Thursday, 5 January 2012

RAMAI INDIANA JONES DI UMS

Lari!
Jalan masuk ke UMS
Sekolah Pengajian Seni
Lobi utama SPS
Lobi utama SPS
Perasmian Pameran 'Matrix' 2011, hasil kerja para pelajar tahun akhir seni visual
Galeri Seni SPS, UMS
Majlis
Dekan SPS, Dr. Ismail Ibrahim dengan rambut putihnya
Ruang pameran tambahan
Along (kemeja biru) dan Fuad (duduk, dua dari kanan), orang kuat SPS, UMS
Zaimie Sahibil, bekas anak murid saya di UNIMAS, kini mengajar di SPS, UMS. Bakal YB kot.
Teddy, kini Ketua Program Seni Visual di SPS, UMS
SPS, dari belakang.


Gambar-gambar di atas diambil semasa saya berkunjung ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).  Ada perasmian pameran "Matrix" (tanpa Keanu Reeves) yang mempamerkan hasil projek tahun akhir para pelajar Jabatan Seni Visualnya.

Kalau nak jumpa 'Indiana Jones', sila ke Sekolah Pengajian Seni (SPS), UMS. Bukan seorang, tapi ramai. Mungkin taklah 'sehensem' Harrison Ford, tapi boleh tahan jugalah. Dari segi 'adventure' dan 'intrigue', tak kalah dengan Indiana Jones. Malah, ada antara anekdotnya boleh meremangkan bulu roma dan lain-lain bulu yang sewaktu dengannya. Jika ada produser filem tempatan yang ketandusan cerita hantu dan misteri, boleh jumpa mereka ni. Atau lebih elok lagi, ikut mereka buat penyelidikan di ceruk-ceruk terpencil. Pernah mereka jemput saya ikut serta, tapi belum ada rezeki lagi. 'Firewall' saya pun tak cukup kuat.


Gelaran Indiana Jones ni saya tujukan pada rakan-rakan pensyarah di SPS, UMS. Mereka ni ada aura yang tersendiri, spesis yang unik. Mereka juga melihat Sabah sebagai sebuah perpustakaan terbuka, sebuah lapangan seni, budaya dan warisan yang begitu kaya dengan sumber ilmu. Sebab itu mereka rajin dan suka buat penyelidikan di lapangan. Pendek kata, bukan jenis 'desk researcher' yang sibuk men'google', berteori dan berpolemik sambil stim sendiri macam saya ni. 

Sekali-sekala mereka bawa para pelajar ke pelbagai lokasi kajian di merata ceruk Sabah untuk mengumpul data visual. Ada masanya, mereka terpaksa keluar duit poket sendiri untuk ke lapangan kajian yang jauh. Ada sesetengah lokasi tu, saya sendiri pun tak pernah dengar. Terdapat beberapa lokasi yang saya sendiri tak sangka wujud di negara yang bernama Malaysia. Gitulah jahilnya saya tentang negara sendiri, mungkin badi yang diwarisi dari saka 'centric'. 

Banyak data berkaitan dengan pelbagai dimensi seni dan budaya masyarakat Sabah yang begitu rencam dan kaya telah dikumpulkan. Banyak yang dah ditulis dan dibentang, ada yang dah dibukukan. Mereka ni berilmu tentang warisan seni dan budaya di Sabah, itupun kalau rajin koreklah. 

Tapi, kalau asyik nak komen atau hanya pandai bawa problem statements yang sangat Semenanjung-centric je, tak dapatla apa-apa ilmu dari mereka. Tampilkan 'problem statements' ni kerja mudah, tambah lagi yang 'viral' atau yang menuntut ramai saksi (ye lah kan, kalau buat kerja atau cakap je takda orang tengok dan dengar, tak da impak le kan, kena ada 'spectacle'). Bila campur sikit perasa mengumpat, memperli, menyindir, mencerca, mencaci, mencari salah, lagi sedap dan cepat jadi hero. Tak payah cakap lebih la, yang menulis ni pun ada masanya kena sampuk juga!


Saya memang 'high' bila melihat hasil penyelidikan Indiana Jones UMS ni, terutama sekali data visual mereka. Saya tak begitu 'high' bila melihat karya-karya mereka, tapi itu interpretasi peribadi masing-masing, dalam gaya bahasa pilihan sendiri. Tak payahlah nak berpolemik basi tentang pilihan gaya bahasa. Seni rupa ni rencam. 

Saya lebih tertarik dengan hasil dapatan kajian lapangan para Indiana Jones UMS ni. Bagi saya, itu semua harta karun yang bernilai. Lagipun, ia menyegarkan saya yang rasanya dah terlalu tepu disogok hukum-hakam warisan kolonial yang dipuSAKAi beberapa 'pakar' di George Town. Bukanlah tak elok, tapi kalau terlalu banyak sangat dengar khutbah dan wacana mereka ni, boleh mono jadinya.

Tahun lepas, bersama dengan Fuad dan ramai lagi rakan di Sabah, kami bawa dan pamerkan hasil penyelidikan lapangan ini dalam Pameran "Limpas Bayu Borneo" ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM). 'Limpas' ni bukan lipas ya, tapi maksudnya lebih-kurang 'minta izin untuk lalu' (kalau tak silap saya la). Ramai pengunjung ke MGTF USM yang suka dan tertarik, kerana ramai yang sebelum itu tidak tahu tentang beberapa bentuk budaya visual yang dipaparkan.  Agaknya ramai yang dah tepu disogok puSAKA kolonial macam saya. Kalau takpun, sebu dilambak oleh gosip, fitnah, ngumpat, cari-cerca, termasuk yang banyak bertakung dalam politik 'spectacle'.


Kepada mereka yang rasa dah terlalu mono macam saya, rasanya elok jugalah sekali-sekala ke SPS, UMS. Manalah tau, boleh juga beberapa Indiana Jones di sana tolong buangkan badi dari saka 'pandangan sepusat' dan KOLOTnial (baik dari segi etnik, geografi, politik dll). 

Ada ramai Indiana Jones di sana. Antaranya Dr. Ismail yang paling otai. Yang lain termasuklah Fuad Bebit, Zaimie Sahibil, Along, Teddy, Kumin dan Fazmi.


Jika sekali-sekala rajin tinjau di luar 'pusat', mungkin ada banyak khazanah ilmu yang boleh diterokai dan hikmah budi yang boleh didalami.



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...