Thursday, 23 February 2012

MAKNA TIBA DARI MAKLUMAT YANG BENAR - PASCA HIJAB SEORANG PELUKIS


Prof. Syed Naquib Alatas kata,

"pengetahuan adalah ketibaan makna dari maklumat yang benar"

Lagi banyak saya tahu, lagi bermakna ke hidup saya?

Kalau pun saya ni perasan saya tahu banyak perkara, itu tak menjanjikan kehidupan yang 'bermakna'. Jika ikut pesan SN Alatas di atas, makna hanya tiba dari 'maklumat yang benar'. Jika sahih 'benar' barulah maklumat itu memberi makna. 

Jika maklumat salah atau palsu, tak payahlah nak labur dan leburkan tenaga untuk 'memaknakannya'. Kehidupan yang bergantung pada maklumat yang salah atau palsu, adalah kehidupan yang tidak bermakna (atau hidup dalam kepalsuan). Maklumat yang salah atau palsu kerjanya mentoksidkan minda dan rasa lebih ramai manusia (terutama jika disebar secara viral dalam media sosial) dan blog. Gitulah lebih kurang agaknya hikmah sebalik pesan SN Alatas di atas.

Bermakna ke kehidupan saya ni? Kehidupan kita semua?

Sekarang ni, saya dah ada ijazah Masters (dan bergelut nak buat Phd), dah diperakukan sebagai 'bijak pandai' dengan istilah Professor Madya. Dalam kad nama, dijaja pula istilah itu buat tangkal. Kalau ada 'Dr.' depannya lagilah kembang. Dah telan begitu banyak maklumat dari segala jenis kitab dan buku, dah buat begitu banyak kajian atau penyelidikan. Pendek kata, dah 'berpengetahuan'. 


Tapi kenapa pulak ya saya masih nak merungut, marah-marah, keluh-kesah, tak puas hati,  kecewa. Fitrah alam yang perlu mengalir  dengan semulajadi selalu je hendak dilawan, ditentang. Senarionya seakan menggambarkan kehidupan yang tidak bermakna, atau kurang bermakna. Asyik nak 'melawan' je, membentak, menghentak, memukul, menghentam, menjahanam fitrah alam (sunnah Allah).


Kenapa ya? Betul ke kurang bermakna atau saya sendiri tak reti nak memaknakannya? Atau mungkin kerana selalu sangat pukat banyak maklumat palsu yang sedia untuk digoogle sepanjang masa.

Sekarang ni maklumat di hujung jari je. Tapi adakah semua maklumat yang kita petik tu benar? 


Bonda saya pesan, kalau nak petik buah, petik buah organik (tak dibubuh racun serangga atau sebarang bahan tiruan lain). Begitu juga dengan adiguru saya Ustaz Din. Petik yang ranum, bukan busuk dan bertoksid. 

Tak semua maklumat yang kini mudah dicapai itu benar.  Akhirnya kita kena guna instrumen akal juga untuk mencerapnya. Akal ni pula persis prisma (kaca lutsinar) yang perlukan cahaya. Cahayanya datang dari petunjuk dan hidayah, yang dipohon 17 kali (betulke saya kira ni) sehari dalam amalan wajib (itupun kalau kalau tak miss la, malu nak mengaku diri sendiri pun bengok).


Adakah prisma saya memantulkan serakan warna (pengalaman jasad) yang cantik, atau penuh dengan rona dan remang marah yang merah menyala je?

Prisma yang bersih akan memantulkan (projeksi) 7 serakan warna (pengalaman fizikal yang kita sebut sebagai 'kehidupan aku')dalam keadaan sinergi kuantum yang sihat. Itulah kehidupan bermakna yang dipancar oleh cahaya kebenaran. Walaupun pada mata kasar yang berpaksikan mimpi benda ia nampak buruk, derita dan susah, ia sebenarnya tetap bersih, indah dan benar. Yang ini tidak diajar dalam sistem pendidikan yang dipuSAKAi sejak dari zaman kolotnial dulu. Ia diajar pada Ayahanda dan Bonda saya.


