Wednesday, 7 December 2011

MINDA TERTAWAN, DITAWAN, MENAWAN, RUPAWAN.......JANGAN MENGAWAN

Saya dah baca buku "Minda Tertawan" oleh Engku (Raja Ahmad Aminullah). Engku ialah rakan seperjuangan yang tekun menulis, mengusahakan Galeri RA, menganjurkan pameran dan banyak penerbitan yang berkualiti. Dia juga seorang pengumpul objek budaya dan karya seni. Istiqamah Engku yang lebih selesa berjuang di belakang tabir, saya jadikan inspirasi. Dia pun bukan jenis suka dipuji-puja, buat dia tak selesa. Engku manusia yang 'cool' tapi arus dalamnya kuat. Walaupun lebih berpengalaman dan berusia (pangkat abang), dia hormat pada saya yang rock, juga pada ramai lagi insan yang jauh lebih muda dan brutal dari dia. Dia tak pandang rupa dan jenis bulu. Kalau tak silap, Engku dibentuk di MCKK yang telah melahirkan ramai tokoh.

Sasaran Engku dalam buku ini adalah golongan intelek dan peranan penting yang sepatutnya dimainkan oleh mereka dalam kancah peristiwa politik, sosial, ekonomi dll yang berlaku dalam negara. Amat kena pada tempat dan masanya buku ini diterbitkan. Negara Malaysia kini sibuk membangun, tapi jarang menyibukkan diri untuk BANGUN (awakened/enlightened). Ada yang telah 'ditawan' kerana terlalu 'tertawan' pada 'kemajuan'. Ada yang ditawan hABUan. Ada juga yang di'tawan' watak-watak yang dijenamakan (spun) sebagai jagoan. Ada yang lebih tertumpu pada kerja 'menawan' agar tampak 'rupawan'. Pu'saka' tertawan ni boleh hinggap pada sesiapa jua, termasuklah yang sedang menulis ni. Tak payahlah sibuk nak menunding-nunding jari pada orang lain. Buku engku ni bagus buat ubat muhasabah diri.

Hal 'mengawan' pun boleh dijadi subteks, tapi biarlah pembaca sendiri memecahkan kod-kod saranannya dengan ilmu semiotik masing-masing.  

Golongan intelektual sepatutnya bebas dari diikat hidungnya, dijahit mulutnya, dijumud fikirnya dan dibeku hatinya (perkataan saya) oleh kepentingan politik, ekonomi, sosial, budaya, dll yang sempit, melampau dan partisan. Gitulah agaknya seruan Engku.

Engku melontarkan kekecewaannya terhadap kebisuan dan ketumpulan golongan intelektual dalam beberapa situasi, peristiwa dan isu getir yang melanda masyarakat. Selain kecewa, nadanya disulami idealisme versi Engku. Contoh-contoh kes disentuh sambil lalu, disulami pula dengan banyak petikan dari peristiwa yang melingkari beberapa orang tokoh intelek (merentas zaman)yang dianggap wajar dicontohi. Petikan kata-kata mereka juga dijadikan azimat dan bekalan.  Gaya bahasa Engku sopan, seperi orangnya juga.

Bacalah buku ni buat penawar, jika tidak mahu minda kita dengan mudah ditawan.

Doa saya untuk Engku.


No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...