Friday, 31 May 2013

DARI MASSA KE MULTI MEDIA - SENI MALAYSIA DALAM SEBUAH ERA ELEKTRONIK



Dari Massa Ke Multi Media – Seni Malaysia dalam sebuah Era Elektronik 
Hasnul J Saidon dan Niranjan Rajah

Esei ini pada asalnya diterbitkan dalam katalog
yang mengiringi pameran Pameran Seni Elektronik Pertama
di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1997.

Permulaan
Komputer telah dibawa ke dalam arena seni halus Malaysia dari luar lingkarannya. Pada tahun 1983 Kamarudzaman Md. Isa, seorang pensyarah dalam bidang seni reka industri di Institut Teknologi MARA mula menggunakan bahasa pengaturcaraan BASIC di atas pelantar Apple IIe dengan kapasiti RAM 64kb untuk menghasilkan imajan. Setahun kemudian, beliau menggunakan pengaturcaraan yang sama di atas pelantar Commodor 64, untuk menghasilkan karya Self-Portrait yang diperkenalkan dalam pameran Fakulti Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM. Oleh kerana pencetak dot matrix ketika itu hanya terhad kepada cetakan hitam-putih, Kamarudzaman mengeksploitasi skrin paparan 8 warna pada komputer tersebut untuk merakamkan imajan yang terhasil dalam bentuk cetakan foto warna. 

Pada lewat 80-an, kemunculan penyalin digital (digitizer) telah membolehkan penggunaan kamera hitam-putih dengan kanta penapis RGB untuk merakamkan imajan terus ke dalam komputer. Pada masa yang sama, perisian Deluxe Paint telah meningkatkan kemampuan komputer untuk menghasil dan memproses imajan. Dengan bantuan komputer Commodore Amiga 1000 yang mempunyai kapasiti RAM 500kb dan paparan warna jauh lebih canggih, Kamarudzaman menghasilkan Cini (1987) dan Tribute To Bapak(1987).

Ismail Zain wajar dilihat sebagai sang idealis yang menggagas seni komputer Malaysia. Walaupun beliau bukanlah artis yang pertama menggunakan teknologi pengimejan digital, tetapi tidak dinafikan beliaulah yang mula-mula sekali menghasilkan satu siri karya yang mantap dengan menggunakan medium baru tersebut. Beliau merangka satu struktur teori bagi penerapan teknologi tinggi, dan pada masa yang sama masih mengekalkan sikap kritikal. Sebagai artis, Ismail Zain tidak ketinggalan mengikuti perkembangan gaya-gaya antarabangsa yang cenderung melanda amalan seni moden di Malaysia. Beliau cepat menyedari kemunculan idea-idea serta teori-teori baru, dan berupaya menzahirkan semua ini di dalam karya-karya beliau sebelum lagi kekecohan yang dibawa oleh pelbagai idea dan teori itu menjadi tenang.

Karya-karya Ismail Zain tidak menekankan hal-hal formalistik dan perseptual berkenaan seni moden, tetapi pada dasarnya membawa pendekatan semiotik.[i] Bermula daripada karya awal Woman Crossing The Stream – After Rembrandt (1967) sampailah kepada karya terkemudian The Detribalisation of Tam Bte Che Lat (1983), bentuk, isi serta teknik digembleng bagi membantu proses artikulasi tanda. Ismail Zain memperlihatkan pemahaman tinggi beliau tentang ketersiratan semiotik yang ada pada imej digital bila beliau membuat perbezaan antara kolaj foto manual dan kolaj yang dihasilkan dengan komputer.[ii] Dalam sebuah kolaj digital,“tiada garisan-garisan luar yang kasar”. Medium baru “lebih mudah dibentuk, seperti tanah liat”.[iii]Komputer membolehkan beliau menghilangkan aspek pertentangan atau strukturaldalam permainan tanda, dan menghasilkan apa yang beliau panggil imej-imej yang “mesra pengguna”.

