Bang Usop |
Harta karun bukan hadir dalam bentuk wang-ringgit saja. Ada juga dalam bentuk ilmu dan hikmah. Perjalanan menerusi denai seni rupa boleh menemukan kita dengan hikmah, jika kita mampu singkap tabir hijab atau bayangan 'bintang-bintang', 'nama' dan karier'. Baru-baru ni saya ditemukan Allah dengan harta-karun sebegitu.
Minggu lepas saya singgah ke rumah dan studio Yusuf Othman atau lebih dikenali sebagai Usop Volkswagen dikalangan kawan-kawan rapatnya, di Bangi. Sebelum tu, Prof. Ismail Abdullah (dulunya pernah mengajar di USM) telefon saya, minta saya jumpa Bang Usop ni. Bunyi pesannya penting.
Prof. Ismail juga memaklumkan saya tentang latar-belakang Bang Usop, antaranya sebagai pekebun awal Anak Alam. Perjalanan seninya sejak tahun 60an bersimpang-siur dan jauh, termasuk pernah terpelanting belajar di USM dan MIA (Malaysian Institute of Art). Dimensi seninya pula pelbagai, meliputi seni rupa, rekabentuk grafik dan set, video dan filem. Gitulah lebih kurang introduction Prof. Ismail.
Saya sebenarnya nak cuti rehat dari segala yang sebau dan sekentut dengan seni rupa moden dan kontemporari. Jika terlebih layan sangat, sistem imunisasi minda boleh disusutkan oleh toksidnya. Tapi permintaan Prof. Ismail ni segan nak saya tolak.
Menurut Prof. Ismail, Bang Usop berhajat nak buat pameran solo. Dia tak pernah buat pameran solo sebelum ini. Agaknya dah jadi job spec saya kot, memenuhi hajat orang lain. Mungkin juga doa Bonda yang mahu saya jadi 'insan berguna'. Susah nak retire dari job spec macam ni.
Bang Usop sudah cuba merisik beberapa galeri hebat di Kuala Lumpur. Majoritinya tak layan dia (selain dari kos modal dan potongan komisyen yang tinggi). Yalah kan, dia pun dah senior citizen. Seni rupa kontemporari di Malaysia ni, terutama yang dipacu oleh galeri-galeri komersial, nampak lebih mabuk bercinta dan tertumpu pada cult of the young, daun-daun muda (ada yang belum cukup matang, dan ada yang belum akil baligh lagi). Selera daun muda ni cukup tegar juga dikalangan pengunyahnya (kolektor). Mungkin apa yang saya nampak ni tak berapa tepat. Kalau tak tepat, anggap ngumpat je lah ye.
Prof. minta saya tolong lihat sendiri karya-karya Bang Usop. Saya tak berapa kenal dia. Yang saya ingat, saya pernah bertingkah sikit dengan dia di RA Gallery dulu, tentang pameran Anak Alam di USM. Dia kata Anak Alam tak pernah buat pameran di USM tahun 80an, saya kata ada, malah ada katalognya di MGTF USM. Masa tu saya kena sampuk angin takbur yang riak dengan status ahli akademik. Bila ada orang pertikai, mulalah ego tercalar, cepat je nak hentam balik orang lain. Susah nak sembuhkan diri dari penyakit ni. Tapi, berkat doa Bonda saya agaknya, dijodohkan bertemu kembali Bang Usop untuk memecahkan ego 'orang akademik perasan dia dah pandai'.
Belum sempat saya telefon, Bang Usop telefon saya. Saya aturkan pertemuan. Saya, Sham dan Adi memandu ke Bukit Beruntung untuk ziarah Ayahanda dan Bonda sebelum lanjut ke Bangi. Setiap kali ke Kuala Lumpur, perlu atur jadual yang selalunya ketat. Kali ini saya singgah ke Bangi di celah jadual menjadi gembala adik-adik Pusat Pengajian Seni (lawatan akademik), ziarah pameran solo agiguru Amron Omar, anakanda sulung Delly di Shah Alam, Sooshie di 12, Galeri Chandan dan sesiapa yang Allah jodohkan untuk bertemu.