Jika prisma dah pudar dan penuh tompok hitam, cahaya tak tembus. Ini pesan Al-Ghazali yang saya petik dari syarahan Ayahanda. Jika tembus pun, apa yang terbias nanti bukanlah serakan 7 warna yang cantik dan benar, tapi serakan yang sudah bertoksid dan tercemar (distorted). Jika tercemar prisma ini, 'kehidupan aku' tadi menjadi kurang atau tidak bermakna. Prisma yang cemar adalah sarang gelombang dan tenaga hitam yang kerjanya menggema dan menghantar (transmit) lebih banyak tenaga hitam, termasuk menerusi media sosial dan blog. Ia boleh menyampuk dan menyaka sesiapa juga. Tak usahlah sibuk sangat berdrama sambil jari telunjuk menunding pada 'orang lain' (atau sesiapa juga yang mudah dipersalahkan termasuklah ahli-ahli dan parti politik). Semuanya jadi 'sebab' je, termasuklah puSAKA kolotnial itu sendiri. Tunjuk diri sendiri lagi bagus.


Prisma akal perlu dipastikan BERSIH. Penawar BERSIH.....? yang ini saya tak dapat jumpa dari konsep ilmu atau bahasa canggihnya, 'epistimologi' yang berpuSAKA kolotnial.  Juga jarang disampaikan oleh 'para pemimpim' (dalam ertikata politik popular) hari ini, termasuk yang suka sangat memekik dan melaung. Mungkin tanggapan saya ni salah.

Marilah kita sama-sama mohon Petunjuk agar disampaikan pada adiguru yang boleh membimbing, agar kita dapat cari penawar BERSIH yang sudah di built-in dalam diri. Tapi adiguru yang bawa penawar ni jarang dijumpai dalam medan memekik, melolong, melaung mahupun himpunan orang ramai.


Adiguru saya yang paling awal ialah Ayahanda dan Bonda.

Ayahanda dan Bonda saya adalah penanam benih-benih makna dalam diri saya. Mereka membantu saya memBERSIH prisma (akal) saya. Mereka menamakan saya 'yang benar/baik' dan 'yang cantik/indah' - Hasnul Jamal. Sampai sekarang saya bertarung untuk 'memaknakan' nama itu, memainkan bayangan wataknya dalam gelanggang mimpi benda yang sepintas ini.


Ayahanda dan Bonda saya tak pernah masuk mana-mana universiti . Tak seperti anak bongsunya yang sedang menulis ni, yang belajar di satu universiti tempatan dan dua universiti luar negara; juga mengajar serta memberi khidmat di banyak universiti tempatan, termasuklah kini di USM yang bergelar Universiti APEX. Jika bersama dengan mereka, sibuk saya khutbahkan tentang hebatnya USM ni, mahupun segala ilmu baru yang saya kutip. Mereka dengar dan senyum je. "Itu fadhu kifayah, tapi akhirnya kena bawak ke jalan fadhu ain juga" pesan meraka. Ilmu Ayahanda dan Bonda saya tak masuk mana-mana sistem ranking yang berpusat di Eropah. 

Dengan segala anugerah dan pengiktirafan mimpi benda yang jenuh dikutip sampai tak muat almari dan dinding untuk ditayang, adakah saya lebih 'berpengetahuan' dan 'berpelajaran' dari mereka? atau hidup saya lebih 'bermaklumat', lebih 'bermakna'? 


Dua-dua Ayahdanda dan Bonda saya ni takda Phd, takda Masters, takda Bachelors in apa-apa. Takda pun sebarang specialisation. Bonda saya takda pun Masters of Art macam anak dia yang menulis ni, yang suka riuh sekampung dengan telur dua biji. Tapi ilmu seni Bonda halus juga, dia melakar rekaan baju, merangka deraf baju, memotong, menjahit, menyulam, mengadun, memasang dan banyak lagi yang halus-halus. Semua orang suka sentuhan seni Bonda, termasuklah pokok-pokok yang ditanam, rumah yang dihias dan laman yang digubah. Sentuhan seninya menyentuh kalbu, memBERSIH jiwa. Bonda mengamalkan pelbagai bentuk ilmu seninya dengan istiqamah, atas jalan 'yang benar', sambil kuat berdoa. Dengan ilmu itulah dia menyekolahkan anak-anaknya yang sembilan orang hingga ke universiti.


