Monday, 26 March 2012

BUAT BAIK DENGAN IKHLAS

"Ikhlas tu, kalis setan" 
Bonda


Buka TV, internet, suratkhabar, majalah, dll bahan media sekeliling kita, apakah jenis rangsangan yang kita terima setiap hari. Apakah jenis getaran atau frekuensi halus yang dihantar untuk dicerap dan diproses oleh pancaindera dan otak kita setiap detik? Penawar atau racun? Kebencian atau kasih sayang? Peperangan atau kemamanan? Persaudaraan atau pertelingkahan? Penyatuan atau pemisahan? Jangan fokus pada permukaan (sebarang justifikasi, sebab itu hanya melayan ego je), tapi rasa getarnya. Masing-masing boleh jawab sendiri la ya.


Ramai di kalangan kita mengidap pelbagai jenis penyakit pelik-pelik, walau masih muda. Penyakit adalah tanda zahir bagi getaran batin yang tidak stabil (bertahun-tahun tanpa dirawat). Penyakit moden adalah bayangan penyakit jiwa yang dah lama bersarang dalam minda dan rasa. Yang paling ketara adalah kemurungan. Ramai yang dah kena sampuk dengan penyakit ini, walaupun tak mengaku. Ada yang ringan ada yang kronik. Ramai yang berabih duit mencari penawar, moden dan tradisional, doktor dan bomoh. 


Bab bomoh, saya tak cukup arif. Jika moden, doktor beri kaunseling dan ubat. Tak semuanya berkesan sepanjang masa. Ada masanya doktor sendiri pun murung kronik. 


Dari beberapa kitab ubat dan doktor yang pernah saya tanya, fungsi ubat-ubat anti-kemurungan adalah untuk merangsang penghasilan 'serotonin' secara kimia, yang membantu meredakan kemurungan. Serotonin adalah kandungan semulajadi dalam badan kita yang membuat kita merasa selesa, tenang, damai, malah 'kudus'. 


Tapi ada alternatif yang lebih afdal selain dari makan ubat yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ramai insan-insan yang menjaga medan batin.


Alternatifnya adalah terapi 'buat baik dengan ikhlas'. Fokuslah kehidupan pada membuat kebaikan dengan ikhlas kerana ikhlas itu pesan Bonda saya, kalis setan.


Terapi 'buat baik dengan ikhlas' terbukti berkesan mengurangkan serangan puaka kemurungan dan sebarang penyakit fizikal yang menyusul bertahun-tahun kemudian. Membuat kebaikan memberi kesan langsung kepada sistem imunisasi atau ketahanan diri. Ia meningkatkan penghasilan serotonin dalam otak. Ini dah dibuktikan dalam banyak kajian.


Membuat kebaikan dengan ikhlas walaupun sekecil mana sekalipun kepada orang lain, terbukti meningkatkan fungsi sistem imunisasi (pertahanan) dan merangsang penghasilan serotonin dalam kedua-dua pembuat dan penerima kebaikan. Malah, orang yang menyaksikan kebaikan juga menerima kesan yang sama.

Cuba renung-kembali apa yang kita pilih untuk fikir dan buat setiap hari, setiap detik - kebaikan yang ikhlas, atau ......sendiri pun tahu la. Lihat keliling kita, tempat kerja, dalam suratkhabar, internet, facebook, tv, radio, filem, panggung wayang, kompleks beli-belah,..... Apa yang orang sekeliling kita buat (yang juga menjadi refleksi kepada apa yang minda kita fokus)?

Buat baik (dengan ikhlas)? 


Ramai yang nampak baik, ramai yang buat baik, tapi ikhlas ke? Ikhlas ni getarannya halus, macam ceraikan seutas rambut jadi tujuh. Ikhlas menuntut pengorbanan. Korbannya ego.


Selamat membuat kebaikan dengan ikhlas. 



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...