Tahun 1988 dulu saya pernah ziarah ke Sabah bersama rakan-rakan dari Jabatan Seni Halus UiTM dibawah seliaan sifu Fauzan Omar. Kami merayap ke merata tempat, dari Pasar Filipina, ke 'long house' (ini lokasi misteri yang hanya boleh diruhai secara lisan), ke Pulau Manukan, ke Teluk Menggatal (memang ada yang 'gatal' ketika tu, maklumla, tengah muda remaja), ke Kampung Air, hinggalah mendaki setengah mati ke puncak gunung Kinabalu.
Kami berpameran di Balai Seni Lukis Sabah yang ketika itu berkongsi tapak dengan Muzium Negeri Sabah. Pengarahnya Dato' Yaman. Dia pun masih muda, remos rambut pun masih utuh.
Sejak itu, Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya sudah menjadi lokasi wajib ziarah saya, terutama setelah menanam kebun ilmu di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Saya pun dah lupa berapa kali sudah ke Sabah. Ke Kundasang dan gunung Kinabalu dah tiga kali, dua kali mendaki, sekali menghayati keindahannya di kaki gunung saja. Pulau Tiga lokasi rakaman siri 'Survival' yang pertama pun dah disinggahi bersama dengan kumpulan saintis yang dibawa Dato' Mazlan, ketika itu Pengarah Planetarium Negara.
Tahun lepas, saya bersama dengan Fuad Bebit (ketika itu Ketua Program Seni Visual di UMS) dan Chistine Goonting (Presiden Persatuan Seni Visual Sabah) juga pernah membawa pameran dari para pensyarah UMS dan beberapa pelukis tersohor Sabah ke USM, Pulau Pinang.
Selain Kuching, Sarawak (menetap selama 6 tahun), Kota Kinabalu dekat di hati saya. Saya ada ramai juga kenalan dan bekas pelajar dari Sabah. Antaranya Dato' Yaman yang hingga kini masih lagi Pengarah Balai Seni Lukis Sabah.
Tahun lepas, Dato' Yaman yang baik hati bawa saya makan tengah hari, kemudian ke pejabat sementaranya untuk berkongsi 'impian'. Dia menunjukkan pada saya pelan rekabentuk bangunan baru Balai Seni Lukis Sabah yang terletak di atas sebuah bukit tidak jauh dari kawasan Muzium Negeri. Rekabentuknya mengambil ilham dari corak geometri yang sering diolah oleh Dato' Yaman sendiri dalam karya-karya minimalis beliau.
Puan Jeniffer, kurator Balai Seni Lukis Sabah yang cergas. |
Kurator Balai Seni Lukis Sabah Jeniffer menerangkan serba-sikit konsepnya, termasuklah 'green building'. Saya kagum. Itulah 'impian' Dato' Yaman yang dah berpuluh-puluh tahun memerah keringat dan berjuang untuk memartabatkan bidang seni rupa di Sabah. Dari muda hingga tua, dia 'kerja, kerja, kerja'. Kadang-kadang saya kasihan pula melihat dia. Tak pernah saya lihat seorang pegawai kerajaan yang menghambakan segala yang ada pada dirinya untuk seni. Dato' Yaman pula orangnya serba-boleh, segalanya 'boleh' pada dia. Ada masanya tengok dia, teringat Dato' Syed Ahmad Jamal.
Baru-baru ini saya berpeluang ke Kota Kinabalu untuk ziarah 'kebun' sambil menilai projek tahun akhir para pelajar Seni Visual UMS. Saya jumpa Jeniffer semasa perasmian, sambil bertanya perkembangan bangunan baru Balai Seni Lukis Sabah. Saya tanya juga tentang kedudukan dia, tapi Jeniffer jawab sopan serta diplomatik. Dia suruh saya singgah sendiri untuk melihat bangunan baru tersebut. Saya paksa Zaimie Sahibil (bekas pelajar saya di UNIMAS, sekarang mengajar di UMS) bawa saya. Fuad Bebit ikut sekali.
Sampai ke lokasi, saya kagum. Sebelum ni tengok lukisan cadangan saja. Sekarang, dapat melihat bangunannya yang sedang pesat dibina. Begitu gah sekali. Sabah bakal menjadi sebuah negeri yang memiliki bangunan khas untuk seni rupa yang luas dan sangat kontemporari. Tak payahlah nak banding dengan negeri-negeri lain, nanti dikata mengumpat pulak.