Apa yang anak-anak (termasuk yang menulis ini) dapat dari sekolah dan universiti yang hebat-hebat tu? Dapat makna? Atau maklumat je? 


Ayahanda dan Bonda  berguru secara langsung, lisan dan amali. Amalinya pula ditanam (diberi makna) dalam kehidupan seharian. Tok Syeh Noordin mengajar Bonda ilmu Tauhid ketika menanam pokok. Ketika itu juga ditanam ilmu geologi, biologi, ekologi, geografi, astronomi, estetik dan macam-macam lagi, baik sains mahupun kemanusiaan, tak terpisah-pisah. 


"Tengok tangan ni, nampak bayang dia. Ada cahaya baru ada bayang. Tangan bergerak, baru bayang bergerak. Kita macam bayang-bayang tu," itu tamsilan Tok Syeh Noordin yang disampaikan pada saya oleh Bonda. 


Tok Syeh Noordin tanam ilmu secara halus dan berlapik. Tak seperti cucunya yang menulis ini, yang kekadang menghambur pengetahuan secara kasar dan sinis (termasuk dalam berkarya, pengamal seni kontemporari la katakan). Lagi-lagi kalau saya baru dapat tempias ketayap atau serban tebal (macam beruk dapat bunga), saya jadi lebih sibuk membuat semua orang lain rasa amat berdosa besar dan sakit hati; sibuk menyalahkan orang lain atau mencari kesalahan orang lain. Insan yang benar-benar tulen ilmunya lebih menyejukkan hati. Jika bagi ubat pahit pun kita tak perasan kita dah telah ubat tu. 

Tok Syeh Noordin menanam kesatuan makna secara halus, yang datang dari maklumat yang benar. Kitab hanyalah sebagai 'supplement' je. Tempias air liur adiguru lebih dimuliakan.  Tak seperti cucunya yang menulis ni, yang banyak sangat bergurukan 'googlelikasi'. Cucunya (dan kini cicitnya) sudah (dan sedang) didakyah dengan simbahan bunyi loceng dan 'jadual waktu sekolah'. Loceng diguna untuk menandakan 'matapelajaran' yang dipecah-pecah dan di 'suku-suku'. Sains dan kemanusiaan dipisahkan, dikastakan. Budak pandai masuk aliran sains, yang bodoh masuk aliran sastera atau seni (macam yang menulis ni la). PuSAKA ni masih hidup sampai sekarang, di universiti-universiti. Saya tahulah, saya mengajar dalam universiti APEX. 

Macam mana kesatuan makna nak datang jika pengetahuan dan ilmu pun dan dipisah-pisahkan. Patutlah saya banyak toksid dan penyakit.

Zaman Ayahanda dan Bonda belajar, maklumat dari buku dan lain-lain penerbitan media massa, tak banyak. Jika ada pun, mahal dan hanya segelintir saja yang ada akses. TV dan Internet mana ada lagi. Bonda saya tak fasih baca rumi, merangkak-rangkak. Dia baca jawi je. Mengira dia pandai, itupun dalam nombor-nombor jawi dan sedikit rumi. Dia buat calculation dalam kepala je. Kedua-dua ayahanda dan bonda saya tak fasih berbahasa Inggeris. Ayahanda boleh la cakap Inggeris sikit-sikit, tapi broken; "I no go" macam tu. Tak macam anak dia yang menulis ni, cukup takbur dan prasan dengan penguasaan Bahasa Inggerisnya, baik bertulis atau berkata. 

Bermakna ke, jika hebat sangat berbahasa Inggeris?