Bila bertandang ke rumah teres Bang Usop di Bangi, nampak macam biasa saja. Ada beberapa karya kecil beliau di dinding. Majoritinya abstrak, kuat bau Latiff Mohidin. Bang Usop terangkan pada saya, karya-karya beliau ada 'stages'nya, dari landskap naturalis, ke landskap mikro (abstrak). Ini istilah dia. Istilah saya, organic abstraction atau biomorphic abstraction, subset dari aliran dan gaya ekspressionisma abstrak (abstract expressionism) di Amerika Syarikat satu ketika dulu (50 dan 60an).
Dari kata-katanya, saya dapat rasa getar orang berilmu dalam nada merendah diri. Dari getar itu juga saya dapat faham kenapa 'nama' dia kurang dikenali. Bang Usop ni agaknya kategori tak suka dipasung penjara 'nama' dan 'karier'. Atau dia jenis pragmatis, yang selesa meneroka ilmu baru sambil mencari nafkah yang stabil.
Hanya bila ke studio (teres kedai) depan rumah dia, barulah saya jumpa gua harta karun, selain dari khazanah karya-karya Bang Usop sejak tahun 1960an lagi. "Dulu selalu takda di rumah merantau buat kerja sana-sini, sekarang ni studio pun depan rumah je, bini tak risau", kata Bang Usop, mungkin mengenangkan zaman remaja muda berkelana dan brutalnya dulu.
Studionya bersepah, tak tersusun, berserabut, persis menziarahi premis pengumpul barang-barang lama. Ada ketika, terasa seperti di transpose ke zaman 60an dan 70an. Patutlah orang panggil Bang Usop, Usop Volkswagen (mungkin juga untuk bezakan dia dengan Usop Gajah). Sayang Volkswagen dia dah tak ada lagi.
Saya terpaksa menahan pedih gas petroleum, yang hadir dari bahan cat industri (untuk kereta) yang digunakannya. Ganas Bang Usop ni berkarya. Sambil menahan pedih lubang hidung, saya menangkap sisi Bang Usop yang lain. Dia ni banyak simpan harta karun, dalam bentuk pengalaman dan ilmu yang dikutip dari perjalanan seninya yang mencapah merata dunia. Antaranya termasuklah ketika bersama dengan Anak Alam, bawah pimpinan Latiff Mohidin. Tapi saya layan karya-karya Bang Usop dulu.
Karya terbarunya gagah, abstrak, didominasi rona hijau, berilhamkan hutan. Saya teringat Latiff Mohidin, lepas tu Jolly Koh, lepas tu Joseph Tan, lepas tu Sabri Idrus, lepas tu Hamidi Hadi. Sekarang ni tak ramai buat karya-karya separa lepas-separa kawal macam ni. Bang Usop ni memang fasih bersilat dengan getaran seni rupa catan. Saya tanya, "Bang Usop belajar di mana?" Dia jawab, "Di USM dan lepas tu di MIA, tapi tak sit for exams, I was a non-degree student". Dalam hati saya kata. "Dia ni jenis tak kejar kertas ijazah. Dia kejar ilmu. Payah nak jumpa spesis macam ni sekarang."
Saya tanya Bang Usop tentang rekod dan dokumentasi karya-karya dia, sejak dari tahun 1960an. Tak ada. Yang ada adalah karya-karyanya yang bersepah, termasuklah karya zaman 60an yang masih berbingkai 'retro'. Ada juga sudah boleh dijadikan artifak muzium. Lukisan dan lakaran dia berselerak dalam kotak-kotak.
Bila saya tinjau, banyak kerja kena buat jika hendak menjejak-semula perjalanan seni rupa Bang Usop ni. Bang Usop ni kena ada insan yang boleh mengarkibkan kerja-kerja dan khazanah dia. Saya teringatkan Sooshie yang rajin buat kerja-kerja arkib seni rupa macam tu.
Saya bingkas cadangkan buat pameran solo karya-karya terbaru dia. Lebih mudah diurus. Perjalanan seni beliau sejak 60an boleh dimasukkan dalam katalog atau e-book, kerana perlu ambil masa nak hadam.
Bang Usop memaklum pada saya, pernah bertanyakan servis dokumentasi foto, tapi bila diminta RM10,000.00, dia tak jadi buat. Nak buat sendiri, dia malas kot. Yalah, mungkin dulu dia tak berhajat sangat nak membina nama sebagai seorang 'pelukis'. Tapi bila fikir balik, itu soalan dan permintaan 'piawai' saya yang sudah tepu dibekukan oleh hukum galeri.
