Wednesday, 10 July 2013

KIYAI ERA PASCA-MODEN


Ramadan mengingatkan saya kepada Kiyai muda, Gus Fuad Plered dari Jogjakarta. Semasa ke Jogja Mei lepas, Rusnoto dan Rocka bawa saya singgah ke Pondoknya di pinggir sawah dan bukit yang indah, tenteram dan mendamaikan. Rumahnya sederhana tapi cukup selesa, bersebelahan dengan masjid yang dibina sendiri dan beberapa pondok asrama untuk penginapan. Saya mat rock, tak biasa dengan budaya Pondok, tak cukup daulat. Tapi ini Kiyai zaman pasca-moden, dia faham rock saya. Dia mungkin lebih rock dari saya. Dia fasih berdakwah dalam bahasa orang muda, dalam gaya dan nada kontemporari, membuat apropriasi (memetik) stail visual generasi siber dalam menyampaikan pesanannya. Dia ada fb, mungkin juga laman web dan blog. Isterinya dua, membuatkan isteri saya tak berapa selesa. Kiyai Fuad ada karisma, mungkin juga enigma. Aktiviti sekitar pondoknya bukan setakat monolog bosan, tapi melibatkan riadah sukan ekstrem, termasuk sukan bermotor. Ini juga Kiyai yang rajin berkarya, melukis, berpameran, menulis puisi dan menerbitkan kitab serta buku-buku sendiri. Buku-buku yang mengiringi pameran lukisannya terisi dengan esei-esei yang bijak dan halus kupasannya, termasuk oleh sahabat saya Rusnoto. Budaya D.I.Y (Do It Yourself) sudah menjadi lumrah di Jogja malah di seluruh Indonesia, tak perlu hanya menagih pada pemerintah. Perlu bijak menghidu peluang dan 'resourceful' dalam menjamin kelangsungan. Bagus dijadikan teladan. 

Terima kasih buat Kiyai sekeluarga, kerana menerima kedatangan saya, isteri dan anak-anak dengan penuh mesra dan kasih sayang. 

"Pak Hasnul, lain kali bila ke Jogja enggak perlu ke hotel, menginap di sini saja," pesan Kiyai muda ni, sambil memeluk erat saya tanda persahabatan.

InsyaAllah Kiyai. 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...