Walaupun tak berbahasa Inggeris, ilmu komunikasi Ayahanda dan Bonda hebat juga. Sewaktu rakan karib saya berbangsa African-American Najjar Musawwir bertandang ke rumah untuk bertemu kedua-dua Ayahanda dan Bonda, mereka bercakap macam itik dan ayam. Tapi wajah mereka bercahaya dengan kasih sayang antara manusia. Selepas mendengar cerita dari Najjar (dalam bahasa Inggeris slangga African-American) tentang hijrahnya dari dalam penjara kepada cahaya hidayah dan kini seorang professor, Ayahanda terus memeluk Najjar. Cahaya kebenaran dan kasih sayang tak dipasung oleh bahasa dan kata-kata. Berkatalah dalam apa jua bahasa, yang penting 'bahasa batin'nya dipancar oleh cahaya kebenaran dan kasih sayang, yang membawa kepada maklumat yang benar, yang mendatangkan pengetahuan dan yang penting, memberi 'makna'.


Itulah juga yang membuatkan rangkaian kenalan Ayahanda dan Bonda rapat dan mesra, seperti keluarga. Ia juga merentas bangsa dan latar ekonomi. Ramai yang datang bertandang ke rumah untuk mendapatkan kaunseling dari Ayahanda dan Bonda secara percuma. Ilmu komunikasi mereka itulah menjadi bekal untuk mereka mengemudikan sebuah keluarga yang besar.  Bonda mmenjadi wanita melayu pertama di Teluk Anson (kini Teluk Intan) yang membuka kedai kain di bangunan MARA. Ya, Bonda saya yang tak ada ijazah dalam bidang perniagaan tu, yang tak reti cakap orang putih, yang tak boleh baca tulisan rumi dengan lancar. Dia berniaga sampai sekarang ni. Dia kata dia ikut sunnah Nabi.

Rezeki Ayahanda dan Bonda murah, ada saja dianugerah oleh Allah dari sumber-sumber yang tidak disangka (bila diperlukan). Tak payah pun buat sebarang  penjenamaan, mahupun strategi komunikasi (terutama dalam bahasa Inggeris) untuk menarik perhatian. Mereka menghantar gelombang tenaga yang hadir dari kebenaran, keikhlasan (dalam mencari ilmu dan rezeki), kejujuran dan kesabaran.

Kedua-dua Ayahanda dan Bonda hafal sebahagian besar dari kandungan Al-Quran, termasuk bacaan-bacaan doa. Mereka jadikan semua tu 'getaran jiwa', hingga sebati dengan 'makna'nya. Mereka memaknakan segala pengetahuan dan ilmu menerusi Al-Quran. Al-Quran adalah sumber 'kebenaran' mereka, yang dijadikan bekal untuk kehidupan yang bermakna. 


Tak macam anaknya yang menulis ni, ayat-ayat dan bacaan doa yang dihafal boleh kira dengan jari je. Yang dia banyak hafal adalah senikata lagu, selain dari kata-kata hikmah dari penteori dan tukang karut kitab yang dikutip dari sekolah-sekolah seni di Eropah dan Amerika Syarikat. Nak jadi pengamal dan pakar seni kontemporari la katakan. Nak diangggap sebagai 'bijak-pandai', kenalah pandai mengarut. 


Apa makna seni kontemporari tu ya wahai Hasnul yang bijak pandai? Apa makna seni moden? Siapa buat piawainya? Hasnul J Saidon? Kalau Hasnul J Saidon yang buat, rujuk piawaian siapa pulak ya? Ayahanda dan Bonda dia?

Jika ikut piawaian dari puSAKA kolotnial, Ayahanda dan Bonda Hasnul J Saidon dikategorikan sebagai 'jahil' atau 'tak berpelajaran'. 

Betul ke? 

Itu baru Ayahanda dan Bonda Hasnul, bagaimana pula dengan ayahanda dan bonda kenalan yang lain, yang datang dari pelbagai latar budaya 'bukan Barat'? Adakah semua perlu ikut piawaian 'bijak-pandai' berdasarkan konsep ilmu terpisah-pisah seperti yang telah puSAKAkan?

