Friday, 25 May 2012

CIPTA 2012, UNIMAS.


CIPTA (Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir) di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), walaupun berlaku jauh di seberang Laut China Selatan, tetap dekat di hati dan minda saya. Akronim CIPTA itu juga suatu ketika dulu bergetar dalam medan gelombang kuantum saya, sebelum ia terzahir sebagai suatu usul dalam sebuah mesyuarat Fakulti yang minitnya kini mungkin tertimbus dalam timbunan fail. Saya pernah mengusaha denai awalnya pada tahun 1998 dan 1999 bersama dengan sifu saya Prof. Madya Fauzan Omar, Niranjan Rajah, Zulkalnain Zainal Abidin, Rashidah Salam dan Wan Jamarul Imran semasa kami di UNIMAS. 

Sejak beberapa tahun kebelakang, saya dikurniakan rezeki untuk kembali bersama-sama memberi sumbangan kecil terhadap CIPTA menerusi jemputan memberi kuliah dan menilai projek pelajar Jabatan Seni Visual dan Teknologi. Ia adalah rezeki yang amat saya hargai. Ilmu banding, dan segala jenis bingkisan pengalaman mendepani cabaran mengusahakan program sarjana muda, termasuk dalam mempersembahkan hasilnya, dapat saya kutip sebagai bekalan refleksi yang berguna. Saya timba secara langsung tanpa bertapis dari getaran para pelajar, para pensyarah dan penilai luar lain yang dijemput. Data dan segala refleksi yang terkumpul kini menjadi khazanah boleh dikongsi dengan sesiapa jua yang sudi. Dalam dunia seni visual yang kadangkala pekat, sesat dan tepu diwacana secara maya (bukan berdasarkan alami secara langsung), pengalaman sebegini amat berguna. Bukan saja CIPTA, malah FSGK UNIMAS dan Kuching serta Sarawak dekat di hati dan minda saya. 

Mungkin tahun ini 2012 adalah yang terakhir, kerana lebih afdal dimuliakan CIPTA akan datang dengan menjemput penilai lain pula. Gitupun, CIPTA tetap dekat dihati. 

Doa saya untuk semua yang terlibat, terutama para pelajar yang dikasihi. 



Lihat juga:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/04/why-i-fly-to-sarawak-part-2-mengapa.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/04/why-i-fly-to-sarawak.html

and

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/04/closer-to-heart-than-any-biennale.html 

Sebagai perbandingan, lihat juga
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html 

dan

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/05/rintis-360.html 
 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...