Monday, 10 September 2012

APA JADAH TEORI KRITIKAL NI? (BAHAGIAN 3)

DR : Semalam tertinggal otak, hari ni apa pulak tertinggal?

Tanya : Heeeee....tapak kaki je, otak saya bawak hari ni.

DR : Bagus la tu. Jangan bawak je, mesti digunakan sebaik-baiknya juga, selain dari mohon Petunjuk agar tak sesat melarat.

Tanya : Terima kasih, saya akan gunakan sebaiknya.Saya nak sambung tanya tuan DR. lagi ni.

DR : Silakan....

Tanya : Setakat ni, saya asyik dengar sekolah Frankfurt ni asyik mengkritik doktrin positivisma je, membangkang kaedah empirikal dan kuantitatif.  Apa sebenarnya gagasan yang mereka nak bawa? Boleh jelas lebih lanjut tak?

DR : Mereka membawa gagasan teori yang lebih spekulatif dan kritikal. Mereka menggunakan prinsip dialektik. Asalnya prinsip dialektik ni diperkenalkan oleh Hegel. 

Tanya : Pulak dah.......dialektik ni apa jadah?

DR : Maksudnya, sesuatu perkara itu hanya dapat difahami menerusi lawannya. Lawannya berfungsi untuk melengkap dan mengekalkannya. Hilang pahit, takda la manis. Bahasa canggihnya sublation

Tanya : Lagi satu istilah pelik! Apa pulak sublation ni.

DR : Secara mudahnya, sesuatu perkara itu hanya boleh difahami menerusi lawannya. Sesuatu realiti itu hanya boleh difikir secara sedar menerusi sesuatu yang bertentangan, berlainan atau luaran darinya. Ia bergantung pada lawannya untuk kekal relevan, atau lupus. Oleh itu to sublate boleh membawa dua maksud, mengekal  dan menamatkan. Ini menjadi asas kritikan terhadap apa yang dikatakan sebagai fakta dan 'kebenaran objektif'. Kebenaran objektif dan fakta tidak boleh wujud atau berdiri sendiri dalam minda seseorang subjek yang berfikir tanpa ada kesedaran tentang lawannya. Malah, kebenaran mutlak dan objektif  tentang sesuatu bentuk yang dianggap realiti itu dianggap tidak boleh wujud. Sekolah Frankfurt menolak kepercayaan puak positivis bahawa manusia memiliki otonomi sepenuhnya dalam membentuk realiti. Bagi para pengikut setia Marx dikalangan puak Frankfurt, kesedaran seseorang manusia ditentukan oleh totaliti sosial yang sukar digapai atau dijangkau oleh fikirannya.

Tanya : Fuuuhhhhh....saya dah pening lagi. Takkan seseorang individu itu tiada langsung kemampuan dan peranan untuk menentukan realitinya sendiri, hubungannnya dengan orang lain, dan dengan alam sekelilingnya. Lagi satu, totaliti sosial ni amenda? dan kenapa para mereka terlalu menekankan totaliti sosial ni?

DR : Takpa, mula-mula kena pening dulu. Soalan awak tu bagus. Ia berkait dengan sistem atau struktur ekonomi serta produksi yang kompleks dalam sesebuah masyarakat industri dan pasca industri, yang kemudiannya menjadi struktur yang mempengaruhi kesedaran serta kegiatan sosial ahli-ahlinya. Dalam banyak keadaan, struktur ini lebih berkuasa dan menekan kehendak dan selera peribadi, malah, ia pula yang menentukan kehendak dan membentuk selera ahli-ahli masyarakat. Dalam bahasa orang pandai-pandai, disebut hubungan-hubungan produksi. Dari struktur ekonomi dalam sesebuah masyarakat, muncul pula struktur politik dan perundangan yang diguna untuk mengawal kesedaran dan kegiatan ahli-ahli masyarakat. Mengikut kerangka fikir ini, inilah yang menyebabkan mengapa seseorang manusia itu tidak mampu menentukan realiti kewujudannya sendiri. Malah, kesedaran dan kewujudannya ditentukan oleh kesedaran dan kewujudan sosial yang lebih besar dan kompleks.

Tanya : Tapi takkan seseorang itu tak boleh memilik kesedaran dan kewujudannya mengikut acuan dia sendiri? Tak boleh ke seseorang itu menjadi berkecuali, bebas dari apa saja bentuk totaliti sosial. Tak boleh kah dia menjadi pemerhati yang bebas dan objektif, yang terpisah dari struktur ini?

DR : Kerana dia telah menjadi sebahagian dari struktur ekonomi, politik dan sosial yang lebih besar dan kompleks darinya, atau, dia sendiri merupakan hasil atau produk dari struktur tersebut. Dalam konteks ini, fikiran dan subjektiviti dia sendiri ditentukan atau dibentuk oleh struktur atau totaliti sosial ini.  Inilah sebabnya mengapa puak Frankfurt mengatakan bahawa sebarang pengetahuan itu tidak boleh berdiri sendiri secara bebas, mutlak dan objektif, kerana kewujudannya juga bergantung kepada totaliti sosial ini. 

Tanya : Kalau begitu, apa kesan ambilan begini terhadap apa yang kita katakan sebagai pengetahuan dan ilmu itu?

