Friday, 20 January 2012

TASBIH KEBUN MOHD NOOR MAHMUD DI REMBUTAN RENDANG, KELANTAN.

Zikir terbaru Mohd Noor Mahmud.

Bonda Jamaliah dan Ayahanda Saidon selalu mendoakan agar saya menjadi manusia yang berguna untuk masyarakat. Agaknya mungkin dulu mereka risau dengan saya yang terlebih buas, brutal dan rock

Alhamdulillah, dengan izin Allah, sehingga hari ini, kehidupan anak mereka yang bongsu ini 'berguna' dan selalu 'digunakan'.  Walaupun tak kaya raya dengan harta dan wang ringgit, hidup kaya dengan pengalaman, persahabatan dan kasih sayang. Berkat mahu melestarikan hasrat bonda dan ayahanda, agenda menjadi 'berguna' telah membuatkan hidup saya dilimpahi persahabatan abadi, yang merentas seluruh negara Malaysia, termasuklah di Kelantan. 

Baru-baru ini saya tercampak ke Kelantan, meneruskan agenda menjadi pekebun yang 'berguna' sambil menegarkan doa bonda dan ayahanda. 

Sebelum tu, saya pernah berkebun di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Sebelumnya pula ke Langkawi, Kulim, Alor Setar, Ipoh, Sri Iskandar, Manjong, Tanjong Malim, Johor Bahru, Kota Samarahan dan Kuching. Saya berdoa agar kebun silaturrahim saya terus sihat, akarnya menjalar merata bumi Allah, bukan di George Town atau di Kuala Lumpur saja. 

Saya juga berdoa agar minda dan rasa terangkai dalam web batin yang sentiasa segar dan dapat mengembalikan kita kepada fitrah keTunggalan. Web batin manusia hanya boleh digoogle cara batin juga. Pemacu dan browsernya adalah rasa kasih tak bersayarat (ikhlas, yang Bonda selalu pesan, "kalis setan").  

Salah satu dari titik web batin saya adalah di Kelantan.

Baru-baru ni saya dapat tambah satu lagi titik kebun baru, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Tapi yang ni, saya akan cerita dalam blog entry yang lain.

Disebalik segala kesibukan untuk menjadi 'berguna' dan mengejar KPI (Key Performance Indicator) dunia, memanjang dan melestarikan persahabatan adalah visi dan misi yang jauh lebih afdal. Yang ini, dividen dan kesan KPInya merentas hingga ke akhirat. Kita kejar dividen dan KPI yang merentas dimensi ini, lagi bagus.

Kesemua kesibukan dalam drama hidup sebenarnya untuk membawa kita kembali kepada fitrah kejadian, bahawa kita semua adalah 'saksi' kepada 'kasih sayang' Yang Maha Pengasih. Sebab itu perlu engage dengan hidup, bukan detach, seperti faham segelintir manusia.  Sahabat adalah titian kebun-kebun yang menghidupkan jiwa kita.

Dari situlah kita mengerti bahawa kita hanyalah titik yang amat halus dalam aturan alam yang tak terjangkau oleh minda. Dalam pemBANGUNan berteraskan kesedaran begini, segala badi label dan jenama fikir mahupun ideologi (termasuk politik dan seni) yang tidak kekal dan sentiasa berubah, tidak boleh menjangkiti kita. Yang kekal adalah kasih sayang sejati. Wabak benci tak boleh menular, apatah benci bersendikan mukim negeri mahupun ideologi seni dan  jenama politik.

Titik ke titik membina garisan, garis ke garis membina rupa, rupa membina jati diri. 

Apakah wajah jati diri 'persahabatan' antara manusia kini? Tak usah jawab dulu la, sedih.......

Lebih baik kita fokus pada getar rasa yang lebih harmonis dengan fitrah. Kita ke sebuah kebun di Rembutan Rendang, Kelantan, kepunyaan Mohd Noor Mahmud. Boleh sama-sama kita berzikir, terutama untuk saya yang 'mudah lupa' (pada Allah).

Jika terperap di Pulau Pinang saja, mungkin saya mudah lupa. Lupa kerana selalu disumbat khutbah pusSAKA warisan KOLOTnial George Town yang begitu taksub dijaga, diwarta dan dipaksa oleh segelintir pengikut fanatiknya. 

Di Kelantan, saya dibasuh oleh warisan pusaka yang jauh lebih lestari dan dekat dengan fitrah seluruh manusia (bukan Melayu je, tapi global). 

Dah lama saya tak ke Kelantan. Kali terakhir kalau tak silap, pada tahun 2009. Waktu tu saya dan rakan-rakan dari Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM perlu mengatur pameran solo sahabat lama saya Mohd Noor Mahmud. Dia dah lama kembali bermukim di Kelantan, tanah tumpah darahnya. Kami ke sana untuk meninjau dan membawa karya-karyanya ke MGTF USM. 