Di dalam siri Digital Collage Ismail Zain, imej dan teks dari bermacam-macam  sumber digabung untuk meledakkan makna-makna yang terpendam di dalam imej dan teks tersebut. Al Kesah (1988), sebagai contoh, menyajikan respons nakal namun kritikal terhadap penyusupan masuk media massa global ke dalam budaya serta kesedaran masyarakat tempatan. Ismail Zain juga mengambil sikap yang sangat kritikal ke atas status kewiraan artis, dan di dalam siri karya-karya cetakan komputer yang serba tajam berbisa ini beliau nampaknya seronok menyaksikan penyusutan status artis natijah daripada ketidakpedulian komputer terhadap kemahiran tangan. Akhirnya, Ismail Zain sendiri wajar “dibaca”sebagai satu penanda kepada peralihan dari hal-hal formalistik kepada perkara-perkara kontekstual,dan bagi penerapan kritikal teknologi baru ke dalam amalan senidi Malaysia.

Kelewatan Ketibaan Seni Video
Kehadiran seni komputer sebelum seni video di persada tempatan kita membuktikan betapa jauhnya pandangan serta wawasan Kamarudzaman dan Ismail Zain.[iv] Begitupun, perkara ini juga malangnya menunjukkan keengganan dunia seni tempatan untuk membabitkan kaedah-kaedah berbentuk eksperimental dan kritikal.

Menerusi karya bertajuk A Passage Through Literacy,Liew Kung Yu telah memenangi anugerah kecil di pertandingan Bakat Muda Sezaman pada 1989. Di dalam karya ini, sebuah monitor TV menayangkan imej orang sedang menari (Marion De Cruz) dengan disertakan sebaris teks yang terisi di dalam objek berbentuk sebutir telur yang pecah. “Arca” ini diletakkan di atas sebuah platform rendah.Kain putih yang membaluti monitor menjalar keluar dari dalam telur itu dan naik ke siling, lalu secara tersirat mewujudkan satu ruang di antara arca tersebut dan persekitarannya.

Pameran sulung di Galeri Luar Pusat, Universiti Sains  Malaysia (USM) pada 1989 yang dikelola oleh Lim Eng Hooi selaku kurator, turut menampilkan instalasi video bersinkroni bertajukThe Language Lesson oleh artis dari Amerika Syarikat, Ray Langenbach.[v]Dua buah “kepala bercakap”muncul dalam monitor televisyen yang diletak di atas dua buah boneka pakaian yang diperbuat daripada rotan. Kedua-dua boneka pakaian itu disusun menghadap satu sama lain di dalam ruang yang disoroti lampu-lampu neon. Perbualan di antara kedua-dua “video kepala” tersebut, yang satu mewakili seorang wanita dan yang satu lagi artis itu sendiri, pada mulanya berkisar tentang “pembelajaran bahasa” yang mudah. Ia kemudian beransur-ansur menyentuh isu-isu yang berkait dengan imperialisme budaya, eksploitasi politik dan seks, konflik keagamaan dan masalah perkauman.

Instalasi Video Pelbagai Saluran
Baharuddin Arus mempersembahkan karya seni video dan arca bergerak dalam menampilkan reaksi beliau terhadap “medium sebagai mesej” yang disarankan oleh Marshall McLuhan. Karya pemasangan yang dipamerkan di USM pada tahun 1989 ini menggunakan monitor TV yang menayangkan video secara serentak dari berapa sumber berbeza, termasuk satu video yang disalurkan secara langsung oleh sebuah kamera video bergerak.[vi]Beliau mengeksploitasikan teknologi jarak jauh untuk kawalan pergerakan arca dalam karyanya.Dalam karya ini Baharuddin menggunakan medium elektronik untuk memberi ulasan terhadap medium itu sendiri.

