Friday, 9 August 2024

RINTIS

Tahniah atas istiqamah dalam meneruskan niat untuk belajar mempersembahkan hasil karya anda semua dengan sebaik mungkin, setara dengan pameran seni visual oleh para pengkarya profesional dari dalam dan luar negara. Hasil karya anda selayaknya dipersembahkan dalam persekitaran dan suasana yang terhormat. 

Niat anda juga telah memuliakan program RINTIS itu sendiri, yang merangkumi persembahan projek tahun akhir para pelajar dari empat Bahagian di Pusat Pengajian Seni di USM kepada khalayak umum. Ia mengembalikan saya pada sekitar 2004 ketika saya sibuk menyakinkan bos (Dekan) Pusat Pengajian Seni ketika itu Dr. Najib Dawa, untuk menjenamakan persembahan projek tahun akhir dibawah payung RINTIS (Research and Innovation towards Integration and Sustainability).   

Ia juga telah menjadi jambatan yang membolehkan anda mempraktiskan segala ilmu berpameran yang telah anda kutip 

Kita ini manusia, bukan robot. Kita bukan mesin, bukan benda, bukan nombor untuk dilumba, bukan juga sistem kepintaran tiruan (artificial intelligence). Kita juga bukan kertas-kertas undi untuk dipancing. Kita ada roh, ada fikiran, ada perasaan. Ketiga-tiga ini 'intangible'. Maksudnya, tidak ketara, tidak nampak dengan mata kasar. Hal yg tidak bersifat benda ini tidak boleh dicerap oleh 5 pancaindera. Hal-hal halus seperti kasih, belas, syukur, ikhlas, memanglah sukar disukat dan dipukat. Jika sukar atau tidak boleh disukat dengan tepat, adakah ia tidak lagi penting dalam menjadi 'manusia', apatah lagi dalam 'menilai' kualiti 'kemanusiaan'?

Jantung dan kalbu kita adalah taman. Otak dan minda kita adalah taman. Manifestasi atau penzahirannya, untuk anda dan saya, adalah menerusi karya dan pameran seni. Oleh itu, karya dan pameran seni kita, juga adalah taman. Ia perlu disiram, disuburi. Ia bukan litar lumba dan gelanggang berjudi. Karya dan pameran seni, seperti juga kalbu dan minda kita, adalah tapak menanam dan mewariskan kasih, belas, kemaafan, kesyukuran, budi, kejujuran, keikhlasan, keredhoan, kesejahteraan. Ia bukan tapak menanam benci, syak-wasangka, dengki, khianat, dendam, tamak-haloba.

Karya dan pameran seni ibarat pokok. Kita 'pemegang amanah' yg menjaganya, menyiramnya, menyuburkannya, melestarikannya dengan kasih dan belas. 

Pokok dalam bahasa Arab adalah 'syajaratun'. Dari situ datangnya perkataan sejarah. Sejarah bukanlah 'linear' atau berurutan. Itu tafsir mekanikal moden yg berpaksi benda. Sejarah bersifat multi-dimensi. Ia 'non-linear' atau tidak berurutan. Setiap sejarah sedang dicipta 'sekarang', 'kini', 'saat ini'. Setiap titik sekarang itu pula sentiasa 'mencapah', berkembang, membiak, menyubur, meranting, merebak dalam ruang-masa yg multidimensi. Sejarah itu juga bersifat 'cyclical' atau kitaran/putaran. Ia saling-terkait, sulam menyulam. Renung dan peri hatilah sifat pokok (syajaratun). Renung juga corak-corak geometri sakral dalam pelbagai tradisi visual manusia. Peri hati anyaman, sulaman, ukiran, corak-corak arabesque, mandala dan lain-lain seumpamanya. Itulah contoh 'innernet' yg 'menggambarkan' saling-terkaitnya kita. Innernet ini ada dlm sistem saraf dan darah kita. Ia juga ada dalam sistem hidrologik bumi (sistem sungai contohnya). Coraknya yang fraktal itu juga fitrah, ada dalam diri manusia, alam semulajadi dan alam semesta.

Kita semua, secara batin atau kuantum, adalah saling-terkait dalam sistem fitrah ini. Bahasa canggihnya ekologi. Kita adalah satu keluarga sejagat dan semesta. Kemanusiaan itu persis pokok yang kaya dengan kepelbagaian (diversity). Sistemnya fitrah. 

Sistem fitrah bergerak dalam kitaran dan capahan (bifurcation). Yang pucuk akan terus tumbuh menggapai 'langit'. Yang muda akan segar menghijau utk berfotosintesis menukar karbon monoksid (racun) menjadi oksigen (penawar). Ia menjalankan amanah untuk mensejahterakan hingga sampai kitaran untuk tua. Yang tua akan gugur, kembali ke 'bumi' menjadi sebahagian dari tanah-air. Semua tunduk dan akur dalam satu aturan yang tersangat indah, disebut Hukum Alam yang fitrah. Kita adalah sebahagian dari Hukum Alam atau Aturan ini. Ia ibarat tarian kosmik cahaya yg melata.

Berkarya dan berpameran adalah denai ilmu. Puncak atau 'apex' kepada 'ilmu' adalah 'tunduk' (humility), bukan angkuh, sombong, bongkak. Tunduk ini hadir dari rasa kekaguman (awe) terhadap sesuatu yang lebih hebat dan besar dari kita. Kagum ini terbukti secara saintifik, menyihatkan. Ia penawar penyakit mental dan jiwa. Kagum hadir bila 'ego' atau ilusi diri itu lupus dalam penyaksian (syahadah) yang tembus - bahawa kita dan ilmu yg kita alami itu, malah segala-galanya, adalah tanda-tanda bayangan kepada adanya yg Hakiki - Adanya Maha Agung & Maha Hebat. Itulah kunci penyaksian. 

Terima kasih kerana berpameran di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, USM (MGTF USM). Selamat datang ke dalam keluarga MGTF USM. Keluarga juga persis pokok. Untuk pameran RINTIS ini, saya kirimkan doa yg baik-baik agar anda bersama karya-karya anda dalam pameran dapat melaksakan amanah dengan cemerlang. Saya doakan setiap anda menjadi taman yang sejahtera dan mensejahterakan seluruh umat manusia.

Tempat yang terbaik adalah dalam doa. Hadiah atau anugerah yang paling berharga adalah kasih & belas. Pencapaian dan kejayaan tertinggi manusia adalah kesejahteraan. 

Salam sejahtera, dengan pelukan kasih & belas dari saya,

PROFESOR MADYA HASNUL J SAIDON


Pengarah


Mgtf Usm

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...