Berbeza dengan teori tradisional di Eropah, teori kritikal membaca kebudayaan sebagai konstruk sosial, satu bentuk pengetahuan yang dibina oleh pertimbangan kuasa (politik, ekonomi, sosial, budaya dll). Kebudayaan bukanlah satu evolusi yang berurutan, dan bukan juga satu proses yang natural atau semulajadi.
Kebudayaan dilihat sebagai satu rangkaian, atau struktur perhubungan kuasa. Rangkaian atau struktur perhubungan kuasa ini pula bertindak membentuk nilai-nilai, kepercayaan dan pengetahuan untuk dilanggan.
Dalam konteks penguasaan dan pengaruh kapitalisma abad ke 20, para intelektual dari sekolah Frankfurt mengatakan bahawa budaya massa kini muncul sebagai mekanisma baru untuk menguasai sesebuah masyarakat. Ia menjadi saluran eksploitasi ekonomi. Proposisi ini dipegang oleh Horkheimer (1941), Marcuse (1941), Horkheimer dan Adorno (2002).
Pusat kepada budaya massa ini adalah industri hiburan dan budaya. Ia menjadi kilang pembikinan pelbagai amalan budaya atau cara dan gaya hidup.
Menurut Horkheimer dan Adorno, industri 'keseronokan yang dimanipulasikan' ini menjadikan filem, buku-buku laris dan kegiatan membeli-belah sebagai kegiatan sosial yang membina otonomi dan keperibadian seseorang. Menerusi industri hiburan dan budaya, imejan dan budaya tontonan menjadi candu yang memujuk orang-ramai untuk membina selera peribadi yang menguntungkan sistem kapitalis itu sendiri. Industri yang berkait dengan hiburan, keseronokan dan amalan budaya popular menjadi saluran bagi mencapai idealisma kapitalis.
Herbert Marcuse umpamanya, menghuraikan bagaimana orang-ramai membina identiti diri menerusi barang-barang yang dilanggani dan dibeli. Secara sinis, beliau menyindir bagaimana mereka menemui 'kerohanian' mereka menerusi kenderaan yang dibeli, menerusi set hi-fi, rumah, perkakasan dapur dan sebagainya.
Produk-produk budaya, komunikasi dan aneka jenis komoditi dari industri hiburan dan budaya mengandungi sikap dan tabiat yang ingin ditanam, baik secara halus mahupun secara langsung. Ini termasuklah hasil karya-karya seni kontemporari yang semakin giat dijadikan sebahagian dari komoditi pasaran yang lumayan. Sikap dan tabiat ini megikat orang-ramai atau sebahagian dari anggota sesebuah masyarakat menjadi 'konsumer' yang taat (jika tak pun, obses).
Produk-produk industri hiburan, santai dan budaya membawa doktrin yang memanipulasi dan mengeksploitasi cara dan gaya hidup, meresapi minda agar diterima sebagai antara cara dan gaya hidup yang ideal dan diidamkan oleh semua.
Komoditi dan konsumsi menjadi mekanisma utama untuk menghasilkan dominasi kapitalisma yang lebih 'maju'. Ia menyerap individu dalam satu rangkaian atau struktur yang kemudiannya mengunci individu tersebut dalam apa yang dikatakan sebagai 'perubahan sosial', atau 'kemajuan'.
Individu ditiruskan menjadi konsumer atau pelanggan yang berfungsi sebagai 'ejen perubahan' atau 'kemajuan', dalam sebuah sistem dominasi yang tidak kelihatan secara nyata.
Analisa kritikal terhadap indsutri budaya menyiasat lapangan budaya sebegini untuk mendedahkan apa yang dikatakan sebagai 'pembacaan yang dipilih' atau 'preferred readings'. Istilah ini diperkenalkan oleh Stuart Hall. Dalam bahasa mudahnya, menanam selera, sikap dan tabiat dalam sesuatu produk dan amalan budaya.
