Saturday, 3 August 2024

BERBUAT BAIK DAN EMPATI

 Apa faedahnya dlm pengajaran dan pembelajaran seni halus?

Saya dah mengajar bidang seni halus sejak 1989, bermula sbg tutor atau pembantu pensyarah kelas lukisan dan catan di UiTM. Maknanya dah kutip pengalaman ilmu lalu selama 35 tahun, selain ilmu tahu (teori). Ok, itu sedikit konteks utk membatalkan sebarang kaitan dgn ungkapan 'palatau'.

Saya berhipotesis bahawa pembelajaran seni halus hari ini ada 'problem-statement'. Kita berada pada era dimana para pensyarah seni halus (dan pelajarnya juga terpalit) sedang dihambat pesat. Maksudnya diminta kejar-mengejar berlumba 'nombor' atau segala yg boleh disuku-disukat-disakat-disekat. Dunia keilmuan seni halus menjadi litar lumba atas nama 'persaingan global' (global pula ikut tafsir yg takda tauhid pun dlmnya). Dalam litar lumba ini, terasa seperti hal2 mendidik makin terpinggir, lebih2 lagi yg terkait dgn transmisi nilai2 halus atau subjektif yg membawa kpd kesejahteraan manusia sejagat.

Dari hipotesis di atas timbul beberapa soalan. Adakah yg halus dan sukar disukat secara tepat dan empirikal itu, makin dilupus dlm mengajar seni halus? Adakah dimensi emosi dan intuisi dlm seni halus itu perlu dipariakan, kerana tidak setaraf dgn darjat yg diletak pd dimensi fikir yg semata-mata lojika, rasional totok dan objektif mutlak? Adakah emosi peribadi tak boleh diambil-kira dlm seni halus krn itu dianggap tidak 'akademik'? Adakah dimensi afektif itu rendah tarafnya dibanding dimensi kognitif dlm pembelajaran dan pengajaran? Adakah kesejadian (embodiment) budi itu tidak lagi penting, kerana yg lebih ditekankan adalah retorika kognitif yg memandai-mandai? Adakah sahsiah dan akhlak tak penting, kerana tidak ada nilai pasaran?

Dan yg selalu timbul dlm hati, terutama bila dilambung dgn segala mcm teori, metodologi, analis, diskusi dan wacana banana bahana seni, adalah soalan, 'kat mana tauhidnya?'

Mengajar seni halus seakan makin di'sains'kan. Itu tekaan saya la. Seolah-olah bidang seni halus dlm akademia itu mesti disengetkan ke arah aktiviti kognitif otak sebelah kiri sahaja untuk ditabalkan 'bernilai secara akademis'. Ya, diakui bagus jika kita dpt mengimbangi seni dan sains agar terhasil pengalaman belajar yg 'whole brain' - guna otak kanan dan kiri secara seimbang. Seni dan seniman boleh memberi interpretasi subjektif terhadap fenomena. Saintis dan teknokrat boleh memberi deskripsi objektif terhadap fenomena. Berimbang. Namun, imbangan ini spt tidak berlaku jika seni halus itu di'pseudo-sains'kan secara pukal.

Bila sibuk kejar nombor, didoakan agar mendidik itu terus berlaku. Apa ada dlm didik?

Asas didik adalah kasih dan belas. Elemennya ada dua - empati dan berbuat baik. Ini ada dibahas dlm beberapa kajian. Akarnya Tauhid. 

Perlu diingat ya, berbuat baik tak sama dgn 'buat2 baik' yg malangnya masih terus membiak dan ditunggangi. 

Berbuat baik, cegah kemungkaran. Aksi atau tindakan paling berkesan utk cegah kemungkaran adalah berbuat baik. Ia aksi atau tindakan proaktif. Berbuat baik itu teras pengajaran dan pembelajaran. Kita menuntut ilmu untuk berbuat baik. Kita menuntut ilmu bukan untuk 'buat-buat' baik, buat mungkar, buat jahat, buat kerosakan. Ramai org pandai yg buat mcm tu. Mereka pandai, tapi buat kemungkaran dan kejahatan. 

Berbuat baik meneutralkan rantaian reaksi demi reaksi atas reaksi yg lebih byk bising dgn drama hero jadian je.