Bila saya selongkar kotak-kotak dia, banyak harta karun era 60an dan 70an saya jumpa, selain dari lakaran dan lukisan dia. Terdapat banyak katalog, brosur, dan bahan penerbitan tahun 70an, termasuklah pementasan dan kertas newsprint lapuran mesyuarat (di Muzium USM!). Juga terserempak dengan karya cetakan tahun 70an oleh Mad Anuar. "Itu saya nak pulangkan balik pada Mad", sebelum sempat saya 'kutip'. Rasa macam berada di Lorong Kulit Pulau Pinang (medan jual barang-barang terpakai dan lama).
Cetakan oleh Mad Anuar. |
Yang paling bernilai (bagi saya la) adalah katalog pameran (1978) sempena memperingati Zulkifli Dahalan. Dalam semiotik masa kini, rekabentuknya 'retro'. Kulit depan terhias potret Zulkifli Dahalan dengan cetakan satu ton ala-ala sutera saring atas kertas warna perang (brown paper). Dalamnya terisi sajak Baha Zain, penulisan oleh Latiff Mohidin, Redza Piyadasa dan Ismail Abdullah dan tulisan tangan Zulkifli Dahalan sendiri (tekaan sayala). "Itulah satu-satunya copy pada saya". Dengan muka tebal campur selamba, segera saya minta Bang Usop dermakan pada USM. Allah maha pemurah, Bang Usop kata ok, "kalau simpan dengan saya, takut hilang je nanti." Terima kasih Bang Usop yang pemurah. Katalog pameran solo Latiff Mohidin pun ada, tapi yang ni saya ada simpan di MGTF USM. Dalamnya tersenarai juga karya-karya dan harga. Waktu tu, paling mahal pun RM350.00.
Sambil menggali dan mencari harta karun, Bang Usop bercerita tentang Zulkifli Dahalan dan zaman Anak Alamnya. Ceritanya bersambung bila bertandang ke rumah Prof. Ismail Abdullah. Sebelum ini saya pernah dengar dan baca beberapa versi. Bang Usop ada versinya sendiri. Peristiwa yang sama mungkin dibaca secara berbeza oleh setiap individu yang terlibat.
Hal Latiff Mohidin, Zulkifli Dahalan, Anak Alam , Bang Usop dan semua yang pernah bertandang dan berkait dengannya, lebih molek saya serahkan pada pakar-pakar sejarah, budaya dan seni rupa yang lebih layak. Tak molek saya nak memandai. Versi Bang Usop yang sempat saya kutip, lebih baik di'tuturkan' sendiri oleh beliau, atas kesudian beliau sendiri.
Bila saya singgah ke 12 untuk mengutip hikayat permainan dagang ARTSTAGE Singapura dari Sooshie, dia teruja 'giler' dengan katalog dan cerita tentang Zulkifli Dahalan versi Bang Usop. Diciumnya wajah Zulkifli Dahalan dimuka depan katalog. Sooshie peminat dan pengkaji tegar Zulkifli Dahalan. Dia minta pinjam katalog yang baru saya gali di studio Bang Usop, saya tak bagi. Kami bertarik-tali sambil sempat perli-memperli. Akhirnya, sebab sayang kawan (walaupun sesekali menyakitkan hati), saya bagi dia pinjam untuk buat salinan, dengan syarat pulangkan hari tu juga.
Begitulah nilainya khazanah ilmu dan kisah 'alami' yang boleh dibekal oleh insan-insan yang terhijab dari sinaran dan kerlipan cahaya bintang-bintang seni rupa yang lebih ternama. Bang Usop insan terhijab di balik kerlipan bintang Latiff dan Zulkifli Dahalan. Seorang seniman tidak hidup dalam vacuum, makna kehadiran bayang kesenimanan itu sentiasa berkait dan berpintal dengan kehadiran ramai insan yang lain, termasuk mereka yang kurang dikenali atau jarang di 'depan'. Ada masanya, yang kurang dikenali tu lebih banyak menyimpan khazanah ilmu.
Ada rezeki, saya buat operasi cari-gali harta-karun dan cari-ilmu serta hikmah lagi di studio Bang Usop. Lagipun, saya dah buat akad dengan dia untuk usahakan pameran solonya di USM pada bulan Jun atau Julai tahun ini.
Tengoklah apa tabir hijab yang bakal dibuka nanti...
Amin!
ReplyDelete