Seni Video
Sook Ching oleh Wong Hoy Cheong menggabungkan persembahan langsung, catan dan pancaran video.[vii]Video tersebut berbentuk dokumentasi sejarah dan merakamkan keperitan rakyat zaman pendudukan Jepun melalui pengalaman beberapa individu. Pendekatan dokumentari ini cuba memberi pengesahan kepada sejarah peribadi dan meletakkannya dalam sejarah rasmi negara. Usaha ini yang ditampilkan buat julung kalinya sempena Festival Seni Video Antarabangsa 90, boleh dianggap telah memperkenalkan video dalam konteks persembahan pelbagai media.[viii]

Karya Who Am I oleh Liew Kung Yuditampilkan di dalam pameran kelolaan kurator Wong Hoy Cheong bertema Two Installationsyang diadakan di galeri MIA pada 1991. Karya instalasi ini yang memaparkan beberapa buah altar sembahan dan monitor video yang disusun di atas lantai serta sebuah persembahan performans mempersoal kekekalan tradisi-tradisi masyarakat Cina.

Karya Liew Kung Yu berjudul Sing a Song for Ah Kong and Ah Ma, yang mula-mula dipamerkan di Festival Seni Video Sony pada 1994 (9),[ix]telahmemenangi hadiah pertama dalam kategori instalasi video di Festival Seni Video Malaysiayang diadakan pada tahun yang sama.[x]Karya ini mewujudkan suasana menonton TV seperti di rumah, dimana video pelbagai saluran menayangkan sebuah naratif berlapis yang membicarakan tentang jurang budaya diantara dua generasi yang tinggal sebumbung. Walaupun identiti budaya dan perubahannya merentasi zaman nampaknya mengisi pembicaraan karya instalasi ini, namun kesan serta impak medium TV itu sendirilah yang menjadi subjek kepada karya serba refleksif dan kritikal ini.

Ketika Perang Teluk meletus, Ray Langenbach menganjurkan pameran berkumpulan bertajuk Framing War di Balai Seni Lukis Negara. Ray sendiri mempersembahkan sebuah instalasi suap balik di mana sebuah kamera video memaparkan wajah penonton pada layar TV dengan teks “Bertanggungjawab terhadap Peperangan” dikenakan ke atas wajah penonton.

Sebuah instalasi pelbagai faset hasil usahasama beberapa artis yang tidak diketahui nama(Ray, Latif Kamaluddin dan Gunabalan Krishnasamy) di Balai Seni Lukis Negara pada 1992-3 melibatkan penggunaan video. Karya tanpa tajuk ini cuba mencetus kritikan terhadap ketidaktahuan dan anonimiti sumber propaganda tatkala ia menghidangkan sekali, sebagai perbandingan, reaksi manusiawi terhadap kematian kanak-kanak di Iraq dan kematian serba “spektakular” sistem ideologi Soviet.

Dalam sebuah karya instalasi di Galeriwan pada 1993, bertajuk Mao of All Nations, tayangan video filem-filem lama mengenai Mao Tse Tung dipancarkan di tengah sebuah lukisan kolam yang dibuat daripada biji-biji benih dan kekacang. Putaran ligat kipas siling bagaikan boleh merosakkan kolam itu. Di akhir pameran, kolam yang menampilkan empat imej Mao Tse Tung tersebut dibawa keluar dan dibiarkan untuk dimakan burung.

Bernafas Dalam Lumpur (1994) sebuah karya berbentuk persembahan dan pemasangan oleh Noor Azizan Paiman, menggunakan video sebagai media rakaman.Menerusi karya dilihat sebagai bahan dokumentasi, tetapi juga sebagai medium yang mempunyai bahasa pengucapan tersendiri.

White Cloth dari Khairul Aidil Azlin dan Hamzah Tahir juga menampilkan pendekatan yang hampir sama. Perbezaannya, di sini video menjadi media unggul. Karya ini memenangi Hadiah Kedua kategori Anugerah Video Eksperimental Muda dalam Anugerah Video Malaysia 3M VHQ 1994 anjuran Video Headquarters.[xi]

Penampilan video juga menjadi sebahagian daripada Skin Trilogy (1994), sebuah persembahan eksperimental pelbagai media yang diusahakan oleh Five Arts Centre.[xii]Berdasarkan teks oleh KS Maniam dan diarahkan oleh Krishen Jit, penyatuan seni tampak dan seni persembahan ini melibatkan Something Fishy oleh Hasnul J Saidon. Karya pemasangan video pelbagai saluran ini menjadi sebahagian dari elemen yang menjana improvisasi pelakon, pemuzik dan penyanyi.