Empati pula dari segi bahasa Inggerisnya, berakar dari falsafah estetika Barat abad ke 19, kemudian berkembang menjadi sebahagian dari amalan pedagogi sejak pertengahan 1980an. Pembelajaran yg bermakna, perlu ada empati. Jika tiada empati, proses pengajaran dan pembelajaran jadi kering, bersifat spt mesin atau mekanikal semata-mata. Dari perspektif Islam, sudah ada istilah 'rahim' atau ihsan. Jika saya salah, mohon betulkan. Ia merujuk kpd 'kemampuan untuk memaafkan diri sendiri dan orang lain'. Ia asas kpd 'rahmat bahgia' yg Tuhan kurniakan. Kita nyanyi semasa perhimpunan sekolah dulu. 

Kita kembali kpd 'berbuat baik'. Kesejadian (embodiment) berbuat baik boleh dijejak dari akhlak Rasulullah. Pada yg suka falsasah, mungkin makna berbuat baik itu boleh dirujuk dlm "Rhetoric" oleh Aristotle. Ia ditafsir sbg kemurahan hati dlm menolong orang lain tanpa mengharap balasan. Selalunya buat baik ni dianggap nilai2 dalaman yg berasaskan doktrin keagamaan. Dalam faham sekular, berbuat baik dikelabukan jadi haru-biru ikut nafsu tanpa asas Tauhid. Juga dicelarukan dgn 'nilai pasaran' ikut doktrin haloba yg dipacu kapitalisme global. Hasilnya adalah 'buat2 baik' yg menunggang apa saja utk keuntungan kebendaan yg tiada had, walau bawa kerosakan. Jika tanya Dalai Lama, buat baik ini teras amalan Buddha. Dari segi sains neuro dan kesihatan, berbuat baik boleh membuat badan kita mengeluarkan hormon2 sihat. Ia membantu proses penyembuhan. Ada beberapa kajian yg mengusulkannya. Oleh itu, jika melukis atau berkarya itu menjadi sebahagian dari 'berbuat baik', ia menyihatkan, atau membantu proses pemulihan diri dan orang lain.

Apa pula empati? Mungkin boleh dirumus sbg kemampuan utk memahami fikiran dan perasaan diri sendiri dan orang lain. Jika dalam konteks didik, ia melibatkan penalaan (attunement) getaran fikir dan perasaan antara yg mendidik (guru) dgn yg dididik (murid). Ia juga melibatkan pemindahan sementara pusat tumpuan dari diri sendiri (self-centered) kpd orang lain secara introspeksi-bersama. 

Empati dalam amalan seni halus adalah medan 'pertemuan getaran fikiran dan perasaan'. Seorang yg berempati meletakkan dirinya di luar dari pusat diri utk mengalami situasi dari sudut orang lain. Introspeksi berlaku bila kita memikir tentang diri dgn mengambil-kira kaitannya dgn fikiran dan perasaan orang lain. Ia melibatkan renungan mendalam dan pembayangan tentang hidup org lain sbg denai utk faham dan kenal mrk sedekat yg boleh. 

Empati adalah komunikasi seni halus bersifat 'relational', bergantung pd gambaran2 visual yg terzahir dari fikiran bawah sedar yg subjektif. Ia bukan sekadar memikir bersama yg bersifat kognitif, tetapi juga merasai bersama secara emotif.

Empati berguna dlm amalan mendidik bidang seni halus krn ia dpt bantu seseorang guru dan pelajar 'merasai' pengalaman dan situasi masing-masing. Matlamatnya adalah membentuk sikap ambil berat terhadap satu sama lain. Empati penting dlm persekitaran keilmuan. Perkembangan empati antara guru dan murid adalah jantung kpd transmisi nilai2 subjektif yg sihat dan sejahtera dlm pendidikan. Bila guru dan murid membentuk empati antara satu sama lain, sifat memahami satu sama lain membolehkan proses penerokaan ilmu pengetahuan dari pengalaman hidup berlaku dgn lancar. Ia membantu dari segi afektif, kognitif, psikomotor. 

Empati juga penting dalam mendepani peningkatan masalah kesihatan mental yg melanda kedua2 pihak guru dan murid. Tanpa empati, pengalaman keilmuan jadi kering tanpa ihsan. Jiwa terus jadi kontang, mental tak sihat, emosi berkeladak, aliran tenaga dalaman tersekat dan badan dpt penyakit. Empati dalam amalan melukis atau pengkaryaan seni halus, boleh menyihat dan memulih.

Sekian, perkongsian saya utk renungan bersama. Jika rasa yg halus tu berguna, please share.

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...