Tuesday, 6 May 2025

RUH (OLEH HASMI HASHIM)

 


RUH

Bagaimana ruh bisa digambarkan? Ia mungkin ada dalam karya-karya Hasnul Jamal Saidon, kali ini.

Dari kecil, emak ku—dan tentunya ibu semua di antara kita—memberitahu yang kupu-kupu merupakan binatang yang cantik dengan sayap berwarna-warni. Kadang, macam pelangi.

Tapi, di dalam pameran “Senadi Senafas”, ada beberapa objek hilang warna yang utuh. Kupu-kupu, kuda dan kucing berkepak, juga beberapa ekor ayam; dari sosok mereka, pancaran cahaya. 

Akan tetapi, masing-masing masih berbentuk sepertimana bentuk yang asal: ayam seperti ayam, kucing pun begitu, atau kuda—hanya rama-rama yang terbang hinggap di merata tempat—yang menakutkan—pada dinding dan lantai. Ia seakan tidak lagi berjasad utuh. Yang terbang itu, agaknya ruh belaka.

Ketakutan ini, dengan tergesa-gesa mahu aku kongsikan kepada M Nasir. Aku pun membawanya ke galeri. Supaya dia melihat sendiri. Merasa sendiri. Sementara mulut aku tidak berhenti bercerita, tentang sesuatu perasaan yang payah diungkap; yang entah siapa boleh rasakan sama, sepertiku.

Macam biasa, dia banyak diam. Kecuali sesekali bertanya, “Lagi? Lagi?”

Lagi apaan lagi, kalau bukan macan putih yang sedang berdiri di tebing sungai yang berarus perlahan. Dari sana, terdengar bunyi segala isi rimba raya. Di sana, ada iramanya yang tersendiri ~ walaupun terdengar dalam batinku sahaja.

Sang Macan tekal memandang tepat ke mata kami—dan aku, hanya seperti anak kecil yang tersesat di hutan itu.

Bilamana lama ku renung dalam-dalam, tampak linangan bertakung tidak gugur di kedua kelopak mata macan tadi. Cuma ia bukanlah seperti air mata anak dara yang teresak riba—namun lebih kepada air mata seorang tua yang sudah lelah melalui dan memandang dunia.

Kerana kakinya agak gebu, bulunya agak tebal, aku mula yakin, dia tidak akan menerkam kami—Nasir pun nampaknya tidak mahu lari. Dia tidak mahu menyelamatkan diri.

Catatan ini, tuan, hanya fregmentasi kecil dari tingkat satu karya Hasnul yang sudah rapi. Selepas aku mengira-ngira, sekurang-kurangnya ada tiga tingkat puncak-puncak yang perlu dipanjat kesemuanya.

Dan nantilah, kalau sesudah ketakutanku pergi, setiap tingkat atau puncak, coba aku tuliskan. Persatu, persatu.

No comments:

Post a Comment

"APA ITU CAHAYA?"

  Zumi ku terbang ke langit. Dia bertemu Al-Ghazali yg pernah aku tekuni. Zumi tanya, "sekarang saya dah mati, takda jasad. Adakah say...