Karya-karya Mohd Noor Mahmud semasa pameran solonya berjudul "Dhikir Rambutan Rendang" di MGTF USM, 2009.
Bersama dengan Timbalan Naib Canselor USM (kiri sekali), Timbalan Menteri Sains dan Teknologi sewaktu perasmian pameran solo Mohd Noor di MGTF USM.
Selain singgah untuk menilai program-program yang ditawarkan oleh FTKW UMK, saya singgah kebun Mohd Noor Mahmud. Mohd Noor Mahmud ni pelukis tegar. Dia tak boleh berhenti berkarya, walaupun dah lama bertugas sebagai seorang guru. Berkarya (menghasilkan catan) dah jadi rutin harian dan makanan dia. Seperti biasa, saya tamsilkan sebagai 'berkebun'. Kebun Mohd Noor mewah buah (hasil karya yang banyak). Orang Kelantan ada darah pekebun yang tegar. 

Kebun rupa Mohd Noor di belakang istana dia.
Nahu karyanya pula, sangat tebal dengan bau Kelantan, walaupun diungkap dalam nada yang kontemporari. Mohd Noor guna bahasa visual yang abstrak, seiring dengan tutur visual orang Kelantan dengan kaya dengan motif dari alam. Tutur visual orang Kelantan (dalam motif-motif senibina, tekstil, barang hias dll) sebenarnya zikir dan tahmid, jalan atau denai lestari untuk membawa kita kembali kepada fitrah keTunggalan. 

Antara lakaran persediaan dengan pen

Teknik dan bahan yang dipakai oleh Mohd Noor unik, juga mengambil dari warisan tradisi serta hasil bumi Kelantan (serbuk kayu dan acuan besi cop batik). Tekniknya rumit, jika tak istiqamah, memang boleh give up. Penatnya mengalah buruh bangla. Mohd Noor tak pakai 'toyol' (pembantu). 

Hasilnya adalah kualiti jalinan permukaan yang halus, rencam dan menggetarkan rona warna yang seakan-akan 'terbang' dan berubah-ubah mengikut cahaya persekitaran. Senang cerita, karya-karya Mohd Noor ni 'berangin', seperti juga pelbagai jenis warisan budaya di Kelantan. 

Kelantan adalah pusaka warisan kreatif yang sepatutnya dah lama mendapat pengiktirafan UNESCO, bukan hanya di Melaka dan George Town saja. Itu warisan KOLOTnial.


Sekarang ni, tak ramai pengkarya yang menggunakan pendekatan sebegini. Tapi sahabat saya ni tak reti jemu, dia tetap berkarya, tak kiralah ada orang beli atau tidak. Sekarang ni, jumlah karyanya dah cukup untuk buat dua pameran solo! Sebab tu jika ke Kelantan, saya pasti bertandang ke kebun dia. 

Apatah lagi, isteri dia sendiri (Kak Nor) pun saya dah kenal sejak menuntut di UiTM (rakan sebilik isteri saya semasa mereka bergelar siswi UiTM). Kak Nor mengajar di Politeknik, jurusan undang-undang.

Keluarga Mohd Noor dan Kak Nor. Riaz yang sulung kini menuntut jurusan Seni Reka Produk di UiTM Perlis, yang kedua jurusan seramik di UiTM Sri Iskandar, yang ketiga sedang menunggu keputusan peperiksaan (mungkin jurusan perubatan) dan Damia, yang paling istimewa.
Bila sesekali bertandang melihat karya-karya Mohd Noor, minda dan rasa jadi lebih segar. Terkini, dia sedang giat mentasbihkan siri baru berdasarkan 99 nama Allah.  Sangat afdal untuk orang yang kalut dan serabut macam saya. Boleh laras nafas. 

Saya terkenang semasa bersama-sama dengan Mohd Noor menuntut dan belajar mengharungi erti keseniman di UiTM dan kemudiannya di Shah Alam dan Kuala Lumpur, dari 1985 hingga 1990. Itu zaman pendewasaan kami. Dalamnya ada juga episod berkait dengan Kelantan. Kami banyak melakarkan wajah landskap Kelantan. 

Saya melamar Rozana Mohamed di Kelantan!

Lakaran-lakaran saya di Pantai Cinta Berahi dan Pantai Sabak, Kelantan, 1986.
Dalam perjalanan ke Kelantan, 1986.
Bersama Mat Noor (tiga dari kanan)  dengan rakan-rakan yang lain, semasa terpelanting dibawa ke Kelantan oleh sifu Fauzan Omar, 1986.