Jika Ayahanda dan Bonda saya dikategorikan sebagai 'tak berpelajaran', bagaimana pula mereka mampu membekalkan penawar untuk saya membersih prisma (akal), walaupun prisma mereka juga sering dilontar dengan tompok-tompok hitam dari pelbagai bentuk ujian mimpi benda. Itu dah jadi amanat mereka. 

Kekawan,
Marilah kita sama-sama mencari kebenaran dalam menyampaikan maklumat, agar ia akan menghadirkan kehidupan yang bermakna. Kita kembali kepada cara kita dalam 'memberi makna', bukan cara yang di puSAKA sejak zaman kolotnial dulu. Marilah kita bangun dari janji-janji palsu mimpi benda yang dipuSAKAi sejak dari zaman kolotnial, hingga ke industrialisasi dan kini ekonomi liberal pasaran bebas (dan kebas). Bebaskan minda kita dari menjadi 'kebas' dan dikebas.

Marilah kita membentuk 'pandangan terhadap dunia' kita sendiri, agar menjadi pandangan yang dihormati dan dimuliakan oleh manusia sejagat (termasuk mereka yang tak bersetuju dengannya).

Marilah kita panjangkan amanat ayahanda dan bonda serta semua adiguru mereka yang sebelumnya, yang menyalurkan wasiat yang diwarisi dari Nabi Muhammad s.a.w. Kita tanam 'makna' dalam jiwa anak-anak dan anak murid serta semua yang sudi berpesan-pesan, 'demi masa' kita yang sepintas ni. Dah tentulah kita akan diuji, akan jatuh dan bangun semula. 


Jika sekarang ni kita semua tengah jatuh, takpa, boleh bangun balik. Ujian itu juga adalah kemanisan, sebahagian dari perjalanan mencapai kemanusiaan, kembali kepada fitrah untuk bersatu dalam keabadian.


Ya, memang ia tidak datang dengan sebarang sijil atau segulung ijazah mahupun sebarang tanda zahir yang hebat-hebat. Bekalannya adalah dari pelukan atau dakapan kasih sayang, bersumberkan Yang Maha Pengasih.


Ia datang dengan cahaya kebenaran yang tidak boleh dicerap dengan mata kasar, sebarang bentuk pancaindera mahupun sebarang bentuk teknologi canggih.  

Cahaya atas cahaya.
    

4 comments:

  1. ...teringat tajuk Thesis aku kat ITM dulu Signifikan Rupa dan Bentuk Dalam Senirupa...sebenarnya ianya pasal mencari makna juga.Dulunya ianya tentang makna dunia visual dan referencenya juga rujuk ke barat spt Erwin panofsky,collingwood,dewey,herbert read dan lain lagi termasuk reference yg islam nya spt Lois Lamya,Sidi Gazalba,Siti Zainon dan Sharifah Fatimah. Thesisnya tah kemana menghilang. Tapi bila aku ingatkan balik perkara tuu sebenarnya ianya adalah getaran hati muda aku waktu itu yg sebenarnya sedang mencari makna yg kini aku sedar adalah makrifat.....iaitu aku yg sedang mencari tuhan dalam alam benda,dalam imej visual dan apa jua dalam dunia ini.Dah tua ni baru terasa bahawa kesimpulan telah pun aku buat dalam thesis tersebut tetapi maknanya atau nilai tambah signifikannya hanya datang kemudian sedikit demi sedikit dalam usia yg semakin lanjut ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setiap perkara ada tempat dan waktunya untuk hadir dalam diri kita. Terima kasih sahabat saya,

      Delete
  2. SubhanaAllah. Cantik sekali tulisan ini wahai guruku. Terima kasih banyak banyak. Moga Allah merahmati guruku sekeluarga.

    berkat "center yourself" ='''). Alhamdulillah..

    Cahaya Atas Cahaya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yaya, terima kasih. Terima kasih atas doa, saya amat memerlukan dan amat menghargainya.

      Delete

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...