Faizal Zulkifli muncul menerusi karya video satu salurannya yang memenangi hadiah kecil dalam Pertandingan Bakat Muda Sezaman 1996.[xiii]Karya berjudul No Art Please mendapat perhatian juri lantaran penampilannya yang bersahaja dengan jenaka keanakan yang sinis terhadap kedudukan pendidikan seni lukis pada pandangan masyarakat tempatan. Walaupun dipersembahkan dalam bentuk video, penghasilan imajannya dilakukan di dalam komputer. Beliau menggabungkan perisian image processing dengan non-linear editing di atas pelantar Macintosh untuk menghasilkan karyanya. Karya Road Runner yang dipamerkan dalam pertandingan yang sama menggunakan analogy “permainan elektronik” untuk menggambarkan kegilaan segelintir masyarakat kepada “kelajuan, perlumbaan dan nilai numerikal”.


Video dalam Teater
Jika gelanggang seni halus agak terikat dengan tradisi dan konvensi modernismenya yang tebal, mungkin dunia pementasan dan upacara pelancaran tajaan kerajaan serta badan swasta memberikan ruang untuk penggunaan teknologi canggih, mahal dan terkini tanpa kongkongan sejarah dan teori lapuk.

Agak menarik juga sekiranya ditinjau bagaimana penggunaan pancaran video dalam konteks seni pentas dicetus dan ditaja oleh dunia politik.Persembahan teater sempena sambutan Wanita UMNO 40 tahun (1989) yang diusahakan oleh Centre Stage merupakan satu contoh. Centre Stage dibawah pimpinan Normah Nordin tidak segan untuk menggunakan teknologi pancaran video dan persembahan langsung untuk membawa keluar sebuah kereta Proton Saga dari layar video ke ruang pentas umpama David Copperfield. 

Dalam usaha untuk meniti jurang antara tradisi dan generasi remaja kini, pementasan Rama & Sita (1995) menampilkan konsep sinografi yang berorientasikan post-industrial & techno pop sebagai latar untuk jalan cerita epik yang dipinjam. Pementasan arahan Janet Pillai ini menggunakan dua puluh buah monitor televisyen yang menayangkan video, animasi komputer, paparan elektronik dan digital untuk menonjolkan generasi yang beroperasi di atas pelantar teknologi siber.

Pendekatan berani Rama & Sita disusuli oleh beberapa pementasan lain yang cuba menggabungkan penggunaan video mahupun teknologi multimedia dalam seni teater seperti Ribut arahan Zahim Albakri.

Seni Cahaya
Walaupun penggunaan video dan pelantar komputer merupakan saluran utama aplikasi media elektronik dalam konteks amalan seni halus, Syed Alwi Syed Abu Bakarmemilih aliran elektrik menerusi rangkaian wayar dan LED sebagai elemen utama arca minimalnya. Bertolak dari konsep masa bernada keagamaan, pendekatan Alwi seakan cuba menerapkan nilai, idea dan nada “Timur” menerusi penggunaan unsur cahaya dari teknologi elektronik.

Seni Komputer
Dalam karya seperti Surat Al-Insyirah 94(1991) Ponirin Amin, menyentuh tentang hubungan antara Al-Quran dan komputer sebagai sumber maklumat. Beliau menggunakan perisian Deluxe Paint di atas pelantar Amiga untuk menghasilkan karya digitalnya yang digabungkan dengan cetakan kayu. Agak menarik apabila kita berpeluang melihat cetusan teknologi hadir di celah amalan seni cetak yang tebal dengan disiplin dan aturan tradisinya. Dalam hal ini, Ponirin bertindak wajar memilih dua medium yang berkait secara langsung dengan dikotomi teknologi-tradisi sama ada dari segi teknikal mahupun spiritual.