Ketekunan Mohd Noor dah ditanam sejak di UiTM lagi, semasa bersama-sama dengan saya menuntut di Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Waktu tu, sifu kami yang paling berpengaruh ialah Fauzan Omar. Fauzan orang Pasir Mas, Kelantan. Dia mengajar dengan jiwa, dan lebih menekankan pengalaman praktis. Merata Malaysia kami dibawanya merantau, termasuklah ke Kelantan. Di Kota Bharu dan kawasan berdekatan, segala ceruk dah dijelajahi, termasuk Pantai Cinta Berahi, Pantai Sabak, Bachok, Kuala Krai dan berbagai lokasi, sampai saya pun dah lupa. Pengkarya perlu belajar secara 'Alami'.

Malah, sifu-sifu yang lain seperti Ismail Zain, Amron Omar, (keduanya mengajar secara sambilan), Ponirin Amin, Chong Kam Kaw, Joseph Tan, Ruzaika Omar Basaree, Yusof Ghani, Awang Damit, Zakaria Awang, Ariffin Ismail, Tan Tuck Kang, dll  pun ketika itu boleh dikatakan dalam keadaan 'peak' dan sangat passionate. Begitu juga dengan Normah Nordin dan Najib Noor (yang kini mengajar di UMK). Bila mengajar, mereka berikan seluruh jiwa dan raga. Saya, Mohd Noor dan rakan-rakan memang bertuah.

Mohd Noor, saya dan Fauzin bersama sifu Fauzan Omar semasa perlancaran buku koleksi Farouk dan Aliya Khan di Bangsar, Kuala Lumpur.
Mohd Noor (kiri) dan Taufik (kanan) mengapit sifu mereka, Amron Omar, semasa hadir untuk pameran solo saya di Galeri Chandan, Kuala Lumpur, 2010.
Salam sahabat dunia akhirat
Tempias pengajaran mereka ada dalam jiwa kami hingga kini. Saya, Mohd Noor, Taufik Abdullah dan Fauzin Mustaffa pernah wartakan ilmu dari mereka ini dalam Pameran 4 Persepsi. Hal 4 Persepsi dan episod merempat di merata Kuala Lumpur, terutama sekali di markas Center Stage Performing Arts, di Bangsar KL, boleh buat cerpen atau filem Hindustan yang tragis dan melankoli. Nantilah dulu.

Sahabat 4 Persepsi (Mohd Noor, Fauzin Mustaffa, saya dan Taufik Abdullah) semasa di UiTM, 1988.
Sahabat 4 Persepsi (Mohd Noor, saya, Taufik Abdullah dan Fauzin Mustaffa) semasa merempat di Center Stage Performing Arts, Bangsar, Kuala Lumpur, 1989.

 Fauzin, Mohd Noor dan saya, 2010
Gambar terkini sahabat 4 Persepsi (tanpa Fauzin Mustaffa), di kedai fotostat Taufik di Kelantan, 2012.

Tempiasnya juga ada pada karya-karya Mohd Noor yang saya tatap di rumahnya di Kelantan. Kebun Mohd Noor di Rembutan Rendang, Kelantan adalah antara titik penting dalam web batin saya. Segera saya terkenangkan Kebun Tok Timah, juga dua kebun isteri saya, Rozana's Batik dan Galeri Jiwa Halus. Kebun yang sudah hampir 7 tahun saya semai, pupuk, jaga, bela, siram dan kutip buahnya di MGTF USM, bakal dikebuni oleh pekebun yang baru.

Kesemuanya menjadi sebahagian dari penzahiran doa bonda dan Ayahanda untuk menjadi 'berguna'. Semua juga menjadi titian antara titik ke titik, membina garis ke garis, membentuk wajah persahabatan yang bersaksi dan berpaksikan 99 nama Allah.

Itulah antara hasil ziarah kebun Mohd Noor Mahmud yang berzikir dan bertahmid di terataknya di Rembutan Rendang, Kelantan.

Lakaran potert Mat Noor oleh saya sendiri, pen atas kertas, 1988.

(Dua lagi titik kebun penting dalam web batin saya di Kelantan ialah Taufik Abdullah dan Mohd Noor Hashim. Mereka ni juga species yang special, tapi nantilah saya cerita bila ada kelapangan.)

Untuk gambar-gambar Pameran Solo Mohd Noor "Dhikir Rambutan Rendang" di MGTF USM, sila klik
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.221103941246658.61300.100000411624581&type=3#!/media/set/?set=a.104267916263595.8831.100000411624581&type=3

Untuk melihat lakaran Mohd Noor Mahmud, klik
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.324435934246791.80555.100000411624581&type=1

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...