Kebudayaan dibaca dari sudut teori-teori tradisional di Eropah sekitar abad ke 18 dan 19 sebagai perantaraan dalam mana manusia menjadi sebahagian dari sejarah. Kebudayaan dilihat sebagai domain manusia yang terpisah dari alam. Ia merangkumi nilai-nilai etika, keagamaan, politik, falsafah dan teknologi yang mengizinkan manusia mencapai ketamadunan.
Perkembangan sesuatu budaya itu dilihat dalam konteks ini sebagai usaha manusia untuk membebaskan diri dari kekangan alam semulajadi, termasuk kekangan jasadnya sendiri. Ini bagi membolehkan manusia menguasai alam semulajadi. Kebudayaan juga dibaca sebagai wahana untuk membangunkan dimensi kerohanian, yang dapat membebaskan atau 'mencerahkan' manusia.
Oleh itu, bentuk-bentuk kebudayaan dilihat sebagai hasil ekspresi kerohanian dan pencerahan jiwa. Lojik ini membenihkan pandangan yang membezakan antara budaya popular dengan kebudayaan tinggi. Pembangunan kebudayaan tinggi dilihat sebagai matlamat dan hasil utama sesuatu proses sejarah kerana kebudayaan tinggi menjadi wahana kegiatan kerohanian.
Seperti yang dinyatakan tadi, kebudayaan adalah wahana dalam mana sejarah diberikan bentuk. Kebudayaan adalah objektifikasi sejarah. Kebudayaan tinggi menjadi pra-syarat bagi manusia mencapai kebebasan dan pencerahan rohani.
Kebudayaan tinggi pula memerlukan kelompok manusia membentuk konsep kenegaraan. Negara dalam konteks ini difahami sebagai wahana sebenar semangat kebudayaan dan kebangsaan bagi sesebuah kelompok masyarakat. Dalam kerangka kenegaraan inilah maka seseorang ahli masyarakat dapat menjadi sebahagian darinya, atau sebahagian dari intipati etika yang membina identiti sesebuah masyarakat. Konsep kenegaraan menjadi cara dalam mana kelompok masyarakat menerima kesedaran tentang identiti dan halatuju mereka.
Teori-teori tradisional di Eropah melihat pembangunan negara-bangsa sebagai matlamat utama sesuatu kebudayaan tinggi. Ia mentakrif kebudayaan sebagai proses pembinaan identiti antara kalangan rakyat dalam membina negara-bangsa. Ia membina intipati etika sesebuah komuniti negara-bangsa.
Proses mencapai penguasaan terhadap alam-semulajadi, menuju dari budaya rendah dan kasar kepada budaya tinggi dan halus, ke arah pembinaan identiti negara-bangsa ini, dilihat secara linear atau berurutan oleh teori-teori tradisional di Eropah.
Pandangan begini begitu berkuasa hingga ia menjadi sesuatu yang tidak dipersoal, malah dianggap sebagai proses yang natural, atau mengikut fitrah manusia.
Pandangan terhadap kebudayaan seperti ini dipersoal oleh teori kritikal.
(Berdasarkan esei oleh Dr. Izmer Ahmad, "An Introductory Lecture on Critical Theory" dalam "Transdisciplinarity As Research", suntingan Dr. Sarena Abdullah, Dr. Aris Ahmad dan Dr. A.S. Hardy Shafii, Pusat Pengajian Seni USM, Pulau Pinang, 2012)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
AYAHKU & NELAYAN
(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...
-
Langkah mula Lam Alif di atas merupakan satu langkah permulaan langkah Silat Titi Batang. Penanda reflektor pada pergelangan tangan d...
-
Adiguru lukisan saya, Amron Omar. Esei ini panjang, sesiapa yang ada short attention span , dinasihatkan banyak berselawat. P...
No comments:
Post a Comment