Keadaan yang sama dapat dilihat dalam karya Bahaman Hashim yang bertajuk Virtual Reality (1993). Beliau menggunakan perisian Adobe Photoshop di atas pelantar Macintosh untuk mengolah karya yang kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk cetakan sutera saring. Bahaman mangajak pemerhati mengimbas perubahan parantaraan persepsi dan representasi dari zaman Renaisan (gurisan Durer) hingga ke tetingkap pada pelantar komputer Macintosh.

Siri Dalam Seminit (1994) oleh Suhaimi Tohid memperkenalkan strategi teknikal yang berkait secara langsung dengan komentar terhadap media elektronik terutama televisyen. Menerusi karyanya, Suhaimi cuba membekukan masa dan pelbagai lapisan imajan yang datang menyerang minda menerusi kaca tv dalam sesuatu jangkamasa tertentu. Format melintang yang digunakan membantu menampilkan naratif bercelaru yang sememangnya sudah menjadi sebahagian dari tabii telivisyen. Suhaimi menggabungkan penggunaan televisyen, kamera fotografi, komputer (Macintosh dan perisian Adobe Photoshop) dan teknik sutera saring dalam penghasilan karyanya.

Domino Theory(1994) oleh Zulkifli Che’Harris membuktikan bahawa animasi komputer tidak semata-mata dicipta untuk menjadi hamba kepada logo-logo korporat yang berterbangan dalam kaca tv. Animasi komputer dan produk dari perisian multimedia juga mampu menyimpan dan menzahirkan sentimen peribadi seseorang karyawan terhadap sesuatu isu mahupun perkara yang menyentuh perasaannya. Menerusi karya ini, Zulkifli membuat komentar menarik terhadap kesan berantaian dari proses pemusnahan hutan oleh manusia.

Pada tahun 1994 Hasnul J Saidon menggunakan video dan animasi komputer dalam karya pemasangan Kdek! Kdek! Ong!yang dipamerkan dalam Culture in Context di Kuala Lumpur.[xiv] Bertolak dari peribahasa Malayu “Katak di bawah Tempurung”, Hasnul menggunakan animasi katak yang cuba keluar dari kongkongan barunya – televisyen. Dalam karya pemasangan yang lain, Mirror, Mirror on the Wall… (1994) Van Gogh yang serius dan kaku di”hidup”kan secara digital untuk mengukir senyuman dan kenyitan mata yang nakal kepada penonton. 

CD-Rom
Bagi Ismail Zain, komputer adalah pengganti terbaik untuk buku lakaran yang biasanya dikaitkan dengan akitiviti pelukis atau pereka. Kefahaman ini jelas dilihat dalam pameran Lukisan Malaysia (1997) di mana karya cetakan beliau diiringi oleh karya-karya seniman generasi muda. Niranjan Rajah menggunakan ketepatan dan kesempurnaan medium digital untuk menghasilkan siri lukisan pemasangan (1993) yang menyentuh tentang keunggulan bentuk. Hasnul J Saidon mempamerkan siri cetakan komputer (1996-97) yang menyoal sempadan antara lukisan tangan dan digital. Nasir Baharuddin melanjutkan pendekatan konseptual bernada keagamaan menerusi karyanya The Sense Of Words (1997). Penggunaan komputer telah membolehkan beliau menolak penggunaan sentuhan tangan (dan ego) seniman yang mungkin menganggu kelancaran pengucapan yang bersifat spiritual.

Atas Talian
Karya The Failure of Marcel Duchamp/Japanese Fetish Even!dilancarkan di atas talian pada 1996, dan kemudian dipersembahkan pada 1997 di Galeri PETRONAS sebagai sebahagian daripada pameran Explorasi.[xv] Karya ini, sebuah parodi pedas ke atas karya Marcel Duchamp berjudul Etant Donnes, merupakan lanjutan kepada praktis instalasi kritikal Niranjan Rajah.[xvi]Ia bukan sahaja meneliti persoalan ontologi imej dalam komunikasi berperantara komputer,tetapi juga cuba menyorot masalah wilayah kebudayaan di Internet.


