Sunday, 13 May 2012

BANGUN DARI PENDEWAAN DAN TAHYUL MIMPI BENDA.

(Tautan ke Bahagian 13)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/05/yang-arif.html?m=0

Satu lagi tahyul yang bakal lupus seperti juga lupusnya kepercayaan bahawa bumi berada di hujung tanduk lembu jantan adalah fahanam bahawa jirim atau benda (realiti fizikal, termasuk alam itu sendiri) wujud sendiri sejak azali, kekal dan mutlak. 

Ikut faham ini, realiti fizikal dibaca sebagai sesuatu fenomena yang berdiri sendiri, terpisah dari minda dan rasa (penyaksi). Ia dikatakan abadi dan kekal (tanpa permulaan dan pengakhiran). Faham tahyul ini bukanlah tak elok 100%. Cuma kena berhati-hati kerana ia boleh menjadi hijab. Ia hanya boleh bawa kemanusiaan separuh jalan, dalam perjalanan mengenal diri untuk mencipta kesejahteraan sejagat.

Ia boleh menjadi saka pendewaan benda jika tidak berhati-hati. Saka pendewaan mimpi benda sebenarnya menjadi punca mengapa manusia pada abad ke 21 ini kelihatan semakin hanyut dan terpalit 'kekotoran' dalam 'mimpi benda'. Jika sudah terlalu pekat melekat berat berkarat, ia menjadi 'dewa' (jirim dan benda dikatakan realiti hakiki). Dewa ini melenakan. Ia menyusahkan kemanusiaan sejagat dari kemampuan untuk 'bangun'. Pendewaan benda adalah projeksi ego. Ia hijab.

Tapi takpa, pendewaan benda ini sedang menghampiri tarikh atau zaman luputnya.

Kemanusiaan kini sedang mengalami proses di'bangun'kan dari tahyul mimpi benda. Ada bermacam lagi penemuan, peristiwa dan perkara yang bakal berlaku. Semuanya adalah sebahagian dari proses di'bangun'kan. 

'PemBANGUNan' atau lebih tepat lagi, perlupusan faham benda (juga buka hijab) bermula dengan proses pemBERSIHan. Proses pemBERSIHan bermula dengan mengenal-pasti segala jenis toksid atau kekotoran (batin) yang sedang menjangkiti kemanusiaan sejagat. Jika ada saja sebarang kekotoran terdedah, walaupun ia kelihatan terpisah atau jauh dari kita, semua itu adalah projeksi kekotoran yang memalit ego kemanusiaan, termasuk diri kita sendiri. Tak payahlah sibuk menunding jari. Tunding diri sendiri dulu. Barulah segala kekotoran dapat dibuang, barulah perjalanan kerohanian kemanusiaan sejagat boleh berlaku.

Proses pemBERSIHan dan pemBANGUNan ini hadir menerusi pelbagai cara. Reaksinya juga pelbagai. Tidak semua yang sedang dibersih dan dibangunkan itu memberi reaksi yang sama. Bersedialah dengan kesabaran dan berlapang dada. 

Dengan kesabaran dan lapang dada, ia akan menjadi pembukaan kepada perjalanan kemanusiaan sejagat naik ke beberapa makam rohani. 

Apabila kemanusiaan sejagat dapat dibersih dan dibangunkan, ia dapat bebas dari pendewaan benda. Kita sama-sama dapat mencipta mimpi benda berdasarkan fitrah. InsyaAllah, kemanusiaan beroleh kesejahteraan dan kemenangan abadi.

Marilah kita sama-sama berlapang dada, menafaskan kesabaran untuk sama-sama 'bangun' menghadapi lupusnya pendewaan dan tahyul mimpi benda.


No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...