'Pembacaan yang dipilih' ini ditanam dalam pelbagai bentuk produk dan amalan ciptaan industri hiburan dan budaya. Produk budaya popular yang pelbagai ini dibaca sebagai satu bentuk 'teks budaya' yang ada sistem bahasanya tersendiri. Setiap satunya mengandungi saranan halus yang memujuk konsumer atau pelanggan tetapnya untuk memakai 'pembacaan yang dipilih'. Pembacaan yang dipilih ini ditanam secara halus agar konsumer atau pelanggan dapat dijadikan konsumer atau pelanggan sesuatu amalan dan produk budaya yang taat dan tidak banyak menyoal. Ia menjadi satu cara dalam mana sesuatu ideologi dan struktur sosial dibentuk,
diamal, dibudayakan, diterima (sebagai natural atau lazim) dan
diiktiraf. Pada masa yang sama, pihak yang berkuasa dibelakang segala 'permainan bahasa' ini selalunya tidak jelas kelihatan.
Oleh itu, teori kritikal bersikap curiga terhadap sebarang bentuk pernyataan yang mengaitkan sesuatu produk dan amalan budaya itu sebagai 'cantik', 'menghiburkan', 'menarik', 'menawan', 'mengkagumkan' dan banyak lagi. Kesemuanya sudah ditanam dengan 'pembacaan yang dipilih', yang menguntungkan pihak yang memiliki kuasa terhadap rangkaian atau struktur perhubungan ekonomi, politik dan budaya.
Inilah yang menyebabkan teori kritikal berminat untuk menyelongkar dan mendedahkan bagaimana sistem atau aturan struktur dan rangkaian ini berfungsi sebagai lanjutan dari dominasi ekonomi, politik dan sosial.
Sekiranya teori kritikal diacukan pada produk-produk dan pelbagai amalan yang melingkari dunia seni moden dan seni kontemporari di Malaysia, apakah yang bakal didedahkan?
Hasil pendedahan ini mungkin dapat dikesan menerusi kecenderungan beberapa penulis tempatan dalam menghuraikan tentang implikasi yang timbul dari dasar kebudayaan kebangsaan. Ini termasuklah sikap dan reaksi para karyawan seni rupa dan pelbagai pihak terhadapnya. Rangkaian dan struktur perhubungan antara subjek (pengkarya dan karya-karyanya sebagai contoh), dengan pelbagai pihak termasuk kolektor, penaja, kurator, penulis, pengkritik, penerbit (buku dll), pemodal dan pemilik galeri, pengikut/peminat, institusi media massa, media baru, dan banyak lagi, perlulah diambil-kira dan diselongkar. Struktur dan rangkaian hubungan ini lah yang membina wacana dan menanam 'pembacaan yang dipilih' atau preferred readings tadi. Pembacaan yang dipilih juga membina sistem nilai dan apa yang patut diterima-pakai dan diiktiraf (atau tidak).
Oleh itu, perbincangan tentang pembinaan identiti kebangsaan dan negara-bangsa dalam konteks amalan seni rupa di Malaysia perlu mengambil kira perspektif teori kritikal juga. Ia memerlukan pendekatan rentas-disiplin yang tidak lagi terkepung oleh teori-teori tradisional.
(Berdasarkan esei oleh Dr. Izmer Ahmad, "An Introductory Lecture on Critical Theory" dalam "Transdisciplinarity As Research", suntingan Dr. Sarena Abdullah, Dr. Aris Ahmad dan Dr. A.S. Hardy Shafii, Pusat Pengajian Seni USM, Pulau Pinang, 2012)
Sebagai contoh, klik :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/12/living-brands.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
AYAHKU & NELAYAN
(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...
-
Langkah mula Lam Alif di atas merupakan satu langkah permulaan langkah Silat Titi Batang. Penanda reflektor pada pergelangan tangan d...
-
Adiguru lukisan saya, Amron Omar. Esei ini panjang, sesiapa yang ada short attention span , dinasihatkan banyak berselawat. P...
No comments:
Post a Comment