[i]Dalam teori “tanda” Saussure, perkataan-perkataan yang membentuk “aksi pertuturan” mendapat maknanya mengikut cakupan konteksnya. Kerelatifan makna ini pada mulanya menyebabkan munculnya analisa sistematik ke atas “sistem-sistem tanda” dalam kaedah strukturalisme, dan akhirnya, pemecahan sistem-sistem ini dalam kaedah dekonstruksi.

[ii]Salah satu kesan ke atas bidang kesenian hasil daripada penyebaran secara besar-besaran imej-imej cetakan ialah penciptaan teknik kolaj.Artis tidak lagi perlu membuat imej dengan tangan tetapi kini boleh “memotong” dua imej yang sudah ada dan menggabungkan kedua-duanya untuk menjana satu imej yang baru.Makna baru dapat dihasilkan dengan mengambil pakai serta mengkontekskan semula bahan-bahan jumpaan atau bahan-bahan yang sedia ada.

[iii]Noordin Hassan mewawancara Ismail Zain, katalog Pameran Retrospektif Ismail Zain, Balai Seni Lukis Negara, 1995.

[iv]Seawal 1965, artis Korea Nam June Paik, yang aktif dengan gerakan Fluxus di Amerika Syarikat, telah mula menggunakan kamera video yang pertama dikomersialkan, iaitu Sony Porta Pack Video, sebagai medium seni. Sejak dari itu, ramai artis telah menggunakan teknologi ini dengan beberapa cara, daripada pengeksperimentasian imej elektronik kepada seni performans berasaskan tubuh, dan daripada seni konseptual kepada instalasi video. Malah format dokumentari televisyen, dengan kesahihan ketara fakta-fakta yang dipaparkannya, telah digunapakai oleh para aktivis dan artis yang kritikal bagi mengesahkan kerasionalan mesej-mesej mereka dan bagi memparodi serta mengajuk media massa.


[v]Dalam Seni Instalasi kontemporari, ruang dan elemen seni bina galeri atau lain-lain tempat, di samping konteks-konteks sosial, politik, sejarah, teori dan kritikal yang melingkari karya, kesemuanya diangkat sebagai objek-objek persembahan karya.


[vi]Pada awal 1990-an, pelajar-pelajar di USM membuat beberapa robot yang kemudian dipamerkan di muzium USM.Berpandukan konsep anikonisme dalam Islam, para artis ini melihat proses simulasi objek-objek hidup lebih “dari segi fungsinya” berbanding dari sudut penampilan fizikalnya.  Karya-karya yang dipamerkan termasuklah sebuah robot Jentayu setinggi 10 kaki dengan sayapnya mengepak keluar dan mengibas-ngibas, dan sebuah “human-bot”, atau robot manusia, yang begitu menyerupai bentuk badan manusia sehingga mencetus respons yang lucu.


[vii]Dalam Seni Performans kontemporari, gerakan tubuh secara langsung digunakan untuk menyampaikan idea-idea formalistik dan konseptual kepada penonton, di luar lingkungan muzium dan galeri.Tidak seperti praktis teater, pendekatan seni performans pada umumnya berciri tidak naratif, dan berbeza daripada para dramatis, artis sendiri selalunya yang melakukan persembahan performans.


[viii] Festival Seni Video Malaysia pada 1990, kelolaan kurator Dominique Chastres, perunding UNESCO kepada Institut Asia Pasifik bagi pembangunan penyiaran, telah membawa masuk ke Malaysia sejumlah karya seni video antarabangsa yang amat menarik dan serba mencabar. Pameran ini juga mendedahkan kerangka moral dan politik yang membantut perkembangan seni di Malaysia.Meditation: India oleh Stephen Teo dan Lion, Whore, Dinosaur oleh Aida Buyong tidak dimasukkan ke dalam pameran ini kerana kritikan mereka terhadap “masyarakat-masyarakat lain” – masing-masing Bombay dan Venice.