Negeri saya sendiri, Perak 'Amanjaya' bukan Putra Jaya, pun rasanya takda bangunan baru untuk seni rupa. Bangunan lama yang lusuh ada la. Dulu ada saya dipanggil untuk jadi panel satu sessi perbincangan dalam kawasan bangunan banglo 'retro' di Ipoh, tapi langkah saya tersangkut celah selut, rasa ada tak kena, jadi terpaksalah patah balik. Itu Perak, negeri saya. Nasib baiklah Galeri Chandan sudi ajak saya sertai pameran "Semangat Chandan" walaupun saya tak berapa semangat dan bukan juga dari keturunan raja-raja di Chandan. Ada la sikit rasa diri 'pelukis dari Perak'.(Baru tadi tulis, taknak mengumpat, ngumpat juga negeri sendiri. Apa nak buat, tak boleh tahan.)
'Pelukis dari Perak' dengan bau tempoyak ni tentu sekali 'cemburu tapi tak buta' bila melihat bangunan baru Balai Seni Lukis Sabah. Tentu sekali ia bakal menjadi kebanggaan para pengkarya seni rupa dari Sabah. Saya tumpang bangga, apatah lagi saya memang ada sentimen suka memperkasakan medan-medan seni rupa yang lazimnya dipinggirkan oleh sikap 'perasantan' yang hanya melihat Kuala Lumpur sebagai pusat segala-galanya.
Saka 'Kuala Lumpur-centric' (atau 'Semenanjung-centric') ni dah lama saya buang, terutama sejak membuang diri ke Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak pada tahun 1994 dulu. Minda saya yang mono dapat juga saya 'stereo' dan 'dts' kan bila terdedah kepada pelbagai bangsa dan budaya di Sarawak. Tidak seperti di Semenanjung yang terkenal dengan frasa 'Melayu, Cina, India, dan lain-lain', di Sarawak dan Sabah, frasa 'dan lain-lain' tidak begitu releven. Sebab tu saya ada rasa sentimental pada para pengkarya 'yang lain-lain' atau yang di'pinggiran' seperti di Pulau Pinang, di Johor Bahru, di Kuantan, di Kota Samarahan dan di Alor Star dan Langkawi. Malaysia ni bukan Kuala Lumpur je ya. Kalau pun perasan dah antarabangsa, jangan lupa negara sendiri yang lebih luas dari Bangsar dan Dutamas.
Kadang tu, terlalu obses dengan Balai Seni Lukis (sekarang Visual) Negara, macamla di negeri-negeri lain takda Balai Seni Lukis atau galeri seni, mahupun para pengkarya yang aktif. Di Pulau Pinang saja dah ada lebih kurang 24 galeri dan ruang seni rupa!
Kadang tu, terlalu obses dengan Balai Seni Lukis (sekarang Visual) Negara, macamla di negeri-negeri lain takda Balai Seni Lukis atau galeri seni, mahupun para pengkarya yang aktif. Di Pulau Pinang saja dah ada lebih kurang 24 galeri dan ruang seni rupa!
Begitupun, bangunan yang gah saja tidak menjanjikan apa-apa. Yang lebih penting, adalah manusia dan pasukan yang menerajuinya. Ukhwah manusia bukan benda ringan, kerana sekarang ni, konflik dan politik ada di mana-mana, termasuklah bidang sukan. Kita yang jauh ni doa je la.
Bercakap tentang peneraju, saya teringat Dato' Yaman yang sudah agak berusia. Zaimie maklumkan pada saya, Dato' Yaman dah dua kali kena serang angin ahmar. Kali kedua ni, dia tak boleh berjalan dan tak boleh bergerak sebelah badan. Zaimie tunjuk gambar Dato' Yaman yang diambil semasa dia menziarahnya. Sayu saya tengok. Kontras antara gambar Dato' Yaman yang lesu dengan bangunan baru yang gah begitu 'surealis', jika tak pun, ironis. Terasa hidup ini begitu 'transient' dan rapuh, dan sekali-sekala menyindir kita pula.
Syabas juga pada semua yang terlibat mengusahakannya. Doa saya agar bangunan secanggih ini juga bakal tumbuh di negeri-negeri lain, diiringi oleh kumpulan manusia berpaksi yang sama canggih juga untuk menerajuinya.
Konsep bangunan ni diambil daripada bekas tradisi masyarakat tempatan. Nama khasnya di Sabah saya kurang tau tapi kalau di Sarawak dipanggil 'tambok'. Bekas yang dibuat daripada anyaman buluh dan rotan. Dato; Yaman adalah idola saya dalam bekerja. Saya pernah dimaklumkan oleh kakitangan beliau yang Dato' bekerja (datang kepejabat) 365 hari setahun kalau tak ada urusan keluar daerah atau negeri dan paling awal Dato' balik kerumah ialah jam 8 malam. Dari mana Dato' mendapat tenaga dan otak pejuang yang kental kita pun tidak tahu. Saya doakan Dato' sihat dan dapat melihat impiannya menjadi nyata setelah sekian lama berjuang.
ReplyDelete