Minggu lepas dari hari Khamis sampai Ahad, saya ke Pulau Langkawi. Ini pun atas jemputan bekas pelajar saya di USM dulu, Khairuddin. Dia tak habis-habis menganggu keharmonian minda saya dengan pujuk-rayu menerusi mesej dalam fb, juga dalam telefon bimbit isteri saya. Sebelum tu, dia datang sendiri ke USM Pulau Pinang dengan rakan taulan termasuk seniman otai Langkawi Salleh Dawam. Gelombang panggilan si Din ni kuat gamaknya. Saya pulak sangat jarang pakai telefon bimbit kerana gelombangnya membuatkan telinga dan tapak tangan saya kebas. Tapi Din ni pandai, dia guna kabel isteri saya, menteri dalam negeri. Kalau menteri dalam negeri suka, satu halangan sudah dilepasi.
Din jemput saya untuk jadi fasilitator bagi program Bicara Seni dan Bengkel bersama para pelukis di Langkawi.
Kalau nak diikutkan, saya tak larat. Lagipun tengah sibuk memantau kerja-kerja pengarahan seni untuk pementasan teater di DBP KL, cukup ke tenaga untuk berbicara dan berbengkel? Nak sediakan bahan jangan haraplah. Mana ada ruang dan masa lagi. Tapi saya ada saka penyakit kronik tak suka hampakan orang.
"Ok la Din, aku pi Langkawi. Takda duit honororium takpa. Tapi hang mesti pandai bodek menteri dalam negeri aku. Aku ni dah seminggu tak balik rumah, kalau terus ke Langkawi dari KL sorang-sorang, tak afdal la. Hang tolong la usaha dapatkan penginapan murah dari penaja, boleh aku bawak anak-bini bercuti sekali."
Tenaga alam tiada sempadan, infinit, melimpah. Jadi, terpaksalah saya senyapkan minda yang bising dan ego yang tak habih menyalak ni untuk jimatkan pembaziran tenaga. Saya serah diri pada Allah, Dia yang bagi tenaga. "Sampaikanlah saya ke Langkawi" Alhamdulillah, Din berjaya dapatkan penginapan, saya pula diberikan rezeki untuk dapatkan tiket kapalterbang anak-bini tercinta.
Sebelum saya cerita hal Langkawi, saya kena bagi preludnya dulu. Ni bukan apa, saja je nak bagi Din dan kekawannya sedor sikit tentang 'ranjau-duri' yang terpaksa diharungi sebelum ke Langkawi. Tapi moralnya lebih dari mengusik mereka ni. Moralnya - jika Allah berkehendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah, walaupun nampak susah pada awalnya.
Saya ke Langkawi hari Khamis. Sebelum tu hari Rabu di KL, dari pagi sampai malam saya bergerak dan 'berkebun' dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Pagi saya ke Bukit Tunku jumpa Beverly untuk bincang hal penyuntingan dan penerbitan buku. Tengah-hari ke Damansara, Galeri Chandan untuk jumpa Nazli sambil menjenguk pameran di sana. Dari Damansara, terus ke Balai Seni Visual Negara (BSVN). Di situ ada perbincangan susulan antara saya, Beverly dan Nur Hanim tentang projek buku yang sama, serentak juga saya bincang hal projek lain dengan Andy. Minda saya dah masuk zon zombi.
Jam 3 petang, terus ke Auditorium BSVN untuk jadi panel forum "Spiritualiti Dalam Era Globalisasi" sempena pameran solo Sulaiman Esa (Pak Leman), "Raja'ah". Masa tu, minda saya dalam zon 'mistikal'. Habis forum, terus pecut ke Shah Alam, ziarah bonda di rumah abang saya. Dia gering, tak berapa sihat. Saya buat sikit terapi tenaga untuk Bonda. Lepas terapi, saya yang hilang tenaga. Kemudian saya cabut balik ke DBP Kuala Lumpur untuk naik ke pentas masa 'curtain call' di pengakhiran pementasan teater. Bila balik ke hostel penginapan di Cheras, minda saya berada di zon 'tiada masa, tiada ruang'. Jasad kata, "udahla tu, bawak-bawakla rehat". Terus lelap sambil dialun dengkuran gaya lembu kena sembelih oleh Adi (Yazdi), salah seorang dari ahli pasukan kreatif saya.
Awal pagi esoknya (Khamis), saya berkejar ke Sepang untuk terbang kembali ke Pulau Pinang. Nasib baik sempat 'check-in', itupun semput berlari untuk jadi orang terakhir masuk pesawat. Semua penumpang tengok muka saya satu macam je. "Rilek la wahai sidang pesawat sekelian. Pasangkan tali kesabaran."
Mendarat di Pulau Pinang, Firdaus (nama glamernya, Ferdie) ambil saya untuk terus ke pejabat di USM. Buat kerja sikit, lepas tu, dengan minda mengantuk, saya lari ke sekolah anak (Ainina) untuk ambil keputusan UPSRnya. Seorang cikgu lambai tangan sambil ucap "Tahniah!". Jantung berdegup, hati berdoa, mulut berzikir, minda dah layu. Bila jumpa Ainina, dia tunjuk slip keputusan. Alhamdulillah, dia dapat 5A. Saya peluk dia. Dia dah besar, malu kena peluk depan kawan. Dia ni genius, bukan macam saya dulu, dapat 2 A pun melompat satu kampung. Ainina, seperti biasa, menjadi sumber tenaga positif saya. Serta-merta saya jadi segar dan cargas-semula.
Tak sampai sejam, kami bergegas ke rumah, berkemas dan kemudian terus ambil teksi untuk saya sekeluarga ke lapangan terbang. Teksi pulak lambat. Bila sampai, pemandu teksi memandu macam nak pergi 'jalan-jalan cari makan'. Sabor je la.
Sampai di satu simpang, sebuah kereta tiba-tiba menerpa dari tepi dan terus melanggar sisi kiri teksi, tempat saya duduk. Berderau juga darah dibuatnya. Saya ambil nafas dalam-dalam. Pemandu teksi mula naik angin. Drama dah nak mula ni, tak sampai aku ke Langkawi kalau macam ni.
Penumpang dalam kereta yang satu lagi keluar, budak lelaki pakai baju sekolah. Dalam kereta, pemandunya perempuan, mungkin ibunya, tengah tergamam. "Awatla makcik pandu kereta macam ni, saya nak ke Langkawi ni? Aduhai."
Nasib baik iman saya ok waktu tu. Kalau tak, dengan saya-saya sekali turut serta maki hamun untuk hanyut dalam medan tenaga bertuankan setan. Pemandu teksi menyuruh makcik ni pandu ke tepi jalan. Sampai di tepi jalan, kami berhenti untuk 'check' keadaan teksi, nasib baik ok. Tapi makcik tadi dengan anaknya dah lesap. Phui, terer juga buat silap mata! Pemandu Cina yang tadi agak naik sikit anginnya, nasib baik dah tenang. Kami bergegas meneruskan perjalanan ke 'airport'. Alhamdulillah, selisih lewat tak berapa kronik.
Tu baru prelud sebelum ke Langkawi. Walaupun preludnya menampakkan banyak drama kerah tenaga yang perlu ditempuh, jika Allah dah atur, jadi juga.
Tapi hikmah sebenar di sebalik tabir 'kepayahan' sebelum ke Langkawi hanya ditemui ketika berlangsungnya episod bicara seni dan bengkel di Pantai Cenang, Langkawi. Yang ni, kena baca 'entry' yang lain le ye.
No comments:
Post a Comment