Sunday, 22 January 2012

ZIARAH KEBUN MOHD NOOR HASHIM MELESTARIKAN WARISAN KREATIF KELANTAN

Mohd Noor Hashim, di istana penyelidikannya
Selain kebun seni rupa Mohd Noor Mahmud di Kelantan, ada satu lagi kebun yang pasti saya ziarahi jika ke Kelantan. Ini kebun senibina yang tekun melestarikan warisan kreatif Kelantan agar terus segar merentas zaman. Ia milik seorang lagi sahabat lama saya, Mohd Noor Hashim. Ya, ada dua Mohd Noor, dan kedua-duanya pekebun tegar yang sangat istiqamah dalam kerja mereka.

Satu contoh penyelidikan praktis Mohd Noor untuk menyerap warisan kreatif dalam senibina Kelantan.
Kebun Mohd Noor Hashim adalah lapangan meneroka, menguji, mencungkil dan menyingkap tabir banyak rahsia yg terkandung dalam falsafah dan kosmologi tradisi Kelantan.

Pada peringkat awal, Mohd Noor menggunakan tepian rumah banglonya sebagai tapak eksperimen.
Jawapan untuk banyak persoalan, isu dan masalah semasa sebenarnya banyak tersimpan dalam khazanah batin dan zahir yg terdapat di Kelantan. Ia bukan saja jawapan untuk orang Melayu, tetapi jawapan yg boleh dimanfaatkan umat manusia seluruh dunia.

Contoh anjung warisan yang dibina di sisi kiri rumah banglonya. "Ini cuma eksperimen awal dan usik-usik je!"
Sesiapa yang ada alah dengan perkataan 'melayu', tak payahlah baca blog ini. Begitu juga yang tersampuk badi kolonial yang menyempitkan makna 'melayu' dalam tempurung kejumudan.

Mohd Noor mempelajari struktur dan ketahanan bahan dari laman penyelidikannya ini.
Usaha Mohd Noor Hashim yang sanggup berhabis jutaan ringgit untuk mempelajari, menguji dan mengaplikasikan warisan kreatif Kelantan dalam konteks semasa boleh dijadikan teladan. Tanpa terlalu bergantung pada badan-badan rasmi, Mohd Noor telah membelanjakan wangnya sendiri untuk mengALAMI secara praktis segala falsafah, teori dan khazanah ilmu senibina berasaskan kosmologi Melayu-Islam. Hasilnya boleh dimanfaatkan oleh umat manusia, bukan orang Melayu atau orang Islam saja. Sebab itulah saya pernah terserempak dengan usaha menggali warisan tradisi ini oleh individu yang bukan orang Melayu - orang Australia dan orang Cina. Pendek kata, khazanah ini adalah khazanah umat manusia.

Dapatan dari kajian praktis solo Mohd Noor boleh dijadikan bahan untuk banyak tesis sarjana mahupun phd. Sayang sekali, sehingga kini, dia tak berkesempatan untuk mendokumentasi dapatannya.  Begitupun, bagi Mohd Noor Hashim, dapatan dari perlbaburan jiwa-raganya telah pun diterapkan dalam pelbagai projek pembinaan yang telah dilaksanakan oleh dia dibawah syarikat perundingannya. Saya sendiri dah dibawa ziarah ke merata tapak projeknya sekitar Kota Bharu, termasuklah dua buah masjid. 

Ketika menziarahi sebuah tapak masjid di tebing sungai dekat pantai Sabak pada waktu malam, saya terus terkedu. Langit waktu tu sangat jernih dengan bintang-bintang bertaburan persis sebuah gambaran dari cerita "Star Wars". Saya terkenang pengalaman melihat, membaca dan menghayati langit yang saya ikuti dari Sifu astronomi saya, Dr. Chong. Di bawah kerlipan bintang inilah tersergam indah hasil perlaburan Mohd Noor Hashim, sebuah masjid yang diilhamkan berdasarkan segala dapatan dari kajian peribadi beliau terhadap warisan kreatif dan senibina Kelantan. Masjidnya tidak kelihatan seperti bangunan masjid yang biasa kita lihat. Ia lebih kelihatan mesra sebagai sebuah rumah persinggahan, apatah lagi sungai bersebelahan membuatkan ia lebih lestari. Auranya amat menenang dan menyejukkan medan minda dan rasa saya yang selalu kalut ini. Saya, Taufik Abdullah dan Mohd Noor Mahmud (yang ikut sekali selepas makan nasi kukus) hanya mampu bertasbih. Sayang sekali saya tak bawa kamera untuk merakamkannya.


"Duit Allah bagi pinjam je, yang penting apa niat kita dan untuk apa kita gunakannya", gitulah pesan Mohd Noor Hashim pada saya. Ini istana penyelidikan Mohd Noor di sebelah rumahnya.
Usaha Mohd Noor Hashim sepatutnya disusul oleh pihak lain yang terbabit dengan warisan kreatif seperti IPTA/S, Jabatan Warisan, Seni Rupa, Seni Persembahan, malah Pelancongan. Dia memerlukan sokongan modal dan kepakaran dalam pelbagai dimensi ilmu.

Kepala dia asyik berfikir mencari jalan yang kreatif dan lestari. "Apa pun yang kita sibuk buat, akhirnya kita akan kembali pada makna keTuhanan", pesan Mohd Noor.
Apapun, usaha, ketekunan, keberanian, kecekalan dan istiqamah Mohd. Noor saya jadikan bekal untuk saya sendiri dalam mengusahakan Kebun Tok Timah di Balik Pulau, Pulau Pinang. Mohd Noor Hashim ni pula, tak lokek berkongsi ilmu, pengalaman, pandangan dan muhasabah dia. Khutbah dia berguna untuk saya.

Perlu ada pihak yang menyusul. Rugi jika tak dimanfaatkan untuk kebaikan dunia-akhirat.

Sesiapa yang berminat, sila jenguk album fb saya, "Mengapa saya terbang ke Kelantan?"




Jika ada kelapangan, akan saya hurai lebih lamjut dalam blog entry akan datang.

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...