[ix]Festival Seni Video SONY dilangsungkan di Lot 10 Kuala Lumpur pada tahun 1994. Untuk festival ini, pihak pengajur telah meminjamkan kamera video kepada berapa orang individu yang terpilih dari pelbagai latarbelakang – teater, seni halus, seni bina, pengiklanan, fotografi dan sebagainya untuk menghasilkan karya masing-masing mengikut selera pengucapan tersendiri. Dengan mempersembahkan hasil kerja peribadi sebegini di sebuah lokasi awam, video dapat dilihat dalam konteks yang menyimpang dari amalan televisyen yang lazim.

[x]Atas hasrat untuk mencungkil potensi video, Festival Seni Video Malaysia ‘94 memperkenalkan pelbagai kategori pertandingan – animasi komputer, video eksperimental dan pemasangan video. Festival ini telah melahirkan hasil karya seperti Domino Theory oleh Zulkifli Che’Harris, Post-Colon… oleh Hasnul J Saidon dan Sing A Song for Ah Kong and Ah Ma oleh Liew Kung Yu.

[xi]Dalam Anugerah Video Malaysia 3M VHQ ‘94, buat julung kalinya sebuah anugerah khas – Video Eksperimental Muda telah disediakan bagi menggalakkan penyertaan karyawan yang bukan dari industri, agensi video atau pengiklanan.Hadiah pertama anugerah ini telah dimenangi oleh karya Proclaim hasil kerja Hasnul J Saidon.Anugerah ini juga telah menarik minat beberapa penyertaan seperti Goodbye dari Loh Kok Chee, dan Amalgamation oleh Faizal Zulkifli.

[xii]Ketidakpedulian pascamodenisme terhadap hal-hal formalistik telah menyebabkan pentakrifan mengenai kategori-kategori penghasilan budaya menjadi kabur. Dalam bidang seni visual, istilah-istilah “catan” dan “arca” telah diperluaskan untuk turut mencakupi seni bina, teks, performans, video, dan berbagai-bagai medium serta kaedah lain.

[xiii]Pertandingan tahunan Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Lukis Negara wajar disanjung atas sumbangan pentingnya mewujudkan semangat bereksperimen di persada seni Malaysia.

[xiv]Culture in Context dilangsungkan di Bangunan Pesuruhjaya Tinggi Australia Kuala Lumpur pada tahun 1994.Pameran ini menampilkan karya-karya eksperimental dari ITM dan Karyawan Tamu dari Australia.

[xv]Explorasi, pameran sulung anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS, mengisyaratkan usaha yang boleh diambil untuk kembali semula kepada pendekatan-pendekatan konseptual dan kritikal yang diangkat oleh artis-artis seperti Ismail Zain dan Redza Piyadasa. Pameran ini melibatkan karya-karya instalasi dan seni video, di samping pemprosesan imej, CD-ROM, animasi komputer dan karya-karya atas talian. Salah sebuah karya yang paling menonjol ialah Pattern of the Earth oleh Fauzan Omar di mana beliau menggabungkan catan dengan video pelbagai saluran. Peralihan seorang artis mapan, yang terkenal dengan pendekatannya yang berciri formalis serta berasaskan proses, kepada media elektronik tentulah menandakan kemungkinan berlakunya satu anjakan paradigma dalam dunia seni di Malaysia.Katalog pameran itu dikeluarkan dalam bentuk CD-ROM interaktif.

[xvi]Wujud penggabungan di antara karya-karya primer dan sekunder di dalam semua lapangan budaya pascamoden.Karya-karya kreatif mula membabitkan pelbagai disiplin dan melibatkan secara mendalam bidang-bidang sejarah dan teori. Kritisisme pula tidak lagi semata-mata perbahasan ilmiah mengenai asas-asas kreatif, dan ia pun menjadi satu usaha serta kerja kreatif yang serba menyeronokkan.

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...