawar ini dalam bentuk penerbitan yang bermanfaat dijadikan azimat. Berkongsi pengalaman meniti denai seni rupa berdasarkan 'kata-kata' dan cerita perupa itu sendiri mungkin lebih menyegarkan. 

Antara yang paling meninggalkan kesan adalah sesi bertandang di studio Ahmad Shukri Mohamed, seorang perupa yang saya dah kenal lama sejak dia menjadi junior saya di UiTM dulu (lewat 1980an). 

Ahmad Shukri ialah seorang perupa kreatif yang saya kagumi, apatah lagi selepas dihidangkan dengan naratif perjalanan seninya sejak kecil hinggalah kini bergelar antara perupa tersohor di Malaysia dan luar negara. Hingga sekarang saya amat bersyukur dengan pertemuan tersebut, kerana untuk Shukri mengulanginya (bercerita), mungkin susah untuk berlaku lagi.

Begitu juga dengan isterinya Umi Baizurah, yang berkongsi ceritanya dengan saya. Kedua-duanya menggetarkan denyut keghairahan berkarya yang amat tinggi dan mudah berjangkit. 

Membina tautan kuantum dengan Shukri dan Umi.
Hakcipta foto Puah Chin Kok.

























Bertandang ke studio perupa bukanlah hanya semata-mata bertujuan untuk membuat 'kajian/penyelidikan'. Bertandang untuk tujuan sedemikian hanya akan dipalit oleh ego mengejar markah (A), ijazah (diploma, sarjana muda, sarjana dan Phd), atau KPI mengisi 'resume' (penerbitan bertulis, kertas kerja), pangkat (kanan, profesor madya atau profesor), dan status (intelek). 

Ini semua bukanlah tak elok 100%. Namun jika tidak berhati-hati, ia boleh menjadi perangkap 'gila bayang (karier)'. Perangkap ini halus, menjadi hijab yang cekap memerangkap. Saya tahula, saya sendiri dah lalu dan terkena!

Pengalaman bertandang di gelanggang perupa ini mengenangkan saya kepada sikap segelintir pelajar universiti (dan tak kurang yang mengajarnya juga) yang sangat malas dan 'segan' bertandang ke gelanggang studio perupa dalam meniti denai seni rupa mereka. Yang dilakukan adalah 'google' atau berhubung menerusi 'muka buku' (facebook), atau email. 

Jika bertandang pun, ianya diamalkan semata-mata sebagai salah satu 'metodologi mengumpul data'(yang tirus, kering dan sehala). Apabila segalanya menjadi sekadar 'metodologi mengumpul data', pupuslah ikatan kuantum yang lebih halus. Yang terhasil, adalah pembenihan dan penzahiran tenaga toksid yang dipacu oleh ego, pengembongan ilusi kepentingan diri yang sempit dan menyempitkan kemanusiaan.

Denai akademik kadang-kadang dibina oleh fahaman mendewakan tahyul bentuk. Saya dah lama bermandi selut akademik, saya tahu.  Ramai, termasuk saya (tak payahlah nak berlagak pun) yang tersangkut dengan defini operasi, istilah, teori, kerangka konsep, sorotan literatur, hipotesis, metodologi dan segala rencah tuntutan mengejar ilusi status 'orang pandai'. 

Kadangkala saya mabuk bersilat kata dalam ruang maya, tanpa disertakan sebarang ilmu, aturan, adab dan tertib tertentu. Selalunya ia dipacu sentimen ego yang tidak berpenghujung. Hasilnya adalah toksid ketepuan fikir dan kemandulan rasa yang merbahaya terhadap kestabilan medan kuantum kemanusiaan sejagat , apatah lagi jika di'viral'kan. 

Apabila dihidangkan-semula oleh Puah foto-foto 'bertandang' di studio ramai kenalan perupa, toksid ketepuan dan kemandulan rasa tadi hilang. Ia mengingatkan saya untuk mensyukuri dan memaknakan segala pertemuan ini, merentas tuntutan 'mengumpul data'.  Sesuai pula dengan nama 'Shukri', saya bersyukur dapat menjadi saksi pada naratif perjalanan seninya dan isteri.

Ia mengingatkan saya tentang peri-pentingnya mengekalkan tautan kuantum yang sihat antara sesama manusia. Itulah mandat manusia sebagai pemegang amanah untuk mensejahterakan pengalaman mimpi bendanya sebelum dipanggil kembali pulang ke rumah asalnya. 

Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-fatihah buat Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein, Redza Piyadasa, Roskang Jailani, Syam Asmawi dan semua kenalan perupa yang telah pulang mendahului kita.

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...