Jari-jari Bapak diusap jari-jari cucunya Adeela ketika di ICU, bergetar sepanjang masa. Sampai sekarang aku masih rasa getarannya. |
Duhai jari-jari yang sepanjang hayatnya, telah mengajar aku yang kurang ajor ni tentang kehebatan bertasbih, tentang getaran zikir yang merentas jasad. Untuk beberapa hari semasa di ICU, ia menggenggam jari-jari aku yang dah dikematu nafsu. Ia bergetar (menggeletar) sepanjang masa hingga meleraikan segala mimpi benda yang aku kejor, pegang, tatang dan tayang sebelum ni. Ia menggegar segala yang palsu dalam diri aku, sebelum kemudiannya menjadi kaku, untuk aku basuh dan usap buat kali terakhir.
Bapak,
Hingga sekarang aku masih rasa getaran jari-jari mu.
Bapak,
Getaran zikir mu merentas jasad, ia terus bergetar walaupun jasad mu dah takda. Ia bergetar dalam dada aku yang keras ni. Bila minda aku yang cukup bising dan rasa aku yang berkocak itu senyap, aku mendengarnya.
Bapak,
Aku pulang. Aku tunaikan janji batin ku untuk kembali ke tapak kamu menggetarkan zikir kamu selama hayat kamu. Aku pakai jubah kamu. Aku bertasbih dengan tasbih kecil yang kamu hadiahkan pada ku. Aku bawa kain serban kamu. Aku baca segala zikir dan doa yang kamu dah ajar pada ku. Aku mengaji dengan tajwid, taranum dan fasohah yang telah kamu tanam dalam jiwa ku. Aku tunaikan janji batin ku untuk membawa semuanya kembali ke tapak zikir kamu.
Qiamullail di masjid ini juga diasas oleh Bapak bersama rakan-rakan jawatankuasa masjid, selain dari ibadah korban. Masjid ini adalah sebahagian dari dunia Bapak. |
Bapak,
Di rumah mu, di bilik mu, di tapak sejadah yang kamu bentang di sisi katil mu, aku diam. Di sini, dan di Masjidul-na'im Taman Sri Setia Teluk Intan tempat kamu mengimamkan solat (fardhu, tarawih dan eidul fitri), aku dengar suara zikir mu. Aku dengar suara taranum mu. Aku dengar suara khutbah kamu. Dan yang paling mencairkan, aku dengar takbir raya mu. Aku dengar suara qiamulail kamu. Aku rasa sangat dekat dengan mu. Aku rasa kamu ada.
Tapak zikir Bapak. Bila aku takbir, aku dengar dia. Kejap-kejap, terhenti. |
Bapak,
Zikir kamu menjadi titian fitrah dan sanad, membawa aku kembali pada Nabi Muhammad s.a.w, untuk kembali kepada fitrah, kepada Ada yang Maha Ada.
Bapak,
Tenanglah kamu di kebun-kebun syurga. Saham akhirat mu tetap subur. Di masjidul-naim, aku menyapa bekas anak didik kamu Ustaz Rahman, yang menitis air-matanya mengenang mu, terutama ketika berqiamul-lail, yang katanya diasaskan oleh mu.
Bapak,
Terlalu banyak khazanah batin yang telah kamu tinggalkan. Sampai mati, selagi ada nyawa, aku takkan biarkan pupus begitu saja.
Bacala, http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/08/aku-rindu-takbir-dia-merayakan-cinta-i.html
Bacala, http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/08/aku-rindu-takbir-dia-merayakan-cinta-i.html
No comments:
Post a Comment