DR :  Dari sudut hujah teori kritikal, pengetahuan bukanlah fakta yang dah sedia ada sejak azali. Ia muncul ketika berlakunya detik keterlibatan dengan sesuatu fenomena. Detik itu sendiri sudah menjadi sebahagian dari totaliti sosial, bukannya bebas serta objektif sepenuhnya. 

Tanya : Tapi ambilan ini hanya boleh dipakai jika kita mengatakan bahawa sesebuah masyarakat itu berfungsi secara berasingan dari ahli-ahli atau setiap individu masyarakat. 

DR : Ya, kerana sesebuah kumpulan sosial itu melampaui ahli atau individu. Kehidupan sosial tidak lagi ditakrif sebagai ekstensi atau lanjutan dari kesedaran seorang manusia, ia melangkau kesedaran itu. Dan juga, sesebuah kumpulan sosial itu memiliki jaringan atau struktur perhubungan yang berbeza dengan sifat seseorang individu. Malah, jaringan atau struktur perhubungan itu sendiri boleh menentukan kesedaran, sikap dan perbuatan seseorang individu. 

Tanya : Kalau begitu, takkan seseorang individu itu tak boleh mempengaruhi sesuatu jaringan atau struktur yang lebih besar dari dia?

DR : Haaaa....itulah yang menjadi antara perkara yang diselidiki oleh puak Frankfurt ni, hubungan antara sesuatu subjek dengan struktur yang melingkarinya. Sebab itulah, teori kritikal digunakan untuk menumpukan perhatian kepada bagaimana hubungan antara subjek dengan struktur yang melingkarinya dirundingi. Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan tradisi yang memberi tumpuan hanya pada subjek tanpa mengambil kira struktur yang melingkarinya. 

Tanya : Cakap meleret tak guna, boleh bagi contoh tak DR.

DR : Contohnya, teori kritikal tidak berminat mengkaji makna-makna yang dianggap mutlak, atau objektif atau sedia ada, atau yang bersifat metafizik yang dimiliki oleh seorang pelukis seni kontemporari dan digambarkan menerusi karyanya. Teori kritikal lebih berminat mengkaji hubungan pelukis tersebut dan karya-karyanya dengan sistem atau struktur 'dunia seni kontemporari' yang melingkarinya. Teori kritikal lebih berminat mengkaji bagaimana makna-makna tertentu tentang pelukis tersebut dan karya-karyanya diwacana dan dibentuk, diregulasikan untuk pelbagai tujuan yang ditentukan oleh struktur ekonomi, politik dan sosial yang melingkari kewujudan pelukis itu. Dunia seni kontemporari umpamanya, dibentuk oleh struktur ekonomi, politik dan sosial serta rangkaian perhubungan yang kompleks. Ia melibatkan pelbagai pihak, termasuk pelukis, galeri (swasta dan kerajaan), pemilik galeri atau pemodal dan peniaga, pengurus, kurator, pembeli atau kolektor, peminat/pengikut/penyokong, promoter, ejen, media massa/media baru, institusi seni, pengajar dan pelajar seni,  dan banyak lagi. Malah, kewujudan pelukis itu diberi 'makna' oleh struktur dan rangkaian ini. Dia tidak boleh wujud dalam vakum. Teori kritikal perlu mengkaji struktur dan rangkaian ini terlebih dahulu, dan hubungannya dengan subjek (dalam kes ini, pelukis). Hubungan inilah yang akan menentukan kesedaran, kewujudan dan kegiatan pelukis tersebut. Sebab tulah kajian menggunakan teori kritikal ni perlu bersifat rentas disiplin. Ok, sekarang faham tak?

Tanya : Boleh la sikit-sikit. Tapi saya musykil, kenapa perbincangan tentang seni kontemporari di Malaysia umpamanya masih lagi berkisar tentang pelukis dan aspek-aspek pengkaryaan seperti teknik, bahan, subjek rujukan, pengolahan formal, atau hanya terkepung dalam satu disiplin je, contohnya 'seni arca'? Takda pun disentuh struktur, rangkaian atau sistem yang melingkari mereka, contohnya seperti bagaimana galeri swasta beroperasi, bagaimana mereka berniaga, bagaimana mereka mempromosikan seorang pelukis, di mana fungsi atau peranan kurator dan penulis dalam struktur ekonomi atau pasaran seni kontemporari, dan hubungan struktur ekonomi ini dengan sistem pendidikan seni dan mereka yang terlibat dalamnya, atau macam mana struktur dan rangkaian hubungan ini membina makna tentang sesuatu amalan seni. Soalan-soalan sebegini macam tak da je, buat tak tau je, tak bincangkan pun? Macam mana tu?

DR : Yang ni, awak kena tanya DR, DR yang lain la.


(DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YANG DIJADIKAN RUJUKAN, TERUTAMA DR. IZMER AHMAD DAN NUKILANNYA BERJUDUL "AN INTRODUCTORY LECTURE ON CRITICAL THEORY" DALAM KITAB "TRANSDISCIPLINARITY AS RESEARCH" TERBITAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM, DISUNTING BUNGA-BUNGANYA OLEH DR. SARENA ABDULLAH, DR. ARIS AHMAD, DAN DR.A.S HARDY SHAFII. DOAKAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM DAN MEREKA NI KEBERKATAN)

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...